Wednesday, April 20, 2011

IRAMA SEMALAM - BAB 14

.

                        Petang itu aku ke rumah kak Lia.  Kereta kak Lia tidak kelihatan di luar rumah.  Pintu dan tingkap-tingkap tertutup rapat, kelihatan seperti tiada sesiapa di situ.  Belum balik kerja lagikah? Atau mungkin terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas, fikirku.  Kata kak Lia tadi siang dia akan berada di rumah sekitar jam 6 petang tapi sekarang sudah pukul 6.15 petang.  Tidak mengapalah, biar aku tunggu sekejap, pujuk hatiku. 
Rumah teres dua tingkat milik kak Lia ini baru tiga tahun didiami, ianya dihadiahkan kepada kak Lia oleh suaminya abang Idham sempena harijadinya tiga tahun dulu.  Waktu itu mereka baru sahaja beberapa bulan mendirikan rumahtangga.  Beruntung kak Lia, baru saja berkahwin sudah dihadiahkan sebuah rumah.  Tetapi apa dah jadi sekarang?  Kesihan kak Lia.., kesihan Farah yang masih kecil, masih tidak tahu apa-apa. 
Aku sedikit terkejut dan hampir melatah apabila tiba-tiba terdengar bunyi hon dari kereta kak Lia.  Sebaik sahaja kak Lia keluar dari perut kereta kami bersalaman dan berpelukan.  Farah kelihatan menggapai-gapaikan tangan dari tempat duduk khasnya yang diletakkan di sebelah tempat duduk pemandu.  Comelnya Farah dengan gigi susunya jelas kelihatan apabila dia ketawa mengekek apabila diagah.  Aku mendokong Farah sementara kak Lia mengeluarkan bag-bag pakaian dan bekalan Farah dari tempat duduk belakang.  Kami terus melangkah masuk ke dalam rumah sebaik sahaja daun pintu dibuka.  Aku masih mendokong Farah walaupun dia kelihatan menghulurkan tangan kepada mamanya sambil merengek supaya dia diambil dari rangkulan ku. 
“Sara duduk sekejap ya, akak bawakan air”. 
“Eh tak payahlah kak, Sara dah minum dah sebelum datang sini tadi”,  aku duduk di sofa empuk dengan Farah ku letakkan ke atas riba. 
Aku mengagah-agah sambil menimang-nimang Farah dan dia terus ketawa terkekek-kekek.  Sesekali dia ku peluk seperti memeluk anak patung dengan geram.  Kak Lia datang dengan membawa dulang yang berisi dua gelas fresh orange dan sepiring kuih karipap. 
“Wah ada kuih karipap, sekejap je dah siap goreng”  gurau ku. 
“Alah kuih karipap versi tunjuk”  balas kak Lia dan ketawa kami pun berderai.
“Farah, mari sini, maklang nak minum tu”  kak Lia mengangkat Farah dari  ribaanku, dengan tidak sabar-sabar Farah meronta-rontakan badannya untuk segera berada di dalam pelukan mamanya.  Pipinya yang montel ku cubit manja lalu dia pun melalak sekuat hati.  Suasana menjadi bingit sekejap. 
“Oh sorrysorry….maklang tak sengaja”  pujuk ku sambil tangan ku mengusap-usap pipi gebunya. 
Kak Lia meletakkan Farah di atas tilam kecil dan memasukkan botol susu ke dalam mulut Farah yang sedang menganga. 
“Minumlah Sara”. 
“Buat susah-susah je akak ni”. 
“Azry tau Sara datang sini?”. 
“Tau, mana boleh tak tau, mengamuklah nanti kalau tak bagitau dia” jelasku tentang sikap adik iparnya.
“Macammana kak? Abang Idham ada balik?” tanyaku sebaik kak Lia duduk menghampiriku.
