Wednesday, April 27, 2011

IRAMA SEMALAM - BAB 16

.
            Hari yang dijanjikan tiba untuk aku berlepas ke Bali bersama Azry .  Penerbangan MAS dari Lapangan Terbang KLIA yang dijadualkan bertolak jam 10 pagi tertunda.  Namun begitu, alhamdulillah jam 2.30 petang kami sudah selamat sampai ke destinasi yang dituju.  Sesampainya kami di sana, sudah ada seseorang yang menantikan kami, menurut kata Azry lelaki itu adalah pakcik kepada teman pejabatnya.  Lelaki itu membawa kami terus ke hotel Grand Hyatt Bali.  Setelah beg dipunggah turun dari kereta kami terus menuju ke kaunter untuk mendaftar masuk ke hotel yang telah ditempah awal.  Keadaan biliknya sungguh selesa dan cantik sekali.  Aku merebahkan diri di atas katil empuk bercadar putih.  Kedua kelopak mata ku tertutup rapat, lega sungguh rasanya.  Perasaan ku begitu girang kerana sampai ke destinasi impian.  Beg pakaian yang dibawa diletakkan di dalam almari pakaian yang telah sedia ada.  Kehangatan tubuh Azry yang berbaring di sebelah begitu terasa. Kerana kepenatan kami terlelap, alat penghawa dingin yang terpasang membuatkan suasana bilik itu begitu menyegarkan dan mata bagaikan begitu berat untuk dibuka. 
Tiba-tiba Azry bingkas bangun dan terus ke sinki membasuh muka.
“Ya Allah tertidur rupanya.  Jom, pakcik tadi tu ada tunggu kat bawah.  Abang dah janji minta bawa kita pergi bersiar-siar”.  
“Kenapa abang tak cakap tadi, kesian lama dia tunggu kita”, aku terpisat-pisat bangun, kedua kelopak mata ku tenyeh-tenyehkan dengan tangan.
 
Kami pun segera keluar dari kamar sebaik daun pintu dikunci dari luar.  Pak  Herman membawa kami menyaksikan tarian tradisi barong.  Tarian itu sungguh menghiburkan dan kami diingatkan supaya tidak mengambil gambar bersama penari-penari tersebut kerana biasanya mereka akan meminta wang upahan.  Selepas itu kami dibawa ke Ubud pula dimana di sini terdapat banyak hasil-hasil kerja tangan seperti lukisan-lukisan, ukiran-ukiran kayu dan barang-barang yang diperbuat daripada perak.  Barang-barang yang dipamerkan dijual dengan harga yang agak mahal.  Kemudian kami dibawa pula melawat ke Elephant Cave Temple.  Gua itu merupakan tempat orang-orang ugama mereka bertapa, di situ juga terdapat air terjun dimana airnya dikatakan boleh membuat wajah kita awet muda sekiranya diminum.  Beruntunglah jika benar ada air yang boleh membuatkan manusia kekal muda dan sudah tentunya manusia seluruh dunia akan tertumpu ke sini untuk mendapatkan air ajaib itu. 
Setelah penat sehari suntuk dibawa bersiar-siar, badan terasa letih apabila sampai ke bilik hotel.  Walaupun penat tapi menghiburkan. Perut pun mulai berkeroncong.  Di sini agak sukar untuk mendapatkan makanan yang halal.  Menurut kata Pak Herman, kita perlu berhati-hati agar tidak keliru.  Pada waktu malam, selepas berehat seketika, kami ke sebuah restoran seafood Jimbaran Bay untuk makan malam.  Sambil menjamu selera kami menikmati panorama di tepian pantai yang sungguh indah walau pun airnya kelihatan sedikit kotor.

                        Hari kedua di pulau Bali, Pak Herman telah sedia menunggu kami di ruang menunggu.  Jam 10 pagi selepas menikmati sarapan pagi di kafeteria hotel itu kami bertolak keluar dengan menaiki kereta yang dipandu oleh Pak Herman.  Pak Herman orangnya tidak banyak bercakap, sepatah ditanya sepatah dijawab.  Aku lebih senang berurusan dengan orang yang tidak banyak mulut begitu.  Pagi ini kami dibawa ke Tanah Lot Temple pula.  Menurut kata Pak Herman setiap pengunjung yang datang ke Bali patut singgah ketempat ini.  Ramai pengunjung yang datang ke sini bertujuan untuk membeli belah disamping itu di sini juga ada seekor ular bersaiz kecil yang dikatakan suci dan sekiranya ular ini dipegang sebaiknya berniat di dalam hati dan dipercayai niat itu akan termakbul. Itu adalah kepercayaan mereka dimana sebahagian besar penduduk di Bali merupakan penganut ugama hindu dan bagi kita umat Islam wajib percaya segala-galanya datang dari Allah yang Maha Berkuasa. 

