Saturday, July 6, 2013

HELO si MERAH JAMBU - BAB 6

.

 HARI itu Farhana kelihatan ceria. Sepanjang hari wajahnya dihiasi senyuman. Katanya senyum itu sedekah, tambah-tambah pada hari Jumaat. Banyak pahala dan rezeki pun murah. Setelah tamat waktu kerja, Farhana tidak sabar-sabar berkemas untuk berangkat pulang. Pakaian dan barang-barang keperluan sudah dimasukkan ke dalam beg sejak malam tadi. 

“Mimi, dah habis kerja? Jom kita balik.” Ketika dia sampai di tempat Hamimi, gadis itu kelihatan sedang berkemas-kemas. 

“Kalau pasal balik, cepat aje ya? Belum tentu arah, dah sibuk-sibuk nak balik,” terjah Jiha dari belakang. Di sebelahnya dia ditemani kawan baiknya, Lola. Wajah mereka bersalut kebencian. 

Farhana dan Hamimi lantas menoleh ke arah suara itu. 

 “Kita orang masuk ikut masa, balik pun ikut masa. Yang kau tak puas hati kenapa?” bidas Hamimi geram. Farhana yang berdiri di samping sudah memegang lengannya. 

“Kau ingat kita orang tak tau. Kau tu nak balik cepat sebab nak pergi berdating dengan si Ako tu, kan?” tambah Jiha lagi. Lola di sebelahnya mengangguk seperti burung belatuk. 

“Kalau ya, kenapa? Kau cemburu?” tingkah Hamimi tidak mahu mengalah. Barulah dia tahu mengapa Jiha marah sangat dengannya, rupa-rupanya disebabkan lelaki itu. 

“Dia tu pakwe aku. Jadi jangan cuba nak rapatkan diri kau dengan dia.” Jiha cuba memberi amaran. Matanya dijegilkan. 

“Alah, ada aku kisah.” Jawapan Hamimi itu seperti menyiram minyak ke api. 

“Kau jangan lebih-lebih. Kalau lagi sekali aku nampak kau dekat dengan dia, siap kau,” ugut Jiha. Kemarahan jelas terpancar di mukanya. 

“Jiha, Ako tu kawan baik kita oranglah. Dah bertahun-tahun kita orang berkawan, kenapa tiba-tiba sekarang pulak kau nak marah kami berkawan dengan dia?” Farhana mencelah. Sakit hatinya melihat gelagat Jiha yang mahu marah tidak tentu pasal itu. Dan kenapa pula Hamimi yang menjadi mangsanya, sedangkan Syukur juga baik dengannya? 

“Kau pun sama juga dengan dia, tak sedar diri.” Semakin membara api kemarahan Jiha apabila Farhana turut masuk campur. 

“Jaga sikit mulut kau tu, aku tampar kang.” Hamimi sudah mengangkat tangan. Perasaan marahnya sudah tidak dapat dibendung lagi. 

 Dengan pantas Farhana menarik tangan Hamimi, bimbang kalau Hamimi betul-betul melepaskan tangannya ke muka Jiha. 

“Tamparlah kalau kau berani.” Jiha menyuakan mukanya kepada Hamimi seolah-olah sengaja mahu dirinya ditampar. 

“Sesuka hati aje nak tampar muka orang. Kau ingat muka aku ni apa? Bola?” Mata Jiha mencerlang memandang Hamimi. 

“Dahlah Mimi. Jom, jangan kita layan dia ni.” Farhana menarik tangan Hamimi untuk beredar dari situ. 

Semakin dilayan semakin menjadi-jadi pula perempuan ni. Hamimi mengikut langkah Farhana, namun pandangan matanya tidak lepas daripada merenung wajah Jiha yang penuh kebencian itu. Mereka berdua bingkas keluar dari kilang. Lebih lama mereka di situ, lebih banyak yang akan mereka tekakkan nanti. 


 DALAM perjalanan pulang, tidak habis-habis Hamimi merungut. “Gilalah si Jiha tu. Kalau dah syok sangat dengan si Ako tu, pergilah marah dia. Buat apa dia serang aku macam orang tak betul.” Panas rasa hatinya. 

