.
Alhamdulillah syukur. Sebagai seorang penulis berita karya diulang cetak adalah satu berita yg paling gembira sekali utk didengar. Aku juga tidak terkecuali. Awal pagi lagi salah seorang wakil Alaf21 menelefon memberitahu aku mengenai Helo si Merah Jambu sudah masuk ke cetakan kedua lalu meminta aku datang ke Karangkraf utk mengambil naskah komplimenteri. Alhamdulillah syukur sekali lagi.
Friday, September 20, 2013
Wednesday, September 18, 2013
HELO si MERAH JAMBU - BAB 31
.
Tengah hari itu Syukur tidak sabar untuk ke tempat kerja. Perkara
pertama yang mahu dilakukannya ialah
bersemuka dengan Farhana. Dia tidak akan memarahi gadis itu kerana tidak muncul
seperti yang telah dijanjikan. Dia sekadar ingin tahu apa sebenarnya yang telah
berlaku sehingga gadis itu tidak menampakkan diri.
|
Dia
sudah berada di kafe lebih awal dari biasa. Beberapa orang pekerja kelihatan
mundar mandir di kafe dan sebahagiannya sedang duduk mengisi perut sambil
berbual-bual sesama mereka. Dia mengambil tempat di mana Farhana dan Hamimi
selalu duduk.
Cuaca
tengah hari itu sangat terik. Peluh memercik ke dahi. Benarlah kata orang,
menunggu itu satu penyeksaan.
Setelah
setengah jam menunggu, dia ternampak kelibat Hamimi berjalan menuju ke kafe.
Dia memanjangkan lehernya mencari kelibat Farhana. Sah, hanya Hamimi
seorang tanpa Farhana bersamanya.
‘Ke mana
perginya si merah jambu? Tidak sihatkah dia?’ desisnya sendiri.
Dari
jauh, Hamimi sudah melemparkan senyum. “Awal kau hari ni, Ako?” sapanya sebaik
sahaja dia menghampiri tempat duduk
Syukur.
Syukur
mengangguk. “Merah jambu mana? Dia tak datang kerja ke?” tanyanya tidak sabar.
“Tak.
Dia demam.”
“Demam?
Semalam elok aje aku tengok.” Syukur sedikit kecewa.
“Eh, kau
ni. Dah nak demam, nak buat macam mana? Bukannya penyakit tu bagi salam sebelum
dia menyerang,” sindir Hamimi geram.
“Aku
tanya aje. Janganlah nak marah.”
“Siapa
yang marah? Aku tak marahlah.”
“Habis
tu... tinggi aje nada suara kau tu. Kalau tak marah, apa namanya?”
“Dahlah.
Malas nak layan kau. Farah tak ada, dia tak datang hari ni. Dia demam. Bye.” Sempat Hamimi melambaikan
tangan sebelum beredar. Namun setelah beberapa langkah dia menapak, dia
mendengar lelaki itu memanggilnya.
“Mimi!”
teriak Syukur tanpa mempedulikan orang yang lalu lalang.
“Apa?”
Hamimi menoleh.
Syukur
menggamitnya. “Mari sekejap.”
“Ada
apa? Aku nak pergi beli airlah.”
“Kau
pergilah beli dulu. Nanti kau singgah sini sekejap ya,” pinta Syukur. Dia mahu
bertanya sesuatu. Dia tahu hanya Hamimi yang boleh menolongnya.
Beberapa
ketika kemudian, Hamimi kembali singgah di tempat Syukur duduk menunggunya.
“Ada apa
lagi?” tanyanya sebal. Semakin dilayan semakin banyak pula soalan lelaki ini.
“Satu
aje air kau beli?” usik Syukur. Melihat bungkusan Milo ais milik Hamimi, dia
terasa dahaga pula.
“Kau
nak, pergilah beli sendiri.”
Ayat
Hamimi memang tidak pernah menyedapkan telinga Syukur mendengar. Ada sahaja
kata-katanya yang berbaur kemarahan.
“Tak
apalah. Aku gurau aje.” Dia menyengih.
“Ada apa
kau panggil aku? Nak tanya pasal Farah lagi?”
“Malam
tadi, balik aje dari kerja kau terus tidur ke?” tanya Syukur. Berlagak betul
Hamimi ni, bisiknya.
“Balik
kerja dah penat, tidurlah. Apasal kau nak tau?” tanya Hamimi kasar. ‘Aku taulah
malam tadi kau jumpa dengan Farah. Yang nak tanya aku tidur awal tu apasal
pulak?’ tanyanya di dalam hati.
“Tak
adalah, malam tadi aku telefon kau banyak kali. Tapi kau tak jawab,” jelas
Syukur. Suaranya tersekat-sekat. Takut juga dia dengan Hamimi yang berlagak
garang.
“Kau nak
apa telefon aku malam-malam buta? Bukan ke kau...” Ayat Hamimi terhenti di situ
apabila tiba-tiba seorang rakannya memanggil namanya dari belakang.
Lantas
dia menoleh ke arah suara pemanggil yang sedang melangkah pantas menuju ke
arahnya. Gadis itu adalah teman sekerja dan merupakan jiran sebelah rumahnya.
“Mimi!”
Gadis itu termengah-mengah.
“Ada
apa?” tanya Hamimi cemas. Dia memegang kedua-dua tangan gadis itu.
Syukur
yang tadi duduk, kini sudah berdiri. Dia terlongo memerhatikan perbualan mereka
berdua.
“Tadi
kawan serumah aku telefon dari hospital. Dia kata Farah kena tahan wad. Dia
suruh aku sampaikan pesan ni kat kau,” jelas gadis itu.
“Apa?
Farah masuk hospital?” tanya Hamimi cemas. Sebaik sahaja mendengar berita itu,
dia jadi tidak tentu arah. Bungkusan Milo ais terlepas daripada tangannya lalu
jatuh tertumpah ke lantai.
