Monday, April 4, 2011

IRAMA SEMALAM - BAB 7

.
Sudah dua bulan kami melalui bahtera rumahtangga dengan kebahagiaan yang melimpah ruah.  Azry begitu baik terhadapku.  Tidak ada sebab mengapa aku harus mengenangkan kisah lampau yang boleh membuatkan aku sedih dan kecewa.  Aku tidak perlu melayan perasaan yang bukan-bukan yang sering datang menganggu fikiranku. 
Ahh! persetan dengan kenangan silam, pergi mampus dengan manusia yang kejam dan tak berhati perut itu.  Buat apa diingati orang yang pernah mengguriskan hati dan pernah membuatkan siang malam ku bercelaru dan penuh dengan deraian airmata.  Tekad ku kini adalah memberi sepenuh perhatian kepada rumahtangga yang baru ku bina bersama Azry. Memang dia bukan pilihan hati ku tetapi kini dia telah menjadi suami ku yang sah.  Segala-galanya ada pada dia, apa lagi yang aku mahu dari seorang lelaki yang bergelar suami?  Aku mengharapkan perkahwinan ini yang telah menyatukan dua hati antara aku dan Azry akan berkekalan sehingga ke hujung nyawa. Biarlah ajal dan maut yang memisahkan kami.  Biarlah kisah-kisah semalam dan kelmarin berlalu pergi seperti awan mendung yang hilang tatkala mentari memancarkan cahaya sinarannya.

Petang itu seperti hari-hari yang lain, Azry tidak pernah gagal menelefon aku bertanyakan khabar ku di pejabat.  Sedang aku leka meneliti report mingguan yang telah disiapkan oleh staf ku, tetiba kedengaran suara Maria, penyambut tetamu di pejabat memberitahu ada panggilan untuk ku di talian menerusi interkom.  Gagang telefon yang berwarna putih yang terletak di sudut meja ku capai lalu punat yang berkelip-kelip itu ku tekan.
“Hello”.
“Assalamualaikum sayang, tengah buat apa tu?” suara Azry kedengaran dari hujung talian.  Salam bersambut.
“Buat kerjalah bang, kat ofis tak kan tengah masak pulak kot?” aku berloyar buruk.
“Oh, iya ke? Jangan buat kerja kuat sangat. Nanti balik rumah penat pulak”.
“Tak apalah, abangkan ada. Kalau penat boleh mintak abang picit-picitkan, urut-urutkan”.
“Itulah yang abang malas tu, kalau abang saja yang asyik urut Sara, bila masa pulak Sara nak urut abang?” Azry ketawa.  Suka sangat dia membuat lawak mengada-ngada begitu.
“Lepas habis urut-urut, Sara bagilah upah” aku pulak menambah dan ketawa Azry semakin kuat kedengarannya, aku juga turut ketawa sama.
“Sara dah makan?”.
“Belum.  Malas pulak rasanya nak keluar.  Lagi pun Sara dah kenyang makan nasi lemak pagi tadi yang mak Mah buat.”
“Itu sarapan, jangan suka sangat skip lunch.  Makan mesti on time.  Kalau rasa kenyang lagi, kat pantry office you kan ada bread toaster?  Ha makan dua keping toasted bread pun dah ok apa”  pesan Azry.
“Tak payah makan roti, kat depan I sekarang ni dah terhidang empat keping goreng pisang yang masih panas lagi.  Hari ni ada seorang Hamba Allah tu belanja makan goreng pisang”  tutur ku.  Aku tahu Azry begitu risau kalau aku cuba menyekat perut dari makan pada waktu makan terutamanya makan tengahari.
“Hamba Allah belanja makan? Sapa orang tu?”  tanya Azry.
“Alah, Dino.  Dia tu Finance Manager kat ofis Sara ni.  Kan Sara pernah cerita kat abang tentang dia.  Abang lupa ke?” aku mengingatkan Azry.
“Emm tak apa lah. Sebenarnya abang nak bagitau abang balik lambat sikit hari ni, ada meeting pulak pukul 6.00 petang nanti.”
“OK,  tapi jangan balik lambat sangat ye!”
“Ya, makan tau jangan biarkan perut tu kosong”.
“Ok sayang, see you later, assalamualaikum”
“Waalaikumsalam” jawabku lalu gagang telefon ku letakkan semula ketempatnya.
Aku terdiam merenung goreng pisang yang terletak di dalam piring di atas meja.  Pen biru yang dipegang di tangan kanan, ku letakkan di bibir.  Aku mengelamun kosong. Aku tersentak dari menungan apabila kedengaran pintu diketuk dari luar.  Belum sempat ku suruh masuk, daun pintu terkuak dan terjegul wajah Dino dengan senyuman panjang dibalik daun pintu. 
Sorry to disturb you” suara garau Dino menyapa sambil berjalan menghampiri meja dengan beberapa helai kertas di tangan. Kerusi di hadapan ku ditarik lalu dia pun duduk tanpa disuruh. Aku memandangnya tanpa berkelip dengan senyuman yang tidak lekang dari bibirku menandakan kedatangannya dialu-alukan.
“I menganggu ke?” tanya Dino. 
“Tak adalah,  you ni macam tak biasa je.  You kan suka meredah bilik I ni sesuka hati you aje” perli ku lalu gagang telefon ku angkat dan menekan butang receptionist
“Maria, minta kak Ani buatkan air teh dua cawan hantar kat bilik I ya”  arahku melalui interkom. 
“Baik puan Sara” suara manis Maria menjawab. 
“Baguslah you ni, macam tau-tau aje I datang sini nak ajak you minum sambil discuss pasal your exhibition next month”. 
Seketika kemudian pintu diketuk dan kak Ani masuk membawa dua cawan teh ‘O’ panas.
“Terima kasih kak Ani” ucap Dino dan kak Ani yang telah lama berkhidmat di pejabat ini sebagai tea lady mengangguk dan berlalu meninggalkan kami.
“Oh ya, tentang exhibition di PWTC tu, nanti I bagikan schedule sekali dengan duty rooster” ujarku dengan wajah sengal kerana hampir terlupa tentang jadual itu. 
“Agak-agak youlah.. berapa budget? Berapa hari ya exhibition tu?” tanya Dino untuk kepastian
“Exhibition tu berjalan selama enam hari tapi kita ambil booth tu hanya untuk empat hari saja”.
“Eh kenapa pulak macam tu?”. 
“Terpaksalah Dino, I dah discuss this matter dengan Dato’ Badrul and then dia suggest kita ambil empat hari saja.  Tak cukup staff lah.  Hari kelima tu Saturday and Sunday pulak my staff terpaksa lari pulak ke Alam Central, Shah Alam” aku melepaskan keluhan. 
“Dengan I sekali kena turun tau tak?” sambung ku lagi dengan ketawa kecil.  Dino hanya menyengih saja.
“Tak apalah, kalau banyak sales yang you all bawak masuk siapa yang dapat nama? Tentulah you dengan your department jugak kan” pujuk Dino. 
“Habis tu I dengan my department je lah yang dapat nama?”. 
“Iyalah. Bila you and your department achieved target, I’m sure dalam meeting Dato’ Badrul akan puji you melambung-lambung”, perli Dino.  
“I tak nak pujian tapi I nak company appreciate me and my staff dengan bagi incentive atau bagi tiga bulan bonus ke.   Dan yang penting bonus kitorang mesti lebih dari department lain.  Setuju?” balas ku dengan semangat yang berkobar-kobar.  
“Mana boleh macam tu Sara. You ni tamaklah.  Kita kan bekerjasama as a team.   Kalau department you saja yang buat kerja boleh jadi ke? Kalau tak ada Project department, tak ada Finance department tak menjadi jugak Sara, kita sebenarnya perlukan each other” suara Dino mula mengendur.  
Gelihati betul melihatkan gelagat Dino, dengan wajahnya yang keanak-anakan, dia nampak begitu manja dari pandangan mataku.
“You janganlah ambil hati dengan apa yang I cakap tadi.   Apa-apa pun kita minum dulu” aku mengangkat cawan dengan berhati-hati supaya air yang penuh tidak tertumpah.  Airnya sudah agak suam akibat kesejukan dari alat penghawa dingin yang terpasang.   Dino menghabiskan minumannya dengan sekali teguk.
“Haus ke? Kesihannya.  Nah ni makan goreng pisang” aku menghulurkan piring yang berisi goreng pisang kepada Dino. 
“Tak naklah, I dah kenyang makan kat luar tadi, itu kan untuk you” ujar Dino.  Aku hanya tersenyum sambil mengunyah goreng pisang yang sudah sejuk.


