Wednesday, July 10, 2013

HELO si MERAH JAMBU - BAB 8

.

Mazni sudah resah menunggu di ruang makan apabila sudah lewat begitu kelibat Amirul masih lagi belum kelihatan. Mustafa baru sahaja keluar ke tempat kerja setelah bersarapan dengannya sebentar tadi.

Pagi itu Amirul ada temujanji. Mazni sudah memberitahu Amirul untuk menjemput Qistina di rumahnya dan menemani gadis itu ke One Utama. Semalam ketika dia memberitahu Amirul tentang rancangan itu, tiada rungutan dan tentangan daripada anak bujangnya itu. Dia menganggap anaknya itu bersetuju.

Mazni berkenan benar dengan anak dara Dato’Azhar dan Datin Bibah yang anggun bergaya itu. Kalaulah dapat dijadikan menantu, bolehlah mereka berbesan. Dan bolehlah dia menumpang kekayaan mereka.

“Mak Jah!” panggil Mazni dari tempat dia duduk. Jam yang tergantung di dinding dipandang berkali-kali. Setiap kali jam itu dipandang, hatinya mendidih. “Mak Jah!” teriaknya lagi.

“Ya, Mak Jah datang.” Terkocoh-kocoh Mak Jah berlari anak dari ruang dapur mendapatkan majikannya. Pernafasannya deras. Dia tercungap-cungap.

“Mak Jah, tolong tengokkan Amirul kat atas tu. Dia dah bangun ke belum? Saya dah pesan kat dia semalam bangun awal hari ini. Kata pada dia, dia ada temu janji. Suruh dia mandi dan bersiap sekarang. Saya tunggu dia di sini,” arah Mazni kepada Mak Jah.

Selepas mendapat arahan itu terkedek-kedek Mak Jah memanjat anak tangga ke tingkat atas. Daun pintu bilik didapati masih bertutup. Dia mengetuk pintu sambil memanggil nama Amirul. Sepi. Dia mengetuk lebih kuat dan bertalu-talu. Dia cuba memulas tombol pintu. Ternyata daun pintu itu berkunci dari dalam. Dia berhenti seketika melepaskan lelah. Beberapa minit kemudian dia mengetuknya lagi.

“Amirul! Bangun, Mirul,” teriak wanita itu.

Sudah hampir sepuluh minit Mak Jah mengetuk pintu dan memanggil nama Amirul namun masih belum ada apa-apa reaksi dari dalam bilik itu. Dia hampir berputus asa. Dia nekad untuk mengetuk pintu itu sekali lagi, jika masih tidak dibuka dia akan beredar. Tetapi baru sahaja tangan Mak Jah mahu mengetuk daun pintu, tiba-tiba ia terbuka dan terjengul keluar wajah Amirul dengan rambut berserabut. Dia terpisat-pisat.

“Ada apa, Mak Jah?” Perlahan suara Amirul bertanya. Dia menguap.

“Mama suruh Mirul mandi dan bersiap. Mama kata Mirul ada temu janji pagi ni.” Mak Jah menyampaikan pesanan Mazni.

Mata Amirul yang tadi seperti mahu terkatup serta-merta terbuntang sebaik sahaja mendengar pesanan itu. Dia teringat pesanan mamanya malam tadi. Dia diminta untuk menemani Qistina ke One Utama untuk membeli-belah. Lantas dia bergegas ke bilik mandi tanpa sempat memberitahu apa-apa kepada Mak Jah.

Setelah Amirul menghilang ke bilik mandi, Mak Jah melangkah masuk tanpa disuruh. Dia mengemas katil anak bujang yang bersaiz besar itu. Pakaian kotor yang dimasukkan ke dalam bakul yang disediakan di tepi pintu bilik mandi dikutip lalu melangkah turun ke tingkat bawah bersama beberapa helai pakaian yang dikutipnya tadi untuk dicuci.