Dia
tidak tahu apa tindakan yang perlu dia ambil. Tadi sebelum dia keluar dari
rumah, dia sudah hidangkan semangkuk bubur nasi untuk Farhana. Ketika itu
Farhana sedang tidur. Dia tidak sampai hati mahu mengejutnya bangun. Tetapi dia
ada meninggalkan nota menyuruh sahabatnya itu makan segera sebelum bubur nasi
itu sejuk. Apa sebenarnya yang berlaku kepada Farhana? Air matanya sudah mula
meleleh ke pipinya.
“Farah
masuk hospital mana?” tanya Syukur kepada gadis itu tadi. Dia juga terkejut
mendengar berita itu.
“Katanya
di wad kecemasan, Universiti Hospital,” jawab gadis itu sebelum dia beredar
pergi.
“Okeylah,
macam ni, Mimi. Kau pergi bagitahu supervisor yang kau nak ambil emergency leave hari ni. Beritahu dia, kau nak melawat Farah di
hospital.” Syukur menasihati Hamimi yang kelihatan buntu. “Aku tunggu kau kat
sini. Kita pergi hospital sama-sama.”
Tanpa berfikir panjang, Hamimi bersetuju
dengan cadangan Syukur. Dia bergegas menuju ke kilang untuk berjumpa dengan supervisor dan berkemas untuk pulang.
Syukur
menunggu Hamimi di bawah pokok ketapang dekat dengan tempat letak motosikal.
Hati lelaki itu luruh ketika mendengar khabar yang disampaikan tadi. ‘Patutlah
Farah tak datang malam tadi, rupa-rupanya dia tak sihat. Maafkan aku, Farah
kerana salah sangka terhadap kau.”
.
Monday, September 16, 2013
CINTA SEJATI
Nafsu hanya akan memberi kebahagiaan sesaat
tapi cinta yg tulus dan sejati
akan memberikan kebahagiaan selamanya..
.
Sunday, September 15, 2013
HELO SI MERAH JAMBU - BAB 30
.
Tengah hari itu, Farhana dan Hamimi duduk di bangku kayu
berhampiran dengan kilang sementara menunggu waktu untuk mula bekerja. Sedang
mereka leka berbual-bual tiba-tiba mereka didatangi seseorang. Gadis itu
memberi salam sebagai sapaan. Pada mulanya mereka berdua agak terkejut juga dengan
kehadiran gadis itu. Mereka tidak menyangka setelah agak lama tidak berbual
mesra, apatah lagi bertegur sapa tiba-tiba dia datang menyapa.
|
“Aku datang ni nak minta maaf dengan kau orang berdua.”
Gadis itu kelihatan serba salah. Mungkin dia bimbang sekiranya kehadirannya
tidak disenangi oleh kedua gadis itu.
Farhana dan Hamimi saling berpandangan kemudian pandangan
mereka tertancap ke sesusuk tubuh yang sedang berdiri di hadapan mereka itu.
“Dah lama kami maafkan kau, Jiha.” Farhana memulakan
bicara. Biarpun dia tahu kata-kata itu ditujukan kepada Hamimi.
“Selagi aku tidak minta maaf secara peribadi dengan kau
orang, aku rasa tak puas hati,” tambah Jiha lagi lalu menghulurkan tangan
kepada Farhana untuk bersalam.
Farhana menyambut huluran tangan Jiha dengan hati yang
ikhlas. Kemudian Jiha mengalihkan perhatian pada Hamimi pula yang kelihatan
berdiam sahaja tanpa sebarang reaksi.
“Mimi, aku minta maaf banyak-banyak. Aku tak sepatutnya
tuduh kau dulu.” Jiha menghulurkan pula tangannya kepada Hamimi yang tidak berkalih
pandang.
Huluran tangan itu disambut baik oleh Hamimi. “Aku pun sama
nak minta maaf. Aku pun salah jugak sebab berkasar dengan kau.”
“Sebenarnya hari ini hari akhir aku bekerja di sini. Aku
nak berhenti kerja.” Jiha duduk di tengah-tengah antara Farhana dan Hamimi.
“Kau nak berhenti? Kenapa?” tanya Hamimi ingin tahu.
“Aku dapat tawaran sambung belajar. Aku tak nak lepaskan
peluang tu dan aku terima saja atas nasihat keluarga aku.” Jiha senyum.
Kegembiraan terpancar jelas di matanya.
“Tahniah dari aku.” Hamimi meletakkan tangannya di bahu
Jiha.
“Tahniah jugak dari aku. Kau dah buat pilihan yang terbaik.
Aku doakan kau berjaya menamatkan pelajaran kau nanti.” Farhana mencelah dengan
wajah gembira.
“Terima kasih. Aku juga akan mendoakan untuk kau orang
berdua. Semoga kau orang pun akan berjaya dalam hidup. Aku akan rindukan tempat
ini. Dan aku juga akan rindukan kau orang berdua. Aku kesal sebab selama
setahun setengah aku di sini, kita hanya sempat berbaik sekejap aje. Aku
mengaku aku silap pilih kawan,” ujar Jiha sayu.
“Sudahlah. Kita lupakan semua tu. Yang penting sekarang kau
kena tumpukan perhatian kau pada pelajaran kau. Dan kau kena janji dengan aku,
kau jangan datang kerja kat sini lagi sebagai minah kilang. Kalau kau nak kerja
sini jugak, pastikan kau jadi pengurus kilang,” kata Hamimi disambut dengan
gelak.
“Jom, dah nak dekat pukul dua,” ajak Farhana.
Mereka bertiga bergandingan melangkah masuk ke dalam kilang
tempat mereka bekerja. Suatu ketika dulu mereka kerap bersama tetapi setelah
mengenali Lola, Jiha meninggalkan mereka. Hari-hari berikutnya tidak akan ada
nama dan kelibat Jiha di kilang itu lagi. Semuanya sudah jadi kenangan terindah
untuk dikenang bagi Jiha.
