Friday, August 2, 2013

HELO si MERAH JAMBU - BAB 18

.


Sedang Farhana sibuk bekerja, tiba-tiba dia disapa oleh seseorang. Lantas dia menoleh memandang  wajah  empunya suara. Dia terkesima. Ketika mata mereka beradu pandang, degupan jantungnya rasa tidak menentu. Dia menjadi kaku, seperti ada sesuatu yang menghalangnya daripada bergerak. Mereka bertatapan tanpa kata-kata buat seketika.

“Maaf kalau saya mengganggu.” Amirul berbasa-basi.

“Tak… tak…” jawab Farhana gugup. Dia seolah-olah baru terjaga daripada lena yang panjang.

“Saya Amirul Fahmi. Panggil saya Amirul.” Lelaki itu memperkenalkan diri.

“Err… saya Farah.”

“Farah saja?”

“Nur Farhana.” Farhana memandang sekeliling. Dia perasan ada beberapa pasang mata sedang memerhatikan mereka. Dia berasa serba salah.

“Oh… cantik,” bisik Amirul.

“Hah? Apa awak cakap?”

“Nama awak cantik,” puji Amirul. Dia gugup.

Farhana tersenyum malu. Jantungnya berdegap-degup.

“Kalau tak silap saya, awaklah yang melanggar saya di Mc D dulu, kan?” Amirul terkenang detik pertemuan mereka. Sebuah pertemuan tanpa dirancang. Walaupun ketika itu emosinya terganggu dengan sikap Qistina yang menjengkelkan itu, namun iras wajah manis gadis yang melanggarnya itu tetap melekat kemas di mindanya.

“Err… err… ya, betul. Sayalah tu.” Farhana mengaku. Senyuman yang terukir di bibir lelaki itu semasa insiden itu berlaku masih jelas dibayangan matanya. “Hari tu saya dah mintak maaf, kan? Memang saya tak sengaja.”

“Saya dah maafkan awak. Saya tahu awak tak sengaja. Dah, lupakan saja. Oh ya, dah lama awak bekerja di sini?”  Amirul bertanya dengan wajah ceria. Tidak disangka dia akan bertemu semula dengan gadis itu di sini. Entah kenapa sejak terpandangkan wajah gadis itu buat pertama kali, hatinya sering teringat-ingatkan wajah itu. Dia selalu berharap agar suatu hari kelak dia akan dapat bertemu lagi dengan gadis itu. Alhamdulillah, permintaannya termakbul juga akhirnya.

“Baru empat tahun.” Masih ada nada gugup di hujung suara Farhana.

“Hmm… lama jugak ya. Maafkan saya ganggu awak bekerja. Sebenarnya saya datang ke mari mahu melihat-lihat dan berkenalan dengan pekerja-pekerja yang ada di sini.” Amirul memberi alasan. Dia tahu alasannya itu tidak masuk dek akal. Jika benar dia mahu berkenalan dengan pekerja-pekerja di situ, mengapa dia hanya kelihatan berada di tempat Farhana sahaja sejak tadi?

“Tak apa,” jawab Farhana sebelum kembali berpaling untuk meneruskan kerjanya yang terhenti. Dia tidak sanggup direnung oleh sepasang mata lelaki yang baru saja dikenalinya itu. Degupan jantungnya semakin berdetak kuat.

“Boleh kita jumpa lagi nanti?” tanya Amirul mahukan kepastian. Dia sedar ketika itu bukanlah waktu yang sesuai untuk dia bertemu ramah. Bukan saja banyak mata yang memandang malah banyak pula persepsi yang akan bermain di benak mereka yang melihat.

“Err… err…” Belum sempat Farhana memberi jawapan,  cepat sahaja Amirul bersuara.

“Ini kad saya. Nanti awak call saya, ya?” Amirul menghulurkan sekeping kad namanya kepada Farhana.

Tanpa berkata apa-apa Farhana mengambil kad itu dengan tangan terketar-ketar.

“Jumpa lagi,” kata Amirul berbisik sebelum beredar.

Haruman minyak wangi yang dipakai oleh Amirul menyusuk hidung Farhana yang masih mamai. Dia seperti tidak percaya dengan apa yang berlaku. Dia tidak menyangka seorang pengurus muda yang tampan mahu menyapa dan berkenalan dengannya yang hanya gadis kilang berasal dari kampung. Dia bukan bermimpi tetapi itu realiti. Dia kemudiannya menatap kad nama yang masih berada di tangannya. Tertera nama lelaki itu dengan jelas di dada kad itu.
Amirul FAHMI B MUSTAFA. Jawatan dan nombor telefon juga tertulis lengkap di situ.



Ketika waktu rehat untuk minum petang, Farhana tidak sabar mahu bertemu dengan Hamimi. Dia mahu menceritakan apa yang berlaku tadi dengan Hamimi. Tentu Hamimi akan terkejut setelah mendengar ceritanya malah sudah pasti gadis itu tidak percaya dengan ceritanya.

