Wednesday, August 28, 2013

HELO si MERAH JAMBU - BAB 26

.

Hamimi sekadar memandang Amirul dan Qistina beredar dengan ekor mata. Dia pelik melihat pasangan itu. Mereka tidak kelihatan mesra seperti pasangan yang bercinta. Si gadis tampak manja dan seakan-akan cemburu manakala si lelaki pula berlagak selamba seperti tidak ada apa-apa hubungan yang terjalin antara mereka.

“Kau agak-agak Encik Amirul tu ada apa-apa ke dengan Qistina tu?” tanyanya setelah pasangan itu hilang daripada  pandangan.

“Mana aku tau.” Farhana menjongketkan bahu. Dia seperti tidak ambil kisah tetapi jauh di dalam hatinya dia juga tertanya-tanya soalan yang sama.

“Aku rasa Qistina tu saja yang syok kat Encik Amirul tapi Encik Amirul anggap dia macam kawan biasa aje, kan?” Hamimi berteka-teki.

“Entah, tak tau.” Farhana berlagak seperti tidak berminat mahu ambil pusing. Dia asyik mengunyah ayam panggang.

“Yalah, kau dengar tadi Encik Amirul tu kenalkan Qistina tu sebagai kawan dia. Kalau makwe dia, mestilah dia sebut kekasih hati dia ke atau kawan istimewa dia ke, kan?”

“Yalah agaknya.” Farhana menjawab pendek.

“Kau agak-agak kan Encik Amirul tu ada hati kat kau tak?” Hamimi menyeringai.
Mendengar soalan Hamimi itu, Farhana tersedak. Gelas di hadapannya dicapai lalu dia meneguk air di dalamnya. Dia menepuk dadanya sendiri sambil terbatuk-batuk kecil.

“Hai, sampai tersedak-sedak?” Hamimi ketawa.

“Yalah. Soalan yang tak masuk dek akal langsung.” Farhana menjeling tajam sahabatnya.

“Aku saja bertanya. Manalah tau kalau kalau kau perasan yang dia tu ada menaruh hati pada kau.”

“Ke situ pulak perginya. Mengarutlah kau ni.”

“Apa pulak? Kalau betul-betul Encik Amirul tu suka kat kau, apa salahnya, kan?”

“Dahlah. Cepatlah makan. Aku dah habis makan dah.”

“Katalah... dia suka kat kau, macam mana?”

“Macam mana apa?”

“Yalah. Kau suka ke tak?”

“Kalau dia suka kat aku?” Farhana mengulang soalan Hamimi tadi.
Hamimi mengangguk suka.

“Siapa yang tak suka dengan orang yang macam Encik Amirul tu, Mimi. Menolak tuah namanya kalau menolak cinta dia.” Farhana tersenyum malu.

“Habis tu, kalau dia suka kat kau dan mahu kau jadi teman istimewa dia, kau naklah, ya?” soal Hamimi penuh minat.

“Aku terima kut.” Farhana tersengih-sengih.

“Eleh, malu-malu konon. Malu tapi mahu. Gatal jugak kau ni ya.” Hamimi tergelak diakhir ayatnya.

“Dah kau yang tanya, aku jawablah. Kalau aku tak jawab kang, sepuluh kali soalan yang sama kau ulang-ulang tanya. Hisy, jawab salah, tak jawab pun salah.” Farhana tersentap. Dia menjuihkan bibirnya.

Hamimi ketawa sakan melihat gelagat Farhana. Dia nampak comel dengan mimik muka begitu.

Tetapi dengan secara tiba-tiba ketawa Hamimi terhenti. “Tapi...” Belum sempat dia menghabiskan ayatnya, Farhana mencelah.

“Tapi kenapa, Mimi?”

“Kalau kau berkawan dengan Encik Amirul, macam mana dengan Ako?” Riak wajah Hamimi berubah apabila menyebut nama lelaki itu.

“Kenapa dengan dia?” Farhana mengerutkan kening.

“Kau ni macam tak tau. Dia kan suka kat kau?”

“Pandai-pandai aje kau ni. Berapa kali aku cakap, dia dan aku tak ada apa-apa perasaan, okey? Dia sayang aku hanya sebagai kawan. Aku pun macam tu jugak,” tegas Farhana bersungguh-sungguh.

“Aku yakin kalau kau berkawan baik dengan Encik Amirul tu, Ako mesti akan jauhkan diri.”

“Kenapa pulak?”

“Yalah, mestilah dia rasa tersisih. Dan mestilah dia rasa tidak diperlukan lagi.”

“Tak adalah. Aku dengan dia akan okey sampai bila-bila.”

“Itu kata kau. Apa kata dia pulak?”

“Kau ni lebih-lebih aje, kan? Aku dengan Encik Amirul tak ada apa-apa. Yang kau memandai-mandai buat telahan sendiri tu, kenapa?”

“Aku kata kalau, kau faham tak? Kalau...”

“Hidup ni jangan suka berkalau-kalau. Kau ingat tak lagu Anita Sarawak?” Farhana tergelak sambil dia cuba mengingatkan lirik lagu nyanyian Anita Sarawak itu.

“Kau jangan tanya aku lagu-lagu Anita Sarawak. Aku tak minat dia.” Hamimi mencebik.

Seketika Farhana terdiam. Seperti ada sesuatu yang mengganggu fikirannya tatkala itu. “Bercakap pasal Ako, tiba-tiba rasa rindu pulak. Lama kita tak duduk makan sama-sama dengan dia, kan?” Keluhan dilepaskan.