“Farah, balik
kerja nanti boleh aku jumpa kau sekejap. Ada hal sikit nak cakap,” kata Syukur
cuba memberanikan diri. Dia sudah nekad untuk bersemuka dan berterus terang
dengan gadis itu. Dia mahu meluahkan perasaan yang selama ini terbuku di hati.
Sudah tiba masanya untuk dia mencurahkan isi hatinya terhadap Farhana. Tidak
boleh bertangguh-tangguh lagi.
Farhana yang ketika itu bersendirian ke kafe untuk membeli
air minuman, terkedu. Dari jauh dia sudah nampak kelibat Syukur berjalan menuju
ke arahnya. Dia sudah mengagak lelaki itu mahu bercakap sesuatu dengannya.
Tetapi wajah lelaki itu tidak seceria selalu. Ke mana perginya sapaan mesra dan
gurau sendanya yang dulu? Ketara benar perubahan sikapnya terhadap dia.
“Ada apa, Ako?” tanyanya. Sudah lama dia tidak menyapa
tetapi tiba-tiba pula mahu berjumpa. Ada perkara pentingkah yang mahu
dikongsikan dengannya?
“Nanti balik kita jumpa, ya? Kalau boleh aku nak jumpa
dengan kau sorang aje. Aku tak mahu Mimi ada. Aku ada hal. Penting sangat.”
Pandangan mata Syukur tidak lepas daripada
memandang wajah Farhana. Tidak berkedip matanya.
“Baiklah.” Pelbagai persoalan yang datang menghimpit
fikiran Farhana. Semakin lama dia berfikir semakin banyak pula soalan yang
bertandang.
Setelah berpuas hati dengan jawapan daripada Farhana,
Syukur berlalu pergi. Dia melemparkan senyuman. Ternyata senyum itu tidak
ikhlas.
Farhana kembali masuk ke kilang dengan seribu tanda tanya
di benaknya. Langkahnya deras. Dia tidak ke tempatnya bekerja sebaliknya dia
terus ke tempat Hamimi. Dia mahu mengkhabarkan kepada Hamimi tentang berita
pertemuan dia dengan Syukur di kafe tadi. Dan yang paling penting dia mahu
memberitahu Hamimi supaya dia tidak perlu menunggunya malam nanti kerana Syukur
mahu berjumpa dengannya seorang.
“Ada apa hal dia nak jumpa dengan kau? Sorang-sorang pulak
tu.” Timbul curiga di hati Hamimi.
“Entahlah. Dia kata penting. Kau agak-agak pasal apa, ya?”
Farhana bertanya. Dia juga tidak pasti apa berita yang mahu lelaki itu
sampaikan kepadanya sehingga Hamimi tidak dibenarkan ada sama.
“Agaknya dia nak bercerita pasal masalah keluarga dia pada
kau kut. Mungkin dia nak mintak pendapat kau ke? Dia kan ada lagi dua orang
adik yang masih bersekolah kat kampung?” teka Hamimi.
“Ya tak ya jugak. Betul cakap kau, mungkin dia nak
berkongsi cerita dengan aku pasal tu agaknya. Tapi... Tapi kenapa dia tak nak
kau ada sama?” Farhana meluahkan kecurigaannya.
“Kau macam tak tau, aku mana boleh dekat dengan dia. Nanti
niat dia nak meluahkan perasaan tak sampai, aku dengan dia pulak yang bertekak
tak sudah-sudah. Kau jugak yang pening kepala nanti. Tak apalah. Kau pergi sajalah.
Nanti malam aku baliklah dengan budak-budak lain,” jelas Hamimi.
Dia sedikit pun tidak berasa hati apatah lagi cemburu
apabila mengetahui dirinya tidak diperlukan. Dia sudah dapat mengagak bagaimana
situasinya nanti kalau dia juga turut ada sama di dalam babak mencurah perasaan
itu. Biarlah Farhana seorang saja yang pergi.
“Kalau macam tu, okeylah. Balik nanti kau tak payahlah
tunggu aku,” kata Farhana sebelum beredar dari situ.
Tumpuan Farhana
terhadap kerjanya sedikit terganggu. Dia tidak sabar untuk menunggu saat untuk
berjumpa dengan Syukur nanti. Dia sungguh-sunguh mahu tahu apa sebenarnya yang
membelenggu fikiran lelaki itu sehingga dia berubah menjadi seperti orang lain.
Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, lain benar sikapnya.
Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Walaupun deringannya
diperlahankan tetapi dia masih dapat mendengarnya kerana telefon itu diletakkan
di atas meja kerjanya. Dia menoleh melihat skrin telefon bimbitnya. Nama Amirul
tertera di situ. Jantungnya tiba-tiba sahaja berdebar. Dengan perasaan teruja
dia mencapai telefon itu.
“Assalamualaikum.” Farhana memberi salam sebaik sahaja
mendengar suara lelaki itu ditalian.
“Waalaikumussalam, Farah.” Kedengaran suara Amirul ceria.
“Saya sedang bekerja ni, ada apa awak telefon?”
“Saya balik lewat hari ni. Nanti malam saya hantar awak
balik, ya.”
“Apa? Awak nak hantar saya balik?”
“Kita pergi makan dulu, lepas tu saya hantar awak balik.
Boleh tak?”
Tanpa berfikir panjang, Farhana bersetuju. Entah kenapa,
pelawaan Amirul itu seperti susah benar untuk ditolaknya. “Okeylah. Nanti saya
tunggu awak di luar. Awak tak perlu telefon saya sebab telefon saya dah
kehabisan bateri,” jawabnya menamatkan perbualan mereka. Hatinya
berbunga-bunga.
Lenyap sudah kebimbangannya terhadap Syukur yang menyesakkan
fikirannya tadi. Rasa teruja untuk bertemu Amirul mengatasi perasaan lain.
