Monday, July 29, 2013

HELO si MERAH JAMBU - BAB 16

.
Ruang tamu rumah bujang itu riuh rendah dengan gelak tawa. Apabila mereka sudah berkumpul, begitulah keadaannya. Tidak sah jika tidak ada kata mengata dan usik mengusik. Ada kalanya apabila terlebih bergurau, ada juga hati yang tergores. Namun perasaan itu tidak dibiarkan berpanjangan. Mereka bagaikan bersaudara. Bertengkar dan berbaik semula, itu biasa.

Tengah hari itu, Hamimi baru sahaja sampai dari kampung halamannya. Beg pakaiannya pun masih belum lagi berkemas. Sebaik dia meletakkan beg pakaian ke dalam bilik, dia ke ruang tamu membawa sebuah beg yang penuh dengan bekalan makanan yang dibawa balik dari kampung.

Farhana, Shakila dan Yasmin sudah mengerumuni bekalan yang dipunggah keluar dari dalam beg tersebut. Beberapa bungkusan plastik jeruk yang dibeli dari pasar Chow Rasta menjadi tumpuan mereka. Ada jeruk mangga, ada jeruk betik, ada jeruk salak dan berbagai lagi. Kecur air liur dibuatnya.

“Mak aku kirim salam kat kau orang,” kata Hamimi ceria.

“Waalaikumsalam,” jawab tiga dara itu serentak sambil mengunyah jeruk.

“Mak kau sihat, Mimi?” Farhana bertanya.

“Alhamdulillah, bertambah sihat aku tengok mak aku tu. Jualan kuih dia pun semakin maju. Seronok pulak rasanya menolong mak aku berniaga kuih, rasa macam tak mahu balik sini.” Hamimi bercerita.

“Seminggu kau duduk kampung, dah makin tembam aku tengok pipi kau. Kalau lama sikit mahu baju-baju kau tak muat pakai dah,” usik Shakila.
Mereka yang lain ketawa.

“Mana taknya... sambil menggoreng kuih sambil makan. Sarapan makan kuih, minum petang makan kuih.” Hamimi tersenyum lebar.

Perniagaan emaknya di kampung sudah semakin maju. Tiga orang adiknya yang masih bersekolah banyak membantu emak mereka selepas waktu sekolah. Adik perempuannya,  Hamima yang akan menduduki peperiksaan SPM tahun itu menggantikan tempat Hamimi sebagai kakak yang paling tua sepanjang ketiadaannya. Dialah yang banyak membantu tugas emaknya di dapur.

Selain Hamima, adik lelaki mereka, Hamdan yang juga masih belajar di dalam tingkatan dua juga banyak bertungkus lumus. Tugasnya berada di gerai membantu emak berjualan. Manakala adik mereka yang paling bongsu, Hamdi yang akan menduduki peperiksaan UPSR di hujung tahun nanti juga tidak ketinggalan turut membantu.

Di samping membuat kuih-muih untuk jualan di gerai, kini emak juga membuat kuih untuk tempahan sebagai pendapatan tambahan. Dengan bantuan tiga orang adik   meringankan kerja emak. Hamimi sudah boleh menarik nafas lega. Melihat emak dan adik-adiknya gembira, dia turut berasa senang hati.

Semasa mahu berangkat pulang ke Kuala Lumpur tadi, kakinya terasa berat untuk melangkah pergi. Jika ada pilihan dia mahu terus menetap di kampung. Menghirup udara tenang lagi bersih tanpa kesibukan dan kebisingan kota.

“Sedaplah kuih ni. Kuih apa ni?” Yasmin bertanya dengan wajah pelik.

“Itu kuih jongkong. Nama kuih pun tak tau, makan aje yang kau tau,” jawab Hamimi.

“Kau pandai tak buat kuih jongkong ni, Mimi?” tanya Yasmin sambil membuka daun pisang yang membalut kuih jongkong itu.