“Hai, mengeluh nampak? Tadi bila aku sebut pasal dia tu, kau kata tak ada apa-apa. Yang rindu-rindu tu pulak apa kes?” Pinggan yang tinggal sisa tulang ditolak ke tepi. Kemudian Hamimi meneguk Cappuccino yang sudah sejuk. Sisa-sisa buih yang melekat di bibirnya dilap dengan tisu kertas.

“Sejak mak dia meninggal, aku tengok dia dah lain macam aje. Kau tak perasan ke, dia dah jarang makan dengan kita? Tak macam selalu, dia yang kecoh ajak kita makan sama. Gurau senda dan gelak ketawa jauh sekali.” Farhana menyandarkan badan ke belakang. “Itu yang aku rindukan sangat tu.”

“Dia kecik hati dengan kita kut, Farah.”

“Apasal pulak nak kecik hati? Bukan salah kita sebab tak tau pasal emak dia tu. Salah dia. Kenapa dia balik kampung senyap-senyap, tak bagitau kita.”

“Tapi aku rasa bukan pasal itulah.”

“Habis tu... pasal apa pulak?”

“Entahlah.” Sejenak Hamimi terdiam. Wajah ayu Farhana ditatap dalam. “Apa kata kau telefon dia?”

“Apa kata kau yang telefon dia?” cadang Farhana pula.

“Aku ni seteru dia. Dia bukannya sukakan aku pun, nanti tak pasal-pasal bertekak kat dalam telefon pulak. Dahlah, kaulah yang telefon dia.”

“Nanti aku telefon dia kat rumahlah.” Jam di pergelangan tangan dikerling. “Makanan dah habis, minuman pun dah kering. Apa lagi? Takkan nak tidur kat sini kut? Jomlah kita berangkat pulang.” Farhana bangkit dari tempat duduk. Beg plastik yang berisi novel yang dibeli tadi dicapai dari atas meja lalu melangkah ke kaunter.

“Terima kasih daun keladi ya, kawan. Semoga Allah murahkan rezeki kau dan boleh belanja aku lagi.” Hamimi ketawa riang.

“Sama-sama kasih. Mudah-mudahan doa kau termakbul, amin. Dan bolehlah aku selalu belanja kau, kan?” Farhana ketawa menampakkan barisan giginya yang tersusun cantik.

Hamimi mengangguk mengeyakan kata-kata Farhana.

“Tapi ada syarat. Mana ada orang selalu belanja orang makan tanpa sebab? Betul tak?” Farhana meletakkan tangannya di bahu Hamimi. Kaki terus juga melangkah seiring.

“Betul. Aku setuju. Jadi, apa syaratnya? Untuk belanja kau, aku tak kisah. Bila-bila pun boleh.”

“Syaratnya, kau jadi kakak ipar aku.” Serta-merta Farhana ketawa.

“Kau memandai-mandai aje nak menjodohkan orang.” Hamimi tidak senang dikaitkan dengan Adam. Mahu menegur Adam pun segan, inikan pula mahu menjadi pasangan istimewanya. Oh! Memang tidak mungkin.

“Kau bukan tak tau macam mana abang aku tu. Mulut dia ada emas, mulut berat nak menyapa orang. Kalau dengan kau yang mulut becok ni, aku rasa memang sangat sesuai. Dan hidup kau pun mesti bahagia sebab abang long bukan macam Ako yang suka layan kau bertekak.” Farhana ketawa lagi, menutup mulut dengan tapak tangannya.

“Ketawalah. Ketawa banyak-banyak. Kau tau tak, mak aku pernah kata kalau kita banyak sangat ketawa maknanya kita nak menangis, tau.” Hamimi tidak kisah dengan apa yang dikatakan oleh Farhana. Dia hanya menganggapnya sebagai gurauan belaka. Tidak sedikit pun dia berkecil hati.

“Oh, ya ke?” Serta-merta Farhana berhenti ketawa.


Melihat reaksi Farhana itu, Hamimi berasa geli hati. Lucu sungguh. Lantas dia pun ketawa sehingga merah padam mukanya. Tidak semena-mena satu cubitan singgah di lengannya. Sakit! Lantas dia mengusap lengannya dengan ketawa yang masih bersisa.

.

Sunday, August 25, 2013

HELO si MERAH JAMBU - BAB 25


.
Kedengaran suara juruhebah berselang-seli dengan alunan lagu-lagu yang berkumandang dari corong radio yang sengaja dipasang kuat. Sesekali ada suara sumbang yang turut menyanyi mengiringi lagu yang diputarkan. Hamimi memang tidak ada bakat menyanyi langsung. Dia bernyanyi ikut suka hatinya saja sampai terbatuk-batuk dia dibuatnya.

“Sudahlah tu. Hujan ribut pulak nanti. Cukuplah radio tu saja yang menyanyi.” Farhana mengomel.

Hamimi tidak peduli dengan sindiran teman sebiliknya itu. Dia tidak terus diam sebaliknya semakin kuat dia bernyanyi. “Menyanyi boleh redakan perasaan tau, Cik Farah oi!” Dia mencuit pinggang Farhana yang sedang duduk membaca surat khabar harian di ruang tamu.

“Redakan perasaan sendiri tapi sakitkan telinga orang lain yang mendengar,” balas Farhana. “Kalau sedap suara tu, tak apalah jugak,” sindirnya. Pandangannya masih tertumpu ke dada akhbar yang ditatapnya.

