Monday, July 29, 2013

HELO SI MERAH JAMBU - BAB 15

.

Hampir setiap malam gerai yang menjual masakan Thai itu menjadi lokasi tumpuan. Pelanggan yang datang tidak putus-putus terutamanya selepas jam 7.00 malam. Ada yang datang makan bersama keluarga. Tidak kurang juga yang berkumpulan. Lazimnya selepas makan mereka akan duduk minum dan bersembang hingga ke dinihari. Skrin besar yang disediakan di tengah-tengah ruang gerai menghambat hati pelanggan untuk terus datang ke situ. Talian internet juga turut disediakan.

Di suatu sudut ruang gerai itu, ada seorang gadis yang duduk bersendirian. Dia sedang menunggu seseorang. Sesekali dia memandang jam di tangan. Setiap kali itu dia kelihatan resah. Dalam diam tak diam sudah hampir setengah jam dia duduk tercongok di situ. Sirap bandung yang dipesan pun sudah hampir habis, namun kelibat orang yang ditunggu-tunggu masih belum muncul lagi.

“Manalah dia ni? Janji pukul lapan. Ini dah nak dekat pukul lapan setengah pun tak nampak batang hidung. Menyirap betullah,” rungut gadis itu.

Siang tadi semasa di kilang dia memberitahu lelaki itu yang dia mahu berjumpa dengannya. Katanya ada perkara yang hendak dibincangkan. Lelaki itu bersetuju dan menurutnya dia juga ada banyak perkara yang mahu dicakapkan.

Mata Jiha liar memandang sekeliling. Pelanggan datang dan pergi bersilih ganti. Hatinya panas. Mukanya sudah cemberut, sesekali dia merungut. Jam dikerling lagi buat kesekian kali. Tiba-tiba kelibat orang yang dinanti muncul entah dari mana tanpa dia perasan. Lelaki itu terus duduk di hadapannya tanpa memberi salam. Dia merenung wajah lelaki itu tanpa berkerlip dengan wajah kelat.

“Kenapa kau lambat, kan kita janji pukul lapan?” soal Jiha bengang.

“Ada apa sebenarnya kau nak jumpa aku?” Soalan Jiha tadi tidak dijawab sebaliknya dengan selamba dia mengaju soalan pula.

Seorang pelayan datang ke meja mereka apabila ternampak kelibat Syukur yang baru mengambil tempat duduk. Lelaki itu hanya memesan air sirap sahaja tanpa menanya gadis di hadapannya sama ada mahu makan atau pun tidak. Jiha mengerling tajam. Hatinya semakin panas melihat sikap Syukur yang kurang sopan itu. Setelah pelayan itu beredar Syukur mengulang tanya soalannya tadi.

Hajat di hati Jiha mahu meluahkan perasaannya yang terpendam kepada lelaki itu. Tetapi setelah melihat sikap acuh tidak acuh lelaki itu, hasratnya terbantut. Maka tahulah dia bahawa lelaki itu tidak punya hati dan perasaan terhadapnya. Adalah lebih sakit andai dia mengungkap cinta tetapi lelaki itu menolaknya mentah-mentah. Kalau itulah yang bakal terjadi, pasti dia akan kecewa. Sedangkan dia mengharapkan sebaliknya. Dia tidak tahu bagaimana mahu menyusun ayat untuk diluahkan kepada lelaki itu agar dia boleh memahaminya. Jiha membatu.

“Jiha, aku berbuat baik pada semua orang. Aku bergurau senda dengan semua kawan-kawan yang aku kenali. Sebenarnya aku tak berniat apa-apa. Apatah lagi untuk menggoda. Aku mintak maaf kalau selama ini gurauan aku kau anggap serius.” Syukur meluahkan apa yang tersirat di hatinya. Dia seolah-olah dapat bau tujuan Jiha untuk berjumpa. Sebelum gadis itu mengungkap perkataan yang bakal mengecewakan dirinya sendiri adalah lebih baik dia yang memulakan bicara.

“Aku tak sangka kau ni suka mainkan perasaan orang. Hati dan perasaan jangan dibuat gurauan, Ako. Selama ini aku ingat apa yang kau cakapkan lahir dari hati kau. Tapi rupanya aku silap. Kau hanya nak mainkan perasaan aku je. Kalaulah aku tahu niat kau tu, sumpah aku takkan layan perasaan terhadap lelaki macam kau ni,” marah Jiha. Perbualan mereka tidak sampai kependengaran orang lain. Mujur tempat duduk mereka jauh sedikit dari pelanggan yang berkunjung ke situ.

