Wednesday, July 31, 2013

HELO si MERAH JAMBU - BAB 17

.


Setelah seminggu bercuti, Hamimi dilanda penyakit malas untuk pergi bekerja. Kebetulan minggu itu mereka bekerja syif petang. Jam 1.00  petang Farhana sudah bersiap-siap manakala Hamimi masih melingkar di atas katil. Hati terasa berat manakala badan pula begitu liat untuk bangun dan bersiap. Ketika itu bermacam-macam pula perkara yang menyerang fikirannya. Mulalah dia berangan-angan. Kalaulah aku jumpa dengan putera raja, alangkah bahagianya...

“Sudah-sudahlah berangan tu. Cepatlah siap, Mimi. Dah pukul berapa dah ni? Aku lapar ni. Kalau lambat nanti tak sempat nak makan nanti.” Farhana merungut tatkala melihat Hamimi yang tersengih-sengih seorang diri di atas katil bujangnya. Dia dapat meneka apa yang bermain dalam fikiran sahabatnya itu. Kalau tidak berangankan putera raja, apa lagi?

“Alah, baru pukul satu. Ada lagi satu jam, apa pulak tak sempat? Lagipun aku dah mandi, cuma nak sarung seluar saja. Kejaplah.” Hamimi memejamkan matanya.

“Kejaplah, kejaplah. Masa berjalan tau, Mimi. Masa tak menunggu kita.” Farhana menyarungkan tudung warna merah jambu ke kepalanya. Dia membelek-belek wajahnya di depan cermin panjang yang melekap di dinding.

“Lepas seminggu cuti, rasa malas pulak nak pergi kerja.” Perlahan-lahan Hamimi bangkit lalu duduk bersandar di kepala katil. Dia hanya memerhati Farhana yang sedang menghadap cermin.

“Dah banyak lemak kau tu,” sindir Farhana. Dia memandang Hamimi melalui cermin. Sejurus kemudian dia mencapai beg galas dan baju uniformnya yang terletak di atas kerusi. “Cepat, Mimi.” Dia melangkah keluar dari bilik meninggalkan Hamimi yang masih terpinga-pinga.

Hamimi tersengih-sengih lalu bangkit dengan malas. Dia menyarung seluar jeans birunya manakala kain batik yang dipakainya dilondehkan. Kemudian kain batik itu diambil dengan kaki sahaja lalu dilipat dan diletak di atas katilnya. Baju seragam yang tergantung di balik pintu dicapai. Tudung yang sudah digosok disarungkan ke kepalanya. Kemudian dia menghadap cermin. Tanpa mengambil masa yang lama dia sudah bersiap lalu tergesa-gesa keluar dari bilik untuk mendapatkan Farhana.

Farhana sudah menunggu Hamimi di hadapan pintu lif. Sejurus Hamimi sampai, pintu lif pun terbuka. Tanpa berlengah mereka melangkah masuk. Kelihatan beberapa orang lain turut ada di dalam lif tersebut. Sebaik sampai ke tingkat paling bawah, semua yang ada di dalamnya berdedai-dedai keluar macam kambing keluar dari kandang.

“Lupa aku nak beritahu kau, kita dah ada manager baru tau Mimi,” beritahu Farhana. Mereka berjalan bergandingan menuju ke kilang.

“Ya? Lelaki ke perempuan?” soal Hamimi tidak sabar.

“Cuba kau teka?”

“Nak suruh teka-teka pulak. Cakap sajalah. Cepatlah Farah.” Hamimi menarik-narik tangan Farhana. Dia teruja ingin tahu.
Farhana tergelak. “Kau teka sajalah.”

“Mesti lelaki, kan? Aku tengok air muka kau aje aku dah tau. Mesti hensem, kan?” desak Hamimi.

“Entahlah. Tak tau nak cakap.” Farhana menjongketkan kedua-dua bahunya. “Kau tau, Mimi?”

“Apa dia?”

“Kau ingat tak lagi dengan lelaki yang aku cerita kat kau dulu. Yang aku langgar dia di McDonald’s, habis air tumpah terpercik kat baju dia. Makwe dia mengamuk sakan dengan aku tu?” Farhana terkenangkan insiden tiga bulan lalu. Dia terbayangkan wajah keliru lelaki yang dilanggarnya itu.