“Aku tak kisah orang nak kata apa, janji aku bahagia.” Hamimi ketawa di hujung kata-katanya sambil menghenyakkan punggungnya yang lebar ke sofa. Sindiran itu seperti satu gurauan baginya.

“Bahagia? Wah! Ini yang seronok nak dengar ni. Kejap... kejap... biar aku teka.” Farhana meletakkan naskhah surat khabar ke atas meja kopi. “Aku tau. Ini mesti baru berkenalan dengan orang baru dalam Facebook, kan?” Dia serkap jarang.

“Pandai kau teka, ya? Kau ni tau aje semua pasal aku. Kau tak ada FB, tapi macam mana kau tau?” tanya Hamimi.

“Alah, aku kenal kau bukan sehari dua. Seimbas lalu aku tengok muka kau tu aku dah tau apa yang ada dalam hati kau.” Farhana senyum mengejek.

“Ada-ada aje kau ni. Aku pun sebenarnya saja buat cerita. Kalau setakat kawan baru dalam FB tu, dah tak hairan. Dia orang tu semua bukan boleh pakai. Setakat buat kawan untuk melepaskan bosan saja bolehlah.”

“Lain macam aje bunyinya. Aku ingat lagi, dulu kau pernah cakap kemungkinan jodoh kau salah seorang dari kawan-kawan FB kau.” Farhana menatap wajah Hamimi. ‘Sesekali pandang cantik juga Mimi ni,’ desisnya.

“Aku pernah cakap macam tu ke?” Hamimi mencebikkan bibirnya.

“Yalah. Kalau bukan kau yang cakap, siapa lagi? Aku mana ada kawan lain yang gila FB macam kau ni,” perli Farhana. Dia senyum sinis.

“Tak baiklah kau ni. Sampai hati kau kata aku macam tu.” Hamimi berpura-pura merajuk.

Farhana menatap surat khabar semula tanpa mahu membalas kata-kata Hamimi. Kali ini rajuknya tidak laku. Bosan menunggu orang untuk memujuk. Akhirnya rajuk itu ditolak ke tepi.

“Shakira dengan Yasmin ni tak reti duduk rumah. Asal cuti ada saja rancangan dia orang,” soal Hamimi setelah lama berdiam. Soalan yang jauh menyimpang dari pokok cerita mereka tadi.

“Biarlah dia orang. Duduk rumah pun nak buat apa?” bidas Farhana.

“Yalah. Asyik terperap aje kat rumah, bosan jugak, kan? Jom Farah kita keluar jalan-jalan, nak?” ajak Hamimi. Sudah agak lama juga mereka tidak keluar bersiar-siar.

“Boleh jugak. Kita pergi One Utama, nak? Boleh kita singgah kedai buku, aku nak cari novel terbaru. Novel yang ada pun, semuanya dah habis baca.” Farhana memang hantu novel. Dia tidak kedekut untuk melaburkan wang gajinya untuk membeli novel-novel baru yang terdapat di pasaran.

“Aku okey aje. Apa lagi? Jomlah bersiap.” Hamimi bingkas bangun lalu meluru ke bilik air untuk mandi.



Ruang legar di One Utama penuh sesak dengan manusia. Begitulah keadaannya saban hari, apatah lagi pada hujung minggu. Apalah yang dicari mereka? Tetapi apa yang nak dihairankan, kalau ada duit tiap-tiap minggu pun boleh membeli-belah. Tidak perlu menunggu cukup bulan.

Mereka berdua bergandingan melangkah sambil memerhati kedai-kedai yang berderetan. Mereka begitu teruja apabila melihat ada beberapa buah kedai yang sedang mengadakan jualan murah. Bergantungan papan tanda yang menunjukkan peratus potongan harga yang ditawarkan untuk menarik perhatian pelanggan. Mereka berdua juga tidak terkecuali, pantang saja nampak tawaran jualan murah pasti mereka menyerbu ke kedai itu.

Farhana sangat cerewet memilih barang yang mahu dibeli. Dibelek-beleknya sesuatu barang itu sehingga berjam-jam tapi akhirnya barang itu diletakkan semula. Ada saja yang tidak berkenan di hatinya. Hamimi hanya menumpang tengok. Di dalam hati kecilnya terselit juga keinginan untuk membeli sesuatu untuk diri sendiri tapi apabila terkenangkan ibu dan adik-adiknya, keinginannya jadi terbantut.

“Mimi, yang ini cantik tak?” Farhana menunjukkan sehelai blaus berwarna merah jambu.

“Kulit kau putih. Pakai apa pun cantik.”

“Tapi renda-renda ni tak nampak over ke?” Farhana  mengacu-acukan blaus itu ke tubuhnya.

“Okey aje aku tengok. Tapi cuba kau pilih warna lain. Warna ungu tu pun cantik jugak,” kata Hamimi sambil membelek baju-baju di rak yang lain.

Entah kenapa, walaupun ada pelbagai warna pilihan namun warna merah jambu juga yang menjadi pilihan dan menambat hatinya. Farhana memuncung. Blaus warna ungu dibelek-beleknya. Kemudian dia meletakkannya semula. Semakin lama dibelek semakin dia tidak berkenan. Setelah letih mencari, akhirnya Farhana menarik tangan Hamimi untuk beredar dari kedai itu.

“Mana baju tadi?” tanya Hamimi apabila melihat Farhana hanya berlenggang.

“Tak jadi belilah.”

“Kenapa? Cantik apa baju tu.”

“Aku tak berkenan dengan renda-renda tu.”

“Kau ni cerewetlah. Renda-renda tu buat kau nampak comel. Aku rasa baju tu sesuai untuk kau.”

