Saturday, July 20, 2013

HELO si MERAH JAMBU - BAB 10

.

Cuaca pagi itu cerah dan ceria. Mentari yang memancar terang seperti tidak ada tanda-tanda hujan akan turun. Mudah-mudahan hari itu cuaca baik sepanjang hari. Kebetulan hari itu hari cuti. Farhana dan Hamimi sudah merancang mahu keluar bersiar-siar ke Kompleks Beli-belah Suria KLCC. Jarak Petaling Jaya ke Kuala Lumpur tidaklah jauh sangat namun dua orang sahabat itu jarang dapat meluangkan masa ke pusat bandaraya Kuala Lumpur yang pesat membangun itu.

“Kau nak beli apa kat KLCC tu, Farah?” soal Hamimi ketika Farhana menyatakan hasratnya kelmarin.

“Kita jalan-jalanlah. Ambil angin, hilangkan stres. Tengoklah, kalau ada jualan murah, bolehlah kita singgah beli apa yang patut,” cadang Farhana ceria.

“Nanti boleh tak kita pergi Jalan Tuanku Abdul Rahman. Aku nak cari kain ela dan tudung.” 

Mereka baru sahaja mendapat gaji bulanan. Hamimi sudah mencongak dan berangan untuk membeli sesuatu buat emak dan adik-adiknya sebagai hadiah. Dia sudah memohon cuti selama seminggu untuk pulang ke kampung pada minggu hadapan.

“Kalau macam tu, kita pergi Jalan TAR sajalah. Aku pun nak cari tudung jugak.” Tiba-tiba sahaja Farhana menukar rancangan.

“Tak apalah. Kita pergi KLCC dulu, lepas tu kita pergilah Jalan TAR. Aku tak kisah. Aku boleh temankan kau. Aku tak mampu nak shopping kat KLCC tu.”

Farhana ketawa mendengar kata-kata Hamimi. Sebenarnya dia pun tidak berniat mahu membeli-belah di KLCC. Dia sekadar mahu meluangkan masa dan berjalan-jalan di situ. Dia mahu mencuci mata dan melihat gelagat manusia. Itu saja.

“Aku pun bukannya nak beli apa-apa. Kita jalan-jalan sajalah. Jalan dalam kompleks sejuk sikit.” Farhana ketawa lagi di hujung kata-katanya.

“Lepas zuhur bolehlah kita keluar ya?” cadang Hamimi.


Hari masih awal, mereka baru saja bersarapan dengan nasi goreng yang dimasak oleh Hamimi. Shakila dan Yasmin juga turut bersarapan sama. Sementara menunggu tengah hari, mereka duduk berkumpul di ruang tamu. Walaupun kaca TV terpasang namun tidak ada siapa yang menonton kerana mereka leka dengan aktiviti masing-masing. Farhana dan Shakila leka membaca surat khabar harian manakala Hamimi ralit dengan komputer ribanya. Yasmin pula yang rajin mengambil tempahan menjahit baju kurung sibuk menjahit tulang belut. Sambil tangan melakukan kerja, mulut pula tidak berhenti bercakap. Apabila sudah berkumpul dengan teman-teman serumah ada sahaja cerita yang dibualkan.

“Hari ini kau orang tak keluar ke? Selalunya cuti-cuti macam ni payah nak nampak muka.” Hamimi bersuara sambil perhatiannya tertumpu pada skrin komputer ribanya. Tetapi soalannya seperti tidak didengari. Tidak ada sesiapa pun yang menjawab soalannya itu. Setelah beberapa ketika, Shakila mengangkat muka memandang seorang demi seorang teman serumahnya. Mereka semua kelihatan seperti tidak mendengar apa-apa.

“Kau tanya siapa, Mimi?” tanya Shakila.

“Tanya kau dengan Yasminlah, siapa lagi?” kata Hamimi. Dia memandang sekilas wajah Shakila kemudian kembali menumpukan pandangannya pada skrin komputer ribanya.