            Usai menunaikan solat maghrib aku menuruni anak tangga ke bawah.  Kelibat Azry masih belum lagi kelihatan.  Jam yang tergantung di dinding ku jeling.  
“Dah pukul 8.15 pun tak balik-balik lagi”, getus ku di dalam hati.  
Suasana ruang tamu rumah berkembar dua tingkat kepunyaan papa dan mama Azry yang mempunyai empat bilik tidur di tingkat atas dengan masing-masing mempunyai bilik air sendiri dan satu bilik untuk mak Mah di bawah sunyi dan sepi.  Beginilah keadaan rumah besar ini, selalu sahaja tiada berpenghuni melainkan mak Mah yang setia sebagai penunggu rumah.  Papa kerap keluar daerah dan selalunya mama akan ikut sama.  Perniagaan papa sebagai rakan kongsi bersama seorang lagi kawan papa memaksa papa turut sama turun padang sekali sekala untuk memastikan perniagaan berjalan dengan lancar.  Semenjak anak-anak sudah membesar dan tidak lagi tinggal di rumah ini, mama akan sering mengikut papa jika keluar daerah.  Ini untuk memastikan waktu makan papa terjaga dan setiap kali selepas makan papa perlu diingatkan untuk mengambil ubat penyakit darah tingginya.  Aku ke dapur dan ku lihat mak Mah sedang sibuk menyiapkan meja makan untuk hidangan makan malam. 
“Papa dengan mama tak ada kat rumah ke mak Mah?”. 
“Opocot mak kau meletup!”  mak Mah melatah akibat terkejut dengan teguran ku yang tiba-tiba.  Aku menghampiri mak Mah dan menenangkan keadaan latahnya itu. 
“Sorry mak Mah.  Alahai kesian, mak Mah terkejut ya!” ujar ku sambil menggosok-gosok belakang badan mak Mah.  Ada senyuman tersungil di bibir mak Mah.
“Papa dengan mama keluar tadi, tak pulak dia bagitau ke mana.  Tapi dia ada pesan kalau Sara dengan Azry nak makan malam tak payah tunggu mereka” beritahu mak Mah sambil kedua-dua tangannya cekap membuat kerja-kerja di dapur.
“Azry belum balik lagi? Mak Mah tak nampak pun Azry dari tadi” tanya mak Mah. 
“Belum balik lagi, dia ada meeting, kejap lagi baliklah tu..” aku menjawab pertanyaan mak Mah sambil membawa semangkuk gulai lemak daging ke meja makan. 
“Makan malam dah siap hidang, karang kalau Sara nak makan, makanlah ya, mak Mah nak lipat kain baju pulak kat bilik belakang” pesan mak Mah pada ku dan aku mengangguk lesu.