“Tak apalah. Kalau aku beli, aku nak beli warna merah jambu jugak tapi kau suruh aku pilih warna ungu, langsung tak jadi.”

“Laa... pasal warna ungu tu ke? Aku cadangkan aje. Kau kan dah banyak baju warna merah jambu? Asyik-asyik merah jambu. Sesekali pilihlah warna lain. Mungkin kalau kau pakai warna ungu kau nampak lebih cun.”

“Tak ada maknanya.”

“Okeylah. Pergilah ambil warna merah jambu tu.”

“Tak apalah. Kita pergi cari kat kedai lainlah.”

Hamimi mengikut sahaja gerak langkah Farhana. Dia hanya menemani gadis itu. Dia tidak ada cadangan untuk membeli apa-apa. Tidak berapa jauh berjalan, mereka sudah sampai di muka pintu kedai buku Popular.

Farhana melajukan langkahnya. Dia meluru masuk ke dalam kedai tersebut. Dia seperti tidak sabar-sabar untuk mendapatkan beberapa buah novel yang sudah dirancang untuk dibeli. Hamimi hanya mengekor dari belakang sambil memerhati sekeliling.

Ramai juga orang di kedai buku itu. Kelihatan beberapa orang yang duduk di celah-celah rak sambil membaca buku-buku pilihan mereka. Anak-anak kecil juga tidak mahu kalah. Riuh suara mereka mencari dan membelek buku kesukaan sambil ditemani ayah dan ibu mereka yang turut sama memilih bahan bacaan untuk sikecil.

Beruntung budak-budak sekarang, kecil-kecil lagi sudah boleh buat pilihan mahu beli buku apa yang mereka suka.  Di dalam hati kecil Hamimi berdetik. Kalau dibandingkan dirinya dengan mereka memang jauh bezanya. Dia dahulu tidak pernah merasa masuk ke kedai buku, apatah lagi membeli buku kesukaannya.

Hamimi membiarkan Farhana melayan dunia bukunya. Dia hanya memerhati gadis itu dari jauh. Setelah pasti teman sebiliknya itu berada di ruang rak novel maka dia meneruskan langkahnya ke rak yang lain pula. Dia hanya membelek dan membaca sekali lalu sahaja buku-buku yang dilihat menarik dari tajuk luarannya. Dia tidak berhajat untuk membeli apa-apa. Lagi pula, buku-buku itu mahal harganya.

Farhana meluru ke rak di mana terletak buku-buku novel Melayu. Dia beralih dari satu rak ke satu rak sambil melihat tajuk-tajuk yang tercatit di kulit buku. Apabila terjumpa tajuk yang menarik dan hasil karya daripada penulis yang dia minati, dia akan membaca blurb di belakang kulit buku novel tersebut.

Sebenarnya dia tidak kisah siapa penulis novel itu asalkan jalan ceritanya menarik dibaca, dia akan membelinya. Begitu asyik dia membelek novel sehingga terlupa tentang Hamimi.

Sebaik sahaja dia teringat tentang sahabatnya itu, dia menoleh ke belakang. Memanjang-manjangkan leher mencari kelibat sahabatnya itu. Dua buah novel sudah berada di tangannya lalu kaki melangkah ke kaunter untuk membuat bayaran.

Farhana mengeluarkan sekeping wang kertas bernilai RM50 dari dalam dompet lalu dihulurkan kepada juruwang yang bertugas. Sejurus mengambil wang kecil serta sebuah beg plastik yang berisi novel yang dibeli tadi, mereka pun beredar.

“Kau tak sayang duit ke beli novel sampai berpuluh-puluh ringgit? Almari buku kat rumah tu sampai dah tak muat. Dah boleh buat perpustakaan. Lebih baik kau jual aje novel-novel yang dah lama.” Hamimi mengomel.

“Eh! Jangan pandai-pandai nak suruh aku jual novel-novel tu,” sanggah Farhana.

“Novel-novel tu kau dah habis baca, kan? Buat apa nak simpan lagi? Buat semak aje,” tambah Hamimi. Bukan dia tidak tahu minat sahabatnya itu. “Jual novel lama, beli novel baru.” Dia mengusul cadangan pula.

“Tak naklah. Aku sayanglah novel-novel aku tu. Aku nak buat koleksi.”

“Peliklah hobi manusia ni. Simpan duit ada juga faedahnya dari menyimpan novel. Dahlah membazir duit beli sampai berpuluh-puluh ringgit. Lepas tu disimpan saja buat tempat habuk bersarang,” bebel Hamimi.

“Hobi kita berbeza. Aku minat beli dan baca novel dan kau pula minat menghadap FB. Kau ingat FB tu menguntungkan ke? Buat habis duit bayar elektrik aje. Bil internet pun kena bayar jugak. Tolak campur sama juga jawapannya. Jadi, biarlah aku dengan hobi aku dan kau dengan hobi kau asalkan kita tak ganggu dan menyusahkan hidup orang lain. Betul tak?” ujar Farhana panjang lebar.

“Bijaklah kau ni. Aku memang tak boleh lawan kau kalau berdebat cakap. Kalau cakap mesti kau yang menang. Okey, aku ngaku kalah. Aku tabik hormat dengan pendirian kau. Kau memang ratu debat.” Hamimi tersengih-sengih.

“Okeylah disebabkan kau memuji-muji aku dan perut aku ni pun dah berkeroncong dah ni, apa kata aku belanja kau makan.” Farhana memberi cadangan.