Hatinya melonjak riang. Dirinya yang resah tadi berubah ceria. Tidak sabar
rasanya untuk bertemu sehinggakan waktu terasa lambat berlalu. Dia mahu segera
menyudahkan kerja supaya fikirannya tidak terbeban memikirkan kerja-kerja yang
belum selesai nanti.
Tetapi tiba-tiba dia diburu rasa serba salah apabila
teringatkan janjinya dengan Syukur. ‘Alah, esok sajalah aku jumpa dengan dia.’
Tanpa disedari waktu kerja sudah berakhir. Dengan
tergopoh-gapah Farhana berkemas. Kemudian dia ke bilik air untuk membasuh muka
dan menempek sedikit bedak muka dan mencalit gincu ke bibir agar kelihatan
sedikit berseri. Farhana tidak sempat untuk memberitahu Syukur yang dia tidak
dapat berjumpa dengannya malam nanti. Dan dia juga terlupa untuk meninggalkan
pesanan kepada Hamimi tadi. Hamimi pula sudah pulang tanpa berjumpa dengannya
terlebih dahulu. Hendak menghubunginya melalui telefon, baterinya pula sudah
kehabisan.
Farhana bergegas menapak keluar. Dia bimbang terlambat. Dan
yang paling membimbangkannya jika bertembung dengan Syukur di luar nanti. Dia
perlu cepat untuk mengelak daripada terserempak dengan lelaki itu. Tidak dapat
dia bayangkan bagaimana keadaannya nanti andai itu benar-benar berlaku. Bukan
dia tidak risaukan Syukur tetapi kehadiran Amirul lebih diutamakan ketika ini.
Dia sangat senang dan selesa bila berdamping dengan lelaki itu. Entah kenapa
setiap kali berada dekat dengan Amirul, seperti ada satu perasaan yang menjalar
ke dalam jiwanya. Menyebut nama Amirul saja sudah cukup membuatkan dia
penasaran.
Setelah beberapa ketika menunggu di tempat yang telah
dijanjikan, kelibat Amirul dilihat berjalan menuju ke arahnya. Wajah lelaki itu
kelihatan berseri-seri, bibirnya sentiasa dihiasi senyuman. Semakin dekat
semakin lebar senyumnya.
“Jom, Farah.” Amirul melangkah ke keretanya yang terparkir
tidak berapa jauh dari tempat itu.
Farhana mengekori lelaki itu dari belakang sambil mata
melilau memandang sekeliling. Bimbang kalau-kalau Syukur ada di situ.
Sebaik sahaja mereka masuk ke dalam kereta, Amirul terus
menghidupkan enjin sekali gus menekan punat penghawa dingin. Tidak sah kalau
tidak memasang radio. Kalau sehari Amirul tidak mendengar lagu terasa sunyi
hidupnya lalu punat radio ditekan. Serta-merta berkumandang lagu cinta masa
kini yang sering diputarkan di stesen-stesen radio. Kebetulan Farhana suka lagu
itu. Di dalam hatinya dia turut beryanyi sama. Sejurus tali pinggang keledar
dipasang, perlahan-lahan kereta Honda City itu bergerak meninggalkan kawasan
kilang.
Sewaktu kereta yang dinaiki melintasi tempat meletak
motosikal, Farhana ternampak kelibat Syukur di situ. Dia tahu lelaki itu sedang
menunggunya. Mujur sahaja jarak laluan kereta agak jauh sedikit dari tempat
itu. Rasa simpati terhadap lelaki itu tiba-tiba menyelinap ke dalam hati. Serba
salah dia dibuatnya.
“Diam aje, kenapa?” tanya Amirul.
“Err... tak ada apa-apa.” Farhana gugup.
“Saya nak bawak awak makan nasi lemak kukus berlauk. Awak
suka tak makan nasi lemak?” Amirul kedengaran ceria.
“Dah malam-malam buta begini nak makan nasi lemak?” Bukan
Farhana tidak biasa makan pada waktu dinihari begitu, tetapi tidaklah sehingga
makan nasi lemak.
“Alah... sekali-sekala, bukannya selalu.”
“Kalau sarapan pagi, bolehlah. Tapi... tengah-tengah malam
macam ni, taklah kut. Nasi lemat berat sangat. Takut nanti tak boleh tidur
dibuatnya, sebab kekenyangan.” Sesekali Farhana menoleh ke sisi, memandang
wajah Amirul yang sejuk mata memandang. Lelaki itu mempunyai kening yang lebat
dan bola matanya berwarna coklat. Hidungnya pula mancung iras pelakon
Hindustan. Rambutnya lebat tetapi kemas disikat ke belakang.
Setiap kali melihat wajah itu, bagaikan ada satu rasa yang
menyelinap ke jiwanya. Naluri apa yang menerpanya di kala itu? Dia jadi keliru
dan tertanya-tanya. Adakah itu yang dinamakan cinta? Cinta pandang pertama? Oh,
tidak mungkin! Mana mungkin dia menyimpan perasaan itu terhadap Amirul?
Perkenalan mereka baru sahaja terjalin. Bimbang kalau-kalau dia seorang sahaja
yang perasan. Sakitnya hati kalau bertepuk sebelah tangan.
Sepanjang perjalanan menuju ke destinasi, Amirul dan
Farhana saling berbual mesra. Keresahan Farhana terhadap Syukur sudah mulai
reda. Yang pasti, hatinya kini berbunga bahagia.
Syukur gelisah. Kedinginan angin yang meniup menusuk ke tulang. Dia
memeluk
tubuhnya. Sekejap-sekejap dia memandang jam di pergelangan tangan. Setelah
penat berdiri dia duduk dan kemudian berdiri semula. Telefon bimbit di dalam
kocek seluar dikeluarkan. Dia meneliti telefon itu kalau-kalau ada mesej atau
panggilan yang dia tidak perasan. Hampa. Dia cuba untuk membuat panggilan,
manalah tahu andai Farhana terlupa akan janji mereka. Malangnya talian tidak
dapat dihubungi seolah-olah berada di luar kawasan. Syukur menarik nafas
panjang.