“Aku ada banyak tempahan baju yang nak disiapkan. Minggu ni tak keluar rasanya,” jawab Shakila. Cermin matanya ditanggalkan lalu mengelap cermin itu dengan hujung kain yang dipakainya. Kemudian dia memakai cermin mata itu semula.

Hamimi secara tiba-tiba ketawa mengekek. Semua mata tertumpu kepadanya. Mereka saling berpandangan. Apa kena dengan dia ni?

“Kau ni dah kenapa, Mimi? Apa yang lucu sangat tu?” Yasmin yang duduk tidak jauh dari Hamimi memanjangkan leher sambil matanya melirik ke skrin komputer riba. Dia ingin tahu apa yang menggelikan hati teman serumahnya itu sehingga ketawa terbahak-bahak seorang diri.

“Apa lagi kerja Mimi tu kalau tak menghadap Facebook. Siang malam kalau boleh nak menghadap itu saja. Orang lain pun ada Facebook jugak tapi tak adalah teruk macam dia tu,” sindir Farhana.

Hamimi ketawa lagi tanpa mempedulikan sindiran daripada kawan-kawannya. “Kau tengok ni, macam manalah aku tak ketawa.”

Hamimi mendekatkan skrin komputer ribanya kepada Yasmin supaya gadis itu dapat melihatnya dengan jelas. Sejurus melihat skrin itu, Yasmin turut ketawa. Farhana dan Shakila menerpa untuk turut berkongsi cerita. Serta-merta gelak tawa mereka pecah lalu suasana ruang itu menjadi gamat tiba-tiba.

“Kau layanlah orang dalam Facebook tu. Entah-entah gambar profail yang dia letak tu bukan gambar dia.” Farhana mengingatkan Hamimi yang banyak menghabiskan masanya menghadap internet.

“Aku pun boleh kenal sama ada gambar yang dia orang letak tu gambar betul atau tipu. Tapi yang kelakarnya mamat ni, ada hati nak buat aku awek alam maya. Dia ingat aku ni apa?”

Hamimi sangat aktif melayari laman sesawang seperti Facebook. Kalau tidak dapat meluangkan masa satu hari menghadapnya, dia seperti mahu demam. Dia mempunyai hampir 600 orang sahabat di dalam akaun laman muka bukunya. Hanya 10% daripadanya adalah rakan kenalan dan yang selebihnya sekadar rakan maya sahaja, rakan-rakan yang tidak pernah dikenali apa lagi bersua muka di alam nyata. Namun begitu, persahabatan mereka itu sangat rapat dan mesra, walaupun hanya melalui laman muka buku.

“Okeylah tu. Kau jawablah yang kau hanya rela jadi awek dia di Facebook saja ya. Tapi dengan syarat tak payah jumpa-jumpa, takut nanti lain jadinya.” Yasmin ketawa di hujung kata-katanya.

“Sekali jumpa, tengok orang tua,” celah Shakila. Kata-katanya disambut dengan gelak tawa yang tidak henti-henti.

“Dahlah tua, juling pulak tu,” sampuk Yasmin pula. Suasana menjadi semakin gamat.

“Dahlah, kau orang ni. Sakit perut aku,” kata Hamimi dengan ketawa yang masih bersisa. Dia ketawa hingga bergenang air matanya.

“Tak baiklah kau orang ni mengata orang.” Farhana sudah berhenti daripada ketawa namun mukanya masih kelihatan merah. “Dah pukul satu. Kejap lagi nak masuk waktu zuhur. Aku nak mandi dulu. Min dengan Kila nak ikut kita orang tak?” Dia mempelawa Yasmin dan Shakila untuk turut serta ke Kompkeks Suria KLCC.

“Kau orang pergilah. Aku nak habiskan jahitan aku ni,” jawab Shakila sambil tekun menjahit.

“Min, kau tak nak ikut? Jomlah, dah lama kita tak keluar sama-sama,” kata Farhana. Dia sudah berdiri di muka pintu biliknya.

