Thursday, April 14, 2011

IRAMA SEMALAM - BAB 11

.
Orang ramai bersesak-sesak ke pameran perumahan yang diadakan di Dewan Tun Razak di Putra World Trade Center pada hari itu.  Ada lebih kurang 30 syarikat perumahan yang terlibat dan lebih dari 20 syarikat guaman yang turut serta dan beberapa syarikat kewangan yang juga tidak ketinggalan memeriahkan lagi suasana pameran itu.  Awal pagi lagi aku sudah keluar dari rumah untuk ke PWTC untuk turut sama membantu staf yang bertugas di booth pameran.  Setakat jam 12 tengahari, sudah ada dua pembeli yang mengesahkan pembelian dengan membuat pembayaran tunai sebanyak dua ribu ringgit sebagai wang pendahuluan.  Beberapa pelanggan yang membuat pertanyaan telah mengisi borang pendaftaran dan ada beberapa pembeli yang berminat berjanji akan kembali semula selepas melawat ke tapak perumahan. 

Pagi ini giliran Zul dan Sally bertugas di booth pameran.  Sebelum mereka berdua keluar makan, shift sebelah petang pula masuk menggantikan tempat mereka.  Aku turut bersama mereka berdua ke pusat membeli belah The Mall yang berada di seberang jalan untuk makan tengahari.  Sambil menikmati makan tengahari itu banyak nasihat yang aku berikan sebagai perangsang kepada Zul dan Sally supaya mereka lebih tekun bekerja untuk mendapatkan ganjaran yang lebih baik di hujung tahun nanti.  Setelah selesai makan mereka berdua terus ke tapak pameran untuk menyambung tugas mereka semula sehingga jam 4 petang.  Sementara aku singgah dibeberapa kedai di The Mall untuk mencari sepasang baju untuk ku pakai pada malam minggu nanti kerana papa dan mama akan mengadakan jamuan makan malam sempena menyambut kepulangan kak Rina dari UK.  Aku berjalan dari satu kedai ke satu kedai yang lain tetapi tiada yang menarik dari pandangan mata ku.  Aku sempat membelikan sehelai kemeja berwarna merah untuk Azry.  Tentu Azry kelihatan kacak dengan warna yang garang begitu.  Dengan kulitnya yang putih melepak memang warna merah membuat ketrampilannya lebih menyerlah. Aku suka dengan warna merah.  Memang dalam perancangan, aku mahu membeli sepasang dress berwarna merah juga untuk diriku.  Jam di tangan telah menunjukkan kepukul 3.45 petang dan untuk mengelak kesesakan jalan raya adalah lebih baik jika aku beredar dari situ untuk pulang ke pejabat di Taman Tun Dr Ismail sekarang.  Aku terus ke tempat letak kereta dan memandu terus  ke pejabat. 

