Saturday, April 16, 2011

IRAMA SEMALAM - BAB 12

.
Pameran perumahan masih lagi berlangsung dan aku terpaksa menghadirkan diri ke PWTC seperti semalam dan kelmarin, maklum sahaja hari ini adalah hari cuti.  Sudah tentunya keadaan akan menjadi lebih sibuk dari hari sebelumnya kerana orang ramai akan berpusu-pusu ke sana untuk melihat pameran perumahan yang julung-julung kali diadakan dengan tawaran diskaun yang menarik.  Aku tidak sampai hati untuk membiarkan staf-staf ku bekerja tanpa aku bersama-sama bertungkus lumus untuk mendapatkan  pencapaian yang dikehendaki oleh majikan.  Awal-awal lagi aku telah memberitahu mama tentang pameran itu.  Aku meminta maaf kerana tidak dapat bersama-sama menyambut kepulangan kak Rina tetapi aku berjanji akan berada di rumah seawal mungkin.  Mama dan papa begitu faham dengan tuntutan tugas ku.

Setelah siap berpakaian dengan blaus merah dan berseluar panjang hitam, aku menjeling ke arah Azry yang masih lagi meringkuk di atas katil. 
“Bang bangun, tak kerja ke hari ni?”  aku mengejutkan Azry dari tidur sambil menyisir rambut hitamku.
Bedak compact ku sapukan ke wajah.  Lipstik lancome berwarna merah hati ku sapu nipis ke bibir.  Celak hitam ku lukis di tepi mata agar mata kelihatan galak dan menawan.  Ok dah siap, bisik ku lantas menoleh ke sekujur tubuh yang masih berlingkaran di atas katil empuk.  Sedapnya dia tidur siap berdengkur lagi.  Selimut yang menutup hampir seluruh badan Azry ku singkap.  Dengan malas tanpa membuka mata, tangannya mencari-cari selimut tadi. 
“Abang tak kerja ke?” suara ku agak keras. 
“Pergi lambat sikit” jawabnya perlahan antara dengar dengan tidak. 
“Sara dah nak pergi ni, bangunlah”. 
“Tak apalah, Sara pergi dulu, kejap lagi abang bangun, nanti abang call Sara ok”, pesan Azry dengan mata yang masih terkatup. 
Aku segera keluar dari bilik dan menuruni anak tangga untuk ke ruang bawah.  Di ruang makan kelihatan mak Mah sedang mengemas meja makan. 
“Mak Mah jom sarapan sama”. 
“Mak Mah dah sarapan tadi, Sara minum ya”.  Mak Mah menuangkan Nescafe 
panas ke dalam cawan putih berbunga biru untuk ku. 
“Mama dengan papa dah minum ke? tak nampak pun mereka”. 
“Mama ada di luar sana, papa Sara awal pagi lagi dah keluar” balas mak Mah sebelum menghilangkan diri ke dapur. 
Sambil bersarapan aku memeriksa telefon bimbit untuk melihat sekiranya ada missed call atau message yang masih belum ku baca.  Kebetulan ada dua mesej di inbox, Badri mengingatkan aku untuk membawa flyers dan borang pendaftaran pembeli ke PWTC nanti.  Ini bererti aku terpaksa pergi ke pejabat dahulu untuk mengambil beberapa barang-barang yang diperlukan sebelum terus ke PWTC.  Satu lagi mesej ku terima dari kak Lia “Sara esok akak nak balik ke rumah mak, kalau tak keberatan dapat datang, akak nak jumpa sekejap”. 
Allah! kesian kak Lia kerana aku masih tidak dapat menunaikan permintaannya untuk berjumpa.  Agak sukar untuk aku menjanjikan masa yang sesuai untuk aku bertemu dengan kak Lia lantaran kesibukan di pejabat dan aku tidak pasti bagaimana untuk aku menyusun atur jadual waktu yang begitu ketat, keluhan ku lepaskan.  Aku terus membalas mesej kak Lia dengan menekan butang-butang untuk menyusun kata-kata yang boleh membuatkan kak Lia faham dengan kondisi aku ketika ini.  “Minta maaf byk2 sbb x dpt nak jumpa akak dlm masa terdekat krn sibuk, Sara akan call akak ASAP”.   
Terasa sedikit lega setelah dapat menyampaikan hasrat, aku harapkan kak Lia tidak berkecil hati.  Aku telah berjanji pada diriku sendiri sekiranya segalanya sudah selesai aku akan segera menghubungi kak Lia untuk membantu menyelesaikan masalahnya atau sekurang-kurangnya berada di sisinya diwaktu dia memerlukan aku. Aku segera menghabiskan sarapan dan berlalu ke dapur untuk menghantar piring dan cawan yang telah ku gunakan ke sinki.  Azry masih tidak kelihatan kelibatnya.  Tak bangun lagilah tu, aku berteka teki. 
Di luar rumah mama sedang menyiram pokok bunga kesayangannya.  Itulah kegemaran mama di waktu lapangnya.
“Mama, Sara balik lambat sikit hari ni.  Exhibition di PWTC tu sampai pukul 10 malam tapi Sara akan cuba balik awal, ya ma”  aku memberitahu mama yang sedang terbongkok-bongkok menarik rumput liar yang tumbuh di dalam pasu bunga kertas yang sedang cantik berbunga.  Mama menoleh kepadaku dan mengangguk.
“Azry tak kerja ke?  Kalau tak kerja kenapa tak minta dia hantarkan?” mama memberi cadangan. 
“Abang kerja, tapi pergi lambat sikit.  Ok ya ma, Sara pergi dulu”  aku melambaikan tangan dan terus mendapatkan kereta Toyota Vios ku yang diparkir bersebelahan dengan kereta Honda Accord Azry. 
           
