Friday, July 26, 2013

HELO si MERAH JAMBU - BAB 14

.


Azan subuh baru sahaja berkumandang. Hanya ruang dapur dan bilik Mak Jah di tingkat bawah sahaja yang kelihatan terang. Mak Jah sedang mengambil wuduk untuk menunaikan solat. Manakala penghuni lain di banglo dua tingkat itu masih asyik dibuai mimpi. Begitulah kelazimannya suasana rumah itu setiap kali waktu subuh menjelang.

Usai solat, Mak Jah ke dapur untuk menenggek air. Sementara menunggu air masak, dia menghidupkan mesin basuh dan membersihkan sekitar ruang dapur. Tatkala jam menunjukkan pukul 7.30 pagi, barulah dia menyediakan sarapan.

Sarapan yang disediakan ringkas sahaja. Dia hanya membancuh seteko kopi panas dan menyediakan beberapa butir telur separuh masak. Roti yang telah dibakar dicalit dengan mentega dan kaya manis. Itulah hidangan sarapan penghuni rumah itu hampir setiap pagi.

“Petang nanti kalau you balik awal, boleh tak tolong ambilkan baju dekat laundry? Laundry tu tutup pukul enam. I takut tak sempat sebab appointment I dengan Datin Bibah pukul empat. You tahulah kalau kita orang dah duduk berbual. Tambah-tambah kalau ada Datin Sally dengan Nancy Tan tu, ada aje cerita mereka,” pinta Mazni sambil melangkah menuruni anak tangga. Mazni masih di dalam pakaian tidur.

“I tak boleh janji. Hari ini sehari suntuk ada mesyuarat. Pagi di Subang Jaya dan petang nanti di Putrajaya pulak. Sebelum you pergi jumpa kawan-kawan Datin you tu, you singgahlah kat laundry tu dulu.” Mustafa membetulkan tali leher yang dipakainya. Hari itu dia memakai seluar slack hitam dipadankan dengan kemeja berlengan panjang warna biru muda.

“I malas nak berpatah balik. Lagipun, I tak lalu kat kedai laundry tu.” Awal pagi lagi Mazni sudah merungut. Dia muncung. Wajahnya kelihatan sedikit pucat tanpa sebarang alat mekap yang bertempek di kulit muka seperti selalu.

Mustafa sudah duduk di kerusi makan. Dia menuangkan  sendiri air kopi ke dalam cawannya. Sekeping roti bakar dijamah.

“Kalau macam tu, minta tolong Mirul saja.” Setelah habis sekeping roti, dia meneguk kopi pula.

“You lupa ke? Bukan ke hari ini dia ada appointment dengan Datuk Kadir di kilang tu?” Mazni mengingatkan suaminya.

“Oh ya, nanti jangan lupa kejut dia. Kalau tak dikejut nanti sampai ke tengah hari pun dia tak bangun. Kalau ada apa-apa suruh dia call I.” 

Mustafa sudah selesai bersarapan. Kemudian dia mengatur langkah ke ruang tamu sambil Mazni mengekorinya dari belakang. Dia duduk di sofa. Terbongkok-bongkok dia memakai stoking sebelum keluar menuju ke garaj kereta.

Mazni sekadar menghantar suaminya dengan pandangan mata. Setelah pasti Mustafa sudah pergi barulah dia menutup pintu utama dan hilang ke tingkat atas.


Jam di dinding sudah menunjuk ke angka sepuluh. Mazni sudah pun mandi dan memakai pakaian cantik. Walaupun hanya duduk di rumah, wanita yang berusia 50 tahun itu tetap mahu kelihatan menawan.

Ketika dia melintasi bilik Amirul untuk ke ruang bawah, dia melihat pintu bilik anak bujangnya itu masih bertutup rapat. Dia yakin Amirul masih belum bangun daripada tidur lalu dia menghampiri bilik tersebut. Tombol pintu cuba diputar tetapi ternyata pintu itu berkunci dari dalam. Mazni mengetuk daun pintu bertalu-talu sambil melaungkan nama Amirul.

Setelah beberapa minit mengetuk dan memanggil, barulah kelihatan wajah Amirul terjengul di sebalik daun pintu yang terkuak. Rupa-rupanya dia sudah bersiap dengan memakai pakaian kemas. Rambutnya disisir rapi. Haruman minyak wangi yang dipakai Amirul menusuk kuat ke hidung membuat Mazni terasa sedikit pening.

“Kenapa, ma? Mesti mama ingat saya belum bangun, kan?” Amirul menyengih.