“Pandai. Tapi tak sesedap yang mak aku buat.” Terdapat tiga jenis kuih yang dijamu oleh Hamimi. Kesemuanya  sedap belaka.

“Untunglah kau, Mimi. Pandai buat kuih. Nanti kalau kau dah malas kerja kat kilang, bolehlah kau jual kuih pulak.” Usikan Farhana disambut dengan gelak tawa oleh kawan-kawan yang lain.

“Ada-ada aje kau ni, Farah. Dahlah aku nak mandi dan berehat. Kau orang makanlah semua kuih tu. Jeruk tu jangan dihabiskan pulak, simpan untuk aku sikit,” pesan Hamimi sebelum hilang ke bilik mandi.



Malam itu malam minggu. Farhana dan Hamimi tidak keluar ke mana-mana. Shakila dan Yasmin sudah keluar sejak petang tadi. Mereka dijemput oleh teman lelaki masing-masing. Farhana dan Hamimi tidak sedikit pun berasa cemburu melihat Yasmin dan Shakila dengan pasangan mereka. Bagi Farhana dan Hamimi, hidup lebih bahagia walaupun tanpa teman lelaki. Tidak pening kepala dan tidak sakit hati. Apa yang lebih penting, walau tanpa teman lelaki hidup mereka tetap ceria.

“Lain kali kalau aku balik kampung, kau ikut aku balik ya? Hari tu mak aku tanya kenapa aku tak ajak kau sama.” Hamimi meniarap di atas katil bujangnya sambil menghadap komputer ribanya.

“Ingat lagi mak kau pada aku ya?” kata Farhana yang duduk bersila di lantai. Kain baju yang membusut di hadapannya dilipat satu persatu.

“Mana boleh dia tak ingat? Kau lupa ke masa mula-mula kau datang rumah aku, kau menjerit-jerit macam nak gila bila nampak katak kat dalam bilik air. Lepas tu, mak aku yang tolong halau katak tu. Adik-adik aku ketawa bagai nak rak tengok muka kau yang pucat lesi masa tu. Lagipun, aku tak pernah bawak kawan balik ke rumah.

Sejak aku bekerja di Kuala Lumpur, hanya kau seorang aje yang pernah ikut aku balik. Adik-adik aku pun suka kat kau. Dia orang memuji-muji kau. Dia orang kata kau baik dan kau cantik. Eeii... menyampah aku dengar. Melambung-lambung tinggi pujian dia orang tu pada kau. Mentang-mentanglah kau kirimkan hadiah untuk dia orang. Emak aku pun bukan main suka lagi bila aku bagi telekung yang kau belikan tu. Dia sedih sebab tak pernah ada orang bagi telekung kat dia. Aku anak dia sendiri pun tak bagi dia telekung.” Sebak dada Hamimi bila terkenangkan emaknya.

“Alah, apalah sangat pemberian aku tu? Insya-Allah, lain kali kalau kau balik kampung aku akan ikut. Macam manalah rupa Mima sekarang? Mesti dia cantik macam kakak dia jugak.” Farhana senyum. Wajah Hamima menjelma di bayangannya.

“Mestilah kakak lebih cantik dari adik. Adik mana boleh lawan kakak?” kata Hamimi bersulam ketawa.

“Yalah tu.” Farhana turut ketawa. Dia tidak menafikan kecantikan yang dimiliki Hamimi. Walaupun berkulit hitam manis tetapi tidak jemu mata memandang.

“Hamdan dah boleh diharap sekarang. Aku tak sangka, dalam masa tiga bulan aku tak balik, dia dah banyak berubah. Tak macam dulu, malas dan banyak main. Dia rajin menjaga gerai sementara tunggu emak aku datang. Mima pun dah semakin matang aku tengok. Walaupun dia sibuk dengan ulangkaji pelajaran tapi tak pernah biarkan mak aku bertungkus lumus di dapur sorang diri. Lega aku.” Hamimi menarik nafas panjang dan dihelanya perlahan.