“Tak apalah. Sekejap lagi aku nak keluar dengan buah hati aku. Lain kalilah ya,” jelas Yasmin ceria.


Kompleks beli belah Suria KLCC yang terletak di tapak Menara Berkembar Petronas di pusat bandar raya Kuala Lumpur merupakan sebuah kompleks beli-belah yang terkemuka. Tempat itu tidak pernah surut dengan pengunjung yang datang sama ada untuk membeli-belah atau sekadar bersiar-siar. Sebahagian besarnya merupakan muda-mudi yang gemar memperagakan pelbagai fesyen pakaian dan penampilan yang adakalanya hingga menjolok mata. Kedai-kedai yang terdapat di dalamnya pula menjual barang-barang dengan harga yang sangat mahal, setaraf dengan tempatnya juga.

“Aku tak mampu nak beli barang di sini,” kata Hamimi. Ketika itu mereka berada di sebuah kedai menjual aksesori wanita.

“Sesekali tak apa. Apa salahnya dapat gaji kita beli sesuatu yang berharga untuk diri sendiri? Kita perlu ketepikan sedikit duit untuk beli barang kita sendiri. Tutup mata saja, jangan fikirkan perbelanjaan yang lain. Kalau ikutkan susah, sampai bila-bila pun kita tidak akan dapat barang yang diidamkan.” Farhana membelek-belek seutas rantai labuh. Dia sudah berangan-angan untuk memiliki rantai itu. Rantai itu boleh digayakan dengan blaus merah jambu yang baru dibelinya tadi.

“Alah, kau bolehlah. Duit gaji kau tak perlu berkongsi dengan sesiapa. Duit gaji yang kau dapat bulat-bulat untuk perbelanjaan kau sendiri. Lainlah aku, aku kena kirim separuh dari gaji yang aku dapat ke kampung. Kalau aku tak hantar, kesian pulak pada mak aku. Setiap bulan nak kena bayar bil elektrik dan bil air. Sewa rumah lagi. Perbelanjaan lain untuk adik-adik aku lagi. Entahlah...” Hamimi melepaskan keluhan.

“Aku faham, Mimi. Tak apalah, kau pilih saja mana yang kau berkenan. Aku belanja.” Farhana memahami keadaan Hamimi. Dia simpati dengan nasib yang terpaksa dilalui oleh Hamimi sejak dia mengenali keluarga teman sebiliknya itu. Selama ini pun, dia tidak pernah berkira dengan Hamimi. Pantang dia mendengar Hamimi mengeluh keputusan duit, tanpa banyak bertanya segera dia menghulurkan bantuan. Apa yang diberi lahir daripada hati yang tulus ikhlas. Jika duit yang diberi pinjam tidak pernah diminta untuk dibayar kembali. Dia sayang dengan sahabatnya itu. Dia sanggup lakukan apa sahaja demi Hamimi yang sudah dianggap saudaranya itu.

“Tak apalah. Kau simpanlah duit tu. Aku tak perlukan benda tu. Jangan membazir duit.” Itulah sikap Hamimi. Dia tidak pernah mengambil kesempatan atas kebaikan Farhana terhadapnya. Mentelahan pula gadis itu sudah banyak jasa dan pertolongan yang dihulurkan kepada dia dan keluarganya. Dia tidak mahu terlalu banyak berhutang budi.

“Aku ikhlaslah.”

“Terima kasih, Farah. Betul, tak payah beli untuk aku. Kalau kau berkenan dengan rantai tu, beli saja untuk diri kau sendiri. Rantai tu cantik. Apatah lagi kalau kau yang pakai,” puji Hamimi.

“Okeylah, disebabkan kau puji aku, apa kata aku belanja kau makan?” Rantai yang dibelek-belek tadi masih berada di dalam genggaman Farhana.

“Kalau belanja makan, aku setuju.” Hamimi menyengih.

