Thursday, July 25, 2013

HELO si MERAH JAMBU - BAB 13

.


Cuaca hari itu mendung sahaja sejak pagi. Akhir-akhir ini hujan kerap turun di sebelah petang. Cuaca yang mendung itu seakan-akan mempengaruhi emosi Farhana yang ke sana ke mari tanpa sahabat karibnya seperti selalu. Namun semangat untuk bekerja tetap tidak pernah pudar. Berada di kilang, Farhana tidak sunyi. Walau tanpa kehadiran Hamimi dia masih dikelilingi teman-teman sekerja yang lain. Berbual dan bergurau senda sambil tangan membuat kerja, itu perkara biasa baginya.

Daripada perbualan dengan teman-teman, Farhana mendapat tahu mereka bakal mendapat pengurus baru tidak lama lagi. Dia tidak pasti sama ada pengurus itu seorang wanita ataupun seorang lelaki. Jawatan pengurus di bahagian tempat Farhana bekerja itu sudah agak lama kosong. Pengurus lama mereka seorang wanita yang sangat sporting dan baik hati. Namun pengurus tersebut terpaksa bertukar ke daerah lain kerana mengikut suaminya berpindah.

Sebenarnya Farhana tidak ambil kisah tentang siapa gerangan pengurus yang akan mengambil alih tugas di tempat tersebut. Bahkan dia tidak mahu langsung menyampuk perbualan teman-temannya apabila bercerita tentang pengurus itu. Baginya, tugasnya tidak ada kena-mengena dengan pengurus. Justeru, mengapa dia perlu sibuk-sibuk untuk ambil tahu. Biarlah siapa pun yang akan menjadi pengurus, dia tetap di tempatnya itu sebagai operator pengeluaran. Dia sendiri tidak pasti sehingga bila dia akan bekerja sebagai operator pengeluaran di kilang tersebut.

Adakala dia berasa rendah diri apabila dibandingkan dengan abang dan kakak-kakaknya yang memegang jawatan baik di sektor pekerjaan masing-masing. Sebagai adik bongsu, dia sepatutnya mengikut jejak langkah abang dan kakak-kakaknya yang lain. Justeru dengan keputusan peperiksaan SPMnya yang hanya cukup makan sahaja tidak melayakkan dia untuk memohon di mana-mana universiti tempatan. 

Tidak ada rezeki katanya sekadar untuk menyedapkan hati. Yang pasti, semasa di sekolah menengah dulu. dia kurang menumpukan perhatiannya pada pelajaran kerana sibuk dengan aktiviti sukan di sekolah. Dia mengambil bahagian dalam hampir kesemua jenis sukan yang diadakan di sekolah.

Bukan ayah dan ibunya tidak menegur. Bukan abang dan kakak-kakaknya juga tidak memarahinya tetapi teguran mereka semua itu dianggap sepi. Minatnya yang mendalam dalam aktiviti sukan memerlukan dia banyak meluangkan masa di padang sehingga dia mengabaikan pelajaran di sekolah.

“Peperiksaan SPM dah tak lama lagi, abah tengok kau ni asyik aje dengan sukan tak habis-habis. Setiap petang ada training. Bila masanya nak baca buku?” tegur Burhan suatu  ketika dahulu.

“Minggu depan Farah ada perlawanan net ball antara sekolah-sekolah, abah. Jadi setiap petang kena turun padang. Tahun lepas sekolah Farah dapat gelaran juara, tahun ni pun kami nak jadi juara jugak,” jawab Farhana perlahan.

“Abah tak kisah kalau Farah nak aktif bersukan, tapi kena bijak bahagi masa. Kalau petang dah sibuk melompat di padang, malam-malam macam ni tengoklah buku. Jangan asyik tengok TV saja kerjanya.” Burhan menggeleng. Tiga orang anaknya yang lebih dewasa tidak seperti Farhana. Mereka mudah mendengar kata. Tidak perlu dia mengulangi cakap berkali-kali.

“Farah penatlah, abah. Malamlah masa untuk Farah berehat,” rungut Farhana. Reaksinya manja. Anak bongsulah katakan.