Perasaannya
jadi tidak menentu. Rasa geram dan marah bercampur baur. Apa sebenarnya yang
telah berlaku kepada gadis itu? Dia terlupakah atau sengaja lupa? Selama ini
dia dilihat seperti seorang saudara yang sangat mengambil berat tentang
dirinya. Tetapi kenapa apabila dirinya menghadapi masalah, tiba-tiba dia
seperti mahu menjauhkan diri pula.
Dia
teringatkan Hamimi. Lantas dia mencari nombor telefon Hamimi di dalam lis
telefon bimbitnya. Berkali-kali dia cuba menghubunginya tetapi tidak berjawab.
Suasana sekeliling semakin sunyi. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk
beredar dari tempat itu dengan perasaan hampa.
Malam itu, Syukur tidak dapat
tidur. Puas dia cuba melelapkan mata namun gagal. Setiap kali dia cuba
melelapkan mata, setiap kali itu jugalah seraut wajah gadis yang dipuja itu
hadir dalam ingatannya. Jiwanya jadi kacau. Dia menukar posisi tidurnya.
Mengiring ke kiri kemudian ke kanan. Kemudian dia terlentang. Matanya
berkedip-kedip memandang kipas yang ligat berputar.
‘Sampai
hati Farah mungkir janji. Kenapa sewaktu aku tanya siang tadi dia setuju? Kalau
tak nak jumpa, cakap sajalah. Bukan aku kisah pun. Ini tidak. Kata okey, tapi
tak muncul-muncul. Sakit betul hati aku,’ omel hatinya.
Apakah
yang Farhana cuba buktikan? Marahkah dia kepada dirinya? Seingatnya, dia tidak
pernah berbuat salah apatah lagi menyakitkan hati gadis itu. Tetapi kenapa dia
memungkiri janji? Kalaulah dia tahu betapa aku sayangkan dirinya, bagaimanalah
agaknya reaksi Farhana? Sukakah atau sebaliknya menjauhkan diri?
Fikirannya
buntu dan bercelaru. Mungkin Farhana tidak perasan dan tidak pernah merasai
kelainan yang dia cuba pamerkan selama ini. Atau mungkin juga Farhana pura-pura
tidak mengerti. Atau tidak pernah ambil peduli. Mentang-mentanglah dia hanya
pekerja kilang. Tapi hinakah pekerja kilang yang menggunakan tulang empat
keratnya sendiri tanpa meminta belas ihsan orang lain? Gaji yang diperoleh setiap bulan adalah halal hasil titik peluh
sendiri. Atau dia yang sepatutnya sedar akan kekurangan diri yang tidak
memiliki wajah tampan apa lagi personaliti yang menarik?
Pelbagai
soalan yang menerjah mindanya. Bertalu-talu. Fikirannya jadi runsing. Kepalanya
sakit berdenyut-denyut. Sesekali dia memicit kepalanya sendiri. Perasaannya
tidak dapat digambarkan. Kalau menjerit boleh meredakan kekusutan, mahu saja
dia lakukan itu. Kalau lelehan air mata boleh melegakan perasaannya yang
gundah, dia sanggup beresak tangis asalkan semua perasaan itu lenyap daripada
hidupnya.
Ternyata
Farhana tidak menganggapnya lebih daripada seorang kawan. Hanya dia yang
tersalah sangka. Kecewa sungguh bila mengenangkan semula detik-detik kemesraan
yang terjalin sekian lama. Sia-sia belaka. Syukur menumbuk bantal untuk
melepaskan rasa marah dan sakit hati.
Bila
difikirkan semula, apalah guna memaksa jika orang sudah tidak suka? Apalah guna
bersedih jika orang tidak sudi. Syukur mengeluh dalam. Nafasnya terasa sesak.
Wajah Farhana terbayang-bayang di mata. Pedihnya hati hanya Allah yang tahu.
Sesungguhnya, jauh di sudut hatinya dia mengharap Farhana tidak membencinya.
Akhirnya tanpa disedari, dia terlena.
.
Thursday, September 12, 2013
HELO SI MERAH JAMBU - BAB 29
.
Hari itu Farhana dan Hamimi bekerja syif petang. Kebiasaannya Farhana yang
bangun lebih awal daripada semua penghuni di rumah bujang itu. Dan dia jugalah
yang akan mengejut teman sebiliknya itu bangun untuk solat subuh. Tapi pagi itu
bilik itu sepi seperti tiada penghuni biarpun matahari sudah meninggi. Hanya
kedengaran putaran kipas yang ligat berpusing. Semakin hari meninggi semakin
sedap pula lena mereka.
|
Di luar bilik, Shakila dan Yasmin sudah bersiap-siap untuk
keluar ke tempat kerja. Jam di dinding yang tergantung di ruang tamu sudah
menunjukkan pukul 8.15 pagi.
“Senyap aje bilik tu,” kata Shakila kepada Yasmin yang
sedang menuang air sejuk di depan peti ais. “Tak kerja ke dia orang tu?”
“Kerja petang agaknya.” Yasmin menjawab yakin.
“Biasanya kalau kerja petang pun, dia orang bangun awal.
Kan Farah rajin buat sarapan? Entah-entah membuta lagi, kut.” Shakila melangkah
mendekati bilik tersebut. Telinga ditekapkan rapat ke daun pintu kayu. Ternyata
tiada suara orang yang kedengaran.
“Farah!” panggil Shakila sambil mengetuk pintu. “Mimi!”
jeritnya lagi setelah beberapa minit masih tidak ada yang menjawab. Daun pintu
diketuk bertalu-talu.
Bunyi ketukan di pintu mengganggu mimpi Farhana. Kedengaran
sayup-sayup suara seseorang memanggil namanya. Kelopak mata bagaikan berat
untuk dibuka. Lalu matanya ditenyeh beberapa kali. Dengan mata yang sepet dia
memandang ke arah jam dinding.