                        Kemudian kami dibawa ke Seminyak untuk membeli belah.  Aku mengambil kesempatan membeli beberapa cenderamata untuk dibawa pulang.  Kata orang kalau sampai ke Bali tidak sah kalau tidak  menyaksikan tarian kecak di Uluwatu Temple.  Pada mulanya aku takut untuk menonton tarian ini, anggota penarinya agak ramai, kaum lelakinya tanpa memakai baju dan kaum wanitanya pula hanya berkemban dengan aksesori di atas kepala dan kesemua mereka meletakkan tanda didahi seperti kaum india memakai pottu.  Kelihatan ramai pengunjung-pengunjung dan pelancung-pelancung yang sama-sama menyaksikan tarian ini.  Dan tidak melepaskan peluang untuk merakamkan aksi-aksi penari-penari itu di lensa kamera mereka. 

Pemandangan di tepi laut diwaktu senja di sini sangat mengkagumkan. Betapa agungnya kebesaran Allah pencipta alam semesta.  Pulau Bali adalah pulau yang paling indah yang pernah aku lawati.  Pantai-pantainya sungguh cantik dengan deruan suara ombak yang mendamaikan jiwa. Suasana sekeliling sungguh romantik, memang sesuai untuk dikunjungi oleh mereka mereka yang sedang dalam berkasih sayang.  Banyak waktu yang kami luangkan bersama-sama sepanjang percutian ini membuatkan kasih sayang ku terhadap Azry semakin dalam dan jitu.

Masa begitu cepat berlalu rasanya.  Hari ini sudah 4 hari kami meluangkan waktu bercuti di Pulau Bali.  Sudah sampai masanya untuk kami berangkat pulang ke tanah air.  Rindu pula rasanya mengenangkan orang-orang yang ditinggalkan di sana.
                        Semasa hari terakhir sebelum bertolak pulang ke Kuala Lumpur kami bersantai di katil empuk di bilik hotel sementara menunggu waktu untuk mendaftar keluar.  Aku berbaring berbantalkan lengan Azry.
“Terima kasih bang”. 
“Terima kasih untuk apa?”. 
“Sebab bawak Sara bercuti sampai ke sini”. 
“Emm..kan abang dah pernah janji dulu, lagi pun percutian ni hadiah istimewa sempena harijadi Sara”  ujar Azry sambil tangannya bermain-maian dengan rerambut ku yang mengurai. 
“Sayang abang”  ku dakap Azry dengan erat dan satu ciuman hinggap ke pipinya. 
“Hai! sayang sebab abang bawa bercuti ke Bali? Kalau tak bawa tak sayang ke?”.
“Bukanlah macam tu, sebelum ni pun sayang jugak, tapi bawa datang bercuti ke sini la…gi sayang”  lalu pipi ku dicubit manja dan kami sama-sama ketawa. 
“Minggu depan abang akan mula pergi out-station.  Kalau ikut jadual abang akan pergi Penang dulu empat hari.  Lepas tu ke JB pulak untuk few days.  Sebab itulah sebelum abang sibuk, abang nak spend time puas-puas dengan Sara” beritahu Azry mengenai jadual kerjanya. 
“Lamanya abang kena pergi out station tu, sunyilah Sara kalau abang tak ada”. 
“Alah kak Rinakan ada.  Selalu-selalulah berbual dengan dia”. 
“Sara malaslah nak ganggu orang. Waktu tu mesti kak Rina nak berehat atau pun keluar dating dengan Hakim ke”  aku mencebek manja. 
“Tak apalah nanti abang belikan Sara novel banyak-banyak, Sarakan suka baca novel?” pujuk Azry dengan senyuman terukir dibibirnya. 
Aku bermenung panjang memikirkan bagaimana akan aku hadapi hari-hari tanpa Azry di sisi, tentu membosankan. 
“Bang, bila kita nak duduk rumah sendiri?” lama Azry terdiam apabila aku meluahkan pertanyaan itu. 
“Memang abang dah fikirkan pasal rumah tu, cuma menunggu masa yang sesuai saja. Tapi abang risau kalau selalu kena tinggal nanti Sara bosan pulak duduk rumah sorang-sorang”. 
“Kalau duduk rumah sendiri, tak adalah Sara asyik nak duduk dalam bilik aje.  Banyak benda yang  Sara boleh buat , atau boleh jemput kak Min dan kak Lia datang ke rumah, buat makan-makan ke” cadangku lagi. 
“Lagi pun tak lama lagi kak Rina dah nak bertunang, lepas tu nak kahwin pulak kan?  Kalau kak Rina dah kahwin tentulah mereka duduk rumah papa tu, tak kan dia nak terus pindah?” aku terus memujuk. 

“Betul jugak cakap Sara tu.  Nantilah, kita tenguk dulu macamana, ok”  matanya merenung ku sekilas sebelum bangkit untuk bersama-sama bersiap untuk pulang ke Kuala Lumpur .

No comments:

Followers