“Tak adalah. Mama cuma nak pastikan Mirul dah bersiap-siap untuk pergi temu janji tu. Temu janji dengan Datuk Kadir tu pukul berapa?” Mereka dua beranak menuruni anak-anak tangga ke aras bawah.

“Katanya bila-bila sebelum waktu makan tengah hari. Dari sini ke Sungei Way tu tak jauh mana pun. Kalau jalan tak jam lima minit dah sampai,” jelas Amirul ceria.

“Bagus anak mama. Tak payah susah-susah mama nak kejutkan,” puji Mazni.

“Saya sedang bersemangat ni, ma. Rasa tak sabar nak mulakan kerja. Dah bosan rasanya duduk rumah hanya makan tidur saja,” rungut Amirul lagi.

“Jangan hangat-hangat tahi ayam. Mula-mula saja bersemangat, lepas tu malas.” Mazni menuangkan minuman ke dalam cawan untuk Amirul dan dirinya. Roti bakar yang masih panas serta dua butir telur separuh masak yang telah dipecahkan ke dalam mangkuk kecil disuakan kepada anak bujangnya itu. Senang hatinya melihat Amirul bersarapan dengan berselera sekali walaupun hanya roti bakar bercicahkan telur separuh masak.

“Mama janganlah cakap macam tu. Kata-kata yang keluar dari mulut mama tu adalah doa tau, ma.”

“Yalah, mama akan doakan supaya anak mama rajin dan ringan tulang.”

Amirul menyengih.

“Mirul, boleh tolong mama, tak?”

“Tolong apa, ma?”

“Balik nanti Mirul singgah laundry ambil pakaian yang mama hantar kelmarin, boleh?”

“Boleh,” jawab Amirul dengan senang hati. Dia memandang jam di tangannya. “Okeylah, ma. Saya pergi dulu, takut terlambat pulak nanti.” Amirul bangkit lalu melangkah pergi.

“Okey. Good luck,” ucap Mazni.

“Terima kasih, ma.” Baru beberapa langkah Amirul menapak tiba-tiba langkahnya terhenti, dia berpatah balik. Seperti ada sesuatu yang tertinggal. Dia menuju ke dapur.

“Nak ke mana tu?” tanya Mazni pelik.

“Nak jumpa Mak Jah sekejap.” Begitulah lazimnya sikap Amirul jika mahu keluar ke mana-mana pasti tidak lupa untuk bersalam dan memberitahu Mak Jah akan kepergiannya.



AMIRUL sudah tahu benar selok-belok untuk ke kilang yang terletak di Sungei Way itu. Tanpa ada apa-apa masalah dalam masa tidak sampai sepuluh minit dia sudah berada di dalam kawasan kilang. Kereta diparkir di tempat letak kereta awam. Kebetulan semasa dia keluar dari kereta dia terserempak dengan dua orang pekerja kilang yang melintasi tempat itu, lalu ditegurnya.

“Assalamualaikum.” Dia memberi salam kepada dua orang lelaki tersebut.

“Waalaikumussalam,” jawab mereka serentak.

“Maaf, nak tumpang tanya,” kata Amirul berbasa-basi.

Kedua-dua lelaki itu mengangguk.

“Di mana pejabat Datuk Kadir?” tanya Amirul sopan.

“Oh, pejabat Datuk Kadir? Pejabat Datuk Kadir di tingkat lima. Saudara boleh naik lif di situ untuk ke sana.” Salah seorang daripada mereka menjawab sambil menunjuk jalan arah.

“Okey, terima kasih,” ucap Amirul sambil menghadiahkan senyuman ikhlas. Dia menghulurkan tangan untuk berjabat dengan kedua-dua lelaki itu.

“Ya, sama-sama.” Kedua-dua lelaki tersebut menyambut tangan yang dihulur sebelum berlalu.



Sebaik pintu pejabat dibuka, Amirul melihat ada seorang pekerja wanita duduk di meja hadapan sedang menghadap skrin komputer. Apabila wanita itu menyedari kehadirannya, serta-merta dia menoleh pandang. Wanita yang memakai pakaian serba biru itu mempamerkan wajah manis. Belum sempat Amirul memberi salam, wanita itu terlebih dahulu mengucapkan salam kepadanya. Sambil tersenyum-senyum Amirul menjawab salam wanita yang bermata galak itu.

“Saya ada temu janji dengan Datuk Kadir, dia ada di dalam?”

“Ya, Datuk Kadir ada di pejabatnya. Nama encik siapa?”

“Amirul Fahmi bin Mustafa.”