“Aku setuju. Aku tau kau memang faham benar dengan pujian aku tu.” Hamimi ketawa.

“Pujian kau memang ada makna, kan? Aku dah masak dengan perangai kau tu. Dahlah jom. Nak makan apa?” Farhana sudah tahu benar sikap Hamimi. Setiap kali memuji pasti ada makna yang tersirat disebaliknya. Namun begitu, dia tidak kisah. Dia ikhlas mahu belanja Hamimi makan.

“Aku ikut kau. Apa yang kau belanja, aku makan. Aku tak banyak songeh.”
Mereka mengorak langkah ke restoran Kenny Rogers, pilihan Farhana. Ketika mereka sampai di pintu masuk restoran tersebut, ruang agak penuh. Tatkala melihat sebuah meja baru sahaja dikosongkan oleh sepasang pengunjung, mereka terus menuju ke arah meja tersebut.

Sebaik sahaja mereka duduk, pelayan restoran itu terus mengambil pesanan. Setelah pesanan dibuat, pelayan itu pun berlalu pergi. Farhana memandang Hamimi dengan wajah pelik. Hamimi membuat isyarat muka. Farhana tidak faham apa yang cuba Hamimi sampaikan. Dia turut menanya dengan isyarat muka juga tanpa dialog. Hamimi memuncungkan mulut menunjuk ke arah orang yang duduk di sebelahnya.

Farhana berat hati untuk menoleh ke sebelah. Tetapi dia sempat memandang gadis yang duduk di sebelah Hamimi. Dia melirikkan senyum sebagai sapaan. Malangnya gadis itu tidak membalas senyumannya itu.

Tiba-tiba insiden di McDonald’s menerpa mindanya. Ya, wajah gadis itu sama seperti gadis yang memarahinya ketika insiden itu berlaku. Segera Farhana menoleh ke sisi untuk memastikan orang yang duduk di sebelahnya itu lelaki atau perempuan.

Tatkala dia menoleh, wajah Amirul sedang tenang merenungnya. Mata mereka bertentangan. Degupan jantung berdetak deras bagaikan paluan kompang. Oleh kerana jarak duduk mereka yang hampir, desahan nafas masing-masing sangat ketara kedengaran.

Hamimi hanya memerhati reaksi dua insan itu seperti menonton drama Korea di kaca TV.

Qistina pula merah mukanya menahan marah. Dia tidak suka dengan adegan yang disaksikan itu. Perasaan cemburu bagaikan mencucuk-cucuk tangkai jantungnya.

“Eh! Kebetulan pulak kita berjumpa di sini.” Amirul bersuara setelah agak lama berdiam.

“Ya... ya...” Farhana menjawab gugup. Dia mengangguk-angguk. Sesekali dia mengerling ke arah Qistina yang kelihatan tidak senang duduk. Kalau boleh dia mahu bangun dan keluar sahaja dari restoran itu.

“Nak ajak keluar makan, susah sangat. Akhirnya dapat juga kita makan bersama di sini.” Amirul menyengih. Kehadiran Qistina tidak penting baginya. Qistina hanya kawan biasa. Gadis itu tidak perlu emosi apabila melihat Farhana duduk di sebelahnya.

“Kenalkan ini kawan saya Qistina.” Amirul memperkenalkan Qistina kepada Farhana dan Hamimi.

Berdesing telinga Qistina apabila mendengar perkataan kawan. Dia kenalkan aku hanya sebagai kawan?

Farhana terlebih dahulu menghulurkan tangan. Sengaja dengan lambat-lambat Qistina menyambut huluran tangan gadis itu. Kemudian Hamimi pula turut menghulurkan tangan tanda perkenalan.

Farhana hanya mampu tersenyum. Namun senyuman itu tampak tidak ikhlas. Tidak ada kata-kata yang terkeluar dari ulas bibirnya yang mungil. Dia terkedu. Apatah lagi melihat wajah Qistina yang berkerut seribu. Dia tidak rela dituduh meragut kebahagiaan orang lain. Lebih-lebih lagi orang itu adalah orang yang dia kenali. Sesekali Farhana mengerling Hamimi yang bersikap selamba, seperti tidak ada apa-apa yang berlaku.

Pelayan tadi datang membawa makanan yang dipesan tadi. Hamimi kelihatan teruja, tidak sabar untuk menjamah makanan yang sudah berada di hadapan mata. Aromanya sudah cukup membuka selera. Sebelum memulakan makan Farhana mempelawa Qistina dan Amirul untuk makan sama walaupun dia tahu mereka baru sahaja selesai makan.

“Jom, Mirul. Kita dah habis makan.” Qistina mengajak Amirul beredar. Dia sudah tidak tahan melihat gelagat Amirul. Bukan main lagi dia kalau dengan perempuan lain. Menyengih saja macam kerang yang tak laku. Menyampah!

“Tunggulah dulu. I nak temankan mereka makan. Lagipun kita tak ada rancangan apa-apa selepas ni, kan?” tegas Amirul.

Panas mendidih perasaan Qistina. Sakit hatinya melihat sikap baik Amirul yang secara tiba-tiba itu. Boleh tahan juga miangnya dia ni, bisiknya di dalam hati.

“Okey,” jawab Qistina. Dia cuba untuk kelihatan normal. Dia cuba tersenyum untuk memaniskan wajah.

“Tak apalah, Encik Amirul. Sebenarnya kami ada hal peribadi yang nak dibincangkan. Rasanya kami perlukan privasi.” Farhana cuba berbohong. Ketika itu bukan masa yang sesuai untuk mereka duduk berbual. Lebih-lebih lagi dengan adanya teman wanita Amirul di situ. Melihat kerutan di wajah gadis itu, Farhana dapat meneka yang dia tidak senang dengan situasi itu.

