Monday, July 8, 2013

HELO si MERAH JAMBU - BAB 7

.

Hari Isnin merupakan hari malas sedunia. Itu kata Hamimi kepada Farhana. Liat sungguh Hamimi mahu bangkit subuh tadi. Mungkin dia tidak cukup tidur.

Malam tadi mereka makan terlalu banyak buah durian. Ini semua si Merah Jambu punya pasal. Sudahlah cuaca panas, ditambah pula dengan panas buah durian. Kipas yang berputar laju pun tidak terasa anginya. Tidak cukup dengan itu, habis majalah pula menjadi mangsa dijadikan kipas. Sekejap-sekejap dia bangun. Keluar dan masuk beberapa kali dari bilik ke ruang tamu dan dari ruang tamu masuk ke bilik semula. Dia tidak ubah seperti kucing yang mahu beranak. Akhirnya dia terlelap di atas sofa di ruang tamu.

Sepanjang perjalanan ke kilang, mereka tidak berbual seperti selalu. Sekejap-sekejap Hamimi menguap. Dia menyumpah dirinya sendiri. Farhana yang melihat gelagat sahabatnya itu menggeleng beberapa kali. Mereka sudah terlambat, tidak sempat mahu ke kafeteria untuk bersarapan. Mujur saja Farhana membawa roti sebagai bekalan, boleh juga dibuat sebagai pengalas perut sementara menunggu waktu makan tengah hari nanti.

Hamimi berwajah cemberut. Pernah beberapa kali dia mengadu kepada Farhana bahawa dia berasa bosan bekerja di kilang itu. Setiap hari melakukan kerja yang sama. Kadang-kadang timbul keinginan untuk berhenti dan mencari kerja yang lain. Tetapi bukan senang untuk mendapat kerja. Apatah lagi dengan kelulusan SPMnya yang hanya cukup makan itu. Namun apabila terkenangkan emak dan adik-adiknya di kampung hatinya menjadi rawan. Biarlah dia bekerja di kilang itu buat sementara waktu, mudah-mudahan akan ada rezeki yang lebih baik untuknya nanti.

Bukan Farhana tidak pernah menasihatinya untuk bersabar. Setiap kesabaran pasti ada ganjarannya. Itulah kata-kata semangat yang sering sahabatnya itu pesan kepadanya.

“Untung sabut timbul. Mana tau satu hari nanti kau dipinang putera raja. Masa tu bolehlah kau berhenti dan duduk goyang kaki aje kat rumah istana kau,” usik Farhana  suatu ketika dulu.

“Kalau duduk terperuk kat dalam kilang ni, bila masanya putera raja nak nampak aku?” balas Hamimi lalu tergelak.

“Kalau ada putera raja yang nampak kau, dia akan terpikat ke kat kau?” gurau Farhana lagi. Dia ketawa.

Hamimi ikut ketawa. Sempat pula paha kiri Farhana dicubit manja. Apabila mengingatkan gurauan mereka berdua itu, Hamimi tersenyum-senyum sendirian.


KETIKA waktu makan tengah hari di kafeteria, Hamimi terpandangkan Jiha dan Lola duduk makan di meja paling tepi sekali. Dia perasan Jiha asyik memerhatikannya. Tidak sekilas pun dia menoleh memandang mereka. Meluat sungguh.

Ketika Hamimi sedang beratur di kaunter untuk membuat bayaran makanannya, Farhana datang menyapa. Dia menghulurkan sekeping wang kertas sepuluh ringgit kepada Hamimi.

“Mimi, tolong bayarkan untuk aku sekali.” Dia meletakkan pinggan dan gelasnya di atas dulang milik Hamimi. “Aku pergi chop tempat.” Dia berlalu untuk mencari tempat untuk mereka duduk makan.

Tempat duduk banyak yang sudah dihuni. Farhana terpaksa memerhati dan menunggu kalau-kalau ada yang sudah selesai makan. Namun sudah beberapa minit menunggu masih belum ada tempat kosong lagi. Dia masih bersabar menunggu sehinggalah Hamimi datang menghampiri sambil menatang dulang di tangannya.

“Tak ada tempat lagi?” tanya Hamimi sambil memerhati sekeliling.

Farhana menggeleng. “Belum lagilah.”

“Dia orang ni pun satu, dah habis makan bangunlah. Ini tidak, duduk berborak lagi,” rungut Hamimi dengan nada tidak puas hati.

“Sabarlah. Sekejap lagi adalah orang yang bangun.”

“Kau ni terlalu banyak bersabar. Nasib baiklah aku ada kawan macam kau ni. Kalau ikutkan perasaan aku, entahlah...” Hamimi mengeluh.

“Farah!” Satu suara kedengaran memanggil Farhana dari meja sebelah sana.

Farhana dan Hamimi mencari suara itu. Mereka tersenyum lebar apabila ternampak Jamilah melambai-lambaikan tangan ke arah mereka. Bingkas mereka mendapatkan Jamilah.