“Ya Allah!
Dah pukul lapan lebih?” Farhana bingkas bangkit. Dia memandang ke arah katil
sebelah. Hamimi dilihat masih meringkuk tidak sedarkan diri. Dia bergerak ke
pintu. Selak dibuka dan tombol pintu dipulas. Sebaik sahaja pintu terbuka, dia
melihat Shakila dan Yasmin sudah berada di muka pintu utama.
“Baru bangun ke, Farah?” tanya Yasmin sambil menyarung
kasut.
Shakila yang sudah berada di luar rumah, menjengah. Dia
melemparkan senyum kepada Farhana.
“Yalah. Tidur mati aku. Alarm bunyi pun
tak dengar.” Farhana membetulkan rambutnya. Bibirnya tersungging senyum.
“Okeylah, kita orang pergi dulu.”
Sebaik sahaja teman-temannya pergi, Farhana menutup pintu
lalu menguncinya dari dalam. Kemudian dia melangkah ke dapur untuk menenggek
air sebelum kembali ke bilik tidur. Dia merapikan katil bujangnya. Dia tidak
suka melihat katilnya dibiarkan tanpa berkemas. Setiap kali bangun daripada
tidur dia akan pastikan tempat dia beradu dan melepaskan lelah itu berkemas
rapi. Seketika sekujur tubuh yang masih lena diulit mimpi di katil sebelah
menangkap perhatiannya.
“Bangun wahai, Tuan Puteri Limau Purut.” Dia mengejutkan
Hamimi.
Bantal kecil kepunyaan Hamimi yang terjatuh ke lantai
dikutip. Dia memukul punggung Hamimi dengan bantal kecil itu. Hamimi masih
tidak bangun malah mengalihkan posisi tidurnya pula.
“Hoi! Bangun. Dah pukul berapa dah ni? Matahari dah
terpacak kat atas kepala masih nak membuta lagi...” bebelnya bagaikan ibu tiri
yang mengejutkan anak-anak tirinya bangkit dari tidur.
Mendengar suara Farhana yang bagaikan petir itu, segera
kelopak mata Hamimi terbuka luas. Dia terpaku. Di dalam fikirannya dia
menghitung hari. Seketika kemudian baru dia tersedar hari itu dia bekerja syif
petang. Dia bangkit lalu duduk di birai katil dengan perasaan lega. Kelibat
Farhana yang sedang terbongkok-bongkok mengemas almari pakaiannya dipandang
kosong.
“Aku terlepas solat subuh pagi tadi. Kau pun satu. Kalau
aku tak bangun, alamat tak solatlah jawabnya.” Farhana membebel.
“Kan aku dah bagitau yang aku cuti? Kau lupa ke?”
“Kau ada bagitau aku ke? Entahlah, tak ingat.”
“Mana nak ingat, banyak benda lain lagi nak ingat, kan?”
sindir Hamimi. Wajah Farhana yang masih belum mandi ditatap seketika.
Bibir Farhana menyungging senyum penuh makna. Dia beralih
duduk di sisi Hamimi di birai katil.
“Orang cakap dia senyum pulak.” Hamimi berjeda. “Malam tadi
balik lambat, pergi mana?” Dia ingin tahu.
“Adalah.” Farhana menjawab pendek.
“Berdating sampai tak ingat rumah tangga.” Hamimi menyindir.
“Bukan selalu. Sekali-sekala.” Farhana ketawa kecil.
“Masih baru memanglah sekali-sekala. Tunggulah sikit hari
lagi. Setiap malam keluar sampai lupakan aku nanti.” Hamimi bimbang satu hari
nanti hubungan mereka pasti renggang akibat kehadiran orang baru dalam hidup
mereka.
“Mana boleh aku lupakan kau? Tanpa kau, aku rasa macam
separuh dari hidup aku hilang. Kau tau tak?” Farhana tidak mahu kehilangan
Hamimi yang sudah dianggap saudara itu. Jika mampu, dia mahu Hamimi tetap
bersamanya sampai bila-bila.
“Apa Amirul cakap dengan kau semalam?” tanya Hamimi cuba
mengorek rahsia.
“Cakap apa?” Soalan yang dijawab dengan pertanyaan oleh
Farhana.
“Cakap apa-apalah. Ada?” tanya Hamimi seperti mendesak.
“Tak ada.” Farhana berterus terang. Tidak ada apa yang
perlu disembunyikan dari Hamimi.
“Takkan dia tak cakap dia suka kat kau?” tanya Hamimi
teruja.
“Gila ke apa? Takkanlah baru pertama kali keluar sama dah
nak cakap pasal semua tu.” Farhana mengerutkan dahirnya.
“Eh... manalah tau, dia tak sabar-sabar nak mencurahkan
perasaan. Takut-takut kalau dia tersyok sendiri,” gurau Hamimi.
“Tak adalah. Kami berbual hal-hal semasa aje. Tak sentuh
pun pasal perasaan. Ada-ada aje kau ni.”
Hamimi ketawa suka. “Kau ada tanya dia pasal Qistina?”
“Ada. Dia kata dia dengan Qistina tak ada apa-apa cuma
kawan biasa aje.”
“Boleh percaya ke cakap dia tu?”
“Biarlah dia. Lagipun kita orang bukan ada apa-apa pun.
Kawan aje.”
“Mula-mula kawanlah, nanti lama-lama?”
Cubitan manja singgah di paha Hamimi. “Kau ni
macam-macamlah.”
“Betullah apa yang aku cakap.” Hamimi menggosok-gosong
pahanya akibat cubitan Farhana.
“Kita orang hanya berkawan saja, tak lebih dari itu.”
“Cuba kau terus terang kat aku, jangan bohong. Kau suka kat
dia tak?”
Farhana menatap wajah Hamimi dalam. Ada senyuman yang
terukir di bibirnya. “Kalau aku kata tak? Kau percaya ke?”
