Monday, July 1, 2013

HELO si MERAH JAMBU - BAB 3

.

PAGI berikutnya selepas solat subuh, Farhana dan Hamimi sudah bersiap-siap untuk ke tempat kerja. Mereka perlu melaporkan diri seawal jam 8.00 pagi. 

 Di luar rumah cahaya sudah terang-terang tanah. Walaupun hari masih pagi lagi, namun suasananya tidak sesejuk di kampung. Kenderaan-kenderaan pula sudah bersimpang-siur di atas jalan raya. Segala-galanya seperti mahu cepat sampai ke destinasi. Tidak boleh bertangguh barang seminit dua. Jarum jam berinjak laju tanpa pedulikan sesiapa lagi. Siapa cepat dia dapat. Rezeki tidak datang bergolek. Burung-burung pun sudah bertebaran ke sana sini untuk mencari makan. 

Kebanyakan pekerja di kilang tempat Farhana dan Hamimi bekerja tinggal di pangsapuri yang sama. Maka, setiap hari kelihatan berdedai-dedai mereka berjalan kaki menuju ke kilang tersebut. Semuanya berpakaian seragam. Sekali pandang mereka kelihatan seperti murid yang mahu masuk ke sekolah. 

Memandangkan pagi masih awal, Farhana dan Hamimi singgah di kafeteria untuk bersarapan terlebih dahulu. Farhana teringat akan janji Syukur kepadanya semalam. Maka itu dia hanya membeli secawan kopi panas untuk dirinya. 

“Kau tak makan, Farah?” soal Hamimi sejurus melihat sahabatnya itu hanya membawa secawan minuman tanpa pinggan makanan di tangannya seperti selalu. 

“Kan ada orang janji nak belikan aku nasi lemak kukus semalam?” jelas Farhana. Mereka sudah mengambil tempat di bangku di tengah-tengah ruang kafeteria. 

“Boleh percaya ke cakap si Ako tu? Entah-entah dia sengaja cakap macam tu sebab nak sakitkan hati aku. Kau bukan tak tau dia tu. Kalau pasal temberang... nombor satu,” kata Hamimi sambil mengunyah bihun goreng. 

“Kau ni suka bersangka buruk. Kita bukannya baru kenal dengan Ako tu. Selama ni, kalau kita kirim nasi lemak kukus tu tak pernah dia tak beli, kan? Kadang-kadang kita kirim belikan tapi dia kata dia belanja. Ako tu tak seburuk yang kau sangka.” Pujian Farhana terhadap Syukur ikhlas. Memang dia kenal benar dengan lelaki itu. Sudah hampir empat tahun mereka menjalinkan persahabatan sehinggakan hobi dan minat Syukur pun dia tahu. Namun perhubungan itu hanya sekadar kawan, tidak lebih dari itu. 

“Alah, kalau bercakap pasal si Ako tu mesti kau nak menangkan dia aje,” kata Hamimi tidak puas hati. 

“Bukan macam tu. Dia sebahagian dari kita. Aku ada kau dan aku ada dia. Kalau dia tak betul, aku akan tegur dia sama macam aku tegur kau.” Farhana membuang pandang. Sesekali dia menghadiahkan senyuman kepada rakan sekerja yang dikenali yang melintasi tempat itu. 

“Oh ya, dari semalam aku nak tanya kau pasal Jiha tapi tak sempat nak tanya.” Persoalan tentang pertengkaran antara Hamimi dengan Jiha semalam masih bermain di benaknya. 

“Alah, malaslah aku nak cerita pasal tu lagi.” 

“Tak adalah. Aku cuma nak tau aje, kenapa tiba-tiba dia tuduh kau macam tu? Apa yang dia tak puas hati dengan kau?” Farhana mengajukan soalan. 

“Aku tak taulah kenapa dia marah sangat kat aku sampai dia tuduh aku yang bukan-bukan. Padahal aku tak pergi pun kat tempat dia. Lepas balik makan tengah hari tu, aku terus buat kerja aku. Tiba-tiba aje dia datang memekak-mekak macam orang gila.” 