“Mimi, aku ada cerita nak beritau kau.” Dia menarik tangan Hamimi. Tangan itu kemudiannya dipimpin menuju ke sebuah bangku yang terletak di bawah sepohon pokok yang besar dan rendang tidak jauh dari kilang tempat mereka bekerja. Angin petang bertiup nyaman. Dedaunan kering pun berterbangan mengikut arah tiupan angin lalu terdampar lesu ke tanah.

“Ada cerita apa sampai tak sabar-sabar nak bagitahu aku?” Hamimi duduk di bangku yang menghadap jalan raya. Kenderaan kelihatan bersimpang-siur. Sebentar lagi keadaan jalan raya itu akan bertambah sesak apabila ramai yang berpusu-pusu untuk pulang dari pejabat.

“Pengurus baru kita tadi datang kat tempat aku,” kata Farhana ceria. Dia sangat teruja.

“Apa? Biar betul? Dia datang jumpa kau?” Hamimi melongo.

“Ya. Dia datang jumpa aku. Rupa-rupanya dia masih ingatkan aku lagi.” Farhana meraba-raba ke dalam poketnya mencari sesuatu. “Ini kad dia.”
Hamimi mencapai kad itu dari tangan Farhana. Kad itu ditatap. “Amirul Fahmi nama dia. Habis tu, dia bagi kad ni kat kau nak buat apa?”

“Dia suruh aku telefon dia. Dia kata dia nak jumpa aku lagi nanti. Jangan marah.”

“Eeii… bestnya. Kalau kau jumpa dengan dia, kau jangan lupa bawa aku ya?”

“Eh... eh... kau ni. Mana boleh aku bawa kau?”

“Oh ya, kacau daun pulak aku nanti, kan?” Hamimi tergelak.

“Tau tak apa,” kata Farhana. Kad nama yang berada di tangan Hamimi diambil kembali lalu disimpan semula ke dalam poket unifomnya.
Bekalan air minuman yang dibawa Farhana dari rumah diteguk perlahan. Kemudian bekas air itu dihulurkan kepada Hamimi pula. Hamimi meneguknya beberapa kali.

“Kalau Ako dengar cerita kau ni, mesti dia cemburu,” kata Hamimi. Pandangan matanya dilemparkan ke jalan raya. Wajahnya berubah.

“Kenapa pulak dia nak cemburu? Kau ni suka buruk sangka. Kan aku kata kita orang tak ada apa-apalah?” tegas Farhana.

“Itu kata kau. Aku tau dari dulu lagi dia tu ada hati dengan kaulah Farah. Dari renungan mata dia bila pandang kau tu lain macam. Setiap kali bila aku tengok cara dia berbual dengan kau tu aku macam dapat rasa perasaan dia.”

“Ya ke? Tapi aku tengok dia selalu usik kau. Dia suka menyakat kau, kan?”

“Dia suka sakat aku aje. Sebenarnya itu hanya untuk menutup perasaan sebenar yang tersimpan dalam hati dia terhadap kau. Itulah kau tak tau macam mana nak baca hati orang.” Hamimi seakan-akan dapat meneka apa yang tersirat di dalam hati Syukur walaupun lelaki itu tidak pernah bercerita.

“Pandai-pandai aje kau ni.”

“Bukan ke kita dah berkawan rapat sejak empat tahun lalu? Empat tahun tu bukan jangkamasa yang singkat tau,  Farah? Kalau kahwin dah beranak-pinak.”

“Aku tak rasa dia suka kat aku. Selama empat tahun kita berkawan, aku tak pernah nampak walau sekali pun gerak laku atau sikap dia yang menunjukkan dia suka kat aku. Entah... aku rasa tak kot.” Farhana yakin lelaki yang sudah dianggap saudara itu tidak menyimpan apa-apa perasaan terhadapnya.

“Kau tau, Farah... kadangkala orang yang paling mencintai kita adalah orang yang tak pernah menyatakan cintanya kerana orang itu takut kita akan berpaling dan menjauhinya. Tapi bila suatu masa dia hilang dari pandangan mata barulah kita akan menyedari dia adalah cinta yang tidak pernah kita sedari.”

“Amboi! Pandai kau berfalsafah.” Farhana tersengih.

“Terpulanglah pada kau, Farah. Oh ya, bila kau nak jumpa dengan Encik Amirul kau tu?” Perasaan teruja yang dirasai Hamimi melebihi apa yang dirasai oleh Farhana.

“Belum lagilah. Dia baru kata nak jumpa. Lagipun dia suruh aku call dia dulu. Kau agak-agak okey ke kalau aku call dia?” Farhana meminta pendapat Hamimi.

“Apa salahnya? Bagi aku tak salah.”

“Kau tak rasa macam aku ni yang terhegeh-hegeh ke?”

“Taklah. Dia yang minta kau call dia, kan? Jadi apa salahnya?”

“Aku malulah.”

“Jangan nak malu sangatlah. Takut nanti kau gigit jari aje nanti.”

“Maksud kau?” Farhana berpura-pura tidak mengerti.

“Yalah. Banyak sangat fikir. Itulah inilah. Lama-lama Encik Amirul tu bosan menunggu kau. Last-last dia cari yang lain. Kau melepaslah, faham Cik Farah?” Hamimi mencubit geram pipi Farhana.

