Tuesday, July 23, 2013

HELO si MERAH JAMBU - BAB 12

.

Hamimi sedang berkemas-kemas. Beberapa helai pakaiannya sudah dimasukkan ke dalam beg sandang bersaiz biasa yang sering digunakan. Tidak banyak pakaian yang dibawa walaupun dia bercadang untuk menghabiskan cutinya selama lima hari di kampung halaman. Beberapa helai pakaian yang ditinggalkan di kampung masih boleh dipakai. Paling tidak pun dia boleh meminjam baju-T dan kain batik emaknya. Memakai pakaian begitu lebih selesa. Agak lama juga dia tidak berkain batik. Sejak duduk tinggal di Kuala Lumpur dia lebih selesa memakai seluar sahaja jika duduk di rumah.

Barang-barang yang dibeli sebagai buah tangan untuk emak dan adik-adiknya juga sudah dimasukkan ke dalam beg sejak semalam kerana bimbang ada barang yang akan tertinggal nanti. Tiket bas sudah pun dibeli dua hari lalu. Dia akan menaiki bas Transnasional yang akan bertolak dari Terminal Puduraya pada pukul 1.00 petang. Bas itu dijangka sampai ke terminal bas di Butterworth lebih kurang pukul 6.00 petang.

“Tak ada apa lagi yang tertinggal?” tanya Farhana yang hanya memerhatikan Hamimi mengemas pakaian sejak tadi.

“Aku rasa tak ada apa yang tertinggal kot. Yang penting  tudung mak aku dan baju untuk adik-adik aku yang baru aku belikan tu. Baju aku pun tak banyak yang aku bawa.” Beg itu direnung sebentar sebelum jari Hamimi menarik zip beg galasnya itu dengan cermat.

“Eloklah tu. Kalau bawa banyak-banyak baju, berat beg tu nanti. Kau nak pikul beg tu naik ke dalam bas pun susah. Kalau naik kereta tak apalah jugak,” kata Farhana mengingatkan sahabatnya itu.

“Aku seganlah,” luah Hamimi.

“Segan? Kenapa?” tanya Farhana. Keningnya ternaik sedikit.

“Segan dengan abang long kaulah.” Hamimi memandang Farhana sekilas.

“Kau ni tak habis-habis segankan abang long tu. Macamlah kau tak kenal dia. Dah, tak payah nak segan-segan. Dia tu dah memang pendiam. Jadi janganlah kau risau. Kalau dia tak suka, mesti dia akan kata tidak masa aku telefon dia kelmarin.” Farhana cuba menenangkan perasaan Hamimi.

Farhana kasihankan Hamimi yang terpaksa bersusah payah menunggu bas dan mengalas beg yang berat. Justeru, dia mencadangkan supaya Adam menghantar Hamimi ke terminal bas. Dan tanpa bersoal jawab, Adam bersetuju dengan syarat Farhana wajib ikut sama menghantar Hamimi.

“Abang long kau tak ada makwe ke?” tanya Hamimi lambat-lambat.

“Itulah ruginya orang yang berat mulut ni. Kau bayangkan, dengan aku ni pun dia susah nak bercakap. Kalau ada makwe tak taulah aku tahan ke tidak makwe tu dengan perangai abang long aku tu. Kenapa kau tanya, kau nak jadi makwe abang long ke?” soal Farhana sambil tersengih-sengih.

“Eh... eh... kau ni, ke situ pulak.” Hamimi tersipu-sipu.

“Manalah tau, dalam diam-diam kau ada perasaan pada abang long. Kalau betul-betul apa salahnya. Aku pun suka kalau kau jadi kakak ipar aku.” Farhana ketawa.

Hamimi mengerling tajam. “Bukan itu maksud aku.”

“Habis tu?” Dengan segera Farhana memintas.

“Aku tak nak timbul masalah nanti. Manalah tau kalau makwe dia dapat tau pasal dia hantar aku, mengamuk sakan pulak makwe dia. Tak pasal-pasal dia orang bergaduh pasal aku,” jelas Hamimi bimbang.

“Kau agak-agak ada makwe ke yang nak orang macam abang long? Macam anak patung, senyap saja langsung tak berbunyi. Mula-mula berkawan mungkin okey tapi bila dah lama-lama mesti rasa bosan, kan?” ujar Farhana. Wajah abang longnya terbayang.

“Aku rasa aku tak padanlah dengan abang long kau tu. Dia tu pendiam sangat. Kau taulah aku ni, bukan boleh duduk diam-diam. Rimas. Nanti aku aje yang berceloteh sorang-sorang, sedangkan dia buat muka selamba aje. Macam tak ada apa-apa.” Hamimi tergelak di akhir bicaranya.

“Mungkin dengan kita, dia diam... entah-entah kalau dengan makwe dia, dia yang banyak bercakap,” tambah Hamimi lagi.

“Tak ada maknanya. Aku kenal sangat dengan abang long aku tu. Dalam mulut dia ada emas, sebab itulah dia sayang nak bukak mulut,” tambah Farhana.