“Oh! Lelaki tu. Lelaki yang datang dalam mimpi kau tu? Kenapa dengan dia?”

“Lelaki itulah.. Dia tulah orangnya. Mula-mula aku tak perasan. Tapi bila dia tertoleh-toleh pandang aku, baru aku perasan dia. Bila nampak aje muka aku, merah padam muka dia.”

“Kau tak tegur dia?”

“Eeii… Nak pandang dia pun aku segan, inikan pulak nak tegur dia?”

“Rugilah. Habis tu belum berkenalan lagilah?”

Farhana menggeleng sambil tersenyum malu. “Takkanlah aku yang nak terhegeh-hegeh pergi kat dia? Sorrylah.”

“Apa salahnya? Dia kan orang baru? Sepatutnya kaulah yang kena hulurkan salam perkenalan terlebih dahulu. Sengallah kau ni.”
Pantas satu cubitan manja hinggap di lengan Hamimi. Hamimi mengaduh kesakitan sambil dia menggosok-gosok lengannya sendiri. Hamimi menunjukkan lengannya yang berbekas kepada Farhana. Mukanya berkerut-kerut.

Farhana tidak menyangka cubitannya tadi agak kuat. Dia menjadi serba salah. Lantas dengan segera dia memeluk Hamimi dari belakang dan memohon maaf atas perbuatannya yang tidak disengajakan. Ternyata Hamimi tidak sedikit pun mengambil hati malah dia ketawa gelihati melihat muka Farhana yang alah-alah cicak berak kapur itu.

Tanpa disedari mereka sudah sampai di kafeteria. Mereka terus menerpa ke meja di mana pelbagai jenis lauk pauk tersedia untuk dipilih. Kafeteria itu menjalankan perniagaan cara layan diri. Setelah pinggan sudah penuh diisi dengan nasi dan lauk pauk pilihan, mereka ke kaunter untuk memesan minuman sekali gus membuat bayaran. Kemudian mereka mengambil tempat duduk di tengah-tengah ruang kafeteria.

Tatkala melihat Farhana yang bermenung, Hamimi menegur. “Rezeki dah ada di depan mata, apa yang ditunggu lagi? Baca bismillah dan makan.”

Farhana tidak menjawab.

“Hai! Baru dua hari tak jumpa dah macam orang angau aje kau ni. Takkan kau rindu dekat Ako pulak?”

“Dia kan kawan baik kita, Mimi? Apa salahnya kalau makan, kita tunggu dia untuk makan sama-sama?”

“Yalah tu.” Hamimi mulakan suapan tanpa mahu menunggu sesiapa. 

“Entah kenapa, sejak peristiwa Jiha serang aku tak tentu pasal hari tu aku dah tawar hati. Aku rasa dialah punca segalanya,” katanya mengingatkan insiden yang berlaku antara dia dan Jiha. Walaupun dia tidak tahu kebenaran di sebalik kisah yang berlaku namun dia tidak mahu peduli.

“Sebenarnya, bukan salah Ako. Dia dah berterus terang dengan aku masa kau tak ada. Dia kata Jiha tu yang salah sangka. Dia tak berniat apa-apa langsung pada Jiha tapi Jiha tu yang salah tafsir. Ako kata dia hanya bergurau saja, tak sangka pulak Jiha tu ambil serius,” jelas Farhana. Matanya masih melilau mencari kelibat Syukur.

“Itulah padahnya kalau orang suka bergurau tak mengira tempat. Kalau nak buat lawak bodoh pun, agak-agaklah. Jangan cakap sembarangan. Kan orang tu dah perasan, siapa yang susah? Tanggunglah sendiri!” getus Hamimi geram. “Aku pun perasan Ako tu memang suka buat lawak tentang perasaan orang. Bila orang dah jatuh hati kat dia, mengelabah. Tau takut.” Dia meneruskan suapan. Hari itu dia memilih lauk ikan keli masak berlada dengan sayur lemak pucuk paku.

Farhana mengeluh.

“Dahlah, tak payah tunggu dia. Makan je. Dah pukul berapa dah ni?” Hamimi bangkit menuju ke singki untuk membasuh tangan.