Ada. Ingat tak masa hari akak jumpa Sara, malam tu dia balik. Dia minta maaf pasal marahkan akak sebab dia kata kepala otak dia rungsing sebab banyak kerja di pejabat. Masalah projeklah, masalah kewangan syarikatlah macam-macam alasanlah dia bagi. Akak malas nak cakap apa”. 
“Maknanya dia dah oklah ya kak?”.
“Entahlah, bagi akak kepercayaan akak pada dia dah hilang. Memang akak ada terbaca mesej cinta dari perempuan tu pada abang Idham, tak kanlah salah hantar pulak kot”.
“Ia tak ia jugak ek”.
“Jadi, apa rancangan akak? Tak kan nak diamkan diri aje?”.
“Buat masa ni akak nak diam dulu, akak nak tengok sejauh mana dia boleh nak selindungkan perangai dia tu.  Akak ingat akak nak cuba telefon perempuan tu, tapi akak takut”. 
“Takut? Takut apa?”. 
“Bukan takutkan dia tapi takut akak ni tak kuat, nanti akak pulak yang akan menangis lebih-lebih.  Macamana ya Sara?”.  
Aku terdiam, cuba memikirkan bagaimana dan apakah taktik untuk kak Lia bertemu dengan perempuan yang dimaksudkan itu. 
“Alah kak, apa yang nak susah-susahkan badan! Berterus terang aja.  Akak ada hak ke atas abang Idham, akak tak perlu risau dan takut”. 
“Kalau abang Idham tau yang akak telefon perempuan tu, tentu dia akan mengamuk sakan”. 
“Akak pun dah biasa dengan situasi begitu kan? Apa nak ditakutkan?”  kak Lia melepaskan keluhan panjang.
“Memang akak dah bersedia sejak insiden pertama dulu. Akak sanggup terima apa saja keputusan abang Idham. Akak ada kerjaya dan yang penting akak ada Farah dan keluarga akak yang lain”  senyuman pahit terukir di bibir kak Lia. 
“Sara sentiasa ada di sisi kak Lia, akak call saja insyaAllah Sara akan datang” airmata bertakung di kelopak mata kak Lia. 
Aku menjadi sayu dengan keadaan itu.  Farah yang terbaring di atas tilam kecil sudah terlelap dengan botol yang hampir kosong masih dinyonyot.
“Assalamualaikum..” tiba-tiba kedengaran suara orang memberi salam dari luar.  Serentak pandangan kami beralih ke pintu yang memang terbuka dan kelihatan kelibat abang Idham yang sedang tunduk membuka kasut di depan muka pintu. 
“Waalaikummussalam, abang Idham dah balik”  ujarku. 
“Dah lama sampai Sara?” sapa abang Idham.
“Lama tak lama, dah habislah air segelas”. 
“Azry tak datang sama?”. 
“Tak, Sara dari tempat kerja ni, lama tak jumpa kak Lia, tu yang datang singgah sekejap”  aku cuba berselindung. 
“Duduklah dulu ye, abang nak naik ke atas”  kata abang Idham sambil melangkah ke anak tangga dan aku sekadar mengangguk. 
Abang Idham kelihatan seperti biasa seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku diantara dia dan kak Lia.  Begitulah sikap lelaki, egois tak habis-habis, pijak semut pun tak mati. 
“Kak Lia, Sara beransur dululah ya, hari dah senja, nak maghrib pulak tu, nanti apa-apa akak call ok. Jaga diri baik-baik”  aku memeluk kak Lia erat dan sebelum beredar keluar sempat aku mencium pipi mongel sikecil yang enak tidur dibuai mimpi indah. 
Kak Lia mengiringi aku hingga ke muka pintu sambil melambaikan tangan.