“Tunggu sekejap, ya?” Wanita itu kemudiannya dilihat mengambil gagang telefon dan bercakap dengan seseorang.

“Di sebelah kiri itu bilik Datuk Kadir. Encik boleh masuk, dia sedang menunggu encik,” kata wanita itu lembut.

Tertera nama Datuk Kadir di daun pintu pejabat yang ditunjuk oleh wanita itu tadi. Sebelum masuk, dia mengetuk dengan perlahan daun pintu tersebut. Apabila kedengaran suara orang dari dalam mengarahkannya masuk, barulah daun pintu itu dibuka. Sebaik melihat wajah Datuk Kadir yang tersenyum lebar, Amirul mengucap salam dan tangan dihulur untuk bersalaman.

Datuk Kadir berdiri sambil menyambut huluran tangan anak muda itu. Dia menyambut kehadiran anak bujang sahabatnya itu dengan ramah.

“Duduk, Amirul,” kata Datuk Kadir. Kemudian dia menekan butang interkom. “Bawakan dua cawan teh,” arahnya kepada setiausaha. Lelaki itu memandang wajah anak muda yang duduk di hadapannya. “Papa apa khabar? Lama dah uncle tak jumpa dengan papa Amirul,” soalnya yang bercermin mata itu. Lelaki itu kelihatan segak walaupun sudah berambut putih. Usianya mungkin lebih tua dari papa Amirul.

“Papa sihat. Dia kirim salam pada uncle.” Amirul sudah beberapa kali bertemu dengan Datuk Kadir sebelum ini. Malah dia juga sudah pernah ke rumah lelaki itu semasa hari raya. Amirul senang berhadapan dengan Datuk Kadir yang ramah itu. Dia tidak ada rasa kekuk atau segan dengan lelaki yang sudah dianggap seperti bapanya itu.

Datuk Kadir duduk bersandar di kerusinya. “Uncle dapat tahu yang Amirul baru dua bulan habis degree. Amirul ada niat untuk sambung belajar lagi nanti?” tanyanya ingin tahu.

Amirul mengangguk. “Ya, uncle. Saya memang berhajat nak sambung belajar lagi tapi bukan sekarang. Buat masa ini saya ingat nak cari pengalaman bekerja dulu di sini.”

“Baguslah. Amirul masih muda lagi. Oh ya, uncle akan letakkan Amirul di bahagian production. Nanti kemudian Amirul bolehlah bekerjasama dengan pegawai di bahagian production untuk belajar perkara-perkara yang bersangkutan dengan lebih terperinci lagi. Sekejap lagi uncle akan kenalkan Amirul dengan Gunawan untuk tunjuk kawasan kilang. Gunawan tu pegawai yang akan bekerja dengan Amirul nanti.” Bicara Datuk Kadir terhenti apabila wanita yang memakai pakaian serba biru tadi masuk membawa dua cawan teh panas. “Nini, nanti awak tolong panggilkan Gunawan masuk. Saya nak jumpa dia,” arahnya kepada wanita tersebut.

Wanita yang dipanggil Nini itu sekadar mengangguk sebelum beredar keluar.

Beberapa ketika kemudian, lelaki yang bernama Gunawan  masuk ke bilik pejabat Datuk Kadir. “Ya, Datuk panggil saya?”

“Gunawan, saya kenalkan inilah pengurus baru di tempat awak.”

Gunawan menoleh memandang Amirul dengan senyuman lalu tangan dihulur untuk berjabat tanda perkenalan.

“Amirul.” Amirul memperkenalkan dirinya.

“Nanti sekejap lagi awak tunjukkan bilik pejabat dan sekitar kawasan kilang. Dan saya nak awak bagi maklumat yang perlu kepada Amirul,” kata Datuk Kadir.

“Baiklah.” Gunawan mengangguk.

“Minum dulu, Amirul. Sekejap lagi Gunawan akan tunjukkan bilik pejabat awak. Kalau ada apa-apa masalah pejabat boleh berurusan dengan Cik Nini, ya?” Datuk Kadir meneguk minumannya.

Sejurus Amirul menghabiskan minumannya, dia bangkit dari kerusi lalu menghulurkan tangan kepada Datuk Kadir. “Terima kasih, uncle... err... Datuk.” Dia mahu membiasakan dirinya untuk memanggil Datuk Kadir dengan gelarannya apabila di tempat kerja.

Datuk Kadir ketawa. “Saya harap awak berdua dapat bekerjasama untuk mempertingkatkan prestasi organisasi kilang kita ini.” Datuk Kadir menatap dalam ke anak mata Amirul sambil tangannya digenggam erat. Air mukanya manis sahaja.