“Amirul buat apa, Mak Jah?” tanya Mazni sebaik sahaja melihat kelibat Mak Jah.

“Dia tengah mandi, sekejap lagi turunlah dia tu.” Mak Jah melangkah ke dapur untuk meneruskan kerjanya yang tergendala tadi sebelum memasukkan pakaian kotor yang dikutip dari bilik Amirul ke dalam mesin basuh.

Beberapa minit kemudian, Amirul dilihat berlari-lari anak menuruni anak tangga ke tingkat bawah.

“Dah pukul berapa dah ni, Mirul? Kan mama dah pesan semalam bangun awal?” tegur Mazni apabila melihat wajah Amirul yang segak berpakaian santai.

“Apa lagi ni, mama? Kan saya dah siap dah ni? Lagipun masih awal pagi lagi.” Amirul menarik kerusi makan yang bertentangan dengan tempat Mazni duduk.

“Apa? Masih awal pagi? Cuba tengok jam kat dinding tu. Dah nak dekat pukul sebelas. Awal lagi Mirul kata? Helo, sekarang ni Mirul di Malaysia, bukan di London, okey!” sergah Mazni.

What ever, ma.” Malas Amirul mahu melayan kerenah mamanya yang sedang marah itu. Dia tahu semakin banyak dia membuka mulut semakin panjang pula bebel mamanya nanti.

“Ingat pesan mama semalam. Layan Qistina tu baik-baik. Lemah lembut sikit kalau bercakap dengan perempuan. Orang perempuan tak suka dengan lelaki yang suka marah-marah tak tentu pasal.” Mazni mengulangi pesanan yang sama. Pesanan itu telah disampaikan kepada Amirul semalam. Dia menghulurkan segelas jus oren kepada Amirul.

“Ma.” Amiru meneguk jus oren dari dalam gelas.

“Apa dia?”

“Kenapa mama beria-ia suruh saya temankan Qistina tu? Dia tak ada kawan lain ke?”

Bukan dia tidak kenal dengan anak gadis Dato’ Azhar dan Datin Bibah itu. Sejak mula-mula mengenalinya dulu pun dia sudah tidak berkenan dengan perangai gadis itu. Ketika jamuan makan malam di rumah Dato’ Azhar kelmarin mereka ditemukan setelah beberapa tahun tidak berjumpa kerana jarak dan kesibukan pengajian. Walaupun lama terpisah namun gaya dan sikap Qistina dilihat masih tidak berubah. Apa yang pasti dia tidak berkenan dengan Qistina. Dia akui Qistina itu cantik tapi sayang kelakuannya tidak secantik wajah yang dia miliki.

“Mirul, mama tau mama tak ada hak untuk mengatur hidup Mirul. Tapi percayalah, Mirul... mama mahu yang terbaik untuk anak mama. Salah ke, Mirul?”

“Memang tak ada salahnya, ma. Tapi saya tak suka mama menyusun jadual harian saya sampaikan dengan siapa patut saya keluar pun mama yang aturkan.” Amirul rimas kerana terpaksa mengikut arahan.

“Setiap apa yang mama rancangkan untuk Mirul, ada saja tentangan. Mama nak Mirul sambung belajar ke luar negera, Mirul tak mahu. Sekarang mama mahu Mirul berkawan baik dengan Qistina pun, Mirul nak membantah. Tolonglah, Mirul. Tolonglah dengar cakap mama. Sekali ni saja.” Bersungguh-sungguh Mazni memujuk. Dia benar-benar berharap permintaannya kali ini dipersetujui oleh anak tunggalnya itu.

“Okeylah, ma. Saya akan temankan Qistina. Tapi jangan pulak mama minta saya jadikan dia girlfriend saya.” Hilang selera Amirul untuk menjamah bihun goreng yang dihidangkan di atas meja tatkala bayangan wajah Qistina bertandang di layar mindanya.

“Apa salahnya dengan Qistina tu?”