            Setibanya aku di PWTC, kelihatan Badri dan Dida berada di booth pameran. Mereka sedang sibuk melayan beberapa tetamu yang membuat beberapa pertanyaan tentang projek perumahan yang sedang dijual. Kami baru sahaja membuat pelancaran ke atas projek rumah berkembar dua tingkat dan rumah teres dua tingkat di mana kedua-duanya masih dalam proses pembinaan.  Terdapat 50 buah rumah berkembar dua tingkat dan 100 buah rumah satu tingkat dibuka untuk jualan dan masih ada beberapa buah lagi yang masih kosong, lebih kurang 75% telah berjaya dijual.  Aku mahu staf-staf ku lebih fokuskan kepada kedua-dua projek baru ini selain dari rumah banglo yang masih belum terjual. 
Aku mendapat panggilan dari Desmond di pejabat mengatakan dia telah berjaya menjual dua buah rumah teres dua tingkat pagi ini.  Aku mengucapkan tahniah kepadanya di atas kejayaannya yang telah menambahkan lagi mata jualan bagi pihak syarikat, ini adalah untuk memberi perangsang kepadanya juga kepada kawan-kawannya yang lain supaya bekerja lebih gigih lagi.  Aku berasa lega di atas bantuan semua pihak yang terbabit, dan aku akan pastikan kemahuan majikan dapat kami capai dengan kerjasama yang padu dari semua kakitangan yang ada.  Sebaik sahaja talian dimatikan, Dino datang menegurku dan memperkenalkan aku kepada dua orang sahabatnya, Faizal dan Gee.  Kedua mereka adalah peguam dari syarikat swasta yang terlibat dalam pameran itu.  Mereka kelihatan begitu mesra seolah-olah telah lama berkenalan.  Aku mendapat tahu dari Dino, mereka adalah bekas teman-teman lama dari sekolah menengahnya dulu dan sudah lama terpisah dan di tapak pameran ini mereka bertemu tanpa diduga. Bila aku bertanya tentang Gee yang cantik dari pandangan mataku dan kelihatan begitu manja, Dino seolah-olah tidak berminat mahu mendengar dan enggan menghuraikan lebih lanjut apabila dia seakan-akan menukar topik cerita. 
“Kenapa dengan you ni Dino, I tengok Gee tu ok apa.  Padan tau dengan you”  aku mengusik Dino yang berdiri di sebelah ku dengan kedua tangannya diselukkan ke dalam poket seluar jeans birunya. 
“You ni tak perasan ke macammana lagak dia dengan Faizal tu?  Mereka berdua tu dah bertunanglah” balas Dino dengan jelingan yang tajam dan membuatkan aku hampir tergelak melihatkan memek mukanya yang seolah-olah bengang terhadapku.
Perbualan kami terhenti apabila telefon bimbit ku berdering lalu ku tekan butang yang berwarna hijau dengan ketawa yang masih bersisa. 
“Hallo”  aku menekap telefon bimbit Sony Ericson berwarna putih ke telinga.  “Hallo! Sara di PWTC lagi ke?”. 
“Em..ya, kenapa?”. 
“Tak adalah, abang baru sampai ofis ni”.  Aku melihat jam di tangan.
“Baru sampai? Dah pukul 12.30, abang bangun lambat ye?” teka ku.
“Itulah, nasib baik mama ketuk pintu bilik tadi, Sara pun bukannya tau nak telefon abang”. 
“Sara sibuklah bang”  alasan ku berikan. 
“Pukul berapa balik nanti?” tanya Azry. 
“Sekarang ni orang tengah ramai, petang sikit nanti Sara baliklah, ok bang, bye” dengan segera aku mematikan talian, perasaan marah ku terhadapnya sejak tadi malam masih terasa.
Dino memandang ku seolah-olah mahu menelan aku.
“Cik abang telefon ke tu? Hai tak puas jumpa di rumah ke?” perli Dino. 
“Orang suami isteri macam tulah, sekejap tak jumpa dah rindu.  Tulah I suruh you kahwin cepat supaya you tahu macammana perasaan orang yang dah kahwin” usik ku lagi. 
“You ni tak habis habis, asyik nak bercerita pasal kahwin je.. boringlah” Dino memalingkan tubuhnya, tingkah lakunya memang pelik, kisah kekecewaannya masih lagi menghantui dirinya menyebabkan dia fobia untuk menyebut pasal perempuan apatah lagi tentang perkahwinan.  Dino… Dino….