“Mereka belajar dari pengalaman. Sebenarnya, kepahitan hidup mereka itu yang mendewasakan mereka. Syukur mereka tau tanggungjawab masing-masing. Senanglah hati mak kau ya? Kuih-kuih yang dijual di gerai pun habis laku, ditambah lagi dengan kuih yang ditempah. Tak menang tanganlah mak kau. Mana nak buat kuih untuk dijual, kuih tempahan lagi.”

“Mima dan Hamdan yang banyak menolong. Lepas solat subuh mak aku dah bersilat kat dapur.” Senyuman terukir di bibir Hamimi. Dia menyembunyikan rasa sebak yang menghimpit dadanya. “Sebelah pagi semua ke sekolah. Tinggal mak aku buat kerja sorang diri. Lepas adik-adik aku balik dari sekolah, barulah mereka tolong goreng kuih dan siap-siapkan kuih yang nak dibawa ke gerai. Tugas Mima kemas dapur yang macam kapal karam tu dan sementara tunggu mak aku mandi dan bersiap, Hamdan jaga gerai. Sebelah malam barulah dia orang buat ulangkaji dan buat kerja sekolah.”

“Macam mana dengan Hamdi? Apa tugas dia pulak?” Farhana tersenyum lebar. Dia terbayangkan wajah comot adik bongsu Hamimi yang nakal itu.

Hamimi ketawa. Apabila teringatkan Hamdi, geram ada,  lucu pun ada. “Dia terkecuali. Dia banyak aktiviti di sekolah. Katanya dia orang penting di sekolah. Kalau tidak ada dia, cikgu tak masuk kelas mengajar.” Ketawa Hamimi masih bersisa. “Hari tu dia cerita, ada budak perempuan satu kelas dengan dia bagi surat cinta. Dia ingatkan budak tu bagi kat dia. Rupa-rupanya budak tu minta dia bagikan surat tu pada kawan yang duduk sebelah dia.” Ketawa Hamimi semakin galak. 

“Dia kata dia dah senyum sorang-sorang masa baca surat tu. Dah habis baca barulah dia perasan ada nama kawan dia kat atas surat tu. Dia kata dia frust menonggeng sebab dia syok kat budak perempuan tu.” Hamimi ketawa lagi. “Kita orang ejek dia, padan muka. Perasan hensem aje dia tu. Skema habis.”
Farhana turut ketawa mendengar cerita Hamimi itu. “Kesian dia. Kenapa diketawakan dia? Dia comel apa.”

“Suka sangat perasan, itulah jadinya.” Hamimi ketawa besar. “Selalu saja mengelak buat kerja di rumah. Pemalas dia tu. Nasib baik dia ada kakak dan abang yang rajin dan tak kisah dengan perangai malas dia tu.”

“Adik bongsu memanglah macam tu. Manja,” celah Farhana.

“Macam kaulah, kan?” usik Hamimi sambil terus ketawa.

Farhana mencebirkan bibirnya. Kain baju yang menimbun seperti busut jantan tadi sudah siap dilipat lalu dimasukkan ke dalam almari pakaian. Dia beralih duduk di birai katilnya pula sambil menjuntaikan kaki. Kedua-dua kakinya digoyang-goyangkan.

“Farah, esok kau free tak?” tanya Hamimi sambil matanya tidak lepas dari menatap komputer riba.

“Kenapa?” tanya Farhana pendek.

“Temankan aku, boleh?”

“Pergi mana?”

“Ada kawan Facebook nak jumpa aku.”

“Lelaki ke perempuan?”

“Mestilah lelaki. Kalau perempuan nak buat apa? Kau seorang kawan perempuan aku pun dah cukup.”