Gelak tawa berderai menggamatkan suasana bilik itu. Merah padam muka Hamimi menahan gelak. Mereka sama-sama ketawa mengenangkan perangai Adam yang pendiam dan tidak suka banyak bercakap itu. Tiba-tiba cerita lelaki itu menjadi topik perbualan mereka dan menjadi bahan jenaka pula.

“Amboi! Bukan main suka kau ya mengutuk abang long aku,” kata Farhana setelah ilai tawa mereka mulai reda.

“Kau yang mulakan dulu, bukan aku.” Hamimi ketawa lagi. “Kesian abang long. Kalaulah dia tahu kita ketawakan dia, kau agak dia marah tak?” sambungnya lagi.

Farhana lebih arif mengenai abang longnya berbanding dirinya yang hanya bertemu lelaki itu sekali-sekala.

“Abang long aku adalah abang yang paling baik di dunia. Kau tak percaya kan kalau aku kata dia tak pernah marah aku? Dulu aku selalu buli dia. Tetapi bila aku tengok dia cool aje setiap kali aku kenakan dia, lama-lama timbul perasaan kesian kat dia. Sekarang aku dah insaf dan dah jadi adik yang paling baik di dunia untuk dia.” Perasaannya dijentik rasa hiba, tatkala mengingatkan kebaikan dan kesabaran abang sulungnya terhadap kenakalannya yang suka menyakat. Rasa kagum dan bangga bercampur baur menyelinap di dalam dadanya kerana mempunyai abang seperti Adam.

“Terus terang aku kata, aku suka tengok keakraban kau dengan ahli keluarga kau yang lain. Walaupun abang long tu banyak berdiam dari bercakap tapi aku tau dia seorang abang yang sangat penyayang dan bertanggungjawab. Sebab tu aku kata kau tu beruntung. Sangat-sangat beruntung. Kau kena banyak bersyukur kerana mempunyai keluarga yang sayangkan kau. Aku pun sayangkan kau jugak,” kata Hamimi terharu. Suasana jadi sepi seketika.

“Aku pun sayangkan kau jugak, Mimi. Aku harap persahabatan kita akan kekal sampai bila-bila,” balas Farhana ceria. Dia tidak mahu melayan perasaan sedih. Ketika itu bukan masanya untuk mereka bercerita tentang duka lara.

“Pukul berapa abang long kau nak datang?” Hamimi memandang jam dinding.

“Kejap lagi datanglah tu. Aku dah pesan kat dia suruh datang awal. Nanti bolehlah minta dia belanja kita makan sebelum bas kau bertolak,” cadang Farhana.

“Eh! Tak payahlah minta dia belanja. Dahlah dia hantar aku, lepas tu nak suruh dia belanja pulak. Janganlah, Farah.” Hamimi tidak bersetuju dengan cadangan Farhana.

“Alah, sekali-sekala biarlah dia belanja. Dia pernah janji dengan aku nak belanja kita makan.” Farhana teringatkan janji Adam padanya semasa dia bercakap di talian telefon minggu lepas. Baginya, ketika itu adalah masa yang sesuai untuk Adam mengotakan janjinya.

“Sepatutnya aku yang belanja dia makan sebab dia dah tolong hantar aku. Ini dah terbalik pulak.” Perasaan malu bergayut di sanubari Hamimi. Dia tidak suka dirinya dikatakan manusia yang suka mengambil kesempatan.

“Tak apa. Abang long tak kisah.”

“Kau yang cakap tak kisah. Tapi dalam hati dia, siapa tau?”

“Aku kenal dia luar dan dalam, Mimi. Aku percaya dia ikhlas bila dia kata nak belanja aku dan kau makan.” Sedaya upaya Farhana cuba menyakinkan sahabatnya itu.

Hamimi merenung jauh. Satu keluhan berat dilepaskan. “Kalau kau kata macam tu, okeylah.” Hamimi berjeda. “Bilalah agaknya aku nak ada kereta sendiri kan, Farah? Kalau ada kereta sendiri tak perlu menyusahkan orang lain.” Dia mecebirkan bibir.

“Insya-ALLAH. Kalau Allah nak bagi rezeki, tak mustahil. Usaha lebih sikit dan jangan lupa berdoa. Pasti satu hari Allah akan makbulkan impian kau tu.”

“Insya-ALLAH. Kau doakanlah aku cepat-cepat dapat jumpa dengan putera raja.”

“Kau ni tak habis-habis dengan putera raja kau tu. Inilah akibatnya terlalu banyak tengok drama dongeng. Mengarut aje semua tu.”

“Kau bukan tak tau, berapa senlah sangat gaji minah kilang macam kita ni. Kalau setakat dapat gaji seribu sebulan, tak payah mimpilah nak ada kereta sendiri.” Hamimi mengangkat beg galasnya lalu diletakkan di tepi pintu bilik. Kemudian dia kembali duduk di birai katil bujangnya. Beberapa helai baju yang ada di atas katilnya dilipat dan diletak di dalam rak pakaian yang terletak di sebelah katil.