“Aku minta maaf. Aku dah kata aku tak berniat apa-apa. Aku tak berniat nak mainkan perasaan kau. Aku memang suka bergurau. Aku suka buat orang ketawa tapi bukan suka buat orang jatuh cinta. Kau belum terlambat, Jiha. Kau masih boleh cuba melupakan aku,” kata Syukur tegas. Sebenarnya sudah ada seseorang yang bertakhta di hatinya. Dia sendiri tidak tahu nasib cintanya. Perasaan cinta yang terpendam sejak sekian lama terhadap gadis idamannya itu masih tidak berjaya diluahkan.

Mata Jiha berkaca. Seketika kemudian kelihatan air mata itu meleleh di pipinya. Air mata itu diseka dengan jemarinya. Di dalam hati dia menyumpah dirinya sendiri kerana terlanjur mencintai orang yang tidak punya apa-apa perasaan terhadapnya. Dia silap menaruh harapan dan perasaan.

“Kau tak sepatutnya menuduh Mimi. Sebenarnya antara aku dengan dia tak ada hubungan apa-apa langsung. Tak pasal-pasal persahabatan aku dengan dia terjejas hanya kerana kau. Kau tahu tak, Mimi dengan Farah tu adalah antara kawan aku yang paling baik kat kilang tu? Aku sayangkan dia orang. Aku dah kenal dengan dia orang bertahun-tahun. Jadi janganlah tiba-tiba kau yang mengeruhkan hubungan kita orang.” Syukur sugul. Dia melepaskan keluhan diakhir kata-katanya.

Jiha hanya tunduk. Perasaannya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Rupa-rupanya dia bertepuk sebelah tangan. Malu dan hiba bercampur baur. Macam manalah kalau Lola mendapat tahu apa sebenarnya yang terjadi? Sudah pasti perempuan itu akan mengejek dan mencemuhnya. Selama ini Jiha yang bersungguh-sungguh bercerita kepada kawannya itu tentang perasaan cintanya terhadap lelaki itu. Tidak disangka-sangka lain pula jadinya.

Apabila teringatkan Hamimi, timbul rasa serba salah. Dia sudah terlanjur menuduh Hamimi menjadi perampas cintanya. Malunya dia. Bagaimana dia mahu besemuka dengan Hamimi nanti? Mahukah Hamimi memaafkan dirinya diatas kesilapannya terhadap gadis itu?

“Mulai hari ini aku janji, aku tak akan tegur kau lagi. Aku harap kau faham dan jangan kau tanya apa sebab musababnya.” Dia kecewa sungguh dengan sikap lelaki yang duduk di hadapannya itu. Dia terasa perasaannya dipermainkan. Kalau diturutkan hati mahu saja dia bagi pelempang ke pipi lelaki yang perasan hensem itu.

“Terpulanglah pada kau. Bukan aku yang memulakan tapi kau sendiri yang cakap macam tu. Kalau kau dah tak mahu menegur aku, terpulang pada kau. Cuma satu aje yang aku harap dari kau. Aku tak mahu lagi dengar cerita-cerita karut kau pasal aku.” Syukur mengingatkan Jiha.

“Dahlah.” Jiha menatap lama wajah Syukur yang selama ini menjadi pujaannya. Wajah itu menghadirkan seribu kesal dan kecewa. Dia tidak menyangka hanya dia yang tergila-gila sedangkan lelaki itu tidak ada langsung perasaan terhadapnya. “Aku nak balik. Lupakan saja apa yang berlaku hari ini. Anggap saja aku tak pernah berjumpa dengan kau dan tak pernah meluahkan apa yang aku cakap pada kau tadi.” Dia sudah bangun. “Dan anggap saja kita tak pernah kenal.” Dia segera beredar pergi tanpa menoleh pandang ke arah Syukur yang masih duduk di bangku itu. Hatinya sebal.