“Saya tak nak, ma. Saya tak mahu orang yang macam dia jadi girlfriend saya. Lagipun saya tak sayang dan tak cintakan dia.”

“Kasih sayang dan cinta tu macam pokok. Kalau dipupuk dan dibaja, boleh subur dan menjadi-jadi. Lagipun Qistina tu cantik. Anak orang kaya pulak tu. Mirul tak suka kalau dapat isteri anak orang kaya? Kalau Mirul senang, mama pun boleh tumpang senang jugak.”

“Astaghafirullahalazim.” Amirul beristigfar panjang. “Mama, kita tak cukup senang ke lagi sekarang ni? Papa tu bekerja siang malam untuk menyenangkan kita sekeluarga, ma. Tengok hasil dari kerja kuat papa. Kita tinggal di banglo mewah. Kita ada kereta seorang satu. Duit? Duit mama dalam bank tak habis makan. Saham mama lagi, insya-Allah boleh menampung hidup mama selagi hidup. Buat apa kita nak tamakkan harta orang lain pulak? Cubalah belajar untuk bersyukur dengan apa yang kita ada, ma.” Dia menggeleng. Dia tidak faham dengan sikap mamanya. Harta dan wang sudah bertimbun-timbun masih lagi tidak mencukupi.

“Tak kisahlah, Mirul... ikut suka hati Mirullah. Tapi apa yang penting sekarang ni, mama mahu Mirul berkawan dengan Qistina. Mirul tahu tak, Dato’ Azhar dan Datin Bibah sendiri yang mahukan Mirul berkawan dengan Qistina. Papa dengan mama tak ada halangan. Kami pun suka jugak tengok Mirul berbaik dengan Qistina tu.”

“Baiklah, ma. Buat sajalah apa yang mama suka.” Amirul bangkit. “Saya pergi dulu, ma.” Dia mendapatkan mamanya untuk bersalam.

“Mirul belum sarapan lagi.” Mazni tidak melepaskan tangan Amirul yang digenggamnya.

“Tak apalah, ma. Tak ada selera pulak saya nak bersarapan pagi ni.” Amirul mencium tangan mamanya sebelum beredar.Perasaan di dalam hatinya hanya dia yang mengetahui.

“Ingat pesan mama, ya?” Mazni mengiringi pemergian Amirul dengan pandangan mata. Di dalam hati dia berharap agar anak tunggalnya itu akan terpikat dengan Qistina. Ibu mana yang mahu melihat anak mereka susah? Kalau Amirul berkahwin dengan Qistina, Amirul akan hidup senang-lenang. Qistina juga anak tunggal. Sudah pasti semua harta Dato’ Azhar akan menjadi milik Qistina satu hari nanti. Sekali gus akan menjadi milik Amirul juga sebagai menantu. Dia tersengih-sengih seorang diri. Dia sudah membayangkan bagaimana hidupnya nanti jika apa yang diimpikan benar-benar menjadi kenyataan.


Sebelum sampai ke rumah Dato’ Azhar, Amirul menghubungi Qistina untuk memberitahu tentang kehadirannya. Sebaik dia sampai di hadapan pintu pagar banglo mewah itu, pintu pagar terbuka dengan sendiri. Amirul terus memandu masuk dan berhenti di hadapan pintu utama. Dia hanya menunggu di dalam kereta sehingga dia ternampak kelibat Qistina keluar dari daun pintu kayu yang berharga ribuan ringgit itu.

Qistina kelihatan seksi dengan memakai blaus ketat dipadankan dengan skirt pendek di atas paras lutut. Terbeliak biji mata Amirul memandangnya. Biar betul minah ni!

Gadis itu melangkah penuh bergaya menghampiri kereta Honda City berwarna hitam milik Amirul. Sejurus gadis itu mengambil tempat di sebelah Amirul, kereta pun meluncur laju meninggalkan banglo agam milik Dato’ Azhar itu.