“Kalau macam tu bila masanya Farah buat ulang kaji? Pagi sekolah, petang bersukan dan malam pulak duduk bersantai.” Burhan tidak suka membebel. Dia faham perasaan anak muda yang tidak suka dileter dan didesak.

“Mana ada bersantai?” getus anak dara Burhan.

“Bersantailah tu namanya. Berehat-rehat sambil tengok TV. Cubalah tengok TV sambil-sambil selak buku, ada jugak faedahnya.” Setiap kata Burhan ada sahaja jawapan anak gadis itu. Dia tidak seperti abang dan kakak-kakaknya yang hanya membisu jika Burhan bercakap. Kalau disuruh, cukup hanya sekali diberitahu cepat sahaja mereka bertindak, tidak perlu diingatkan untuk kali kedua.

“Biarkanlah dia, bang. Cakap kita dia tak mahu dengar. Kalau dia gagal SPM nanti kita suruh dia belajar masak. Kalau ada orang datang masuk meminang kita terima saja, apa susah?” sampuk Salmah yang leka mendengar dua beranak itu berbalas pantun.

“Kenapa mak cakap macam tu?” rengek Farhana manja. Kepalanya dilentukkan ke bahu Salmah. “Ustaz kat sekolah kata, apa yang kita cakap itu satu doa.”

“Tau pun,” celah Salmah.

“Jadi kena cakap yang elok-elok sajalah mak.” Farhana mencebirkan bibirnya.

“Emak mana yang nak kan anak-anak mereka susah? Mak sentiasa doakan Farah berjaya dalam pelajaran. Kalau harapkan doa mak saja tak cukup kalau yang empunya diri tak berusaha, faham?” leter Salmah menasihati.

“Yalah. Esok Farah baca buku, ya?” pujuk Farhana. Wajah emaknya ditatap lalu dia menggenggam erat tangan emaknya tanpa pedulikan Burhan yang duduk di sofa bertentangan.

“Semua nak tunggu esok. Pergi buat ulangkaji sekarang,” marah Burhan. Dia sedikit tegas dalam mendidik anak-anak. Jika dengan Salmah bolehlah Farhana bermanja-manja tetapi kalau dengan Burhan jangan harap dia boleh berbuat demikian.

Dengan nada suara Burhan yang sedikit tinggi, Farhana sudah tersentap hatinya. Matanya sudah berkaca. Dia hanya membatu memandang lantai. Tidak sanggup dia mengangkat muka. Salmah memandang ke muka Burhan sambil mengerutkan muka. Tidak suka dia kalau anak gadisnya itu ditegur begitu oleh Burhan. Tiba-tiba Farhana bangkit dan melangkah masuk ke dalam biliknya. Sengaja kakinya dibentak-bentak tanda protes.

“Farah!” panggil satu suara.

Lamunan Farhana terhenti. Dia sudah kembali ke alam nyata. Bayangan wajah Burhan dan Salmah hilang serta-merta. Lantas dia menoleh ke arah datangnya suara tadi. Dari jauh lelaki itu menghadiahkan sekuntum senyum kepadanya. Dia membalas senyum sambil melambaikan tangan.


Jauhnya si merah jambu melamun. Rindukan seseorang ke?” Syukur mengambil tempat di sisi Farhana yang duduk seorang diri di sebuah bangku hampir dengan kafeteria.

“Tak adalah. Saja duduk sini meluangkan masa. Nak balik, masih awal lagi. Balik cepat pun bukan ada apa nak buat,” jelas Farhana. Wajahnya senyum sahaja. Dia leka memandang seekor burung yang sedang bertenggek di dahan pokok yang berada dekat dengan tempat mereka duduk.

“Dah pukul enam petang, masih awal kau kata? Kau overtime ya?” Syukur menoleh sekilas ke wajah ayu milik Farhana.

“Ya. Dah lama tak buat overtime. Hari ini buat untuk dua jam saja,” jawab Farhana lembut. “Eh! Kau masih ada kat sini, tak balik lagi?” tanya Farhana pula ingin tahu.