Malam itu Syukur tidak dapat melelapkan mata. Puas dia mengiring ke kiri dan ke kanan namun masih tidak berjaya. Wajah Farhana, Hamimi dan Jiha bersilih ganti terbayang di layar mindanya. Dia tidak menyangka gurauannya disalah tafsirkan. Rupa-rupanya Jiha benar-benar jatuh hati padanya. Barulah dia sedar, selama ini kata-kata yang dianggap gurauan memudaratkan dirinya sendiri. Tapi kenapa Jiha? Kenapa bukan Farhana yang jatuh hati padanya?

Ah... Farhana. Mengingatkan nama gadis itu, jiwanya menjadi rawan. Syukur mengaku dirinya ibarat pungguk yang merindukan bulan. Kekurangan dirinya dan kelebihan yang dimiliki gadis itu menyedarkannya. Sudahlah dia tidak punya harta, rupa apatah lagi. Tidak mungkin Farhana sudi untuk menerima cintanya yang berlandaskan perasaan semata-mata.

Cukuplah sekali dia kecewa dalam percintaan. Tidak sanggup lagi dia mengulangi kepedihan yang pernah dialami dalam hidupnya disuatu ketika dulu. Gadis yang pernah dicintainya dulu itu memang tidak berhati perut. Dia tidak ada perasaan langsung. Tergamak dia menduakan cintanya yang tulus suci. Semua kawan-kawan yang mengetahui kisah itu mencemuhnya. Dia dikutuk kerana terlalu memanjakan gadis itu sehingga tidak menyedari diri dipermainkan.

Syukur terkilan, bukan sedikit pelaburan yang telah dilaburkan demi cintanya yang agung terhadap perempuan itu. Setelah mengetahui dirinya dipermainkan dia membuang jauh segala kenangannya bersama gadis mata duitan itu. Semenjak dari peristiwa itu dia berazam untuk lebih berhati-hati di dalam soal cinta. Perempuan semuanya sama sahaja. Mereka hanya lebih mementingkan harta kebendaan dan wang ringgit berbanding kejujuran dan ketulusan cinta dari seorang lelaki.

Entah mengapa pintu hati yang telah terkatup rapat tiba-tiba terbuka tatkala terpandang wajah Farhana empat tahun lalu. Buat pertama kalinya, dia menyapa gadis itu yang sedang duduk bersendirian di kafeteria. Tidak disangka hari itu merupakan hari pertama gadis itu bekerja di kilang yang sama. Dan buat pertama kali setelah sekian lama dia merasai ada bibit cinta yang mulai bercambah terhadap gadis yang tidak diketahui asal usulnya itu.

Hari demi hari yang dilalui bagai suatu penyeksaan. Setiap kali terpandangkan gadis itu, debaran jantungnya berdetak kuat. Sejak empat tahun dulu sehingga kini irama degupan jantung yang dialaminya tetap sama. Namun mengapa berat sungguh hatinya untuk berterus terang dan mengungkap kata cinta kepada gadis yang bernama Farhana itu? Ah... malunya kalau gadis itu mendapat tahu apa yang berdetik dalam hati kecilnya.

Adakalanya dia sengaja mengusik untuk menguji perasaan gadis itu terhadapnya. Ternyata segala usikan tidak sedikit pun berbekas di jiwa gadis itu. Gurauannya hanya dijawab dengan gelak tawa sahaja. Dia suka melihat wajah itu ceria. Matanya, hidungnya dan bibirnya malah segala-gala yang Allah ciptakan pada dirinya menambat jiwanya.

Ya Allah! Seandainya dia jodohku, Kau tunjukkanlah aku jalan agar dia menjadi milikku, Kau sabarkanlah hatiku dan Kau tetapkanlah imanku. Ya Allah! Seandainya dia bukan jodohku, Kau hilangkanlah segala kenangan kami bersama agar aku setia hanya pada yang Satu dan seandainya perpisahan itu yang terbaik buatku dan dia maka Kau peliharalah dia, Kau temukanlah dia dengan orang yang terbaik buat dirinya... Amin.

Itulah doa yang sering Syukur ucapkan setiap kali usai solat. Dan sebelum tidur itu jugalah doa yang dititipkan untuk Farhana. Perasaan lelakinya dicengkam hiba setiap kali wajah gadis itu bertebaran di ruang matanya.

Malam itu buat pertama kalinya air mata lelaki itu tumpah hanya kerana seorang perempuan. Sampai bilakah dia harus memendam perasaan di dalam diam?



 .

No comments:

Followers