“Tak. Aku tak percaya. Kalau kau tak suka dia, kenapa kau
terima pelawaan dia untuk keluar makan?”
“Pandai pun kau. Lagipun aku tak ada sebab kenapa aku tak
suka dia. Dia baik dengan aku, jadi aku pun baik dengan dia. Salah ke?”
“Memang tak salah. Betul, aku setuju. Kita kena suka dengan
semua orang yang berbuat baik dengan kita. Lagi satu aku nak tanya. Jawab
ikhlas...”
“Apa lagilah kau ni?”
“Satu saja lagi soalan. Masa kau berdua-duaan dengan dia tu
perasaan kau ada rasa lain macam tak?”
“Dahlah. Aku malas nak jawab. Dah pukul berapa dah ni. Aku
pergi mandi lagi baik. Melayan kau sampai bila-bila pun tak habis.”
Farhana terus bangkit, dibiarkan soalan Hamimi itu tidak
berjawab. Dia melangkahkan kaki menuju ke bilik
air meninggalkan Hamimi dengan seribu persoalan yang bermain di
benaknya.
Entah mengapa Hamimi gembira melihat Farhana berkawan dengan Amirul.
.
Wednesday, September 4, 2013
HELO si MERAH JAMBU - BAB 28
.
Qistina mempamerkan wajah kurang senang. Meluat dia dengan
perangai Amirul. Barulah dia tahu bagaimana sikap sebenar Amirul yang selama
ini disembunyikan. Lelaki itu rupa-rupanya hanya berlagak alim. Kalau dengan
dia ada sahaja yang tidak boleh. Banyak sungguh pantang larangnya. Tetapi kalau
dengan gadis-gadis itu tadi, bukan main lagi dia. Lembut gigi dari lidah.
|
Sengaja Amirul membiarkan Qistina berjalan dengan jarak
beberapa meter jauh daripadanya. Betul kata Qistina, Amirul memang tidak ada
langsung sifat sopan santun kalau dengan dia. Sering sahaja kata-kata yang
terhambur keluar dari mulutnya adalah butiran kata yang boleh menyakitkan hati
orang yang mendengar. Tidak ada langsung lemah lembutnya jauh sekali bersikap
romantik.
“Qistina, you nak pergi mana lagi tu?” tanya Amirul apabila
melihat Qistina menonong sahaja tanpa menunggu dia.
Qistina tidak menjawab, apatah lagi berpaling. Jauh di
sudut hatinya dia berharap agar lelaki itu akan mengejar dan mendapatkannya
untuk memujuk. Tetapi itu semua bagaikan satu harapan kosong. Bukan dia tidak
tahu dengan sikap Amirul yang sering sahaja berkasar terhadapnya. Dia sendiri
tidak tahu mengapa lelaki kasar seperti itu boleh menundukkan egonya. Hairan
sungguh dia. Padahal sebelum kehadiran Amirul ada beberapa orang lelaki lain
yang bersungguh-sungguh mahu berdamping dengannya tetapi ditolak ke tepi.
Bukan calang-calang orang yang tergila-gilakan dia. Mereka
itu bukan sahaja kacak, malah berpelajaran tinggi dan sangat mengambil berat.
Bukan macam Amirul. Qistina betul-betul tidak faham dengan lelaki itu. Tidak
cantikkah dia? Atau tidak cukup baikkah dia? Huh! Lelaki itu memang tidak sedar
diuntung, desisnya. Mungkin dia mahu gadis yang cukup sempurna. Tetapi dia
lupa, dirinya sendiri sempurnakah?
“Qistina,” panggil Amirul lagi apabila panggilan pertamanya
tadi tidak diendahkan. Beberapa orang yang berhampiran menoleh pandang ke
arahnya. “Qistina, you ni dah kenapa? I panggil berapa kali, tak dengar ke?”
gumam Amirul setelah mendekati gadis itu.
“Apa dia?”
“You nak pergi mana lagi ni? I dah penat. Kita balik saja,
boleh?” Qistina mengeluh keras.
“Kita datang sini hanya untuk makan saja?”
Amirul mengangguk. Tidak kuasa dia melayan cakap dengan
Qistina. Kalau terus melayan pasti akhirnya tercetus pertengkaran. Dia sudah
bosan dengan situasi itu. Oleh kerana desakan dan tidak suka mendengar leteran
panjang mamanya, dia turuti kehendak wanita itu. Dia tidak kisah jika mamanya
mendesak dia bertemu dengan Qistina asalkan jangan memaksa dia untuk memilih Qistina
untuk menjadi teman istimewanya.
“Menyesal I maafkan you. Mama I yang sibuk suruh I jumpa
dengan you. Kalau tidak I tak ingin, tau.” Qistina mengerling tajam ke arah
Amirul. Geram sungguh dia. Kalau budak kecil mahu saja dia mencubit pipi lelaki
itu.
“Terpulanglah pada you sama ada nak memaafkan atau tidak.
Yang penting, I dah mintak maaf. You tau tak apa hukumnya orang yang tidak mahu
memaafkan kesalahan orang lain? Berdosa besar tau.” Amirul menghela nafas.
“Dahlah. You ingat I ni tak tau dosa pahala ke?” Qistina
melajukan langkahnya menuruni askalator.
“Baguslah kalau tahu. Tak perlu I nak jelaskan panjang
lebar lagi.” Amirul mengekori Qistina. Dia mendengus. Kalau tidak kenangkan
mamanya, mahu saja dia tinggalkan Qistina di situ. Bosan rasanya berkawan
dengan orang yang hanya pentingkan diri sendiri. Dia hanya tahu sakit hatinya
sahaja tanpa pedulikan perasaan orang lain.