Sebaik sahaja sampai ke pejabat, aku diberitahu tentang panggilan-panggilan yang diterima amat memberangsangkan, sehingga tidak menang tangan untuk melayan pertanyaan melalui talian telefon.  Ada juga beberapa pertanyaan yang datang terus ke pejabat.  Kebanyakan mereka ingin melawat ke tapak dahulu sebelum membuat keputusan untuk membeli dan akan kembali jika mereka berminat.  Maklum balas dari pembaca-pembaca surat khabar lantaran promosi melalui iklan amat menggalakkan.  Aku meminta Mira mengeluarkan resit untuk bayaran tunai yang aku bawa pulang dari pameran di PWTC untuk aku serahkan kepada finance department.  Aku terus ke pejabat Dino sejurus menerima resit dari Mira.  Daun pintu ku ketuk dari luar. 
“Masuk”  kedengaran suara Dino dari dalam.   Daun pintu ku tolak dan ku biarkan ianya terbuka begitu.
Yes puan Sara, how’s your exhibition?”  soal Dino sebaik melihat wajahku sambil memerhatikan aku yang berjalan menghampirinya dengan resit dan wang tunai di tangan.
“Nah, ini untuk collection pagi ni.  Tadi I call Badri dia kata dia dapat closed satu lagi sale dan berjaya collected cash two thousand ringgit for the down payment. Kalau setiap hari macam ni, dalam masa empat hari, I rasa staf I boleh achieve the target yang Dato’ nak kan tu”  ujarku girang serta bangga dengan kemampuan staf-staf ku.
“Oh ya, congratulations.  I doakan team you akan berjaya.  Hairan ye, walaupun ekonomi tak berapa baik, orang masih berebut-rebut nak beli property”.
“You ni, beli rumah bukan macam beli kereta tau. Jual balik kereta second hand harga jatuh, kalau beli rumah, lain…, lepas beli and then jual balik harga dia boleh naik sampai 20% to 40% depence on lacation.  Kalau banyak duit masa inilah elok beli property tambahan pulak ada diskaun”  bibirku mengulas senyum. 
“You belilah satu Dino, rumah berkembar dua tingkat projek kita tu, cantik dan ada diskaun untuk staf lagi, berbaloi apa.  Tak duduk pun tak apa, for investment” nasihat ku pada Dino. 
“InsyaAllah, satu hari memang kena beli jugak, you doakanlah supaya I cepat-cepat dapat orang rumah” seloroh Dino. 
“Esok you masuk ofis tak?” Dino menukar topik perbualan sambil menyimpan wang tunai yang kuberikan ke dalam safe box yang terletak di belakang tempat duduknya. 
Tomorrow may be I’ll come to office first than later to PWTC, kenapa?”.
No, I was thinking kalau you pergi sana I pun nak pergi sama”. 
“Oh, boleh, no problem.  Lepas lunch kita pergi ok” cadangku.
“You nak tumpang I ke atau pergi sendiri sendiri?”. 
“I tumpang youlah, boleh?”  aku memerhatikan Dino menulis sesuatu di atas kertas.
Good ideaSo, bolehlah kita pergi lunch sama esokkan?” Dino kelihatan gembira apabila aku menerima pelawaannya untuk menumpang keretanya ke PWTC esok. 
Dino sering mencari peluang untuk selalu berada bersama ku, biarpun dia tahu harapannya untuk mendampingi aku sudah tiada.  Biasanya dia akan menawarkan diri untuk belanja makan.  Kadangkala dia menggunakan staf-staf yang ada untuk membuatkan aku bersetuju untuk keluar bersama-sama.  Entahlah, tidak pernah terlintas di fikiranku untuk menjalinkan hubungan mesra dengannya.  Aku yang berstatus isteri orang, rasanya kurang manis jika dilihat beriringan dengan seorang lelaki yang masih bujang seperti Dino.  Aku juga berpendapat tidak ada sebab mengapa aku perlu menerima pelawaan Dino. Cukuplah sekadar bertemu di pejabat dan sesekali minum-minum bersama di restoran berdekatan pejabat, itu pun secara kebetulan atau berkumpulan.
“Boleh ke puan Sara oi, termenung pulak dia, kita tanya tak jawab lagi”  suara Dino yang agak keras mengejutkan aku dari menungan. 
“Tengoklah esok macammana, eh I nak baliklah, dah pukul berapa dah ni?” aku melihat jam di tangan.  Lalu bingkas bangun dari tempat duduk. 
Ok Dino, see you tomorrow” aku pun berlalu tanpa memberi jawapan dari soalan yang ditanya tadi. Dino hanya memerhati gerak langkah ku sehingga aku hilang dari pandangan.

            Malam itu di rumah, aku dan Azry menikmati makan malam bersama papa dan mama. Begitulah setiap malam jika tidak keluar kemana-mana, seperti sudah menjadi rutin harian kami untuk berkumpul dan menikmati makan malam bersama.  Dan sambil makan kami akan berbual-bual dan bertanya itu dan ini lantaran kesibukan diwaktu siang hari.
“Hari sabtu nanti kak Rina sampai KLIA pukul berapa mama?” tanya Azry memecah kesunyian kerana masing-masing begitu asyik menikmati keenakan spaghetti masakan mama. 
Mama adakalanya rajin juga memasak dan mencuba resepi baru yang dipelajari dari kawan-kawannya.  Spaghetti kabonara yang dimasak mama ini amat istimewa sekali rasanya setanding masakan yang dijual di Secret Recipe. Kembang kuncup hidung mama apabila masakannya dipuji anak menantu dan suami kesayangannya.  Ini menambahkan keinginan mama untuk memasak lagi dan lagi kerana kepujian yang diberikan.  
“Katanya pukul 3.30 petang dia sampai.  Mama dah pesan dengan Pak Mail minta pergi jemput Sharina nanti” jawab mama lembut.
“Dia balik seorang ke mama?” tanya Azry lagi sambil menjeling kepadaku. 
“Tentulah seorang, nak bawa siapa pulak?” jawab mama lagi. 
“Manalah tau bawa pakwe mat salleh ke, dah duduk lama di sanakan”  gurau Azry. 
“Ishh.. tengoklah Sara Azry ni ada-ada saja.  Tak adalah”  tukas mama. 
“Kalau ada pun takkan dia nak cerita kat mama pulak, kan pa?” papa hanya tersenyum melihat kedua ibu dan anak yang sedang galak berbalas pantun. 
“Jamuan makan malam tu nanti jangan lupa pulak, mama jemput kawan-kawan mama, kawan-kawan papa.  Kalau Azry dengan Sara nak panggil kawan datang sekali pun, boleh juga.  Mama dah telefon ibu Sara siang tadi bagitau dia tentang jamuan tu.  Oh ya, papa pun ada berhajat buat kenduri sikit lepas zohor siang tu nanti”  mama memandang papa yang sedang mengunyah buah epal.  Papa mengangguk.
“Papa dah jemput orang masjid, lebih kurang dua puluh orang jugalah yang akan datang esok ni” jelas papa. 
“Tak apalah, mama dah uruskan pasal katering.  Tengahari tu nanti kita buat makan nasi dan lauk pauk kampung, buah-buahan sikit, kuih-muih sikit. Semuanya dah beres, mama dah uruskan untuk kenduri dan untuk jamuan malam tu sekali”.
Mama kelihatan sungguh gembira dengan keputusan kak Rina untuk terus menetap di sini, dia berharap sangat kak Rina tidak akan pergi jauh lagi dari keluarga.  Kali terakhir kak Rina pulang ke Malaysia ialah semasa hari perkahwinan aku dengan Azry 10 bulan yang lalu, itu pun hanya untuk beberapa hari sahaja kerana cuti yang terhad.  Kak Rina sudah menetap di United Kingdom selama tujuh tahun.  Pada mulanya dia ke sana kerana melanjutkan pelajaran di dalam bidang kedoktoran sebelum menamatkan diploma dan degreenya di UM.  Setelah tinggal agak lama, kak Rina merasa agak selesa dan mengambil keputusan untuk terus bekerja di sana.  Menurut kata mama pula sebenarnya kak Rina ke sana membawa hatinya yang luka.  Dia telah dikecewakan oleh kekasihnya yang sama-sama belajar dalam satu aliran dengannya di UM.  Apakah yang membuatkan kak Rina ingin kembali ke Malaysia?  Adakah kerana hatinya yang luka dulu telah sembuh dan ingin membuka lembaran baru pula? Atau apakah ada seseorang yang sedang menunggunya di sini?