“Siapa kata orang kerja kilang macam kita tak boleh beli kereta? Kau tengok Suri dengan Eton tu, dia orang beli kereta baru tau. Cuba kau pergi kat tapak letak kereta kat belakang tu, kereta yang berderet-deret kat situ tu kereta siapa? Yang penting, rajin. Kalau kita rajin buat overtime, mesti kita mampu punya.” Farhana tidak bersetuju dengan pendapat  Hamimi. Marah dia apabila dikatakan orang bekerja kilang tidak mampu untuk memiliki kereta sendiri. Dia sekadar memberi dua nama antara yang ramai lagi sebagai contoh.

“Mana kita tau, entah-entah orang tu ikat perut.” Hamimi menyengih. 

“Apa yang pasti, kalau buat overtime pun aku tak mampu nak beli kereta. Jangankan kereta baru, kereta terpakai pun belum tentu lagi.” Hamimi menggeleng sambil tersenyum kelat.

“Kita kena ada wawasan untuk meningkat dan membaiki taraf hidup kita. Tidaklah kita hanya berada di takuk itu saja,” kata Farhana bersemangat. Dia sudah siap berpakaian cantik dan memakai tudung di kepala.

“Kau lain, Farah.” Hamimi cuba menyangkal.

“Apa yang lainnya? Pada aku, kita sama saja. Jangan kau jadikan kekurangan keluarga sebagai alasan. Kita kena ada azam dan cita-cita, Mimi. Dan di samping azam dan cita-cita, kita juga perlukan usaha dan tawakal. Banyak bermohon dan berdoa pada Allah supaya apa yang kita impikan termakbul.” Farhana merenung wajah Hamimi. Terkadang hatinya berasa belas terhadap sahabat kesayangannya itu. Gadis itu sering mengeluh tentang kekurangan yang dimilikinya sehingga Farhana hilang kata-kata. Dia tidak tahu apa yang perlu diungkapkan lagi.

Buat kesekian kali Hamimi melepaskan keluhan. “Ya, berusaha dan bertawakal. Kesabaran juga penting, kan? Tambah-tambah lagi kalau berada dalam situasi aku yang serba-serbi kekurangan ini.” Hamimi merenung lantai. Wajahnya yang sebentar tadi ceria kini berubah muram. Dia terdiam melayan perasaannya sendiri.

Melihat keadaan Hamimi itu, Farhana bangkit dari katilnya lalu duduk di sisi Hamimi. Tangannya menepuk bahu sahabatnya itu lembut. Hatinya dipagut sayu tiba-tiba. Jauh di sudut hatinya, dia mengaku Hamimilah sahabat yang terbaik yang pernah dia miliki selama ini. Dia berharap agar persahabatan antara mereka akan terus berkekalan hingga ke akhir hayat. Dia sering ingat pesan kak ngah, persahabatan itu ibarat satu janji yang dibuat di dalam hati. Tidak dapat ditulis dan tidak dapat dibaca. Namun tidak akan terpisah dek jarak, tidak akan berubah dek masa. Sekali berkawan, ia akan kekal buat selamanya.

Mereka berdua tersentak apabila kedengaran bunyi deringan daripada telefon bimbit Farhana. Mereka saling berpandangan lantas sama-sama melihat jam yang tergantung di dinding bilik itu. Farhana bingkas bangkit untuk mendapatkan telefon bimbitnya yang sedang menjerit. Tertera nama abang long di skrin comel telefon bimbit itu, betul jangkaannya.

“Assalamualaikum.” Suara Adam memberi salam di talian.

“Waalaikumsalam. Abang long dah sampai ke?” tanya Farhana. Sambil menjawab telefon sempat juga dia membelek wajahnya di cermin. 

“Okey, kita orang turun sekarang,” kata Farhana apabila diberitahu oleh Adam yang dia sedang menunggu mereka di bawah.

Hamimi sudah mengangkat beg tangan dan beg galasnya yang diletakkan di tepi pintu bilik. Tergesa-gesa mereka melangkah keluar sebelum menutup dan mengunci daun pintu rumah itu. Sebaik mereka sampai di pintu lif, butang yang terlekat di dinding ditekan. Beberapa ketika kemudian, pintu lif pun terbuka secara otomatik. Ada beberapa orang keluar dari lif itu. Kemudian mereka berdua cepat-cepat masuk ke dalam perut lif dan menekan butang G.

Kereta Adam sudah sedia menunggu di hadapan laluan ke pintu lif. Adam kelihatan tenang di tempat duduk pemandu. Awal-awal lagi Farhana sudah memaklumkan lokasi terminal di mana tempat Hamimi akan mengambil bas untuk pulang ke kampungnya. Sebaik sahaja pintu kereta ditutup, Adam menekan pedal tanpa banyak soalan dan kereta pun meluncur menuju ke destinasi meninggalkan daerah apartment dua belas tingkat itu.


.

No comments:

Followers