Monday, July 22, 2013

HELO si MERAH JAMBU - BAB 11

.

Pagi itu, rumah sewa itu sunyi daripada suara manusia. Dua orang daripada penghuninya sudah lama menghilang ke tempat kerja. Hanya kedengaran irama sudip dan kuali berlaga dari arah dapur. Aroma tumisan bawang dengan ikan bilis serta-merta memenuhi ruang rumah.

Hamimi yang terlena di sofa tidak semena-mena terjaga. Dia sudah dapat mengagak, pasti Farhana sedang menggoreng nasi untuk hidangan mereka pagi itu. Seakan-akan memahami, secara tiba-tiba perutnya berkeroncong minta diisi. Dia menggeliat dan menguap.

“Nasi goreng dah siap. Marilah santap, wahai tuan puteri kembang semangkuk.” Farhana keluar dari dapur dengan menatang semangkuk nasi goreng.

Nasi goreng yang masih berasap sudah sedia terhidang di atas meja. Keenakan aroma kopi O yang dibancuh Farhana membuatkan Hamimi tidak sabar-sabar untuk bersarapan. Dia bingkas bangkit menuju ke meja makan. Dia menarik kerusi lalu duduk. Baru sahaja dia mahu menyenduk nasi goreng ke pinggan, Farhana menyergah.

“Kalau ya pun pergilah basuh muka dan gosok gigi dulu. Anak dara apa macam ni?”

“Jangankan kata basuh muka dan gosok gigi, mandi pun sudah tau.” Sudah menjadi kebiasaan Hamimi setiap pagi sebelum menunaikan solat subuh, dia akan mandi terlebih dahulu.

Farhana tergelak melihat muka lucu Hamimi yang kelihatan seperti budak tadika yang mahu menangis apabila dimarahi guru. “Aku gurau sajalah.”

Nasi goreng disenduk ke dalam pinggan dan kopi O dituang ke dalam cawan kaca untuk dirinya dan juga Hamimi. Dia menyuakan pinggan yang berisi nasi goreng kepada Hamimi.

“Terima kasih, Farah. Ini yang buat aku sayang sangat kat kau. Aku tak dapat bayangkan macam mana hidup aku kalau tanpa kau.” Hamimi berasa terharu kerana kerap dilayan dengan baik oleh teman sebiliknya itu. Baginya, gadis itu mempunyai hati yang luhur dan lembut seperti warna merah jambu, warna kegemarannya. Tidak hairanlah mengapa dia sentiasa disenangi oleh kawan-kawan di kilang.

“Oh... kau sayang sebab aku masakkan nasi goreng untuk kau, ya? Kalau tak, tak sayanglah?” Farhana berhenti mengunyah. Pandangannya tumpah ke wajah Hamimi yang berkulit sawo matang itu.

“Tak baik tau buruk sangka. Aku ikhlas.” Hamimi menyengih di hujung kata-katanya.

“Ada-ada aje kau ni.” Farhana meneruskan suapan sehingga licin nasi di pinggannya. Kemudian barulah dia meneguk kopi yang sudah suam-suam kuku.

“Eh! Sedap pulak nasi goreng kau hari ini. Tambah sikit lagilah,” puji Hamimi lalu tangan menyenduk nasi goreng ke dalam pinggannya.

“Mimi, malam tadi aku mimpi.” Farhana membuka cerita setelah pinggan yang sudah kosong diketepikan.

“Mimpi? Mimpi apa? Hantu? Atau mimpi putra raja datang melamar kau?” celah Hamimi sebelum sempat Farhana menghabiskan ceritanya.

“Kau ni, aku belum cakap apa-apa lagi.”

“Ceritalah, aku dengar ni.”

“Aku mimpikan lelaki yang aku langgar hari tu.” Ada senyuman di bibir Farhana. Wajah tampan lelaki yang dilanggarnya tempoh hari menerjah mindanya.

“Wah, sampai mimpi-mimpi? Kes berat ni.”

“Tapi dalam mimpi tu dia marah aku. Beria-ia dia marahkan aku sampai aku menangis.” Rona wajah Farhana berubah.

“Kawan perempuan dia yang sengal tu ada tak dalam mimpi kau tu?” tanya Hamimi ingin tahu.

“Tak nampak pulak. Dalam mimpi tu tak ada orang lain kecuali aku dengan dia aje. Tak tahulah kenapa dia marahkan aku. Yang aku ingat, muka dia merah padam dan mata dia terbuntang besar tengok aku. Gaya dia macam nak makan orang. Kecut perut aku. Dalam pada aku menangis tu, tiba-tiba aku terjaga.” Farhana mengeluh panjang.

