Tuesday, July 2, 2013

HELO si MERAH JAMBU - BAB 4

.

 SUASANA di lapangan terbang KLIA sesak dengan orang ramai. Kebetulan pula ada beberapa penerbangan yang baru saja mendarat di lapangan terbang ketika itu. Di sinilah antara beberapa tempat yang tidak pernah sunyi dari keriuhan manusia. Selama 24 jam, tempat ini sentiasa ‘hidup’ tidak mengira masa dan waktu. 

 “Ada nampak Amirul?” tanya Mazni kepada Mustafa. Mereka sudah menunggu di situ lebih dari setengah jam. Jadual penerbangan bertangguhkah? 

“Dia belum keluar lagi tu.” Mustafa memanjangkan leher mencari-cari kelibat lelaki yang bernama Amirul Fahmi itu. Ramai sangat manusia di situ dengan hala tuju masing-masing. Boleh jadi pening kepala dibuatnya. 

“Hah! Itu dia Amirul!” jerit Mazni sebaik sahaja ternampak kelibat Amirul di tengah orang ramai. 

 Anak muda itu melangkah menuju ke balai ketibaan sambil menolak troli yang berisi beberapa buah beg pakaian. Dia beriringan dengan beberapa orang kawan yang turut pergi bercuti bersama dengannya. Dari jauh Amirul sudah mempamerkan senyuman. Dia melambai-lambaikan tangan. Gembira hatinya apabila melihat papa dan mamanya sudah menunggu. Dia berasa lega kerana sudah selamat kembali ke tanah air. Rindu sungguh dia pada tanah air, apatah lagi pada kedua papa dan mamanya. Dia baru sahaja pulang dari London atas tiket percutian bersama kawan-kawan satu universiti. Perginya hanya satu minggu sahaja tapi bagaikan setahun rasanya. 

 “Dah lama tunggu, mama? Papa?” Amirul menghulurkan tangan untuk berjabat salam dengan kedua-dua orang tuanya. Dia mendakap mamanya erat. Kemudian dia beralih memeluk papanya. 

“Baru aje sampai. Jom.” Mustafa turut sama menolak troli. 

 Sebelum berangkat pulang, Amirul mendapatkan kawan-kawannya terlebih dahulu untuk berjabat tangan dan berjanji untuk saling menghubungi. Mereka baru sahaja menamatkan pelajaran mereka di Universiti Kebangsaan Malaysia dua bulan lalu. Dia mengambil keputusan untuk pergi bercuti bersama kawan-kawannya sebelum diri terikat dengan pekerjaan. 

 Dia masih menganggur kala ini. Tetapi sekembalinya dia dari bercuti, Mustafa sudah berjanji untuk membawanya berjumpa dengan seorang sahabat lamanya yang berjawatan sebagai penolong pengarah di sebuah kilang. Mustafa mahu Amirul mencari pengalaman bekerja di situ dahulu sebelum anaknya itu menyambung pelajarannya nanti. 

 “Apa isi dalam beg ni? Ada batu ke?” usik Mustafa. Beg besar itu sangat berat. Lenguh tangannya mengangkat beg itu masuk ke dalam boot kereta. 

 Mazni dan Amirul hanya ketawa. 


 “AMIRUL ada beli barang yang mama kirim tu?” tanya Mazni sebaik sahaja mereka sudah berada di dalam kereta. 

“Mestilah ada, mama. Jangan risau. Takkanlah saya boleh lupa pulak?” Amirul menoleh ke belakang memandang mamanya yang duduk di tempat duduk belakang. “Saya pun ada beli sesuatu untuk papa,” katanya lagi. Wajah papanya yang sedang memandu direnung sekilas sebelum melemparkan pandangan ke luar. 

Mustafa dan Mazni tersenyum gembira. Mereka bangga mempunyai anak sebaik Amirul. Hanya dialah pengarang jantung yang mereka miliki hasil perkahwinan selama 25 tahun. 

“Seronok bercuti di sana?” tanya Mazni mesra. 

 “Tentulah seronok, ma. Mana ada orang pergi bercuti tak seronok? Tambah-tambah kalau pergi ke kota London. Kalau ada banyak duit memang tak ingat nak balik.” Amirul ketawa di penghujung ceritanya. 

“Itulah, dulu mama suruh Mirul sambung belajar kat sana, tak mahu. Asyik nak terperap kat Malaysia,” luah Mazni tidak puas hati. Pernah dia mencadangkan supaya Amirul menyambung pelajaran untuk mengambil master di London, tetapi Amirul tidak berminat. 