Haruman yang semerbak daripada minyak wangi yang dipakai oleh gadis itu memenuhi ruang kereta. Sesekali Amirul mengerling Qistina yang duduk di sisinya. Imannya yang sedia tipis seakan-akan tergugat apabila terserlah paha Qistina yang putih gebu. Lelaki mana yang boleh menolak pandangan matanya dari melihat keindahan yang sengaja dipamerkan?

“You nak pergi One Utama, kan?” tanya Amirul.

“I tak kisah ke mana pun yang you nak bawa. I ingat nak cari kasut.” Manja suara Qistina sambil meliuk-lentokkan tubuhnya apabila bercakap. Anak rambutnya yang mengurai disuak ke belakang.

“Oh! Nak beli kasut. Di One Utama banyak jugak pilihan. Kita ke sana saja, ya?”

One Utama yang terletak di Bandar Utama Damansara tidak jauh dari Petaling Jaya. Kalau jalan raya tidak sesak, dalam masa sepuluh minit mereka sudah sampai ke destinasi.

“Kelmarin you kata you belajar di UKM, dalam jurusan apa?” Qistina bertanya lembut.

“Business and Management,” jawab Amirul sambil menumpukan perhatian ke jalan raya.

“Tak mahu melanjutkan pelajaran ke mana-mana?”

Kali ini Amirul hanya menggeleng bagi menjawab soalan Qistina tadi.

“Jadi, apa perancangan you sekarang?” soal Qistina lagi tanpa jemu. Hanya dia yang mengaju soalan sedangkan Amirul kelihatan lebih senang menjawab daripada bertanya.

“Mungkin bekerja dulu untuk beberapa bulan sebelum sambung balik belajar.”

Qistina mengangguk. “Dah cari kerja ke?”

“I tak cari pun tapi papa I dah dapatkan kerja untuk I. Kawan papa I pengarah di tempat tu. Dia yang cadangkan I bekerja di situ.”

“Oh... untunglah you. Tak perlu susah-susah cari kerja, dah ada kerja yang menunggu. Bila mula?” Qistina membelek kukunya yang panjang bercat warna merah garang.

“I pun tak pasti. Tapi buat masa ini I nak berehat. Mungkin seminggu atau dua minggu lagi.” Amirul sudah pun memberitahu papanya tentang persetujuannya untuk bekerja di tempat yang ditawarkan kepadanya.

Destinasi yang dituju sudah pun sampai. Setelah membuat dua pusingan barulah mereka mendapat tapak parkir. Walaupun pada hari biasa namun Kompleks One Utama tetap ramai pengunjungnya. Enjin kereta dimatikan sejurus kereta diletakkan di atas tapak pakir yang kosong.

Pasangan itu jalan beriringan memasuki kompleks. Amirul  tergamam apabila Qistina memaut lengannya tanpa segan walaupun baru kali pertama mereka keluar bersama. Sebaliknya Amirul pula yang berasa malu. Perlahan-lahan dia meleraikan pautan itu.

“Kenapa you ni? You tak suka I pegang you?”

Tanpa menjawab soalan itu, Amirul terus melangkah. Dari aras meletak kereta mereka menuruni eskalator untuk ke aras membeli-belah. Belum pernah Amirul berjumpa dengan  perempuan yang seberani Qistina. Belum apa-apa lagi sudah mahu berpegang tangan.

“Itu, kedai kasut.” Amirul menuding jari ke arah sebuah kedai kasut yang sedang mengadakan jualan murah.

Qistina menarik tangan Amirul menuju ke kedai tersebut. Pelbagai jenis dan fesyen kasut yang ada dijual. Qistina menjadi rambang mata. Dia mengambil dua pasang kasut yang berkenan untuk dicuba pakai.

“Cantik tak kasut ni, you?” Qistina menggaya-gayakan kasut warna putih bertumit dua inci di hadapan Amirul.

Amirul mengangguk tanpa komen. Kemudian Qistina mencuba pula sepasang kasut berbentuk platform berwarna hitam.
“Yang ini, okey tak?”