“Aku rasa mesti ada sesuatu yang buat dia sakit hati kat kau. Kadang-kadang aku perasan jugak dia suka jeling kau. Kau tak perasan ke?” 

“Lantaklah dia. Malas aku nak fikirkan pasal dia. Aku datang sini nak bekerja, nak cari rezeki bukannya nak cari musuh.” 

 “Selama ni tak pernah pulak dia buat hal. Kalau berborak tu, macam biasa aje. Kenapa tiba-tiba dia jadi macam tu?” 

“Kau tak payah pening kepala memikirkan pasal dia tu. Buang karan aje.” 

“Yalah, aku musykil. Aku perasan sejak dia berkawan dengan si Yusni dan Lola tu, dia dah mula berubah. Dengan kita pun dah tak mahu lagi berbual-bual macam dulu.” 

“Biarlah. Dia yang tak mau berkawan dengan kita. Takkan kita nak paksa pula? Aku tak kisah asalkan jangan kau yang berubah hati dan nak jauhkan diri dari aku.” Hamimi menatap wajah Farhana penuh makna. Farhana lantas meraih tangan Hamimi lalu digenggamnya erat. 

“Kau tak usah bimbang, selagi aku ada di sini, aku akan tetap jadi kawan kau.” Dia senyum. 

“Sampai bila-bila,” sambungnya lagi. Seketika mata mereka beradu. Tiba-tiba perasaan mereka diruntun sebak namun senyuman tetap terukir di bibir masing-masing. Tangan yang digenggam tadi sudah dileraikan. Hamimi menyambung semula suapan bihun yang masih bersisa di pinggan. Dalam sedar tidak sedar bihun sudah habis Hamimi makan. 

 “Bihun goreng aku dah habis. Mana nasi lemak kukus kau, bayang pun tak nampak.” Hamimi menolak pinggan bihun yang sudah kosong ke tepi. 

 “Tak apa. Nanti kalau lapar aku makan roti ajelah.” Sesekali mata Farhana melilau memandang sekeliling. Manalah tahu kalau-kalau kelibat lelaki yang ditunggu itu akan muncul. Tetapi hampa, batang hidungnya pun tidak kelihatan. 

“Nanti kalau kau jumpa dia, kau marah dia cukup-cukup,” kata Hamimi, selamba. 

“Kau ni nak jadi batu api pulak. Buat apa aku nak marah dia?” 

“Yalah, dia tipu kau. Aku bukan apa, aku kesian tengok kau. Menunggu nasi lemak dia macam menunggu buah durian yang tak gugur.” Sejurus kemudian, Farhana melambai-lambaikan tangannya. Senyuman yang terukir di bibirnya menandakan kegembiraan yang dirasainya. Rona wajahnya jelas ceria. Hamimi yang duduk menghadap Farhana lantas menoleh ke belakang. Kelihatan sesusuk tubuh sedang berlari-lari anak menghampiri mereka dengan menjinjit beg plastik di tangan. 

“Alahai, sorry aku lambat.” Syukur meletakkan beg plastik di atas meja, betul-betul di hadapan Farhana. Dia termengah-mengah. 

“Tak apa. Sempat lagi nak makan. Kau pergilah beli air dulu, kita makan sama-sama.” Farhana mengeluarkan bungkusan nasi lemak yang masih panas dari dalam plastik. Syukur sudah menghilangkan diri ke kaunter. 

“Eh! Mimi, ada tiga bungkus nasi lemaklah dalam plastik ni. Dia belikan untuk kau jugak.” 

Hamimi memandang bungkusan nasi lemak hingga ternaik keningnya. Dia tersipu-sipu. Termalu dengan kata-katanya sebentar tadi. 

“Aku belikan untuk kau orang berdua lauk ayam goreng. Sambal kerang tu aku punya,” kata Syukur yang kembali lalu duduk di sebelah Farhana. Dia mencicip perlahan kopi O hitam yang masih berasap. Kemudian dia membuka bungkusan nasi lemak yang beralas daun pisang. Aromanya yang enak bertebaran ke udara. 