“Tak ada tempat duduk ke?” soal Jamilah mesra.

“Tempat duduk semua penuh,” jawab Farhana.

“Duduklah sini, kita orang dah habis makan dah.” Jamilah dan beberapa orang kawannya sudah bangun untuk beredar.

“Okey, terima kasih, Jamilah,” ucap Farhana sambil memandang gadis itu pergi.

Sebaik sahaja mereka beredar, Hamimi meletakkan dulang di atas meja. Pinggan-pinggan yang sudah kosong diketepikan. Namun dia tidak senang hati untuk duduk di situ. Sudah tidak ada pilihan lain maka dia terpaksa. Kebetulan tempat Jiha dan kawan-kawannya duduk sangat hampir dengan tempat itu. Dia mengambil tempat yang menghalang pandangannya ke kumpulan itu. Dia tidak mahu melihat muka Jiha.

“Kau nampak Jiha dan Lola, Mimi?” bisik Farhana apabila ternampak kelibat Jiha dan konco-konconya yang duduk tidak jauh dari tempat itu.

“Dari tadi dah aku nampak. Nak buat macam mana, dah tak ada tempat lain yang kosong. Jangan pandang dia oranglah.” Hamimi segera menyuap makanan ke mulut. Dia mahu cepat beredar dari situ. Sesekali kedengaran ketawa yang menyakitkan telinga dari kumpulan itu. Dia berasa seperti disindir.

“Tak nampak Ako pun hari ini. Dia tak datang ke?” Mata Farhana melilau mencari kelibat lelaki itu di tengah-tengah orang ramai. Pakaian yang dipakai semuanya sama, maka sukar untuk dia mengenali.

Hamimi mengunyah makanan tanpa mahu bercakap. Habis mengunyah dia meneguk minuman sedikit.

“Kalau masa ini dia datang memang elok sangat.” Dia bersuara.

“Kenapa?” Farhana terlupa kerana lelaki itu yang menjadi punca pertengkaran antara Hamimi dengan Jiha.

“Senanglah cerita kalau dia ada. Aku nak peluk dia. Biar perempuan tu tengok. Aku nak tengok macam mana dia mengamuk,” kata Hamimi lagi.

Bagi Farhana pula, dia berharap Syukur tidak muncul ketika itu. Dia tahu kalau lelaki itu ada, sudah pasti pergaduhan lebih besar akan berlaku. Sudah tentu pekerja-pekerja lain yang melihat akan bertepuk tangan. Dan mungkin akan ada yang mencemuh. Dia tidak mahu melihat dua orang sahabatnya bertelingkah sesama sendiri. Walaupun dia tahu antara Syukur dan Hamimi tidak mempunyai hubungan perasaan.

“Dahlah. Cepatlah habis makan. Kita pergi aje dari sini sebelum Jiha dengan kawan-kawan dia datang ganggu kita,” katanya cuba mengingatkan.

“Biarlah. Kalau dia berani, datanglah.”

“Ini yang aku tak suka ni.”

“Tak suka apa? Kalau orang datang ganggu kita, kita nak duduk diam saja ke Farah? Sabar pun ada hadnya. Kalau dah melampau memang sengaja nak cari pasallah tu, kan?”

“Sebelum apa-apa berlaku, kan lebih baik kalau kita mengelak dari berlaku?”

“Kau jangan susah hati, Farah. Kau ingat kawan kau ni suka ke nak bergaduh tak tentu pasal? Kau macam tak kenal aku ni jenis orang yang macam mana. Dahlah, dah habis makan jom kita pergi.”

Tanpa menoleh ke kelompok itu, mereka beredar. Ketika itu kedengaran tawa kumpulan itu meledak. Entah apalah yang menggelikan hati mereka agaknya. Ah, pedulikan!


USAI solat maghrib, Farhana menghubungi Syukur. Ketiadaannya di kafeteria menjadi tanda tanya kepadanya. Setahunya, lelaki itu bekerja syif pagi minggu itu. Perasaannya dijentik rasa bimbang selagi dia tidak tahu duduk perkara sebenar. Biasanya, kalau mengambil cuti tergempar atau cuti sakit, lelaki itu tidak pernah lupa untuk memberitahunya. Tetapi hari itu, wajah cerianya tidak kelihatan. Apa yang telah berlaku kepadanya?

“Ako tak datang kerja tadi. Katanya dia demam. Kesian pulak aku dengar suara dia yang sengau tu.” Farhana baru sahaja mematikan talian telefon. Dia menyampaikan berita itu kepada Hamimi. Begitulah sikap Farhana yang sangat mengambil berat tentang kawan-kawannya, terutama Syukur dan Hamimi yang sangat rapat dengannya.

“Dia MC ke?” tanya Hamimi yang sedang meniarap di atas katil sambil menatap komputer riba.