Farhana melihat jam di tangannya sebelum memulakan makan. Tiba-tiba Hamimi mencuit Farhana dari belakang. Farhana berhenti menyuap. Dia segera menoleh memandang muka Hamimi yang memuncungkan bibirnya sebagai isyarat. Lantas Farhana pun mengalihkan pandangannya ke arah yang dimaksudkan oleh Hamimi itu. Dia melihat sesusuk tubuh sedang berjalan melintasi tempat duduk mereka menuju ke kaunter. Gadis itu tidak sedikit pun menoleh.

“Sorang aje nampaknya. Mana perginya konco-konco yang selalu jadi bodyguard dia?” bisik Hamimi pelik. Air sirap bandung dihirup.

“Biarlah dia, Mimi. Asalkan jangan kita yang mulakan dulu.” Farhana memberi nasihat.

“Aku tak suka nak kacau orang tak tentu pasal. Tapi yang menghairankan aku bila aku tak kacau orang, orang pulak yang datang menyerang aku. Aku bukan jenis gadis lembut dan ayu macam kau. Aku tak boleh diam diri tengok orang pijak atas kepala aku.” Hamimi mendengus.

“Mengalah bukan maknanya kita kalah. Perkara yang kecil usahlah dibesarkan. Kalau dengan berbincang boleh menyelesaikan masalah, kenapa kita pilih berbalah sebagai jalan penyelesaian? Aku tak suka bermasam-masam muka.” Farhana sudah selesai makan. Dia hanya makan nasi goreng berlaukkan telur goreng mata kerbau.

“Habis tu... kau ingat aku suka? Aku pun tak sukalah.”

“Kalau macam tu, beralah sajalah.”

“Beralah? Kau nak aku pergi minta maaf kat dia ke? Aku dah buat tak tau ni pun dah kira bagus, tau. Kalau aku nak balas dendam dengan apa yang dia buat kat aku tu, bila-bila pun boleh. Tapi aku bukan jenis pendendam dan aku pun tak suka nak bergaduh dengan orang.”

“Alhamdulillah. Aku tau kau baik,” puji Farhana sambil menghadiahkan senyum tawar.

Jiha kembali melintasi tempat mereka duduk. Dia melangkah dengan pandangan ditundukkan ke bawah. Farhana dan Hamimi mendiamkan diri. Perubahan sikap Jiha itu mengundang seribu tanda tanya di dalam benak mereka berdua. Selalu Jiha tidak begitu. Dia jarang dilihat berjalan sendirian. Biasanya ke mana saja dia pergi pasti dia ditemani oleh Lola dan beberapa orang kawan lain. Dan dia jarang dilihat murung. Kalau dia berada bersama kawan-kawannya riuh rendah suara dan gelak tawa mereka.

“Lain macam aje aku tengok Jiha tu kan, Mimi?” soal Farhana setelah memerhati gerak laku Jiha sebentar tadi.

“Kena tinggal dengan kawan-kawan dialah tu. Padankan muka dia. Biar dia rasa,” luah Hamimi. Insiden pertengkaran dengan Jiha tempoh hari terbayang-bayang di matanya.

Farhana mengerling memandang Hamimi. “Dahlah, jom.” Mereka bangkit dari bangku dan mengatur langkah untuk masuk ke kilang.

“Mana Ako ni? Batang hidung pun tak nampak-nampak.” Farhana resah. Kelibat lelaki itu masih tidak kelihatan walaupun jam sudah hampir ke pukul dua. Dia tahu hari itu Syukur bekerja di syif petang.

“Kau ni tak habis-habis teringatkan dia. Lain macam aje aku tengok kau ni. Kalau suka kata suka, jangan diperam nanti jadi masam,” gurau Hamimi sambil mengekek ketawa. Keresahan sahabatnya itu menimbulkan tanda tanya. Barangkali ada sesuatu yang bersarang di fikirannya.

“Berapa kali aku cakap dengan kau? Aku anggap dia dan kau sama penting bagi aku. Aku anggap dia macam abang aku tau,” jelas Farhana geram. Usikan Hamimi tadi seakan-akan satu sindiran baginya. Seolah-olah antara dia dan lelaki itu mempunyai perasaan yang terpendam.
Hamimi ketawa. “Okeylah. Sekarang kita nak mulakan kerja. Kosongkan fikiran. Jangan fikirkan perkara-perkara lain selain dari kerja. Petang nanti kita jumpa lagi, ya.” Hamimi mencuit pipi gebu Farhana sebelum beredar meninggalkan sahabatnya itu dengan seribu rasa.


.

No comments:

Followers