“Lagi satu bungkus ni untuk siapa?” Farhana menunjuk sebungkus lagi nasi lemak yang masih duduk di dalam beg plastik. Sengaja dia mengaju soalan walaupun dia pasti bungkusan itu sudah semestinya untuk Hamimi. 

“Kita kan bertiga? Ke ada orang tu tak habis-habis merajuk dari semalam?” sindir Syukur. Dia tidak menoleh ke wajah Hamimi, sebaliknya dia memandang Farhana yang duduk di sisinya. Wajah gadis itu tetap manis pada pandangannya biarpun masih awal pagi lagi. Farhana memandang sekilas wajah Hamimi yang masih berdiam. 

“Mimi, Ako belikan nasi lemak ni untuk kau. Makanlah.” Bungkusan nasi lemak itu disuakan kepada Hamimi. 

“Aku dah kenyang makan bihun. Tak apalah.” Nada suara Hamimi rendah. 

“Aku beli untuk kaulah, Mimi. Rezeki tak baik ditolak,” ujar Syukur dengan mulut penuh. 

“Kan aku kata aku dah kenyang? Kau orang makanlah.” 

 “Tak apalah. Nasi lemak ni kau boleh buat makan tengah hari. Karang tengah hari kau tak payah beli nasi lagi,” pujuk Syukur. Dia ni memang sangat degil, getusnya di dalam hati. 

Hamimi hanya membatu. Di dalam diam dia memuji kebaikan lelaki itu. Syukur memang begitu, pandai mengambil hati untuk memujuk. Tetapi entah kenapa lelaki itu sering mengusiknya dengan kata-kata yang boleh meledakkan api kemarahan. Sekejap bertengkar dan sekejap pula mereka akan berbaik semula. Farhana banyak memainkan peranan sebagai penasihat yang akan memujuk dan meleraikan persengketaan. Sering kali pertengkaran mereka berpunca daripada perkara yang remeh-temeh. Justeru, setiap kali melihat wajah skema lelaki itu, perasaan geram Hamimi bagaikan meledak-ledak. 

 “Kau nak aku pujuk ke?” Syukur sudah tersenyum. 

“Aku bab-bab memujuk ni tak pandai. Aku brutal. Sebab itulah awek susah nak sangkut dengan aku ni,” jelas lelaki yang berambut lebat itu. 

 Hari ini rambutnya disikat ke belakang. Rambutnya sudah agak panjang sedikit tetapi tetap kelihatan kemas. Dia tidak tampan tetapi dengan janggut seciput di bawah dagunya, dia kelihatan manis. Pun begitu, sekuntum senyuman yang diberikan sudah cukup membuat gadis-gadis di kilang itu terpikat padanya. Hanya dia yang sengaja tidak mahu melayan. Dia sudah serik bercinta. Dia takut cinta kali kedua juga akan kecundang. Sebenarnya perasaan misteri terhadap Farhana yang menular secara senyap di dalam hatinya sungguh membimbangkannya. Bimbang andai dia bertepuk sebelah tangan. Sudahnya dia mengambil keputusan untuk memuja gadis itu dalam diam. 

Sambil menyuap nasi lemak ke mulut, anak mata Farhana tidak lepas daripada memandang Hamimi. Tersenyum-senyum dia melihat gelagat Hamimi. 

 “Ambillah, Mimi. Jangan jual mahal. Rugi kau kalau tak makan. Sedap lain macam nasi lemak ni hari ini kan, Ako?” Sengaja Farhana berkata begitu dengan harapan Hamimi akan terliur dan mengambil nasi lemak yang masih kemas berbungkus itu. 

“Alah... busuk intan payung, ambillah nasi lemak tu. Kalau tak nak, aku bagi orang lain. Menyesal kau nanti,” usik Syukur tanpa silu. Begitulah perangainya yang lucu dan suka buat orang lain ketawa. Dan kadang kala menyakitkan hati juga. 

