Tuesday, July 16, 2013

HELO si MERAH JAMBU - BAB 9

.
Ketika sedang menikmati makan malam, Amirul hanya mendiamkan diri. Dia tidak perasan dirinya diperhatikan. Dia hanya tunduk mengunyah. Sesekali dia memanjangkan tangan untuk mengambil lauk di tengah meja.

Mustafa dan Mazni yang turut sama di meja makan juga tidak bersuara. Masing-masing menikmati hidangan dengan penuh kusyuk sekali. Sesekali pandangan suami isteri itu beradu.
Ketika Mak Jah datang membawa satu jag minuman,  barulah Amirul membuka mulut. “Mak Jah, saya nak air kosong saja,” pintanya sambil mencuci tangan dari kendi yang disediakan. Kertas tisu diambil dari kotak tisu yang berdekatan lalu dia mengelap mulut dan tangannya yang basah.

Beberapa ketika kemudian Mak Jah kembali dengan membawa segelas air kosong untuk Amirul. Manakala Mustafa dan Mazni dihidangkan dengan air sirap sejuk. Itulah minuman kegemaran keluarga itu. Tambahan pula pati sirap itu dibuat sendiri oleh Mak Jah.

Setelah selesai makan, Amirul bingkas bangkit dan segera beredar. Dia mahu mengelakkan diri daripada berbincang tentang pertemuannya dengan Qistina siang tadi. Dia tahu mamanya hanya menunggu peluang dan masa untuk bertanya soalan. Sebelum mama membuka mulut lebih baik aku angkat kaki, bisik hatinya. Namun baru beberapa langkah saja dia menapak, mamanya sudah memanggil. Langkahnya terhenti.

“Mirul, nak ke mana?”

Amirul menoleh. “Nak naik ke atas.”

“Duduk sekejap, mama nak cakap sikit.” Mazni memandang suaminya yang sudah bangun dari tempat duduk menuju ke ruang tamu.
Amirul sudah duduk di sofa di ruang itu.

“Tadi Mirul bawa Qistina ke mana?” soal Mazni yang turut melangkah ke ruang tamu dan mengambil tempat di sebelah suaminya.

“Kan mama suruh bawak dia ke One Utama?” Amirul menunduk. Kakinya bermain dengan aspal berbulu tebal. Dia sudah bersedia untuk menadah telinga mendengar soalan dan bebelan mamanya.

“Qistina kata dia nak shopping, banyak ke barang yang dia beli?”

“Saya nampak dia beli dua pasang kasut dan satu sepit rambut saja. Kenapa, ma?” Entah apalah yang merasuk fikiran mamanya sehingga dia mahu tahu semua aktivitinya dengan Qistina siang tadi. Perkara inilah yang Amirul mahu elak. Kalau mamanya sudah mula buka mulut, bebelannya tidak habis-habis hingga berjam-jam lamanya.

“Tadi Qistina telefon mama. Dia mengadu, katanya Mirul macam tak suka saja dengan dia. Dia kata Mirul tak layan dia. Kenapa dengan Mirul ni? Kan mama dah pesan dengan Mirul, layan Qistina tu dengan baik? Susah ke Mirul?”

Berbahang telinga Mazni mendengar aduan Qistina mengenai Amirul siang tadi. Walaupun sudah beberapa kali dia berpesan tetapi anak itu masih tidak mahu mendengar kata. Kenapalah kedegilannya sejak kecil sehingga dewasa masih menebal dalam diri? Sukar sangatkah mahu memenuhi permintaannya yang satu itu? Runsing fikiran Mazni memikirkan anaknya yang seorang itu. Lain yang dipesan lain pula yang dilakukan. Suaminya pun satu, tidak mahu langsung menegur. Semua kehendak anaknya itu diturutkan sahaja tanpa bantahan.

“Ma, mama minta saya temankan dia ke One Utama saja kan? Saya dah turutkan, apa lagi yang tak kena?” rungut Amirul.