            Selepas selesai makan malam aku dan Azry terperap di bilik kamar tidur kami.  Azry sibuk di meja kerjanya yang terletak bersebelahan dengan tingkap.  Dia begitu leka menghadap laptopnya.  Sementara aku duduk di atas katil bersandarkan bantal empuk sambil membaca novel cinta “Tenggelamnya kapal Van Der Wijck” karya Pak Hamka. Kisah cinta menyayat hati seorang pemuda yang bernama Zainuddin terhadap kekasihnya Hayati. Kisah cinta yang terputus di tengah jalan lantaran berlainan suku dan adat.  Aku begitu menghayati kisah novel cinta itu sehingga dapat merasai betapa hancurnya hati seorang lelaki yang bernama Zainuddin itu apabila kekasih hatinya dikahwinkan dengan orang lain, perasaan kecewa dan sedih pilu Zainuddin bagaikan mencalar-calar tangkai hatiku.  Aku begitu kagum dengan jalan ceritanya, walaupun lenggang lengguk bahasa Indonesia yang digunakan agak sukar difahami. 

 “Asyiknya membaca novel tu sampai tak perasan orang ada di sebelah” bisik Azry yang menghampiri tanpa aku sedari. 
Aku meneruskan pembacaan tanpa menghiraukan kehadirannya.  Dengan tidak semena-mena buku yang ku baca dirampas dari tangan ku.  Aku hampir menjerit kerana geram dengan sikap Azry begitu.  Buku novel itu diletakkan di atas meja sisi.  Aku cuba untuk mendapatkan buku itu kembali tetapi dihalang. 
“Sara marahke? Tengok muncung tu, boleh diikat.”  Gurauan Azry tidak sedikit pun mencuit hati malah menambahkan perasaan marah ku terhadapnya. 
Cuba tengok jam tu, dah pukul berapa? Esok kan nak bangun awal pagi, kerja.  Tidur awal taklah rasa mengantuk nak bangun pagi”  bebel Azry. 

Nak nasihatkan orang konon, dia tu apa kurangnya?  Kalau tak kejutkan tak bangun, nama saja pasang alarm tapi bila alarm tu berbunyi bagai nak rak pun tak terjaga, gumam ku di dalam hati.  Aku hanya duduk diam membatu, pandangan ku kosong lantaran emosiku yang terganggu dek perasaan sedih disebabkan terlalu menjiwai watak di dalam novel yang ku baca tadi.  Lampu tidur yang tadinya terang kini telah dipadamkan.  Namun begitu aku masih dapat melihat bayangan Azry yang terbaring di sebelahku dengan bantuan cahaya lampu dari luar yang menerobos masuk menerusi tingkap kaca.  Aku dapat merasakan kehangatan tubuh Azry.    Dan aku terus terlena sehingga ke pagi.

No comments:

Followers