“Ya. Dia dapat MC dua hari. Aku ingat nak bagi rambutan dan tempoyak kat dia. Jom, kita pergi rumah dia nak?” cadang Farhana.

“Yang kau nak bagi dia tempoyak tu buat apa? Pandai ke dia masak tempoyak tu?”

“Eh! Kau tak tau ke, Ako tu pandai masak? Entah-entah dia lagi pandai masak dari kau.” Farhana menyengih.

“Yalah tu. Kalau bukan kau yang nak memuji dia tu, siapa lagi?” Hamimi mengerling. “Eh! Dia kan demam? Takkan kita nak masuk rumah bujang dia pulak?” Dia tersenyum-senyum sendirian. Mungkin ada artikel lucu yang dibaca dari komputer ribanya. Kalau tidak melayan Facebook, tentu dia sedang menonton sesuatu dari Youtube.

“Bukannya kita nak masuk dalam rumah. Kita telefon dia, suruh dia tunggu kat luar. Aku cuma nak bagi rambutan dan tempoyak tu saja,” jelas Farhana.

Rambutan gading yang diikat kemas sudah dimasukkan ke dalam beg plastik. Tempoyak juga sudah disediakan di dalam satu bekas untuk diberi kepada Syukur. Farhana tidak pernah lupa atau kedekut untuk berkongsi apa sahaja yang dia miliki,  apatah lagi makanan dengan kedua-dua orang sahabatnya itu.

“Kau nak temankan aku ke tak?” tanyanya apabila Hamimi tidak memberi apa-apa respon. “Kau ni asyik melayan Facebook aja. Aku bercakap pun kau tak hiraukan.”

“Yalah. Kejap lagi kita pergilah. Tapi nak pergi naik apa malam-malam buta ni?” Hamimi beralih pandang. Dia merenung wajah Farhana yang mencuka. Suka dia tengok Farhana begitu. Dia nampak comel dengan muncungnya yang sedepa. Manalah hati lelaki yang memandang tidak terpikat pada si Merah Jambu seorang ni. Dia ketawa di dalam hati.

“Esok petang, balik dari kerjalah kita pergi.” Farhana menukar cadangan.

“Kau kata, Ako dapat MC dua hari. Kalau dah petang esok lagi baik kau bagi rambutan tu lusa aje. Bukan ke lusa nanti dia datang kerja?”

Syukur tinggal menyewa di daerah Pantai Dalam. Tempat itu agak jauh juga dari tempat mereka. Mereka pernah ke sana ketika Syukur membuat jamuan sempena ulang tahun kelahirannya tahun lepas. Jika ada kenderaan sendiri, tidak sampai sepuluh minit mereka boleh sampai. Jika naik kenderaan awam, terpaksa menunggu hampir setengah jam. Itu yang membuatkan Hamimi berat hati.

“Nak tunggu lusa, lebamlah rambutan tu. Kau ni tak kesian ke tengok dia?” Farhana tahu Syukur tidak punya sesiapa di daerah ini. Keluarganya jauh di utara. Baginya tidak salah kalau dia mengambil berat tentang lelaki itu. Tidak ada niat lain yang tersembunyi melainkan ikhlas belaka.

“Apa nak dikesiankan. Dia bukan budak-budak kecik. Yang kau susah hati sangat pasal dia tu kenapa?” Bukan Hamimi tidak tahu sikap Farhana yang suka mengambil berat tentang kawan itu. Malah dia juga tahu sahabatnya itu sangat murah hati dan mudah kasihan pada orang. “Kau ada hati dengan dia ya? Kau jangan, Farah,” usiknya.

“Apalah kau ni? Suka sangat buruk sangka. Tak baik tau. Dia kan sebatang kara kat sini? Kalau bukan kita kawan dia ni yang ambil berat tentang dia, siapa lagi?” Farhana terdiam sekejap. Hatinya sentap. “Dahlah. Kau tak nak temankan aku, sudahlah.” Farhana menutup mukanya dengan bantal.

Melihat Farhana yang merajuk, Hamimi berhenti dari menatap komputer ribanya. Dia bangkit dari katilnya dan menghampiri Farhana di katil sebelah. “Maafkan aku, Farah.”

Farhana tidak berganjak. Bantal yang menutupi mukanya dipeluk erat. Kemaafan yang dipinta tidak dihiraukan. Namun, di sebalik bantal dia tersenyum. Di dalam hatinya terkekeh-kekeh dia ketawa.

“Farah!” teriak Hamimi apabila mendapati kata-katanya tiada tindak balas.

Farhana masih membatu lalu Hamimi menarik bantal yang menutupi muka sahabatnya itu. Maka terserlahlah wajah Farhana yang cantik itu sedang tersenyum lebar. Sebaik sahaja bertentangan muka, gelak tawa mereka pun berderai. Suasana bilik itu bertukar menjadi gamat tiba-tiba dengan ilai tawa dua sahabat itu.


.


No comments:

Followers