Sorry... I tak tahu pasal kasut-kasut perempuan ni. You jangan tanya pendapat I. Pada I semuanya cantik.” Amirul beralih ke rak kasut lelaki. Dia membelek satu per satu kasut yang terdapat di situ.

“You ni susahlah. I minta pendapat you aje, bukan minta you bayarkan pun.” Qistina merangkul lengan Amirul dari belakang. Kemudian dia bersandar ke tubuh Amirul. Kehangatan tubuh lelaki itu membuatkannya berasa selesa.

“Kan I kata I tak tahu? Suka hati youlah nak pilih yang mana.” Amirul menarik tangannya perlahan-lahan. Dia menginjakkan tubuhnya jauh sedikit daripada Qistina. Geli-geleman dia dibuatnya.

“Alah, you ni... menyampahlah,” kata Qistina manja.

“Okeylah tu. Ambil sajalah kasut tu, cantik dan sesuai dengan you,” kata Amirul sekadar berbasa basi. Dia mahu segera beredar dari situ.

“Betul ke cantik?” Kembang hati Qistina apabila dia dipuji oleh lelaki itu.

Amirul mengeyakan sahaja tanpa mahu bercakap banyak. Tanpa berfikir panjang, Qistina dilihat ke kaunter bayaran untuk membayar dua pasang kasut yang dicuba tadi dengan menggunakan kad kredit. Kemudian, Qistina mengajak Amirul  ke kedai menjual aksesori wanita pula. Setelah puas membelek-belek, akhirnya dia membeli sepasang penyepit rambut yang berharga RM120.

“You nak beli apa lagi?” tanya Amirul. Kedua-dua tangannya berpeluk tubuh. Bimbang jika Qistina memegang tangannya sesuka hati. Dia malu dilihat orang yang berselisih dengannya. Dia tidak mahu orang menganggap Qistina itu kekasihnya.

“Tak ada apa-apa lagi.”

“Kalau dah tak ada apa-apa lagi, jom kita balik,” cadang Amirul. Tidak sanggup dia berlama-lama lagi dengan gadis yang gedik itu. Tangannya tidak boleh duduk diam, merayap saja macam tangan ketam.

Qistina mencadangkan mereka ke restoran makan. Dia belum puas berdamping dengan lelaki itu. Ada banyak lagi soalan yang dia belum sempat bertanya. Lagi pula hari masih awal. Mengapa terburu-buru mahu pulang?

“Dah nak balik? Alah, perut I laparlah. Jom kita pergi makan dulu.” Qistina memuncungkan mulutnya. Tangan Amirul digenggam erat seperti tidak mahu dilepaskan.

Amirul mengeluh. Dia membiarkan sahaja tangannya digenggam Qistina. Sudah tidak larat lagi dia mahu mengelak dan melepaskan sentuhan-sentuhan daripada gadis itu. Dia teringatkan pesanan mamanya. Wajah rajuk mamanya terbayang-bayang.

“You nak makan apa?” soalnya dengan nada bosan.

“Kita makan Kenny Rogers, nak?” Qistina tidak segan-segan melentokkan kepalanya ke bahu Amirul pula. Bukan dia tidak perasan reaksi Amirul yang kelihatan seperti tidak selesa itu. Sengaja dia buat muka tidak malu.

Tanpa mahu membantah Amirul akur. Langkah diteruskan sehingga sampai ke restoran Kenny Rogers. Restoran itu kelihatan penuh dengan pelanggan. Beberapa ketika datang seorang pelayan membawa mereka ke tempat yang masih kosong.


Qistina mengambil tempat duduk bertentangan dengan Amirul. Pesanan makanan dibuat dan tanpa menunggu lama, makanan yang dipesan pun sampai. Amirul segera menghabiskan makanannya tanpa mahu menunggu lebih lama. Dia mahu segera beredar. Lebih cepat lebih bagus. 

.

No comments:

Followers