Friday, July 5, 2013

HELO si MERAH JAMBU - BAB 5

.

 KETIKA Farhana sedang sibuk melipat dan menyusun pakaian ke dalam almari, telefon bimbitnya berdering. Kerjanya terhenti seketika. Hisy! Siapa pulak yang telefon masa orang tengah sibuk buat kerja ni, getusnya. Dia menoleh memandang lama ke arah telefon bimbitnya yang terletak di hujung katil. Deringan itu membingitkan telinga. Segera dia mencapai dan memandang skrin. Serta-merta bibir mungil itu mengukirkan senyum lalu dia memberi salam sebagai mukadimah. 

“Emak sihat?” tanyanya ceria sejurus salam bersambut. Dua minggu lepas merupakan kali terakhir dia bertemu keluarganya di kampung. Oleh kerana kesibukan bekerja dan kesuntukan masa, dia tidak berkesempatan untuk menghubungi orang tuanya. 

“Alhamdulillah, sihat,” jawab Salmah di hujung talian. 

“Abah?” 

“Abah pun sihat. Lambat jawab telefon, Farah tengah buat apa tadi?” 

“Tengah mengemas kain baju. Masa cutilah baru boleh buat, mak. Kalau hari kerja tak sempat. Balik aje rumah dah penat, terus tidur.” 

Kedengaran suara emaknya ketawa. “Tak apalah, buatlah perlahan-perlahan. Dah sarapan pagi?” 

“Dah. Makan nasi lemak bungkus.” 

“Habis tu... dah masak ke untuk tengah hari nanti?” Begitulah lazimnya kalau Salmah yang menelefon. Pasti banyak soalan yang ditanya. Tidak ubah seperti polis pencen saja gayanya. 

“Dah kenyang makan nasi lemak, tak payah masak. Kalau rasa lapar karang makanlah roti,” jawab Farhana manja. 

“Tak kisahlah tapi jangan dibiarkan perut tu kosong pulak. Nanti masuk angin.” 

“Mak dah masak ke?” 

“Mak awal-awal lagi dah masak. Cepat masak, cepatlah mak boleh berehat.” 

“Mesti mak masak sedap hari ini, kan?” 

“Hmm... masak lauk-lauk kampung. Masak apa yang ada kat dapur aje.” 

“Masak lauk kampunglah sedap, mak. Mak masak apa?” 

“Sambal sardin dengan masak lemak tauge aje. Masak bukan banyak. Emak dengan abah aje yang nak makan.” 

“Fuh! Sedaplah tu, mak. Terliur Farah. Nanti Farah balik, mak masak lauk macam tu, ya?” Bagi Farhana sambal sardin air tangan emaknya yang paling sedap. Belum pernah dia merasai sambal sardin sesedap masakan emaknya di mana-mana. 

“Yalah, nanti Farah balik, mak masakkan. Abah kirim salam. Abah tanya bila nak balik? Durian kat belakang tu dah mula gugur. Rambutan pun dah banyak yang masak.” 

 Antara empat orang anak-anak Salmah, Farhanalah yang suka sekali makan durian. Kebetulan pulak ketika itu musim buah-buahan. Di belakang rumah mereka di kampung terdapat dua batang pokok durian dan di tepi rumah pula ada sebatang pokok rambutan gading dan sebatang pokok rambutan berwarna merah. Apabila melihat buah-buahan yang lebat itu Salmah teringat akan anak-anaknya. 

 Kalau dulu semasa anak-anak masih tinggal bersama, merekalah yang sibuk memungut durian dan mengait rambutan. Pantang dengar benda jatuh di belakang rumah, berebut-rebut mereka ke belakang mencari durian yang gugur itu. Tapi kini kalau anak-anak tidak balik, suaminya, Burhan akan sedekahkan buah-buahan yang ada kepada jiran tetangga. Adakala dia menghantarnya ke rumah adik-beradik yang tinggal berdekatan. 

 “Ya ke, mak? Sedapnya kalau durian dibuat serawa. Tambah sedap kalau ada pulut sekali.” Farhana ketawa kecil. “Ini yang buat Farah tak sabar nak balik ni.” Dia sudah terbayang-bayangkan ulas durian yang berwarna kuning emas. “Mak cakap kat abah, hujung minggu ni Farah balik. Nanti Farah ajak abang long balik sekali ya, mak?” Dia sudah mula tidak sabar mahu pulang, apatah lagi apabila diberitahu buah durian di belakang rumahnya sudah mula luruh. Dua minggu lepas, buah-buah itu masih muda dan belum mahu luruh lagi. 