“Okey, jom. Aku nak bayar rantai ni dulu.” Farhana melangkah ke kaunter bayaran diekori oleh Hamimi di belakangnya.

Sejurus bayaran dibuat, mereka berdua ke sebuah restoran makanan segera kegemaran mereka. Seperti yang sudah diduga, pengunjung di restoran itu memang ramai. Mujur ada sebuah meja yang baru sahaja dikosongkan. Tanpa berlengah mereka segera duduk di tempat itu.

“Kau nak makan apa?” tanya Farhana. Beg yang disandang diletakkan di atas kerusi kosong di sebelahnya.

“Kau belikan aku cheese burger dengan ice lemon tea,” pesan Hamimi sambil matanya liar memandang pengunjung yang datang dan pergi.

“Cukup ke? Kentang goreng nak tak?”

“Bolehlah,” jawab Hamimi pendek.

Seketika kemudian kelibat Farhana hilang di tengah-tengah pengunjung yang ramai itu. Sementara menunggu kehadiran Farhana, Hamimi membelek telefon bimbitnya.

Setelah memesan makanan dan membuat bayaran di kaunter, Farhana menatang dulang yang berisi makanan. Dia terpaksa berhati-hati mencelah di tengah-tengah pengunjung lain untuk sampai ke tempat duduknya tadi. Tanpa disengajakan secara tiba-tiba dia terlanggar sesusuk tubuh. Air minuman yang dibawanya jatuh lalu tumpah ke lantai.

“Oppsss… maafkan saya. Err... Saya tak sengaja.” Farhana gugup. Dia jadi tidak tentu arah apabila melihat pakaian lelaki yang dilanggarnya itu turut basah kerana percikan air minuman yang tumpah. Dulang yang ditatang diletakkan sementara di atas meja yang berhampiran. Tanpa berlengah dia berlari mengambil tisu di kaunter lalu dihulurkan kepada lelaki itu dengan perasaan bersalah.

“Mana you letak mata, hah? Jalan tak tengok orang, main langgar aje,” jerkah seorang gadis yang berdiri di sebelah lelaki itu. Matanya mencerlang memandang Farhana.

“Maaf. Saya tak sengaja,” jawab Farhana. Kecut perutnya diherdik begitu. Merah padam mukanya menahan malu kerana kekecuhan itu menjadi perhatian.

Lelaki tinggi lampai yang dilanggar oleh Farhana tadi sibuk mengelap pakaiannya dengan tisu yang diberikan tadi. Dia kelihatan tenang sahaja. Sebaliknya gadis yang disebelahnya itu pula yang berlebih-lebih marahnya.

“Lain kali jalan pandang ke depan,” marah gadis yang berpakaian ranggi itu lagi.

‘Apa hal pulak minah ni? Kau pulak yang lebih-lebih. Aku tahulah pakwe kau hensem,’ bisik Farhana di dalam hati.

“Tak apa. Sikit aje.” Lelaki itu akhirnya bersuara. Dia tersenyum memandang Farhana seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.

‘Dia senyum kat aku. Ya Allah... macam nak pengsan aku dibuatnya.’ Farhana berkata-kata sendiri. Dia membalas senyum lelaki yang berwajah redup itu.

“Sikit you kata? Tengok ni habis baju you basah,” kata gadis itu dengan mimik muka tidak puas hati. Pantas dia meraih lengan lelaki itu.

“Sudahlah tu,” kata lelaki itu pula dengan nada sinis lalu dia menarik lengannya. Dan tanpa berlengah dia terus beredar tanpa mempedulikan gadis yang kelihatan terkejut dengan tindakan teman lelakinya itu.

Farhana hanya mampu memerhati gelagat pasangan itu dengan seribu tanda tanya yang hadir di benaknya. Dia mahu tergelak tetapi cuba ditahan. Gadis itu tadi sempat menjeling tajam ke arahnya sebelum berlari mengejar teman lelakinya yang sudah jauh ke hadapan meninggalkannya. Farhana menggeleng-geleng.



.

No comments:

Followers