Terlalu sukar untuk dia memuaskan hati dan menurut semua kehendak 
mamanya. Selalunya apa sahaja yang dipinta oleh mama adalah sesuatu yang bertentangan dengan kehendaknya.

Kehendak dan selera dua beranak itu ketara berbeza. Apa sahaja yang disukai Mazni pasti tidak disukai oleh Amirul. Apa sahaja yang cantik dari pandangan mata Mazni, pada Amirul sebaliknya pula. Perbezaan itulah yang selalu menjadi punca perbalahan mereka berdua.

“Mama mahu Mirul pikat hati Qistina.”

Hal itu tidak perlu diselindung daripada pengetahuan Amirul. Dia bukan anak-anak kecil lagi. Pada pertengahan tahun nanti, usia anak tunggalnya itu akan masuk 24 tahun. Selama ini anak tunggalnya itu tidak pernah berbicara mengenai teman wanita. Padahal dia sudah layak mempunyai kekasih hati. Jadi apa salahnya dia yang mencarikan jodoh untuknya.

“Apa maksud mama?” tanya Amirul pura-pura tidak mengerti. Dia sudah dapat meneka sejak mula lagi niat mamanya itu. Dia beralih pandang dari wajah Mustafa ke wajah Mazni pula.

“Papa, you cakaplah sikit dengan anak you tu. Nasihatkan dia. Amirul memang tak pernah setuju dengan mama walaupun tujuan mama baik.” Mazni sudah hilang kata-kata. Dia serahkan sahaja kepada Mustafa untuk menasihati anak kesayangannya itu.

Lama Mustafa berdiam. Dia melepaskan keluhan berat. Sukar untuk dia meluahkan permintaan yang telah dirancang tanpa pengetahuan dan persetujuan di pihak lain. Sebenarnya Dato’ Azhar dan Datin Bibah yang bersungguh-sungguh mencadangkan Amirul dan anak gadis mereka Qistina dijodohkan.

Cadangan itu bagaikan pucuk dicita ulam mendatang bagi Mazni. Tetapi Mustafa tidak bersetuju dengan rancangan itu sejak mula. Dia tidak mahu satu-satunya anak yang dia miliki terikat dengan keputusan yang dibuat oleh orang lain. Baginya pilihan dan kebahagiaan seseorang itu terletak kepada kemahuan diri sendiri tanpa paksaan. Biarlah jodoh atau apa sahaja yang bersangkutan dengan diri Amirul, dia sendiri yang memutuskan. Sebagai ayah, dia akan memberi sokongan dan akan memberi nasihat sekiranya perlu.

“Berkawan dan berkenalanlah dengan Qistina tu, Mirul. Tak salah kan berkawan? Lagipun dia kan anak kenalan baik papa dan mama?” Mustafa bersuara. Dia tidak suka jika Mazni marah-marah tidak menentu. Dia tahu ketika itu kalau dia ikut membantah kemahuan Mazni, sudah pasti isterinya itu akan melenting dan mengamuk sakan. Nanti bukan sahaja Amirul yang ditempik, malah dengan dia juga akan mendapat tempiasnya.

“Saya tak ada masalah berkawan dengan dia, pa. Lagipun kami dah lama kenal. Tapi satu saja yang saya minta, jangan paksa saya untuk menganggap dia lebih dari seorang kawan.” Amirul berterus terang. Dia memang tidak berkenan dengan penampilan Qistina. Apatah lagi dengan sikapnya yang mengada-ngada sehingga timbul perasaan mual melihatnya. Dia berharap papa dan mamanya mengerti dan boleh menerima pandangannya.

Mazni berdecit. Dia tidak puas hati dengan kenyataan Amirul. Pandangannya tidak lepas daripada merenung wajah suaminya. Harapannya kini hanya pada Mustafa. Hanya dia yang boleh bercakap dan memujuk anak lelakinya itu. Mazni tahu kalau dia membuka mulut akan mengundang kemarahan anak muda itu. Dan sudah pasti pertengkaran akan meletus.