“Biarlah kat situ, karang aku ambillah.” Cepat-cepat Hamimi memintas. Kalau betul-betul dia bagi kat orang lain, melepas aku. Bau nasi lemak tu saja dah buat aku terliur. Hatinya berbisik. 

Syukur dan Farhana saling berpandangan dan berbalas senyum. Mereka sudah pun selesai makan. Air minuman pun sudah habis diteguk. 

“Kenapa kau lambat hari ini? Jalan jam teruk ke?” Farhana menyoal. Mana mungkin dia terkandas dalam kesesakan jalan raya? 

“Aku naik motor, kalau jam pun aku boleh cilok.” Bersungguh-sungguh Syukur bercerita, siap dengan gaya tangannya sekali. 

“Habis tu, kalau tak jam kenapa lambat?” Farhana tidak puas hati. Hamimi hanya menjadi pendengar sahaja. Dia tidak mahu langsung mencelah perbualan dua sahabat itu. 

“Tak taulah kenapa hari ini ramai orang kat gerai Mak Cik Limah tu. Siap beratur. Nasib baik tak kena ambil nombor macam kat hospital.” Syukur cuba berlawak. 

Ketawa mereka pecah. Hamimi yang diam saja sejak tadi juga menumpang ketawa. Lega hati Farhana melihat teman sebiliknya sudah mula menunjukkan wajah ceria. 

“Bila dah sampai sini barulah aku tau kenapa orang ramai sangat kat gerai tu hari ni, rupa-rupanya ada orang kat sini yang merajuk. Jual mahal konon,” sambung lelaki itu lagi dengan tawa yang semakin galak tanpa menghiraukan orang yang memandang. 

Hamimi tersipu malu. “Terima kasihlah sebab kau tetap ingatkan aku walaupun aku marah kat kau semalam.” 

“Tak jadi hal. Macam kau tak biasa. Dah hampir empat tahun kita berkawanlah, Mimi. Kau masih tak kenal aku lagi? Macam mana nak jadi bini aku macam ni?” Deraian ketawa terus bergema lagi. Kali ini hanya Syukur sahaja yang ketawa. 

Farhana dan Hamimi terdiam dan terlopong. Apa yang mereka dengar sebentar tadi betul-betul memeranjatkan. Farhana tidak menyangka, apatah lagi Hamimi yang sudah merah mukanya. 

“Pecah rahsia,” usik Farhana. Sekejap-sekejap dia mengerling Hamimi. 

“Apa? Apa yang pecah rahsia?” Di hujung katanya Syukur ketawa lagi seolah-olah kata-katanya lucu sangat. 

 Syukur berpura-pura tidak mengerti. Tapi sikapnya memang begitu. Dia suka bergurau. Dengan sesiapa pun dia bergurau begitu. Dia lelaki yang ‘happy go lucky’. 

Walaupun suka mengusik dan membuat jenaka tetapi hatinya sangat lembut. Hatinya pernah dilukai dan disakiti satu masa dahulu sehingga dia bertekad untuk tidak mahu lagi serius dan tidak mahu ada gadis yang jatuh hati padanya. Kalau ada pun biarlah gadis itu merupakan yang terakhir di dalam hidupnya. Biarlah gadis yang terakhir itu yang akan menjadi ibu kepada anak-anaknya kelak. Sering kali dia berharap agar gadis yang diangan-angankan itu adalah Farhana. 

Bagi Farhana pula, kalaulah apa yang didengarinya tadi benar, dialah orang yang paling gembira sekali. Pada pendapatnya, Syukur dan Hamimi sangat padan. Mereka dilihat bagaikan pinang dibelah dua. Tidak ada cacat celanya. Kalau Hamimi meminta dia untuk menjadi pengapitnya, sudah pasti dia tidak akan menolaknya. 

Jauh di sudut hati Hamimi pula, tidak tersimpan sedikit pun perasaan terhadap Syukur. Dia tidak tersalah dengar. Dia tahu Farhana juga turut mendengar apa yang diungkapkan oleh lelaki yang sedang tersengih-sengih seperti kerang busuk itu.


.

No comments:

Followers