“Suka hati youlah nak cakap apa. I tak kisah. Lagipun I
jumpa you ni sebab papa dan mama I.” Qistina berbohong. Jika mama dan papanya
tidak mendesak pun, dia dengan suka rela mahu ketemu dengan lelaki itu untuk
memohon maaf di atas insiden yang berlaku malam itu. Dia tidak sanggup
membiarkan Amirul menjauhkan diri. Lebih-lebih lagi apabila melihat reaksi
Amirul terhadap Farhana tadi. Dia seperti dapat mengagak sesuatu.
“Kalau macam tu, lebih baik kita jangan banyak cakap lagi.
Kaki I pun dah penat dah ni. Jom kita balik,” ujar Amirul.
Qistina sengaja berpura-pura seperti tidak mendengar.
Wajahnya mencuka. Perasaannya terluka. Dia terus mengayun langkah tanpa arah
tujuan. Sesekali bahunya berlanggar dengan orang yang berjalan menentang arus.
“Qistina,” panggil Amirul. Mahu rasanya dia merentap tangan
Qistina supaya berhenti melangkah. Degil betullah perempuan ni!
“Kalau you nak balik, pergilah.” Qistina mempertahankan
egonya.
“I yang bawa you ke sini dan jadi tanggungjawab I untuk
hantar you balik ke rumah. You jangan degil, boleh tak?” Amirul naik geram. Dia
mengetap bibir.
“Siapa yang degil? You ke I? Kalau dah sibuk sangat nak
balik, pergilah balik. Tinggalkan aje I kat sini.” Qistina tetap berkeras.
“I tak fahamlah dengan you ni.”
“Tak faham sudah!”
“Suka hati youlah. I nak balik. Malas I nak layan perangai
you yang degil ni. Tapi ingat, kalau I dengar you mengadu kat mama I kata I tinggalkan
you, siaplah you.”
“You nak buat apa?”
“You tak perlu tau apa yang I akan buat. Tapi siaplah you,”
ugut Amirul sebelum melangkah pergi.
Baru sahaja beberapa tapak Amirul melangkah, Qistina segera
menoleh dan mengejar lelaki itu. “Susah betullah dia ni. Nak bermanja-manja pun
tak boleh. Kita acah-acah aje, dia tangkap serius pulak,” omelnya.
“You nak
pergi mana pulak ni?” tanya Amirul apabila perasan Qistina mengekorinya menuju
ke tempat letak kereta.
“Nak baliklah.” Selamba Qistina menjawab.
‘Padan muka. Nak tunjuk keras kepala konon. Dia ingat aku
ni senang dibuli. Sorry ya Qistina, kau salah orang.’ Puas hati Amirul kerana
berjaya membuat Qistina menuruti kehendaknya.
Sepanjang
perjalanan menuju ke rumah Qistina, mereka berdiam. Amirul hanya menumpukan
perhatiannya ke jalan raya. Sengaja dia tidak mahu mencetuskan perbualan. Lebih
baik diam daripada bercakap sesuatu perkara yang akhirnya akan berlaku
pertengkaran antara mereka. Sesekali Amirul mengerling ke sisi. Tiba-tiba
ingatannya terhadap Farhana meluap-luap. Hatinya berbunga setiap kali
terbayangkan wajah mulus gadis itu. Nama Farhana bermain-main di bibirnya. Dia
tersenyum-senyum.
Qistina yang duduk di sebelah berasa jengkel melihat
gelagat Amirul. Tersengih-sengih seorang diri macam orang gila. Tapi kenapalah
aku suka sangat dengan dia ni, desisnya di dalam hati.
Tanpa disangka secara tiba-tiba Amirul menekan brek
sehingga tubuh mereka berdua terdorong ke hadapan. Mujur sahaja mereka memakai
tali pinggang keledar. Kereta Amirul nyaris berlanggar dengan kereta di hadapan
yang menekan brek kecemasan. Merah padam muka Amirul. Di dalam hatinya dia
menyumpah. Qistina pula sudah menggigil ketakutan.
“You ni dah kenapa, hah?!” marah Qistina. Dia mengurut
dada.
“Apa pulak I? You tak nampak ke kereta yang kat depan tu
buat emergency break?” Amirul menuding jari ke arah
kereta berwarna putih di hadapannya. Bunyi hon yang bertalu-talu dari belakang
membingitkan telinga.
“Yang you ikut rapat dengan kereta tu kenapa?” Wajah
Qistina berkerut-kerut. Matanya mencerlang. Perasaan marah yang masih terbuku
di hati dilepaskan.
“You ni boleh diam tak? I tengah marah ni. Nasib baik tak
berlanggar. Kalau berlanggar tadi, habis kereta I. You tau, tak?!” tengking
Amirul. Rasa marahnya tidak dapat ditahan-tahan. Sudahlah keretanya hampir
terlibat dengan kemalangan, Qistina pula menyalahkan dia. Bunyi hon kereta yang
memekakkan telinga menyemarakkan api kemarahan yang sedia ada.
“Kalau kereta you rosak, boleh diganti. Tapi kalau I ni...
kalau I ni yang luka parah, siapa nak jawab?!” herdik Qistina. Dia seperti mahu
menangis.
“Kan I kata tadi, bukan salah I.” Amirul cuba bertenang.
“Payah bercakap dengan orang yang tak faham bahasa ni.” Dia mendengus apabila
melihat wajah Qistina yang tegang.
Lalu pintu kereta dibuka kasar. Amirul melangkah keluar
untuk memastikan apa sebenarnya yang telah berlaku. Dia menjengah ke hadapan.
Rupa-rupanya kereta di hadapan kereta putih itu telah melanggar seekor anjing.
Anjing itu masih hidup dan kelihatan cuba berjalan dengan kaki terhincut-hincut
untuk ke tepi. Insiden itu menyebabkan kelancaran jalan raya terganggu. Namun
dalam beberapa minit kemudian keadaan kembali pulih semula. Dan Amirul pun
meneruskan perjalanannya untuk menghantar Qistina pulang dengan perasaan sebal.
'
Subscribe to:
Posts (Atom)