 Katanya universiti tempatan tidak ada kurangnya kalau dibandingkan dengan universiti di luar negara. Universiti tempatan juga diiktiraf dunia jadi mengapa perlu membuang wang dan masa untuk pergi sejauh itu untuk mendapatkan ilmu yang lebih kurang sama saja tarafnya. 

“Ma, pergi melancong dengan menetap di sana lain... tak sama.” 

“Mama bukan suruh Mirul menetap di sana. Mama suruh pergi belajar. Bukannya lama pun, dua tahun aje. Pejam celik pejam celik dah habis dua tahun,” kata Mazni yang kelihatan cantik memakai blaus pendek yang dipadankan dengan seluar longgar berwarna hitam. 

“Walaupun hujan emas di negeri orang, hujan batu negeri sendiri... saya tetap pilih negeri sendiri. Biarlah orang pergi belajar ke mana pun, tapi saya ada pendirian saya untuk terus menetap di sini,” tegas Amirul. 

“Dia baru aje habis belajar. Bagilah dia berehat sekejap. Yang penting lepas ni, Mirul kerja dulu cari pengalaman. Lepas tu Mirul boleh sambung belajar lagi. Jangan risau, papa sokong seratus peratus asalkan Mirul buat perkara yang elok.” Mustafa memandang isterinya melalui cermin pandang belakang. Dia nampak wajah isterinya yang muncung menandakan tidak puas hati. 

“Terima kasih, papa.” Amirul berasa senang hati kerana papanya menyokong tindakan yang diambilnya. Namun agak sukar untuk dia memuaskan hati mamanya. Dia tidak tahu bagaimana lagi untuk membuatkan mama memahami kehendaknya. Sepatutnya mama gembira kerana anak tunggalnya itu tetap berada dekat walaupun tinggal berasingan. Dia boleh balik ke rumah berjumpa mereka bila-bila masa sahaja yang dia mahu. 

“Suka hati Mirullah. Mama bukan apa, mama nak yang terbaik untuk anak mama. Itu saja.” Nada suara Mazni rendah. 

 Begitulah keadaannya kalau setiap cadangannya tidak diendahkan oleh kedua-dua beranak itu. Semua cadangan dan katanya tidak pernah mahu diterima. Ada saja bangkangannya. Mazni tahu kata-katanya tidak laku kalau dijual kepada Mustafa dan Amirul. Bapa dan anak itu sama saja perangainya. Kadang-kadang makan hati dibuatnya. 

“Saya faham, ma. Mama jangan risau, saya akan ingat segala pesan mama. Tapi percayalah, ma... saya akan buat yang terbaik bukan hanya untuk diri saya sendiri saja malah untuk mama dan papa jugak,” janji Amirul kepada kedua-dua orang tuanya. Walaupun selama 24 tahun dia dibelai dan dimanja serta dilimpahi kemewahan, namun dia tidak pernah mengambil kesempatan. Baginya, papa dan mama adalah segala-gala di dalam hidupnya. Andai tanpa mereka, siapalah dirinya. Apa yang ada di dalam fikirannya hanyalah mahu berbakti dan berusaha untuk membalas jasa kedua papa dan mamanya selama ini. 

Leka berbual tidak sedar mereka sudah sampai di banglo dua tingkat yang terletak di Damansara Height. Kereta diparkirkan di ruang porch. 

 Mustafa turut membantu Amirul mengangkat beg pakaian dari dalam but kereta. Mazni pula sudah hilang ke dalam rumah. 

 Setelah beberapa minit mereka duduk di ruang tamu, Mak Jah datang menghidangkan minuman sejuk. Wanita itu menegur Amirul mesra. Walaupun Mak Jah merupakan orang gaji di rumah itu tetapi keluarga Mustafa tidak menganggapnya begitu. Apatah lagi Mak Jah sudah berkhidmat dengan keluarga itu sejak Amirul dilahirkan. 

 “Mak Jah, ini ada hadiah untuk Mak Jah dari London.” Amirul menghulurkan sebuah kotak kepada Mak Jah. 

“Kenapalah susah-susah Mirul belikan Mak Jah hadiah pulak.” Mak Jah menyambut kotak itu. 

“Alah, Mak Jah... bukan selalu. Bila tengok benda tu, saya teringat Mak Jah. Sebab itulah saya beli.” Amirul tersengih memandang Mak Jah yang sudah dianggap seperti emaknya itu. Wanita yang berusia 58 tahun itulah yang mengasuhnya sejak lahir sehingga dewasa. Wanita itu jugalah yang menjaga makan minum dan pakaiannya selama ini. 