“Qistina tu datang dari keluarga baik-baik, Mirul. Insya-Allah, kalau kita berniat baik pasti akan mendapat balasan yang baik juga. Keluarga Qistina sukakan Mirul. Uncle Azhar dan Aunty Bibah yang beria-ia sangat mahukan Mirul menjadi pengganti mereka untuk menjaga Qistina.”

Lembut saja nada suara Mustafa. Begitulah sikapnya setiap kali bercakap dengan anak tunggalnya itu. Seorang ayah dan anak yang sudah dewasa seperti Amirul perlu ada satu hubungan yang telus. Bercakap pun biarlah secara terbuka dan berterus terang. Tidak perlu berkias-kias.

“Pa kalau saya diminta untuk berkawan dengan dia tu, saya tak ada masalah. Tapi kalau bercakap pasal kahwin...  tolonglah, pa... saya belum fikirkan hubungan sejauh itu buat masa ini. Apatah lagi kalau dengan Qistina tu.”

Amirul membetulkan posisi duduknya. Dia diburu rasa bersalah. Dia tidak berniat untuk mengecilkan hati mama dan papanya. Lebih baik dia berterus terang apa yang terpendam di lubuk hatinya. Dia tidak suka berpura-pura dan dia tidak sanggup menggadai kebahagiaan masa depannya sendiri.

“Mirul ni sengaja menolak tuah. Ingat senang ke nak dapat kawan 
dengan anak orang kaya macam Qistina tu? Mama tengok dia okey aje. Cantik. Tak ada cacat celanya.” Merah muka Mazni menahan geram.

“Ma, tolonglah faham. Saya belum bersedia untuk ada hubungan serius dengan mana-mana perempuan pun buat masa ni. Kan saya dah kata saya nak kerja sekejap untuk menimba pengalaman? Lepas tu saya nak sambung belajar balik. Saya belum fikir nak kahwin, ma.”

Perbincangan sudah semakin tegang. Suasana banglo itu terasa hangat walaupun kipas yang terpasang berputar ligat. Mak Jah yang sedang mengemas meja makan mencuri dengar. Sesekali dia menggeleng. Dia sudah faham benar dengan sikap Mazni yang tidak pernah mahu mengalah jika berbalah. Bukan sahaja dengan anaknya Amirul, malah kalau dengan suaminya pun tetap begitu juga. Acap kali Mak Jah melihat Mustafa yang terlebih dahulu berdiam jika suami isteri itu bertengkar.

“Tak ada salahnya kalau berkahwin semasa masih belajar. Orang lain tu ramai yang berkahwin, tak ada masalah pun mama tengok.”

“Memang tak salah, ma. Tapi...” Amirul menggosok-gosok kasar rambutnya. Mukanya berkedut-kedut menahan perasaan.


“Tapi apa?” sampuk Mazni kasar.

“Saya belum bersedia nak ada apa-apa ikatan. Itu saja, ma.” Amirul meraup mukanya.

“Sudahlah tu. Mirul dah tak mahu janganlah dipaksa. Bagilah dia peluang untuk buat keputusan dia sendiri.” Mustafa cuba memujuk isterinya.

“Itulah you ni. Apa saja yang anak you cakap, you mengeyakan saja. Tak langsung nak berpihak kepada I ni. Kalau semua orang dah tak nak dengar cakap I ni, tak apa. Tapi ingat! Lepas ni kalau ada apa-apa masalah jangan mengadu dengan I.” Mazni bercakap tanpa memandang sesiapa. Sudah penat duduk, dia berdiri pula. Dia berpeluk tubuh.
“Sebagai mama, sepatutnya you mendoakan yang baik-baik untuk anak you. Bukannya marah-marah macam ni. Kalau marah-marah macam ni tak menyelesaikan masalah. I bimbang nanti you diserang penyakit darah tinggi pulak nanti.” Di dalam hati Mustafa dia ketawa. Di dalam perbincangan yang serius itu sempat juga dia menyindir isterinya.