“Ya ke Ako tu pakwe dia? Aku tak percayalah. Selama ini Ako tak pernah cerita pun. Kalau ya, takkan setiap kali Ako beli nasi lemak dia tak belikan untuk Jiha pun, kan? Aku rasa Jiha tu syok sendiri kot.” Farhana seakan-akan tidak percaya dengan apa yang dikatakan oleh Jiha tadi. 

“Kalau ya pun, lantaklah dia orang. Nanti aku nak jumpa Ako.” 

“Kau nak buat apa?” 

“Aku nak suruh dia jaga baik-baik makwe dia tu, jangan sampai aku kerjakan dia nanti.” 

“Tapi ya ke dia tu makwe Ako?” 

“Ah! Aku tak peduli semua tu. Aku sakit hati ni, tak habis-habis nak cari pasal dengan aku. Dahlah, tak mahulah cakap pasal dia orang lagi.” Hamimi sudah bosan mahu bercerita tentang Jiha yang sombong itu. 


 PETANG itu, Farhana dan Hamimi sudah bersiap-siap menunggu Adam datang menjemput. Farhana memandang jam setelah sepuluh minit menunggu. Baru saja dia mahu membuka mulut merungut tentang kelewatan Adam. Tiba-tiba ada sebuah kereta Toyota Vios berwarna putih berhenti hampir dengan tempat mereka menunggu. Segera dia mencapai beg pakaian lalu menonong mengatur langkah ke kereta diekori Hamimi di belakangnya. 

Farhana mengambil tempat di sebelah Adam.  “Assalamualaikum,” ucapnya sebaik menghenyakkan punggung.  

Serentak itu juga Hamimi masuk dan duduk di tempat duduk belakang. Ucapan salam dijawab perlahan oleh Adam, antara dengar dengan tidak. Setelah pasti pintu ditutup rapat kereta itu pun meluncur laju meninggalkan daerah Sungai Way menyusuri lebuh raya menuju ke selatan. 

 Lebuh raya sesak teruk akibat kemalangan yang berlaku mengakibatkan perjalanan menjadi tersangkut-sangkut. Baru beberapa kilometer perjalanan Farhana sudah lena dibuai mimpi indah. Manakala Hamimi yang duduk di belakang Farhana sudah tersengguk-sengguk. Lagu sedih yang berkumandang dari corong radio membuatkan matanya mahu terpejam. Ditambah pula dengan kesejukan dari alat penghawa dingin yang terpasang kuat. Sesekali Adam menjeling memandang ke belakang melalui cermin. 

Tanpa berhenti di mana-mana akhirnya mereka sampai juga ke rumah keluarga Farhana di Bandar Hilir Melaka. Ketika mereka sampai, kedengaran azan isyak sedang dilaungkan dari masjid-masjid berhampiran. Walaupun rumah keluarga Farhana sudah moden namun masih terdapat ciri-ciri rumah kampung negeri Melaka pada tangga batunya. Sebelah hadapan rumah itu sedikit tinggi dari bahagian belakang. Ruang tamu dan tiga buah bilik tidur terletak di sebelah atas manakala ruang dapur yang luas dan sebuah bilik tidur terletak di sebelah belakang. 

Suasana rumah itu terang-benderang, lampu terpasang luar dan dalam. Daun pintu dan tingkap kelihatan bertutup rapat. Kereta Myvi berwarna putih milik Burhan terparkir di dalam garaj tetapi motosikalnya tidak kelihatan. Farhana yakin abahnya sudah ke masjid. 

“Assalamualaikum.” Dia memberi salam sambil daun pintu diketuk berkali-kali. Rumah itu sunyi sepi. 

 Seketika kemudian kedengaran suara Salmah menjawab salam dari dalam rumah dan serta-merta terjengul wajah keibuannya di sebalik pintu yang terbuka. 

 “Dah sampai.” Salmah menyambut mereka dengan senyuman. 

“Oh, Mimi pun ada. Mari masuk.” Mereka bersalam dan berbalas pelukan. 

“Mak tengah buat apa?” tanya Farhana manja. 

“Mak baru nak solat. Abang long mana?” tanya Salmah apabila perasan hanya Farhana dan Hamimi yang kelihatan. 

“Pergi masjid,” jawab Farhana. Daun pintu ditutup semula. 