Hamimi mengangguk seperti burung belatuk. Dia bersetuju dengan cadangan Farhana walaupun dia tahu itu hanya alasan semata-mata. Dia turut berasa kurang selesa dengan kehadiran Qistina. Walaupun dia tidak mengenalinya namun sikap sinisnya menjengkelkan.

“Oh, ya ke? Kalau macam tu, saya minta diri dulu. Saya harap sangat satu hari nanti kita dapat duduk makan sambil berbual- bual ya, Farah.” Amirul bangkit. 

Sebenarnya berat hatinya untuk beredar. Jika diberi kebenaran, dia mahu turut sama duduk menemani sambil berbual-bual dengan gadis-gadis itu. Sebagai menghormati hak peribadi, dia terpaksa akur untuk beredar dengan harapan satu hari nanti dia akan dapat meluangkan masa bersama mereka dilain waktu.


Qistina berasa mual dengan sikap Amirul. Kalau dengan dirinya tidak pula Amirul mahu bersikap lemah lembut dan bersopan santun begitu. Dasar lelaki hipokrit, marahnya dalam hati. Sebelum beredar dia bersalam dengan Farhana dan Hamimi. Bersalam pun hanya sekadar dihujung jari sahaja. Qistina mendahului Amirul meninggalkan tempat itu. Sejurus Amirul beredar dan hilang dari pandangan mata, barulah Farhana menarik nafas lega sambil tersengih-sengih.

.

Wednesday, August 21, 2013

HELO si MERAH JAMBU - BAB 24

.

Malam kian dimamah waktu. Dada langit yang hitam pekat, cantik dihiasi cahaya bulan dengan kerlipan bintang-bintang yang bertaburan.

Suasana di sekitar kawasan banglo mewah itu terang-benderang dimandikan cahaya dari lampu-lampu yang terpasang. Manakala alunan muzik instrumental yang dimainkan menyerikan lagi suasana lokasi itu. Lebih kurang sepuluh biji meja bulat disusun rapi mengelilingi kolam renang yang terletak di tepi rumah agam tersebut. Kain satin berwarna putih dan biru gelap menghiasi meja-meja itu. Dan terdapat sebuah meja panjang di mana beraneka jenis makanan yang dihidang secara bufet.

Majlis itu tampak meriah dengan kehadiran para tetamu yang dijemput. Sekali-sekala kedengaran suara gelak tawa dari beberapa kelompok tetamu yang hadir.

Pasangan Mustafa dan Mazni juga tidak ketinggalan memeriahkan majlis itu. Amirul juga turut ada sama sebagai jemputan istimewa walaupun berat hatinya untuk menghadirkan diri. Dia mengambil tempat yang agak terpencil, jauh sedikit dari keriuhan. Wajahnya sugul. Jasadnya saja yang berada di situ sedangkan jiwanya entah ke mana-mana. Dia memang tidak gemar berada di majlis seumpama itu. Biarlah orang mengatanya kera sumbang, dia rela daripada dia menjadi manusia hipokrit.

Mazni hampir terlupa dengan kewujudan Amirul di majlis itu kerana terlalu leka berbual dengan teman-temannya. Lantas dia meminta diri daripada teman-temannya untuk menjejaki di mana anak bujangnya itu berada. Dia memanjangkan leher mencari-cari kelibat Amirul. Agak sukar mencarinya di tengah-tengah tetamu yang hadir. Terkedek-kedek dia berjalan sambil menyingsing gaun labuhnya. Anak matanya liar memandang sekeliling. Akhirnya dia ternampak Amirul yang sedang bersendirian di suatu sudut terpencil sambil memegang gelas kaca.

“Mirul, kenapa duduk sorang-sorang kat sini? Jom, pergi sana.” Mazni mengajak Amirul ke tengah ruang.

“Tak apalah, ma. Mama pergilah. Saya sakit kepalalah.” Amirul beralasan.

“Sakit kepala pulak? Macam-macamlah Mirul ni.”

“Itulah, mama yang paksa saya datang. Saya bukan suka tempat-tempat macam ni,” rungut Amirul perlahan.

Mazni mendengus. Kemudian dia mengetap bibir menahan geram. Mujur saja mereka di majlis orang. “Sampai bila Mirul nak duduk sini? Sekejap lagi Qistina keluar nak potong kek. Tolong jangan bagi malu mama dengan papa.” Mazni menjegilkan matanya.

“Mama pergilah dulu. Sekejap lagi saya datang,” ujar Amirul. Geram pula dibuatnya apabila dia dipaksa untuk membuat sesuatu yang dia tidak suka.

“Cepat tau. Jangan lambat,” tegas Mazni sebelum beredar meninggalkan anak bujangnya sendirian.

“Ya, ma,” jawab Amirul bosan.

Beberapa ketika kemudian, kedengaran tepukan dan sorakan kecil dari tetamu-tetamu yang berkumpul di tepi kolam itu. Amirul pasti, tepukan dan sorakan itu untuk Qistina. Sudah tentu gadis gedik itu sudah berada di tengah ruang.  Amirul bangkit dan melangkah malas untuk sama-sama meraikan majlis sambutan hari jadi Qistina yang ke 22 tahun.