“Aku ada meeting tadi,” jelas Syukur.

“Wah! Kau dah masuk meeting? Dahsyatlah kau sekarang,” usik Farhana.

“Alah, bukannya meeting dengan pengarah. Setakat meeting biasa-biasa saja.” Sebagai seorang Senior Supervisor, Syukur dikehendaki mengemaskinikan masalah yang berbangkit dan memberi maklumat-maklumat terbaharu berkaitan dengan pekerja-pekerja kilang jika ada kepada pihak atasan.

Farhana menyengih. Hatinya berasa girang melihat gelagat burung yang masih bertenggek di dahan pokok tanpa mahu terbang.

“Ako, kau tengok burung tu. Dari tadi dia duduk di situ. Nampak jinak burung tu, kan?” Dia menuding jari ke arah burung yang tidak diketahui namanya itu.

‘Burung itu sama seperti kau, Farah. Mudah didekati tetapi apabila cuba ditangkap kau lari.’ Kata-kata itu sekadar diungkapkan di dalam hati Syukur sahaja.

“Cantik kan? Burung apa tu?” tanyanya.

“Entahlah, tak tau pulak. Jarang nampak burung yang jinak macam tu. Tak takut orang langsung. Kau agak-agak kalau kita tangkap dia, dia lari tak?” Farhana teruja. Mahu rasanya dia menangkap burung itu untuk dibawa pulang ke rumah. Tetapi mana mungkin? Burung sama seperti manusia yang mahu hidup bebas tanpa diikat dan dikurung, bisik hatinya.

Syukur merenung wajah Farhana tanpa gadis itu menyedari. Dia menghela nafas. Wajah itu mengundang gejolak rasa di jiwa.

‘Kalaulah kau tau apa yang terpendam di lubuk hati ku ini wahai si merah jambu, adakah kau sudi menjadi milikku?’ bisik hati lelaki itu. Setiap kali mata mereka beradu, jantungnya berdegup kencang. Pandangan mata gadis itu menggetarkan sukma. Biarpun dirinya dekat tapi terasa jauh. Tangan seperti mahu menggapai tetapi sayangnya tidak sampai. Sungguh menyakitkan mencintai seseorang yang tidak mencintai kita. Lebih menyakitkan lagi apabila diri sendiri tidak memiliki kekuatan dan keberanian untuk menyatakan rasa cinta terhadap orang yang dicintai.

“Hoi! Kenapa kau pandang aku macam tu? Macam rupa nak makan orang,” sergah Farhana. Dia rasa terganggu apabila direnung sebegitu rupa oleh lelaki itu.

“Alah... pandang pun tak boleh. Manusia suka memandang sesuatu yang cantik. Jadi apa salahnya aku memandang muka kau yang cantik tu?” Syukur ketawa. Alangkah seronoknya kalau kita dapat begini selalu. Mimi, cutilah lama-lama sikit.

“Jangan pandang sebarang pandang, nanti ada yang marah,” gurau Farhana.

“Siapa yang nak marah? Buah hati kau ke?” teka Syukur. Hatinya berdebar-debar. Apa maksud gadis itu?

“Bukan buah hati aku tapi buah hati kau,” jelas Farhana. Jarinya menuding ke arah Syukur sambil tersenyum sinis.

“Buah hati aku?” Syukur berasa pelik. Sejak bila pula dia ada buah hati? Atau adakah Farhana sengaja mahu meneka hatinya?

Farhana mengangguk. “Kau ada buah hati kat kilang ni kan?” tanyanya.

‘Kaulah buah hati aku, Farah.’ Luahan itu hanya Syukur  yang mendengarnya.

“Siapa yang kau maksudkan?” tanyanya pelik.           

“Alah, kau ni... dah gaharu cendana pulak.” Farhana berperibahasa.

“Serius. Aku tak tahu siapa yang kau maksudkan.”

“Betul ke kau tak tahu atau buat-buat tak tahu?”

“Betul, aku tak tahu. Siapa?”