“Yalah. Ajak Mimi masuk bilik. Kalau nak solat, solatlah dulu. Lepas tu kita boleh makan sekali,” ujar Salmah sebelum melangkah menuruni anak tangga ke ruang bawah. 

“Jom, Mimi.” Beg pakaiannya dibimbit. Farhana masuk ke dalam bilik berhampiran dengan ruang tamu. Hamimi mengekor dari belakang. 


 AWAL pagi mereka sudah terjaga. Biasanya kalau hari-hari cuti, Farhana dan Hamimi akan sambung tidur semula selepas bersolat subuh. Tetapi berada di rumah orang, mata Hamimi jadi kelat. Hamimi memeluk tubuh yang kesejukan. Kalau dapat tidur, sedap ni, bisiknya. Tetapi entah kenapa, matanya tidak mahu terpejam semula. Apatah lagi apabila melihat Farhana tidak bersamanya di dalam bilik sejak usai solat subuh tadi. Mungkin dia di dapur menolong emaknya menyediakan sarapan, fikirnya. 

Sebaik sahaja dia mahu melangkah ke luar dari bilik, aroma bau buah durian yang kuat menyusuk ke lubang hidungnya. Kedengaran suara orang bercakap-cakap dari arah dapur. Suara itu tidak asing di pendengarannya. Dari muka pintu dapur, dia dapat melihat Farhana sedang membancuh minuman dan Mak Cik Salmah sedang menggoreng sesuatu di dalam kuali. 

 “Eh! Mimi! Terkejut aku. Marilah duduk sini,” kata Farhana apabila perasan kelibat Hamimi yang tercegat di muka pintu. 

“Awal lagi, Mimi. Tidurlah dulu.” Salmah meletakkan sepinggan goreng pisang yang berasap di atas meja. 

“Dah nak dekat pukul tujuh dah ni. Kalau kat KL, kami dah ada di kilang dah ni, mak cik,” jelas Hamimi. Dia menarik kerusi dan duduk berhampiran dengan tempat Farhana berdiri. 

“Kejap lagi kita makan durian nak? Kau tengok tu,” tunjuk Farhana ke arah selonggok buah durian di sudut dapur. 

“Pagi-pagi nak makan durian?” tanya Hamimi pelik. 

“Farah ni jangan diikut. Dia pagi-pagi lagi dah sarapan dengan durian. Tengok tu kulit-kulit durian yang dah terkopek tu, kerja dialah tu.” Salmah tersenyum lebar. 

“Macam tupailah kau ni, Farah.” Hamimi ketawa. Farhana dan Salmah juga turut ketawa sama. 


 TERASA masa begitu pantas berlalu. Terlalu leka dan sibuk dengan buah-buahan tidak sempat mereka hendak berjalan ke bandar Melaka. Sebentar lagi mereka akan bertolak pulang ke Kuala Lumpur semula. Buah durian dan buah rambutan yang sudah siap diikat diletakkan di serambi tangga. 

 Pagi hari Ahad itu sempat juga Adam menangkap dan menyembelih dua ekor ayam kampung untuk dibuat lauk untuk makan tengah hari nanti. Adam menyerahkan ayam yang sudah siap dibersihkan kepada Salmah. 

“Masak lemak cili api ya, mak?” Belum sempat Salmah bertanya, Adam sudah memberitahu keinginannya. Itu memudahkan kerja Salmah. Tidak perlu dia bersusah payah memikirkan apa yang hendak dimasak dengan ayam itu. 

Itulah sikap Adam yang menjadi kepujian Salmah dan Burhan. Dia ringan tulang. Tidak perlu diarah, dia sendiri yang akan melakukan. Kalau lebih lama dia berada di kampung, habis lalang-lalang yang bermaharajalela di belakang rumah ditebasnya. Umur Adam sudah mencecah 32 tahun tetapi dia masih membujang. Mungkin kerana sikapnya yang pendiam menyukarkan dia mencari teman hidup. Tetapi Burhan dan Salmah tidak kisah dengan status anak lelaki tunggalnya itu. Mereka tidak pernah bertanya apatah lagi mahu memaksanya mencari jodoh walaupun adik kedua Adam sudah mempunyai seorang anak. 