“Terima kasih, Mirul,” ucap Mak Jah sebelum beredar dengan perasaan gembira dan teruja. Sejuk hatinya mengenangkan kebaikan Amirul terhadapnya walaupun dia hanyalah seorang pembantu di rumah itu. 

Kemudian Amirul mengeluarkan sebuah kotak kecil dari dalam beg pakaian lalu dihulurkan kepada mamanya yang menunggu dengan tidak sabar. 

 Kotak kecil yang berwarna merah jambu itu dibuka dengan senyum melirik. “Terima kasih, Mirul. Pandai anak mama belikan perfume untuk mama.” Mazni menyemburkan minyak wangi itu di tangannya. Harum semerbak baunya. 

“Ini untuk papa.” Amirul menghulurkan sehelai baju-T berkolar warna biru muda kepada papanya. “Tak tahu nak beli apa, pa. Harganya pun tak seberapa. Harap-harap papa suka.” Dia pasti warna yang dipilih menepati citarasa papanya. Walaupun papanya sudah menjangkau usia 52 tahun tetapi lelaki itu masih kelihatan tampan dan bergaya. Tidak hairanlah mengapa mama sering cemburu jika papa keluar bersendirian. 

“Terima kasih. Papa tak kisah. Apa yang penting, ingatan Mirul tu. Murah atau mahal bukan ukurannya.” Mustafa mengacu baju-T itu di tubuhnya. 

Puas hati Amirul apabila melihat papa dan mamanya gembira dengan hadiah yang diberikan. Bukan selalu dia dapat membeli sesuatu untuk mereka. Kadang kala pada hari jadi mereka pun dia tidak memberi apa-apa hadiah kepada kedua-dua orang tuanya. Bukan dia tidak mengingati tarikh lahir mereka tetapi sebagai pelajar dia tidak mewah dengan wang ringgit. Duit yang ada dibelanjakan untuk membeli buku dan keperluan pelajaran sahaja. Papa dan mama tidak memanjakannya dengan wang ringgit walaupun dia sebenarnya boleh mendapat lebih daripada itu. 

“Oh ya, Mirul... malam ni kita ada jemputan makan di rumah Dato’ Azhar,” kata Mazni memecah kesunyian. 

“ALLAH, Ma... tak ada hari lain ke Dato’ tu nak jemput? Saya ingat nak berehat aje malam ni.” Tidak terniat di hati Amirul untuk menolak permintaan itu tetapi memang sejak dari masuk ke dalam rumah tadi dia sudah merancang untuk tidak keluar ke mana-mana. 

“You tengoklah anak you ni, pa.” Mazni mengadu kepada Mustafa yang hanya duduk membisu saja sejak tadi. 

“Tak apalah, biarkanlah Mirul duduk rumah berehat. Kan dia baru balik? Kita berdua sajalah yang pergi.” Mustafa memberikan cadangan walaupun dia tahu Dato’ Azhar mahu mereka hadir bersama Amirul. Dato’ Azhar ada memberitahu niatnya untuk mempertemukan Amirul dengan anak perempuannya yang baru balik dari belajar di Australia. 

“Nanti apa pula kata Dato’ Azhar dengan Datin Bibah bila tengok kita datang tak bawa Amirul sama.” Dahi Mazni berkerut-kerut. 

“Tahulah nanti I nak jawab apa kalau mereka tanya.” Selamba sahaja Mustafa menjawab. 

Puan Mazni merengus kasar. Mukanya masam mencuka. Hatinya geram dan membengkak. 

 Amirul rasa bersalah kerana tidak dapat menurut kemahuan mamanya untuk mengikut mereka ke rumah Dato’ Azhar dan Datin Bibah. Melihat muka mamanya yang muncung itu, hatinya jadi tidak tentu arah. Mahu diturutkan dia berasa letih. Jika tidak diturutkan simpati pula kepada mamanya. Akhirnya untuk menyenangkan hati mamanya dia bersetuju untuk turut serta walaupun dengan berat hati. 

“Okeylah, pukul berapa kita nak pergi?” tanya Amirul dengan separuh hati. 

“Lepas maghrib.” Pantas sahaja Mazni menjawab. Bibirnya sudah mengukirkan senyum. Hatinya yang tadi menggelegak kini sudah mulai suam-suam kuku.

.

No comments:

Followers