“Siapa lagi kalau bukan Jiha.”

“Jiha?”

“Ya, Jiha.” Farhana mengangguk.

“Siapa yang beritahu kau Jiha tu buah hati aku?”

“Siapa lagi? Tuan yang empunya dirilah.”

“Kau percaya cakap dia?”

“Entah.” Farhana menjongketkan bahu.

“Bila dia cakap pada kau yang dia tu buah hati aku? Kurang ajar dia tu. Suka-suka hati aje dia buat pengakuan. Tak malu betul.”

“Dia bukan cakap dengan aku.”

“Habis tu?”

“Kau tak ada dengar cerita ke?”

Syukur menggeleng. “Cerita apa?”

“Kau ingat tak masa Mimi merajuk, dia tak nak cakap dengan kau hari tu?”

Syukur mengangguk. “Ya, ingat. Kenapa dengan dia?”

“Sebenarnya hari sebelum tu Jiha dengan Mimi bertengkar. Jiha tuduh Mimi bersepahkan meja kerja dia. Tapi Mimi kata dia tak buat. Aku rasa aku percaya cakap Mimi. Tak mungkin dia nak berdengki dengan Jiha tu tak pasal-pasal. Bukan sekali dia menyerang Mimi tapi dua kali. Akhirnya terbongkar apa yang sebenarnya menjadi punca perbalahan mereka. Rupa-rupanya puncanya adalah kau, Ako.”

“Aku? Kenapa pulak aku? Apa perempuan tu cakap pasal aku? Nak kena Jiha ni.” Syukur mengetap bibir. Dia menahan geram.

“Kau ni cuba bawa bersabar. Aku belum habis bercakap lagi. Lagipun aku tak mahu masalah ini jadi lebih besar pulak nanti. Kau kena janji dengan aku.”

Syukur mengangguk.

“Janji?”

“Ya. Aku janji.”

“Dia marahkan Mimi sebab dia sangka kau dan Mimi ada hubungan. Dia ugut Mimi kalau dia nampak Mimi dekat dengan kau dia nak apa-apakan Mimi. Yang aku dan Mimi musykil, betul ke dia tu ada hubungan dengan kau?” Farhana mahukan kepastian. Dia mahu masalah antara Hamimi dan Jiha segera terungkai.

“Mengarutlah. Gila perempuan tu. Sebenarnya dia yang suka kat aku tapi aku tak ada perasaan pun pada dia. Pedulikan dia. Jangan lagi dengar cerita dia tu. Kalau lain kali dia mengganggu kau atau Mimi, kau beritahu aku ya?” Syukur tertekan dan bengang.

“Kau nak buat apa dengan dia?”

“Tahulah apa aku nak buat. Orang macam tu memang patut diajar.”

“Baru tadi kau janji dengan aku kau tak akan buat apa-apa pada Jiha, kan? Tolonglah, Ako... aku tak nak besarkan masalah ni. Aku kesiankan Mimi. Aku tak nak dia terus jadi mangsa Jiha. Aku cuma mahu kau bersemuka dengan Jiha dan jelaskan duduk perkara yang sebenarnya. Mungkin dia ada menaruh hati pada kau tapi kau tak layan dia kut, Ako.”

“Betul. Memang itulah yang sebenarnya berlaku. Aku dengan dia hanya biasa-biasa saja. Lagipun kita orang jarang jumpa. Entah macam mana, tiba-tiba bulan lepas dia datang jumpa aku dan curahkan perasaan dia pada aku. Aku betul-betul terkejut. Dan aku tolak dengan cara baik. Terus terang, aku tak ada hati langsung pada dia,” jelas Syukur panjang lebar.

“Kalau betul macam tu, aku rasa lebih baik kau selesaikan masalah ni. Kesian Mimi.”

“Okey, nanti aku cuba selesaikan. Kau jangan susah hati, ya.” Pening kepala Syukur mengingatkan tentang Jiha. Tidak pula dia menyangka gadis itu berani menghebahkan khabar angin itu.


 .

No comments:

Followers