Oleh kerana kesibukan melayan pertanyaan-pertanyaan yang datang singgah ke booth kami, aku terlupa yang aku masih lagi belum makan.  Bunyi perutku bagaikan menjerit-jerit minta diisi.  Jam di tangan ku jeling, patutlah dah berkeroncong rupanya sudah pukul 2.15 petang.
“Dino you tak nak makan ke?”  aku menegur Dino yang sedang membelek dokumen-dokumen di atas meja tulis.
“You nak belanja I ke?” tanya Dino semula.
“I tak kesah, I belanja pun boleh you belanja lagilah boleh”  usikku. 
“You nak makan apa?”. 
“I teringin nak makan KFC lah, boleh?”. 
“Teringin? Ada apa-apa ke?” usik Dino. 
“Kenapa? Kalau teringin tu mesti ada apa-apa ke? Mengarut je lah you ni!”  Dino tersenyum mengejek. 
“Jom Sally, Desmond, kita pergi makan, biar Badri dengan Dida jaga booth ye”  pelawa ku.
We had our lunch alreadylah Puan Sara”  kata Desmond dan Sally serentak.
“Oh ya ke?”  aku mengalihkan pandangan kepada Dino yang telah menunggu agak jauh sedikit dari tempat kami. 
Ok, I go for lunch with Encik Dino, if there’s anything please call me on my handphone, ya.  I’ll be right back”  pesan ku kepada staf yang sedang bertugas. 