“Elok sangatlah tu. Ambillah cuti lama sikit, Farah,” pujuk Salmah. 

Cuti yang lepas, anak gadis itu hanya balik selama dua hari sahaja. Belum pun puas rindu yang ditanggung terubat, si anak bongsu itu sudah terpaksa pulang ke Kuala Lumpur semula. 

“Mana boleh ambil cuti lama-lama, mak? Farah akan ajak abang long balik hari Jumaat, lepas balik dari kerja nanti.” Bukan Farhana tidak mahu memohon cuti tetapi dia sayang untuk menghabiskan cuti tanpa tujuan penting. 

 Untuk balik ke kampung dia tidak perlu mohon cuti, cukup sekadar cuti di hujung minggu sahaja. Sementelah pula perjalanan dari Kuala Lumpur ke kampungnya hanya mengambil masa lebih kurang dua jam sahaja. Dia mahu menyimpan cutinya dan merancang untuk mengambil cuti panjang pada hari raya nanti. Dapatlah dia berlama-lama dan berjumpa dengan kawan-kawan sepermainan yang sudah lama tidak ketemu. 

“Tak kisahlah, yang pentingnya kamu balik. Nanti mak minta abah kumpulkan buah durian yang gugur dan kait buah rambutan yang dah masak.” 

“Jangan lupa buat tempoyak, mak. Kalau boleh buatlah lebih sikit. Farah nak bawak balik KL bagi kawan-kawan rasa.” 

“Yalah, nanti mak beritahu abah. Habis tu... jadilah balik nanti, ya?” Nada Salmah ceria. 

“Insya-ALLAH, mak. Kalau tak ada aral melintang sampailah nanti.” 


 FARHANA sedang menghitung hari. Tiga hari lagi dia akan pulang ke kampung. Berkobar-kobar rasanya. Apatah lagi mengingatkan buah durian yang menunggu kepulangannya. Abang longnya juga sudah dihubungi dan berjanji akan datang mengambilnya pada petang Jumaat nanti. 

“Mimi, hari Jumaat nanti lepas kerja, aku nak balik kampung,” beritahunya ketika duduk menonton TV di ruang tamu. Hanya mereka berdua yang berada di rumah. Kelibat penghuni-penghuni lain masih tidak kelihatan. 

“Aik, baru dua tiga minggu lepas balik, dah nak balik lagi? Kau rindukan siapa ni?” Hamimi sedang menatap majalah yang baru dibeli petang tadi sambil tersengih-sengih. 

“Rindu mak dengan abah akulah, siapa lagi?” 

“Ya ke?” usik Hamimi. 

“Eh, kau ni... siapa yang ada kat kampung aku tu yang aku nak rindukan selain mak dengan abah aku.” Farhana menepuk paha Hamimi yang duduk di sisinya. 

“Adoi, sakitlah!” Hamimi menggosok-gosok pahanya. 

“Yalah, kau tu kan anak manja?” tambahnya. 

“Kau nak ikut aku balik tak?” tanya Farhana. Selama mereka berkawan, sudah beberapa kali Hamimi mengikutnya pulang ke kampung. 

Pelawaan Farhana memang ditunggu-tunggu oleh Hamimi. Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal. Kalau Farhana tidak ada, dia akan keseorangan. Tidak dapat dibayangkan bagaimana sunyinya dia nanti tanpa teman sebiliknya itu. Dia berhenti membaca. Majalah itu kemudiannya diletak di atas meja berhampiran. Cadangan Farhana menarik perhatiannya. Dia teruja. 

“Tak apa ke kalau aku ikut?” Wajah Hamimi berkerut. 

“Bukan ke aku ajak kau? Lagi mau tanya.” Ada senyuman di wajah Farhana. Dia tahu kalau dia tidak ada, sudah pasti Hamimi akan bosan keseorangan. Kasihan pula dia mengenangkan teman sebiliknya terpaksa meluangkan hujung minggu tanpanya. 