Qistina dilihat sedang berdiri berhampiran dengan kek dua tingkat berwarna putih. Dia kelihatan anggun dengan memakai gaun labuh yang mengikut bentuk badannya yang langsing. Rambutnya yang panjang melepasi bahu dilepaskan saja. Sempena majlis itu dan untuk kelihatan berbeza dari hari biasa, rambutnya dikeritingkan sedikit. Dia tampak lebih dewasa dengan gaya rambut begitu. Wajahnya pula disolek rapi dan dia kelihatan sungguh ceria.

Tatkala ternampak wajah Amirul di tengah tetamu yang hadir, Qistina menghadiahkan senyumannya yang manis. Lantas dia menggamit ke arah Amirul. Dia mahu pemuda itu berdiri di sampingnya di situ. Amirul hanya menggeleng enggan. Sejurus kemudian Dato’ Azhar memberi sedikit ucapan sebelum meminta tetamu-tetamu yang hadir untuk menyanyikan lagu Selamat Hari Jadi untuk anak gadisnya. Berseri-seri wajah Dato’ Azhar. Almaklumlah anak gadisnya yang seorang itu sudah semakin dewasa dan cantik pula.

Sebaik sahaja nyanyian tamat, Qistina meniup api lilin yang diletakkan di atas kek sehingga padam. Lalu tetamu yang hadir pun bertepuk tangan diiringi sorakan riang. Kemudian Datin Bibah menjemput tetamu-tetamunya untuk menjamu selera. Datin Bibah juga tidak mahu kalah, malam itu ketampilannya menjadi perhatian. Warna biru muda amat sesuai dengan kulitnya yang putih melepak. Dia memakai sepasang baju kurung moden yang sarat dengan labuci di bahagian dada. Rambutnya pula disanggul rapi dan dihias ringkas. Wajahnya yang disolek nipis kelihatan manis dengan senyuman yang tidak lekang dari bibir merahnya.

“Mirul,” panggil Qistina apabila melihat Amirul seperti mahu menjauhkan diri darinya.

Amirul berhenti melangkah ketika mendengar namanya dipanggil.

“You tak nak ucap apa-apa?” pinta Qistina manja.

“Oh ya, Selamat Hari Jadi semoga berubah menjadi gadis yang lebih matang. Buangkan sikap mengada-ngada dan gedik you tu supaya you lebih dihormati,” ucap Amirul sinis.

“Mirul, kenapa you ni? Kalau tak sakitkan hati I tak boleh ke? Ini majlis hari jadi I tau. Tolonglah.” Qistina naik angin.

Lain yang dia harapkan, lain pula yang menjadi. Siang tadi dia berangan, Amirul datang dengan sejambak bunga sebagai hadiah. Jambangan bunga itu diberikan kepadanya disaksikan tetamu-tetamu yang hadir. Kemudian Amirul menyeluk kocek untuk mengeluarkan sesuatu. Alangkah terkejutnya dia apabila melihat sebuah kotak kecil berwarna merah berada di tapak tangan lelaki itu. Amirul kemudiannya mengeluarkan sebentuk cincin bertakhtakan berlian dari kotak comel itu. Dia meraih tangan Qistina lalu menyarungkan cincin tersebut ke jari manis Qistina. Ah... itu semua hanya angan-angan saja. Realitinya tidak seindah imaginasi sebaliknya dia disindir sinis pula. Sungguh menjengkelkan dan menyakitkan hati!

“Maaf, kalau you tak suka dengan apa yang I cakapkan. Tapi itu kenyataan.” Selamba sahaja Amirul berkata. Bukan niatnya mahu mengenakan Qistina tetapi dia mahu gadis itu berubah menjadi lebih matang seiring dengan usianya yang sudah semakin meningkat dewasa.

“You memang sengaja nak menyakitkan hati I, kan? You jangan nak cakap orang aje, you tu pun apa kurangnya? Sombong! Bongkak!” jerit Qistina dengan sedu-sedan yang ditahan-tahan. Dia merengek seperti anak-anak kecil sambil memukul-mukul Amirul. Dia tidak peduli dengan tetamu-tetamu yang ada. Yang pasti hatinya telah disakiti oleh lelaki yang dia kasihi. Dia tidak boleh terima kenyataan itu. Apatah lagi kata-kata itu diluahkan pada hari sambutan hari jadinya.

Serta-merta air muka Amirul berubah pucat. Dia tidak menyangka Qistina akan bertindak begitu. Amirul menginjakkan tubuhnya ke belakang sedikit untuk mengelak dari terus dipukul oleh Qistina. Dia tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Matanya liar memandang ke arah tetamu-tetamu yang terpinga dan tertanya-tanya dengan aksi kasar Qistina itu. Mereka berdua menjadi tumpuan semua yang hadir.

“Kenapa ni, Qis?” Datin Bibah menerpa ke arah Qistina yang sedang teresak-esak. Tubuh anak gadisnya itu didakap supaya dia berhenti dari menumbuk Amirul. “Mirul, kenapa?”

Amirul tidak memberikan jawapan. Dia membatu.

“Apa yang berlaku ni, Mirul?” Mazni tergesa-gesa menghampiri Amirul yang masih berdiam. Mustafa dan Dato’ Azhar juga melangkah pantas menuju ke arah mereka. Wajah kedua-dua lelaki itu kelihatan cemas.

“Kenapa ni, sayang?” tanya Dato’ Azhar lembut. Tangannya mengusap-usap belakang Qistina.

Qistina tidak menjawab sebaliknya dia menangis lebih kuat lagi. Semua yang memerhati menjadi panik.