Dino berjalan mendahului aku dan kami terpaksa menyelit-nyelit di tengah orang ramai yang berpusu-pusu dengan arah tujuan masing-masing.  Kami ke seberang jalan di The Mall kerana di sana lebih banyak pilihan. Semasa melintas jalan, Dino kelihatan begitu kekok berdiri berdekatan denganku.  Bersama-sama kami ada beberapa orang lain juga sedang memerhatikan ke kiri dan kanan untuk melintas ke seberang.  Tidak semena-mena aku merasakan tangan kasar Dino menarik tangan ku untuk melintas ketika tiada kereta yang lalu.  Sesampai sahaja di seberang aku menarik tanganku, wajahnya kelihatan selamba.
“Nak makan KFC ke?”  tanya Dino. 
“Suka hatilah, I tak kisah apa-apa pun boleh asalkan makan”  jawabku.
Dino terus melangkah menuju ke restoran Kentucky Fried Chicken yang ada di situ.  Dan aku mengekorinya dari belakang. 
“You pergi cari tempat duduk biar I beli, ok”  aku mengangguk dengan cadangan Dino itu.  Seketika kemudian Dino sampai dengan membawa sedulang makanan untuk kami. 
“You ni macam tau-tau aje apa yang I nak makan ye”  ujarku apabila melihat dua pinggan snack plate, satu ubi kentang goreng, satu kotak mc nugget dan dua gelas fresh orange diletakkan di atas meja di depanku.  Dino menyengih.  Memang senyuman itu begitu menarik sekali, kenapalah tidak ada orang yang berkenan dengan Dino?  Aku rasa Dino yang banyak songeh, jual mahal. 
“Banyaknya you beli, boleh habis ke ni?”. 
“I nak you makan kenyang-kenyang, bukan senang nak belanja you makan”, gurau Dino. 
Dino menikmati ayam KFC dengan menggunakan tangan, senang katanya.  Siap menjilat jari lagi.
“Petang ni kakak ipar I balik dari UK”. 
“Dia baru balik dari study di sana?”. 
“A’ah dia study di sana, dah habis ambik PhD dia terus kerja.  Dia duduk sana sudah 7 tahun.” 
“7 tahun? Lamanya, dia kahwin mat saleh di sana ke?”. 
“Taklah, dia macam youlah, frust dengan pakwe dia, pergi sana bawa hati yang luka.  Apakata kalau I kenalkan you dengan dia? Ok tak?”  seloroh ku.
            “You ni tak habis-habis lah, change topic please”  aku tergelak kecil. 
“Oh ya, sebelum terlupa esok tengahari rumah mama I buat kenduri dan sebelah malam pulak buat dinner, so jemput datang ya”. 
“InsyaAllah, kalau tak ada aral melintang”  jawab Dino sambil mengunyah. 
Selesai makan, pinggan yang hanya berisi tulang-tulang ayam ku ke tepikan lalu menyedut  fresh orange dengan menggunakan straw. 
“Alhamdulillah, kenyang I,   terima kasih Dino,   nanti lain kali I belanja you makan pulak ok”. 
No problem” jawabnya pendek. 
“Eh ni tak habis lagi ni, habiskanlah”, Dino menyuakan kotak Mc Neggut kepadaku. 
“Eee.., I dah kenyang giler ni, you makanlah” sambil menolak kotak itu aku menggelengkan kepala. 
“Sara, boleh I tanya sikit tak?  Sebelum you berkahwin you berdua bercinta-cinta dulu ya?”  aku hampir tersedak.
“Kenapa? Oh nak korek rahsia orang pulak ya”. 
“Tak adalah.  Saja je nak tau”. 
“Betul you nak tau?” Dino menganggukkan kepala dengan sekeping nugget di tangan kanannya.
“Sebenarnya dia pilihan my parents” Dino kelihatan tercengang. 
Your parents choice?  Hai! Zaman canggih manggih ni pun ada orang kahwin atas dasar pilihan orang tua? Biar betul Sara”.  
“Ni yang I malas nak cerita ni,  dahlah taknak ceritalah” aku berpura-pura merajuk. 
“Ok, ok, sambung balik cerita”. 
“Dahlah, nak cerita apa lagi, I dah bagitau yang kitorang kawin sebab parents yang suruh kahwin, itu saja”. 
“Maknanya dia bukan boyfriend you lah ye? You tak cintan cintunlah sebelum kahwin dengan dia?” aku menggelengkan kepala dengan wajah mencebik. 
“Tapi you ada boyfriend ke sebelum kahwin dengan your husband?”, Dino cuba mencungkil rahsia peribadi yang tidak pernah ku ceritakan kepada orang lain termasuk Azry.  Aku hanya mengangguk. 
“Ui.. I respect youlah.  You boleh bercinta dengan orang lain lepas tu kahwin dengan orang lain?  Very obedientlah you ni, untung parents you dapat anak macam you ni. Mana pergi boyfriend you sekarang? Mesti dia frust menonggeng macam I jugak kan?”. 
“Entahlah, tak tau, tak ambik tau.  Eh! dahlah jom kita pergi sana balik” aku segera menukar topik cerita dengan mengajak Dino balik ke PWTC semula mentelahan pula waktu sudah agak lewat petang.
Your story very interestinglah Sara, lain kali sambung lagi ya.  Tak sangka pulak cerita you lagi dasyat dari cerita I.  Patutlah you pandai nasihatkan I mengalahkan mak I pulak, rupanya lebih banyak experience dari I.  Terasa pulak keciknya diri I ni”  aku terus melangkah tanpa menghiraukan Dino yang berada di belakangku. 
“Eh tunggulah, lajunya jalan” Dino berlari anak mendapatkan aku. 

Kami bersama-sama beriringan keluar dari pusat membeli belah The Mall.  Kali ini aku berdiri agak jauh dari Dino supaya insiden tadi tidak berulang lagi walaupun dia ku lihat menjeling-jeling memerhatikan aku.

No comments:

Followers