“Tapi, aku seganlah.” 

“Segan?” Hamimi mengangguk. 

 “Kau segan dengan siapa?” tanya Farhana hairan. Bukan Hamimi tidak biasa datang ke rumahnya dan bukan dia tidak kenal keluarganya. 

“Segan dengan abang long kaulah.” 

“Kau ni macam tak kenal dengan abang long aku tu. Mengada-ngada aje kau ni.” 

“Aku tengok dia tu diam aje bila aku ada. Entah-entah dia tak selesa ataupun dia tak suka bila aku ada. Menyibuk aje aku ni.” Hamimi menukar posisi duduk. 

 “Tak adalah. Abang long aku tu memang pendiamlah. Kalau kau tak ada pun dia memang tak banyak cakap. Kalau aku tanya sepatah, sepatahlah dia jawab. Dahlah, sekarang aku nak tanya, kau nak ikut ke tak? Kalau tak nak, tak apa.” Alat kawalan jauh ditekan-tekan untuk menukar siaran. 

Hamimi menarik nafas panjang. Dia diburu rasa serba salah. Kalau aku tak ikut nanti aku kena habiskan hujung minggu seorang diri. Bosannya. 

 “Kau nak ikut ke tidak?” ulang Farhana lagi setelah soalan yang diajukan masih belum berjawab. Anak matanya menatap kaca TV, sengaja dia tidak mahu memandang Hamimi yang sedang keliru itu. 

“Okeylah, aku ikut.” Bagaikan dipaksa, Hamimi menjawab. 

Tiba-tiba Farhana bertepuk girang. “Mak aku kata buah durian dah banyak yang gugur. Rambutan pun banyak yang dah masak. Tak sabarnya aku nak balik, nak kutip buah durian. Lepas tu panjat pokok rambutan, petik buah, makan kat atas pokok. Aku teringat masa dulu, makan isi rambutan tapi kulit dan bijinya aku baling kat orang yang lalu-lalang di tepi jalan rumah aku tu. Sampai kena rotan dengan abah aku sebab mak cik jiran aku mengadu.” Farhana bercerita sambil ketawa. Dia terkenangkan kisah sewaktu dia kecil dahulu. 

“Selalunya kalau aku merajuk, aku akan duduk kat atas pokok rambutan tu. Kadang-kadang Kak Mira pun join sama. Seronoknya bila ingat cerita lama.” Kenangan lalu kembali bermain di layar minda Farhana. 

“Masa kecik-kecik perangai kau kasar macam budak lelaki tapi hati kau tetap lembut macam warna merah jambu gitu, kan?” Farhana ketawa. 

“Eh! Pandailah kau ni. Dulu masa aku kecik-kecik memang aku dah suka dengan warna merah jambu. Tak tahulah apa yang specialnya warna merah jambu tu. Sampai sekarang melekat warna tu dalam jiwa aku.” 

Semua barang koleksi Farhana berwarna merah jambu. Pakaiannya boleh dikatakan hampir semua berwarna kegemarannya itu sehingga melekat gelaran Si Merah Jambu. 

“Abang long kau, dia tak sama panjat pokok?” soal Hamimi. Dia ingin tahu bagaimana pula perangai abang Farhana yang dipanggilnya abang long itu semasa zaman kanak-kanaknya. Adakah dia nakal seperti budak-budak lain juga atau dia memang pendiam sejak kecil? 

“Abang long aku baiklah. Dia mana suka main dengan aku. Aku lasak. Dia asyik duduk dalam rumah baca buku aje. Sebab itulah dia pandai. Masuk universiti dan jadi jurutera. Bukan macam aku, SPM setakat cukup makan aje. Tapi aku tak kisah. Aku kan perempuan? Mak aku kata, orang perempuan belajar tinggi mana pun akhirnya akan duduk terperuk kat dapur jugak.” Farhana galak bercerita.“Tapi kan dalam adik-beradik aku, aku aje yang tak pandai. Jadi minah kilang pulak tu.” Nada suaranya bertukar perlahan. Mimik wajahnya juga berubah tiba-tiba. “Kak ngah jadi cikgu dan Kak Mira jadi jururawat.” Di hujung kata-katanya dia mengeluh. 