“Itu aje mimpi kau? Dia tak sempat cakap yang dia syok kat kau?”

“Aku mimpi dia marah akulah.”

“Oh... Tapi aku rasa kau mesti berharap dalam mimpi tu dia datang hulurkan tangan pada kau dan kau sambut tangan dia. Kemudian kau orang berdua jalan berpimpinan tangan ke taman bunga. Duduk berdua di bangku bambu, di bawah pokok ketapang yang rendang. Dia hadiahkan kau sekuntum mawar yang berwarna merah lalu dia ucapkan kata sayang kat kau. Oh! sungguh romantisnya,” kata Hamimi penuh perasaan sebelum tergelak besar.

“Ada-ada aje kau ni.” Pantas tangan Farhana mencapai bantal kusyen yang hampir dengannya lalu dicampak ke arah Hamimi. Bantal kusyen itu tidak mengena, Hamimi sempat mengelak. Farhana ketawa. Hamimi juga turut ketawa.                                                                                      


Hari itu dua sahabat itu bekerja syif petang. Biasanya selepas menunaikan solat zuhur, barulah mereka keluar dari rumah. Dan sempat juga mereka singgah di kafeteria untuk mengisi perut sebelum mula bekerja. Kalau rajin memasak, mereka akan makan dahulu di rumah sebelum ke tempat kerja. Tetapi selalunya mereka lebih senang makan di kafeteria sahaja.

Dari jauh sebelum sampai ke kafeteria, kelibat Syukur sudah kelihatan. Dia duduk di bangku paling tepi. Sebaik sahaja ternampak wajah dua orang gadis itu, lelaki itu menghadiahkan senyuman. Wajahnya tampak ceria.

“Cepat hari ini kau sampai, Ako?” sapa Farhana. Payung warna merah jambu yang memayunginya sepanjang perjalanan ke tempat kerja dikuncupkan. Lalu payung lipat yang sudah ditutup kemas itu dimasukkan ke dalam beg sandangnya. Beg itu diletakkan ke tepi. Dia mengambil tempat bertentangan dengan Syukur.

Hamimi tidak terus duduk, sebaliknya dia melangkah mengarah ke kaunter untuk membeli makanan tanpa menoleh pandang Syukur yang tidak berkelip memerhatikannya.

“Hai! menonong aje kawan kau tu. Apa hal pulak dia hari ni? Masam aje muka dia. Pakwe lari ke?” sindir Syukur.

“Hisy, kau ni! Kalau tak usik dia satu hari, tak sah!” tempelak Farhana.

“Tak betul ke apa aku cakap? Tak menoleh langsung kat aku. Dia buat tak nampak aje. Selalunya, dia pantang tengok muka aku. Ada aje kesalahan aku yang nak ditegur.”

“Alah... kau ni, biarkan sajalah dia. Jangan nak mulakan.”

“Tak adalah. Aku cuma rasa hairan.”

“Kalau macam tu, diamkan saja. Jangan banyak bunyi.”

“Tak faham aku orang perempuan ni. Buat baik salah, buat tak baik lagilah salah, kan?”

“Dahlah kau ni. Dia datang tu. Buat tak reti aje.” Farhana tidak mahu teguran Syukur akan mengakibatkan pertengkaran meletus dan sudah pasti emosi sahabatnya itu akan terganggu sepanjang hari. Dia faham kenapa Hamimi bersikap dingin terhadap lelaki itu. Dia mahu bertanya Syukur tentang Jiha tetapi keadaan tidak mengizinkan. Ingin benar dia mendengar daripada mulut Syukur sendiri apa hubungan sebenar antara dia dengan Jiha.

Hamimi meletakkan pinggan dan gelas minumannya di atas meja. Dia menghempaskan punggungnya di sisi Farhana tanpa bersuara. Tidak sedikit pun lelaki yang duduk tercongok di hadapannya disapa, bahkan memandangnya pun tidak.

“Sekejap ya, aku nak pergi beli makanan. Kau dah makan,  Ako?” Farhana cuba mencipta suasana.

“Aku dah makan kat rumah.” Syukur menghadiahkan senyum kepada Farhana. Jelas senyum yang dilemparkan hanya senyuman yang dibuat-buat. Ternyata emosi yang ditunjukkan oleh Hamimi menyentuh hati lelaki itu.

Sesekali anak matanya mengerling Hamimi yang hanya tunduk menikmati makan tengah harinya tanpa mempelawa.