“Adoi! Sakitlah.” Pipinya digosok-gosok perlahan. “Aku dengan Encik Amirul tu baru nak berkenalan, kau dah fikir yang bukan-bukan. Takkanlah dia yang berpangkat tinggi macam tu nakkan aku yang hanya bergelar Minah Kilang ni?” Farhana merendah diri. Kalau betul-betul dia suka kat aku elok jugak. Dia tu dahlah hensem, berpangkat pulak tu, bisik hatinya.

“Kalau tak ada apa-apa takkan dia bersungguh-sungguh sampai datang jumpa kau. Bagi kad suruh kau telefon dia lagi.”

“Dia dah ada makwelah. Entah-entah perempuan tu tunang dia.” Farhana teringatkan gadis seksi yang bersama Amirul ketika kejadian itu berlaku. Pasti gadis itu seseorang yang sangat istimewa di dalam hidup lelaki itu. Kalau tidak,  masakan gadis itu dengan selambanya merangkul manja lengan dia?

“Mungkin perempuan tu adik dia kot? Tak pun sepupu dia ke? Kita kena berfikiran positif, jangan suka salah sangka.” Hamimi memulangkan paku buah keras. Selalunya Farhana yang suka menggunakan ayat itu sebagai nasihat kepadanya.

Farhana terdiam seketika. Berbagai-bagai persoalan yang bermain di benaknya. Sangkaan Hamimi ni terlampau jauh perginya. Encik Amirul tu tak ada apa-apa pun. Dia cuma nak berkawan je, tak lebih dari itu, fikirnya.

“Rashid!” Tiba-tiba Farhana memanggil seorang lelaki berbadan gempal yang kebetulan lalu berhampiran tempat mereka duduk. Rashid adalah rakan setugas dan serumah dengan Syukur.

“Ya, Farah. Ada apa?” Lelaki itu datang menghampiri mereka.

“Aku tak nampak Ako hari ni. Dia tak kerja ke?” Farhana bertanya.

“Dia cuti, balik kampung. Dengar cerita kata emak dia meninggal. Eh! Takkan kau orang tak tau?” jelas Rashid.

“Emak dia meninggal? Bila?” Farhana dan Hamimi saling berpandangan. Hati mereka tersentuh ketika mendengar berita sedih itu. Tapi mengapa Syukur tidak mengkhabarkan berita itu kepada mereka?

“Emak dia meninggal malam tadi. Malam tadi jugak dia balik kampung.”

“Emak dia sakit apa?” tanya Hamimi pula.

Sebagai kawan rapat, berita kematian itu amat mengejutkan mereka. Tambahan pula yang meninggal itu adalah emak Syukur. Selama ini lelaki itu tidak pernah menceritakan  emaknya. Apa yang mereka tahu emak dan ayahnya sudah lama terpisah. Dua orang adik lelakinya berada di bawah jagaan emaknya yang menetap di Ipoh manakala dia pula di bawah jagaan ayahnya. Kini ayahnya sudah pun mempunyai keluarga lain dan menginap di Klang.

“Kemalangan motor. Motor yang emak dia bawak dilanggar kereta dari arah belakang.” Rashid menyampaikan berita yang didengarnya daripada rakan serumah sebelum beredar..

Dalam waktu yang sama, Farhana mencuba untuk menghubungi Syukur beberapa kali melalui telefon bimbit tetapi malang talian telefon bimbitnya dimatikan. Farhana resah. Hatinya tidak senang bila terkenangkan Syukur yang sedang dalam kesedihan itu.

“Tak dapat ke?” tanya Hamimi apabila melihat wajah sugul Farhana.
Farhana menggeleng menjawab pertanyaan Hamimi itu.

“Sekejap lagi kau cubalah lagi.”

“Kesian Ako kan, Mimi?” Perasaan simpati Farhana terhadap Syukur menggunung tinggi.

“Nak buat macam mana? Dah takdir perjalanan hidup dia begitu rupa. Dia terpaksa redha saja. Dia lelaki, Farah. Dia kuat. Lagipun dia dah biasa hidup tanpa emak dan ayah dia.”

Sejak bekerja dan tinggal di Petaling Jaya, lelaki itu hanya balik berjumpa emaknya setahun sekali iaitu pada hari raya Aidil Fitri. Manakala hari-hari yang lain dia banyak menghabiskan waktunya di rumah bujang. Dia juga jarang pulang ke rumah ayahnya. Kalau tidak ayahnya yang menelefon menyuruh dia pulang, dia tidak akan berbuat demikian. Syukur pernah meluahkan perasaan, bercerita tentang keluarganya kepada mereka suatu ketika dulu. Semenjak mengetahui kisah keluarganya, hubungan mereka bertiga semakin erat dan rapat.

“Tak apalah. Nanti kejap lagi aku akan cuba lagi. Jom, kita masuk kerja,” luah Farhana. Mereka bangkit dari bangku lalu melangkah beriringan memasuki kilang tempat mereka bekerja. Fikiran gadis itu masih melayang-layang memikirkan Syukur.


 .

No comments:

Followers