“Beraninya kau nak jumpa dia? Kau jangan, Mimi. Kau tak baca surat khabar ke? Hari-hari ada cerita orang kena culik, kena tipu, kena rogol. Eeii… aku takutlah. Kau bukan kenal dia pun. Kau ingat gambar profile dalam Facebook tu gambar betul dia orang ke? Entah gambar siapa siapa yang dia orang guna entah. Tak maulah.” Sudah acap kali Farhana mengingatkan teman sebiliknya itu supaya jangan mudah terpedaya dengan kata-kata kawan dari Facebooknya itu. Cukuplah sekadar bersahabat di alam maya sahaja. Tidak perlulah dibawa sehingga ke alam nyata pula.

“Kau ni penakut sangatlah. Taulah aku nak buat macam mana. Kau ikut je. Aku janji, aku tak kan libatkan kau dalam hal aku ni. Boleh ya?” rayu Hamimi minta simpati daripada Farhana.

“Kau nak buat macam mana? Nak buat trick lama kau tu lagi? Tak baik tau. Itu dah kes niaya.”

Pernah beberapa kali Hamimi berbuat seperti itu. Dia akan memberi cadangan supaya mereka memakai baju yang sama warna, konon-kononnya memudahkan mereka untuk mengenali antara satu sama lain. Tetapi apabila tiba hari yang dijanji, dia akan memakai baju yang berwarna lain pula. Jika dilihat lelaki yang menunggunya itu tidak berkenan dipandangan matanya dia akan beredar pergi. Sudah beberapa kali dia melakukan perkara yang sama.
Pernah berlaku, seorang lelaki yang mahu dijumpai didapati sudah berusia dan ada pula yang berbadan gempal. Semuanya tidak mencapai cita rasa kriteria yang dia inginkan. Akhirnya, dia pulang tanpa bertemu mereka.

“Pandai pun kau. Selama ni aku buat macam tu tak pernah kantoi pun. Jomlah...” pujuk Hamimi.

Menurut Hamimi, dia tidak akan berputus asa untuk mencari Mr. Rightnya. Manalah tahu mungkin jodohnya dari kalangan teman-teman Facebooknya. Bukan tidak ada lelaki yang kacak dan tampan di kilang tempat mereka bekerja, tetapi entah lelaki yang bagaimana yang mahu dicarinya lagi. Apa kurangnya dengan Syukur. Dia seorang lelaki yang baik. Dan dia masih solo dan belum berpunya. Tak perlu mengambil masa untuk mengenali hati budi kerana mereka sudah saling mengenali antara satu sama lain.

“Malaslah.”

“Alah, kau ni tak sporting langsung. Tak apalah, tak nak temankan sudah. Aku pergi sorang,” kata Hamimi sebal. Dia pura-pura merajuk kerana sahabatnya itu enggan menemaninya.

“Kau marah aku, ya?” soal Farhana. Dia jadi serba salah melihat muncung Hamimi yang panjang sedepa.

Hamimi tidak berkutik. Pandangannya hanya ditumpukan ke skrin komputer ribanya.

“Kau janganlah merajuk. Ini yang aku tak suka ni.” Farhana cuba memujuk.

“Taklah, aku tak merajuk. Tak marah pun. Manalah hati ni sanggup nak marah si Merah Jambu yang lembut?”

“Habis tu, kenapa diam bila aku tanya?”

“Aku rasa terkilan aje. Ada kawan tapi minta bantuan tak dihiraukan.”

Farhana mendengus. “Yalah. Aku ikutlah. Bila kau nak pergi?”

“Aku tau kau sayang aku kan, Farah?”

Farhana mengerling.

“Esok tengah hari, okey?” Hamimi tersenyum girang.


Akhirnya Farhana terpaksa mengalah dengan permintaan Hamimi lalu bersetuju untuk menemaninya. Kalau tidak diturutkan Farhana bimbang Hamimi akan merajuk. Perempuan itu kalau sudah merajuk, siksa untuk dipujuk.

.

No comments:

Followers