“Tak tau kenapa. Puas I pujuk, tapi Qis tak nak cakap apa-apa. Dia asyik menangis aje,” jelas Datin Bibah yang kelihatan runsing.

“Apa yang dah berlaku, Mirul?” desak Mazni. Tidak sabar dia dengan perangai Amirul yang selalu saja buat darahnya naik melonjak ke kepala.

Amirul menjongketkan bahu. “Tanyalah dia,” jawab Amirul selamba.

“Mesti Mirul ada buat apa-apa pada Qistina. Kalau tidak kenapa dia menangis beria-ia macam tu,” kata Mazni geram. Rasa seperti mahu dicubit paha Amirul ketika itu.

Mustafa hanya mampu memandang dengan reaksi yang kurang senang di atas apa yang berlaku.

“Bib, bawa Qis masuk ke dalam rumah,” arah Dato’ Azhar kepada Datin Bibah.

Datin Bibah akur. Dia memimpin Qistina masuk ke dalam rumah. Tetamu-tetamu yang datang tertanya-tanya sesama sendiri. Mereka ingin tahu apa sebenarnya yang berlaku kepada Qistina yang sepatutnya gembira berubah menjadi sebaliknya pula. Majlis itu sempena menyambut hari kelahirannya.

“Tak ada apa-apa yang berlaku. Cuma perkara kecil saja. Jemputlah makan. Sekejap lagi bila anak saya dah okey, dia keluarlah tu.” Dato’ Azhar memberitahu  tetamu yang datang bertanya sambil tersenyum-senyum.

Jauh di sudut hatinya dia juga sebenarnya mahu tahu apa yang berlaku kepada anak gadisnya Qistina. Orang yang tepat untuk diaju soalan itu ialah Amirul. Hanya dia sahaja yang tahu.

“Kenapa dengan Qistina, Amirul? Uncle tak marah. Uncle cuma nak tahu, apa punca Qis menangis, itu saja.” Dia  mendapatkan Amirul lalu mengajukan soalan itu padanya.

“Tak ada apa-apa, uncle. Saya cuma ucapkan selamat hari jadi pada dia. Saya kata semoga dia bertambah matang dan dewasa seiring usia, itu saja. Saya rasa mungkin dia tidak dapat terima bila saya suruh dia jadi matang dan dewasa agaknya. Dia kan anak manja?” Amirul berterus terang walaupun perkataan gedik itu tidak disebut. Dia tahu, sebenarnya Qistina marah sangat apabila dia dikatakan gedik.

Mendengar jawapan Amirul itu, Dato’ Azhar tergelak besar. “Oh, ya ke? Cakap macam tu pun dia nak merajuk? Qis... Qis...” Dia menggeleng-geleng. “Memang tak berubah perangainya walaupun dah masuk umur dua puluh dua  tahun. Biarlah, sekejap lagi dia okeylah tu. Jemput makan Mirul.” Ketawa Dato’ Azhar masih bersisa.

Malam sudah semakin larut. Tetamu-tetamu yang datang juga sudah semakin ramai yang pulang. Hanya dua kelompok tetamu saja yang kelihatan masih berbual-bual. Sesekali kedengaran deraian gelak tawa daripada kelompok itu.

“Terima kasih, Maz kerana sudi datang ke majlis Qis. Nanti bila-bila senang datanglah lagi,” ucap Datin Bibah di pintu pagar.

“Insya-ALLAH. Harap-harap Qis okey.” Mazni membalas.

“Dia okey aje tu. Hal orang-orang muda, kita tak perlulah masuk campur. Nanti pesan kat Amirul, sudi-sudilah datang ke rumah kami nanti. Pasal Qis tu tak usah risau, dia dah nampak okey dah tu,” pesan Datin Bibah mesra.

“Yalah, Datin. Mereka sama-sama masih belum matang sebenarnya. Masing-masing ego.” Mazni ketawa.

Datin Bibah turut ketawa sama.

Dato’ Azhar dan Mustafa kelihatan masih berbual-bual tidak jauh dari tempat Datin Bibah dan Mazni berdiri. Mereka arif dengan kedua-dua lelaki itu, kalau berjumpa pasti panjang perbualan mereka. Tambahan pula mereka mempunyai minat yang sama, iaitu bermain golf. Datin Bibah dan Mazni sudah pun bersalam dan berlaga-laga pipi sementara menunggu suami mereka habis bebual.

“Selamat malam,” ucap Mustafa kepada pasangan tuan rumah yang masih berdiri di pintu pagar.

Dato’ Azhar dan Datin Bibah membalas ucapan itu serentak sambil melambaikan tangan. Mustafa dan Mazni kemudiannya mengorak langkah menuju ke kereta yang diparkir di luar pagar. Amirul sudah lama menunggu mereka di dalam kereta yang sudah dihidupkan enjinnya. Dia mahu segera pulang.

Amirul sudah bersiap sedia untuk menadah telinga. Sebentar lagi apabila Mazni masuk ke dalam kereta saja, dia pasti mamanya akan membebel sepanjang perjalanan sampai ke rumah. Sebaik sahaja kedua-dua orang tuanya sudah berada di dalam kereta, Amirul memulakan perjalanan. Berhati-hati dia memandu. Jalan raya sudah agak lengang kerana malam sudah begitu lewat. Mustafa duduk membatu di sebelah Amirul manakala Mazni sudah terlelap di tempat duduk belakang.

‘Mama dah penatlah tu. Hai, nasib baik.’ Amirul memandang mamanya melalui cermin pandang belakang. Lega rasanya. Amirul tersenyum-senyum.



.

Followers