Gunawan membawa Amirul ke bilik pejabatnya terlebih dahulu. Pejabat Amirul terletak di tingkat bawah.

“Ini bilik kau.” Gunawan membuka daun pintu yang bertutup rapat. Bilik sederhana besar itu lengkap dengan peralatan sebuah pejabat. 

“Dulu bilik ini dihuni oleh seorang pengurus perempuan. Bulan lepas dia berhenti sebab ikut suaminya berpindah.”

“Patutlah bilik ini nampak kemas dan bersih.” Amirul duduk di kerusinya. Dia memusing ke kiri dan kanan dan kemudiannya duduk berjongkang-jongket. “Aku suka bilik ini.” Dia memandang Gunawan yang masih berdiri di tepi pintu sejak tadi. “Dah berapa lama kau bekerja di sini?” tanyanya ramah.

“Dah hampir lapan tahun. Alhamdulillah, di sinilah rezeki aku.” Gunawan mengambil tempat bertentangan dengan Amirul tanpa diarah.

“Lapan tahun? Lama juga.” Amirul berjeda. “Tak ada masalah bekerja di sini?” sambungnya lagi.

“Semua perkara yang kita buat dalam dunia ni pasti ada masalah. Tak ada perkara tanpa masalah. Yang penting kerja kena ikhlas. Insya-Allah kalau kita ikhlas, kita akan rasa keseronokannya. Jom, aku bawa kau ke kilang pulak.” Gunawan mendahului Amirul keluar dari bilik pejabat itu.

Kemudian Amirul dibawa masuk ke sebuah kilang yang  bising dengan bunyi mesin. Semua pekerja yang memakai pakaian seragam kelihatan kusyuk membuat kerja masing-masing tanpa menyedari kehadiran mereka. Amirul dibawa melawat sekeliling kilang. Segala benda yang dilihat dijelaskan dengan terperinci oleh Gunawan agar Amirul faham dan mengetahui segala proses kerja kilang tersebut.

Ketika Gunawan memberi penerangan kepada Amirul, tiba-tiba pandangan mata Amirul tertancap pada kelibat seorang gadis. Segala apa yang dikatakan oleh Gunawan bagaikan sudah tidak kedengaran lagi. Dia seperti berada di awang-awangan. Tapak kaki tidak terasa menjejak ke tanah. Dia merenung gadis yang memakai pakaian seragam itu.

‘Macam pernah aku lihat dia ni, tapi kat mana ya?’ tanyanya di dalam hati.

Tatkala melihat Amirul yang sudah hilang tumpuan, Gunawan berhenti dari bercakap. Dia tidak hairan melihat sikap Amirul berubah serta-merta apabila ternampak kelibat gadis manis itu. Dia faham benar perasaan seorang lelaki kalau melihat perempuan, apatah lagi perempuan cantik seperti si merah jambu. Tetapi dia berasa pelik dengan cara Amirul merenung gadis itu. Dia tidak pernah melihat perempuan secantik itukah atau adakah dia mengenali gadis itu secara peribadi?

“Amirul,” panggilnya. Dia menghampiri Amirul yang sedang terlongo seperti orang terkena pukau itu. “Amirul,” panggilnya lagi apabila panggilan pertama tadi tidak diendah.

Amirul terkejut mendengar suara Gunawan memanggil namanya. Badannya ternaik sedikit. Dia seolah-olah baru tersedar daripada mimpi siang. Dan serentak itu, gadis yang direnungnya tadi menoleh dan terpandangkan wajah Amirul yang berdiri betul-betul di tepi tempatnya bekerja. Pandangan mata mereka beradu seketika. Apabila tersedar cepat-cepat gadis itu menoleh semula dan menyambung kerjanya.

“Kau kenapa? Macam orang nampak hantu,” tegur Gunawan apabila melihat sikap pelik Amirul. Tangannya menepuk-nepuk belakang Amirul sambil anak matanya mengerling gadis yang menjadi punca Amirul seperti dipukau.

“Tak ada apa-apa,” kata Amirul gagap.

“Jom, aku bawa kau ke kafeteria. Kebetulan sekarang ini waktu makan tengah hari. Aku belanja kau makan hari ini sebagai salam perkenalan kita.” Mereka beriringan ke kafeteria sambil berbual kosong.

Fikiran Amirul dibayangi wajah gadis yang dilihat tadi. Insiden yang berlaku beberapa minggu lalu menerjah mindanya.



 .

No comments:

Followers