                        Sewaktu aku di pejabat dan sedang di dalam bilik mesyuarat Azry menghantar mesej ke telefon bimbitku.  Telefon bimbit ku yang terletak di atas meja segera ku capai apabila terdengar bunyi gegaran tanpa deringan itu. 
“Sayang buat apa tu? Malam ni abang nak ajak Sara keluar dinner, kita jumpa di rumah nanti, bye…”  aku tersenyum sebaik sahaja mesej itu habis ku baca. 
Dinner?  Ini mesti ada sesuatu yang nak disampaikan pada ku.  Apa ye?  Konsentrasi ku terhadap mesyuarat yang sedang berjalan sedikit terganggu.  Tiba-tiba ku sedari Chairman menamatkan meeting dengan mengucapkan tahniah kepada ku juga kepada kakitangan yang terbabit di dalam penjualan rumah yang baru kami lancarkan.  Penjualannya sangat memberangsangkan dan pihak majikan berpuas hati dengan apa yang telah terhasil.  Aku amat berbangga dan berbesar hati apatah lagi pihak majikan berjanji akan memberi insentif kepada staf-staf yang bertungkus lumus sebagai imbuhan.

                        Malam itu, selepas waktu maghrib Azry terus memandu keretanya menuju ke Port Klang.  Aku duduk di sebelahnya hanya mendiamkan diri.  Fikiran ku masih melayang-layang memikirkan tugas-tugas dan appointment-appointment yang harus aku lakukan esok kerana di dalam mesyuarat tadi ada aku nyatakan beberapa kes-kes pembeli yang masih belum menyelesaikan baki tertunggak untuk bayaran cukai dan yuran penyelenggaraan.  Aku terpaksa mengeluarkan surat-surat peringatan kepada semua pembeli-pembeli untuk melangsaikan semua baki yang tertunggak.  Aku juga ada beberapa kes pembeli yang bermasalah untuk mendapatkan pinjaman bank dan juga kes pembeli yang mahu meminta pengurangan harga dari harga yang kami tawarkan.  Berbagai-bagai persoalan yang berlegar-legar di mindaku ketika itu.  Tepukan Azry ke peha ku mengejutkan aku dari lamunan itu. 
“Apasal diam je ni?  Tak nak tau ke abang nak bawa Sara kemana ni?”. 
Kan dah beberapa kali Sara kata, bawalah Sara kemana saja, asalkan bersama abang Sara tak kisah”  aku berseloroh. 
Ada senyuman yang menguntum di bibir Azry, sambil terus memandu dengan tangan sebelah kirinya di letakkan di atas pehaku.  Kereta terus meluncur laju menuju ke destinasi sambil mendengar lagu-lagu syahdu yang berkumandang dari corong radio yang terpasang.  Tiba-tiba kereta diberhentikan sebaik tiba ke destinasi yang dituju. 
“Sara dah agak abang mesti bawa Sara ke sini”. 
“Abang tahu apa yang Sara teringin nak makan”  aku memandang wajah Azry dengan senyuman yang penuh bererti lalu tangan ku dipimpin menuju ke restoran seafood di situ. 
Hembusan angin malam yang bertiup mendamaikan fikiran yang sedang berat dengan persoalan kerja yang tidak habis-habis.  Kedinginannya sekali sekala menyucuk-nyucuk sehingga ke tulang.  Nyanyian desiran ombak yang datang memukul pantai memang menghiburkan hati.  Pelanggan kelihatan tidak begitu ramai.  Oleh kerana itu, makanan yang dipesan cepat sekali datangnya.  Selepas habis makan, Azry memesan dua mangkuk aiskrim sebagai pencuci mulut.  Sambil berbual dan bergurau tiba-tiba Azry menghulurkan aku dua tiket. 
“Eh apa ni bang?” aku menjerit kecil. 
Diatas tiket penerbangan MAS itu tercatit KL – BALI – KL.  Aku begitu gembira sekali kerana akhirnya Azry menepati janjinya untuk membawa aku ke Pulau Bali.
“Betul ke ni bang?”. 
 “Betul, tengoklah tiket tu.  Sara lupa ke besok hari apa?”. 
 “Hari apa? Hari khamis, kenapa?” aku tergamam dan memikirkan tentang hari
esok yang Azry sebutkan itu. 
“Isteri abang ni, sibuk dengan kerja sampai harijadi sendiri pun dah tak ingat”,  “Ya Allah, a’ah besok birthday Sara, Sara lupa.  Terima kasih abang”  ucap ku
lantas tangan Azry ku genggam erat.  Aku merasa terharu di atas ingatannya terhadap hari yang penting itu. 
“Sayang abang” luahku dengan perasaan yang sangat gembira di atas tiket percutian empat hari tiga malam yang dihadiahkan untuk ku, terasa mahu ku peluk Azry ketika itu juga.


 “Selamat harijadi, selamat harijadi, selamat harijadi untuk Puan Sara, selamat hari jadi…..” lagu selamat harijadi dinyanyikan beramai-ramai sebaik sahaja aku melangkah masuk ke bilik mesyuarat.
Wah! surprise birthday party untuk ku rupanya.  Aku merasa terharu dan hampir menitiskan airmata.  Beberapa batang lilin yang menyala diletakkan di atas kek coklat yang bertulis HAPPY BIRTHDAY TO PUAN SARA, ku tiup.  Semua yang ada di situ menepuk tangan sejurus lilin-lilin itu terpadam apinya. 
“Thank you everybody for the lovely birthday cake and I appreciate it, thank you very much”, itu sahaja kata-kata yang mampu ku luahkan dengan sebak yang bukan disengajakan. Badri menghulurkan sekotak hadiah kepadaku. 
“Untuk Puan Sara dari kami”.
“Terima kasih”  ucapku  lalu kotak hadiah itu ku buka dengan perasaan yang teruja.
“Tentu mahal pen ni, terima kasih semua”  ulang ku sekali lagi sambil membelek hadiah pemberian mereka. 
Selain dari kek yang enak terhidang juga beberapa hidangan lain yang ditempah dari cafeteria berhampiran.  Kami menikmati hidangan sambil berbual-bual mesra.  Dino yang sejak tadi berdiam diri datang menghampiriku dan duduk di sebelah dengan segelas air di tangan. 
Happy birthday Sara” ucap Dino ikhlas.
Thank you.  Tak ada hadiah ke?” tanyaku ceria.
“Boleh ke bagi hadiah?” aku ketawa gelihati dengan pertanyaan Dino itu.  “Kenapa tak boleh? Nama pun harijadi mestilah ada hadiahkan?” sampuk Mimi. 
“I ada beli hadiah untuk you semalam bila Mimi bagitau birthday you hari ni.  Tapi segan pulak I nak bagi, hadiah tu ada di bilik I, nanti I bagi ok” aku dan Mimi berbalas pandang.
“Ok”  dari raut wajah Dino seperti ada sesuatu yang cuba diselindungkan.  Perasaan simpati ku terhadap Dino semakin terasa di sudut hati.




No comments:

Followers