Farhana dan Hamimi turut membantu Salmah memasak. Sengaja Salmah memasak lebih supaya anak-anak dapat membawa bekal seorang sedikit nanti. Ayam masak lemak cili api sudah siap dimasak. Sayur kangkung juga sudah siap ditumis. Tidak cukup itu, empat ekor ikan Uji Rashid sedang digoreng di dalam kuali. Katanya, ikan goreng hidangan wajib. Kalau tidak ada ikan goreng, suaminya tidak berselera makan. 

“Mak masak apa lagi tu?” tanya Farhana yang sudah duduk di bangku. 

“Mak masak ikan patin masak tempoyak.” Tempoyak yang dibuat sendiri oleh Salmah memang sedap. Maklumlah tempoyak baru. 

“Sedapnya, mak cik.” Hamimi sudah menelan air liur. “Dah lama saya tak makan lauk tempoyak ikan patin. Kat KL bukan senang nak jumpa ni.” Hamimi menghampiri Salmah yang sedang mengacau kuah di dalam periuk. 

“Mak cik, boleh ajar saya macam mana nak masak lauk ni?” Hamimi memerhati pergerakan Salmah yang tangkas membuat kerja. 

“Bagus jugak kalau kau belajar masak Mimi. Lepas ni bolehlah kau masak kat rumah kita nanti,” celah Farhana. Suka dia melihat cara Hamimi yang tidak kekok menolong emaknya di dapur. 

 “Elok jugak tu, Mimi. Jangan jadi macam Farah yang hanya tau makan saja,” usik Salmah. 

 Hamimi menoleh ke arah Farhana yang sedang duduk bersandar menghadap kipas angin. Senyum mengejek dilemparkan kepada sahabatnya itu. 

“Masak lauk ni senang aje. Tumbuk kunyit hidup, bawang kecil, cili api dan digaulkan dengan tempoyak. Lepas tu, masukkan dalam periuk yang diletakkan air. Jangan lupa asam keping. Bila dah mendidih masukkan ikan. Masukkan juga bunga kantan, daun kesum dan daun kunyit yang disiat. Akhir sekali, masukkan garam. Kalau agak-agak rasa pedas sangat masukkan gula sikit. Bila kuah dah mengelegak, tutup api. Dah siap. Senang, kan?” terang Salmah panjang lebar. 

Hamimi memerhati dan mendengar penjelasan Salmah dengan tekun. Semua bahan-bahan dan cara-cara yang dijelaskan dimasukkan ke dalam otaknya sehingga tidak ada satu pun yang tertinggal. Dia sangat gembira kerana hari itu dia mendapat satu resipi baru yang akan menjadi salah satu masakan yang akan dicuba apabila pulang ke kampungnya nanti. 


 USAI solat zuhur, mereka berkumpul di meja makan. Makanan sudah siap terhidang. Air sirap bandung juga sudah siap dibancuh. Juadah hari itu sungguh istimewa, apatah lagi dengan kehadiran tetamu yang datang. 

“Jangan malu-malu, Mimi. Makan sampai kenyang. Balik nanti tak perlu singgah mana-mana untuk makan lagi.” Burhan memberi nasihat. 

Burhan dan Adam sudah bertambah nasi. Begitu berselera nampaknya mereka makan. Salmah memandang Burhan dan Adam bersilih ganti. Senyumnya melebar. 

“Kalau abang long nak cari isteri, kena cari orang yang pandai masak, terutamanya masak lemak ciliapi.” Salmah tiba-tiba bersuara. 

Tersedak-sedak Adam mendengar kata-kata emaknya. Burhan yang duduk di sebelahnya menepuk-nepuk belakang Adam yang terbatuk-batuk kecil. 

Farhana segera menghulurkan segelas sirap bandung kepada abang longnya. Tanpa menunggu, cepat saja Adam menyambar gelas dan meneguk air itu sehingga habis. Farhana tergelak melihat gelagat Adam. Hamimi pula tersipu-sipu malu. Kalau ikutkan hatinya mahu saja dia turut ketawa. 

 “Awak ni, kalau ya pun tunggulah sampai budak tu habis makan dulu,” kata Burhan. 

“Alah, saya gurau aje. Tak taulah pulak boleh sampai tersedak-sedak.” 

 Suasana jadi gamat dengan gelak tawa mereka. Merah muka Adam menahan malu kerana ditertawakan, apatah lagi apabila perasan Hamimi juga turut mentertawakannya.

.

No comments:

Followers