“Tak baik ke rancangan I nak kahwinkan anak kita dengan anak orang berada? Yang senang dan kaya nanti siapa? Anak kita, kan? Senang dia senanglah kita.” Dada Mazni berombak kencang. Nafasnya turun naik.

“Kita pun dah cukup senang, tak perlu lagi nak menumpang senang orang lain, ma,” celah Mustafa tenang.

“Bercakap dengan you dua beranak ni memang menyakitkan hati I aje. Tak boleh ke sesekali senangkan hati I ni sikit?” Mazni mengurut dadanya sendiri.

“Dahlah, Mirul... pergilah naik atas berehat. Biar papa yang pujuk mama.”

Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, Amirul bingkas bangun dan menaiki anak tangga ke tingkat atas meninggalkan papa dan mamanya di ruang tamu yang berbahang itu. Mustafa sudah masak benar dengan perangai isterinya, selagi tidak berganjak selagi itulah dia akan berleter tanpa henti.

Mazni hanya mampu mengerling memandang Amirul dengan hujung mata. Dadanya sakit menahan marah dan sakit hati. Masih ada masa lagi, aku akan cuba sedaya upaya sampai Mirul jatuh hati dengan Qistina. Geram betul aku dengan anak bertuah itu.

“You ni selalu saja bagi muka pada Mirul tu. Sebab itulah apa yang I cakap dia buat tak endah saja. Sebab dia tahu you akan menyebelahi dia,” marah Mazni kepada Mustafa pula. Marahnya masih belum reda.

“Dia bukan robot yang boleh kita arah untuk ikut cakap kita. Dia dah besar, ma. Kita tak boleh paksa dia.” Mustafa cuba berpihak kepada Amirul. Dia sangat memahami bagaimana perasaan anaknya itu.

“Tapi kita kan dah bersetuju dengan Dato’ Azhar dan Datin Bibah?”

“You yang setuju. I tak kata I setuju.” Selamba saja Mustafa menjawab.

“I betul-betul tak fahamlah. You dengan Mirul sama aje, dua kali lima. Orang nak bagi rezeki, tolak mentah-mentah.” Mazni merengus.

“Bagilah peluang Mirul tu puas hidup membujang dulu. Dia nak cari pengalaman bekerja dan rasa duit gaji sendiri. Dan lepas tu dia nak sambung belajar lagi. Nanti bila dia dah bersedia nak ada hubungan serius dengan perempuan, kita uruskanlah apa yang patut untuk dia,” ujar Mustafa.

“I bukan suruh dia kahwin sekarang. I suruh dia berkawan-kawan dulu. Kalau dah rasa serasi, bolehlah kita ikatkan dengan tali pertunangan dulu.” Mazni kembali duduk di sofa.

“I tak setuju. I tak nak dia rasa terbeban dan menyesal.”

“Apa maksud you?”

“Entahlah, ma.” Mustafa mengeluh. “I minta bagilah dia peluang. Biarlah dia yang buat keputusan untuk dirinya sendiri. I bimbang kalau apa-apa berlaku di kemudian hari nanti dia salahkan kita pulak kerana sibuk campur hal peribadi dia.” Mustafa memandang wajah Mazni buat kesekian kali sebelum beredar meninggalkan isterinya seorang diri di 
ruang tamu itu.

Baru sebentar tadi suasana ruang itu hingar-bingar dengan perbalahan mereka anak beranak kini tiba-tiba bertukar menjadi sunyi sepi. Mazni menyandarkan tubuhnya ke sofa. Matanya dipejamkan. Kepalanya terasa berdenyut-denyut.


 .

No comments:

Followers