“Apa kenalah dengan si Mimi ni? Hai, perempuan... Sikit-sikit sentap. Lebih baik aku jangan cakap apa-apa. Nanti tak pasal-pasal mengamuk pulak dia nanti,” rungutnya. Sudah faham benar dia dengan sikap Hamimi yang mudah melenting kalau tidak kena gayanya.

Beberapa minit kemudian, Farhana muncul dengan membawa pinggan makanan dan gelas minuman. Pinggan yang berisi roti bakar itu diletak di tengah-tengah meja.

“Ako, makanlah roti bakar ni.”

“Makan roti bakar aje? Kenyang ke?” tanya Syukur.

“Tadi pagi aku dah makan nasi goreng. Masih rasa kenyang lagi. Makanlah.” Gadis itu mempelawa lagi.

“Rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari.” Sekeping roti bakar dicapai lalu dimasukkan ke dalam mulut. Terkumat-kamit mulut lelaki itu mengunyah.

Sambil makan, dia memerhatikan gerak laku Farhana yang duduk di hadapannya. Sejak mula kenal gadis itu, hatinya sudah tertawan dengan kecantikan yang dimiliki. Farhana bukan sahaja cantik bahkan baik budi bahasanya. Penampilan gadis itu bertambah manis dengan memakai tudung yang menutup rambutnya. Kadang kala imaginasi nakalnya membayangkan rambut Farhana yang panjang mengurai. 

Malangnya puji-pujian itu hanya mampu dibisikkan di dalam hatinya sahaja. Dia malu untuk meluahkan. Bimbang Farhana tidak selesa dengan pujian yang diberikan. Paling dia takut, kalau-kalau Farhana menjauhkan diri daripadanya apabila mendapat tahu tentang perasaannya.

“Hoi, apa yang kau tersengih-sengih tu?!” sergah Farhana.
Syukur tersentak. “Tak ada apa-apalah. Err... Sedap pulak roti bakar ni.”
“Kalau sedap, makanlah lagi.” Farhana menyuakan pinggan itu kepada Syukur.

“Eh! Itu kau punya. Kau makanlah. Nanti kau lapar pulak. Aku dah makan nasi dekat rumah tadi.” Syukur menghulurkan semula pinggan itu kepada Farhana.

“Betul kau tak nak? Rugi kalau ditolak,” usik Farhana ceria.

“Betul, kau makanlah.” Gembira hati Syukur melihat wajah Farhana yang ceria berbanding Hamimi yang masam sahaja air mukanya sejak tadi. Buat kacau daun saja!

“Mimi, kau nak tak?”

Hamimi menggeleng. “Tak naklah. Aku dah kenyang,” jawab Hamimi perlahan.

“Kau ni kenapa, Mimi?” Sejak tadi lagi ringan sahaja mulut Syukur mahu bertanya.

“Tak ada apa-apa.” Hamimi menjawab selamba. Pandangannya dilempar jauh ke tengah jalan raya.

“Monyok aje muka kau aku tengok dari datang tadi. Ada apa yang tak kena ke?” tegur Syukur yang tidak suka melihat wajah Hamimi yang mencuka itu.

“Kau ni tak faham ke? Aku dah kata tak ada apa-apa, tak ada apa-apalah.” Suara Hamimi mula meninggi.

“Cakaplah apa saja yang terbuku di dalam hati kau tu,  Mimi. Jangan disimpan-simpan. Bila hati sakit, muka jadi buruk,” usik Syukur selamba. Dia tahu Hamimi meluat dengan kata-katanya yang berbau cemuhan. Tetapi dia tidak peduli. Kalau Hamimi hendak marah, marahlah. Memang itu kenyataan.

Hamimi mengerling tajam ke arah Syukur. Sibuklah kau!,  marahnya di dalam hati. Sakit betul hatinya.

“Aku bukannya nak menyibuk hal kau, tapi cuba kau tengok muka kau tu kat cermin,” kata Syukur lagi seperti dia dapat membaca apa yang berdetik di dalam hati Hamimi. Dia  tersenyum sumbing. Mahu ketawa pun ada juga.

“Dahlah, malas aku nak layan kau. Dah nak dekat pukul dua. Jom, Farah.” Bingkas Hamimi bangkit dari bangku dan meluru ke pintu utama menuju ke kilang tempat mereka  bekerja.

Farhana berlari-lari anak mengejar Hamimi yang sudah agak jauh ke depan sebelum sempat melambaikan tangan kepada Syukur yang hanya mampu memandang sahaja.



.

No comments:

Followers