“Itu dah rezeki mereka. Tak pandai dalam pelajaran tak semestinya tak boleh berjaya dalam hidup. Kau patut bersyukur walaupun hanya bekerja di kilang. Kat luar sana ramai lagi orang menganggur yang tak ada kerja. Sekurang-kurangnya kau beruntung, kau ada emak dan abah, kau ada abang dan kakak-kakak yang mengambil berat tentang kau. Keluarga kau pun orang senang.” Suasana jadi sepi tiba-tiba. “Tak macam aku.” Wajah Hamimi muram dan sugul. Dia bermenung jauh. Berkali-kali dia mengeluh. 

“Dahlah, kau jangan sedih. Aku faham keadaan kau. Aku memang tak sepatutnya cakap macam tu.” Farhana mengusap lengan Hamimi. 

 Banyak cerita keluarga Hamimi yang dia tahu. Dia benar-benar simpati terhadap sahabatnya itu. Kerana itulah dia tidak pernah berkira kalau dengan Hamimi. Dia tahu kesusahan hidup keluarga Hamimi di kampung. Dia pernah mengikut Hamimi pulang ke rumahnya. Hatinya tersentuh tatkala melihat rumah keluarga Hamimi buat pertama kali. 

Apabila menjejakkan kaki dan melihat keadaan di dalam rumah, dia hampir menitiskan air mata. Keadaannya jauh berbeza daripada rumah keluarganya. Perasaannya bertambah hiba apabila melihat pakaian yang dipakai oleh adik-adik Hamimi. Pakaian yang dianggap sudah layak dibuat kain buruk masih lagi dipakai. 

“Aku datang ke KL dan mencari kerja semata-mata kerana nak membantu mak aku. Aku kesian tengok mak aku yang terpaksa bertungkus lumus seorang diri mencari duit. Bangun seawal pagi, buat dan jual kuih untuk dapatkan duit belanja untuk kami adik beradik. Mak aku tak pernah mengeluh. Aku tau mak aku cekal.” Air mata Hamimi sudah mengalir. Pipinya basah. Sesekali dia menyekanya dengan hujung jari. 

Farhana turut berasa kepedihan dan kesedihan yang dirasai Hamimi. Di dalam hati, dia berasa sedikit kesal kerana dia yang memulakan cerita sehingga Hamimi pula yang bersedih dan menitiskan air mata sudahnya. Dia berasa sebak melihat Hamimi menangis. Matanya berkaca. 

“Berapa senlah sangat dapat duit hasil menjual kuih kalau dibandingkan dengan tenaga dan kederat yang perlu dikorbankan. Aku ada tiga orang adik lagi yang masih sekolah. Mereka perlukan duit buat belanja harian di sekolah. Itu belum masuk lagi duit untuk beli buku atau keperluan sekolah.” Hamimi melepaskan keluhan. Dan kemudian menyambung lagi, 
“Aku berazam sebagai anak yang paling tua, aku mahu merubah kehidupan keluarga aku. Sekurang-kurangnya aku nak baiki rumah peninggalan arwah bapa aku. 

 Rumah tu dah usang sangat. Mak aku kata rumah itu adalah pemberian arwah atok aku kepada bapa aku. Kalau tak silap, dah hampir lima puluh tahun usianya. Kau bayangkan, bapa aku lahir dan membesar di rumah tu. Dan aku empat beradik pun membesar di rumah itu jugak. Banyak kenangan pahit manis yang ada pada rumah tu. Dan yang paling aku tak boleh lupa, di rumah itulah jugak bapa aku menghembuskan nafas terakhirnya.” Wajah bapanya yang telah meninggalkan dia dan keluarga enam tahun lalu akibat kemalangan jalanraya terbayang-bayang di ruang mata. 

Air mata Hamimi mengalir semakin deras. Dadanya sebak mengenangkan nasib emak dan adik-adiknya di kampung. Sedu-sedan tangisannya mulai kedengaran. Hatinya disayat pilu yang tidak terkata. Suasana menjadi hening dan hiba. Farhana juga turut mengalirkan air mata melihat Hamimi menangis. Lantas dia memeluk erat tubuh Hamimi. Dua sahabat itu saling berpelukan dan suara tangisan kedengaran memenuhi ruang tamu rumah itu.


-

No comments:

Followers