Aku menuju ke ruang tamu sejurus mak Mah meninggalkan aku ke bilik belakang.  Aku ke tingkap hadapan dan kain langsir merah jambu ku selak. Aku mengintai keluar. Lampu luar yang terpasang membolehkan aku melihat keadaan di luar dengan terang.  Suasana nampak tenang dan sunyi.  Kemudian aku mengalihkan perhatian ke peti TV lalu menekan punat dan TV pun terpasang.  Buletin Utama sedang disiarkan,  sepasang perantara sedang menyampaikan berita tentang isu semasa negara.
Kini topik politik menjadi isu hangat diperkatakan di mana-mana jua.  Tidak hanya sekadar di kedai mamak atau di kedai kopi malahan di pejabat-pejabat atau di tempat-tempat awam orang bercakap mengenainya. Aku bukan ahli politik jauh sekali meminati topik politik.  Setiap kali mendengar Azry dan papa berbual tentang politik aku lebih suka menjadi pendengar sahaja.  Memang menjadi lumrah, sesiapa pun akan memenangkan parti yang mereka pilih.  Begitu juga parti yang memihak kepada kerajaan dan parti pembangkang, masing-masing menyuarakan sokongan yang padu dan tidak berbelah bahagi terhadap parti yang mereka sertai.  Ada juga diantara mereka-mereka yang begitu fanatik sehingga sanggup mengadakan demontrasi  dan perhimpunan haram serta membuat huru hara di tempat-tempat awam.  Bukan sahaja negara kita yang mengalami keadaan politik yang sebegitu malahan di negara lain lebih buruk dari itu. Entahlah apa nak jadi dengan dunia hari ini. 
Remote control yang ada di tangan memudahkan aku untuk mengalihkan siaran dengan menekan butang-butang ke siaran lain.  Aku berhenti di siaran Astro Ria bila melihat penyanyi bersuara emas Sharifah Aini sedang mendendangkan lagu Seri Dewi Malam. Aku minat sungguh dengan kelunakan suaranya yang bak buluh perindu itu. Begitu asyik sekali menonton sehingga tidak perasan bunyi enjin kereta masuk ke garaj lalu aku terkejut apabila tiba-tiba kedengaran seperti ada seseorang di luar pintu. Pandangan mata ku segera beralih ke situ.  Daun pintu terkuak. 
“La.. abang balik rupanya” ujarku dengan perasaan lega sebaik melihat wajah Azry. 
“Assalamualaikum” Azry memberi salam.  Aku segera menyambut salamnya.
“Ha kenapa? Terkejutke?” tanya Azry. 
“Ingatkan siapa tadi”. 
“Itulah leka sangat tengok TV sampai kereta abang masuk pun tak dengar” perli Azry.  Beg bimbit di tangan Azry ku sambut dengan tangan kanan. 
“Mama dengan papa tak balik lagi?”. 
“Belum lagi.  Abang nak makan dulu ke?”. 
“Abang nak naik atas mandi dululah” balas Azry lembut. 
Aku membuntuti Azry menaiki anak tangga untuk ke bilik di tingkat atas.  Aku menghulurkan tuala mandi kepada Azry dan beg bimbitnya ku letakkan di atas meja komputer yang berhampiran dengan tingkap.  Aku segera ke bawah sebaik sahaja Azry hilang ke bilik mandi.   Lauk pauk yang terhidang sudah suam-suam kuku, nasib baiklah nasi yang didalam rice cooker masih lagi panas.   Ku sendukkan semangkuk besar nasi dan ku letakkan di atas meja hidangan.  Kemudian aku ke bilik mak Mah.  Pintu ku ketuk sekali dan daun pintu ku buka tanpa disuruh.  Mak Mah sedang mengaji Al-Quran sambil duduk bersila di atas katilnya.  Mak Mah menoleh sebaik mendengar daun pintu biliknya dibuka.
“Makan sekali mak Mah”. 
“Sara makanlah dulu. Azry dah balik?” aku anggukkan kepala. 
“Sara dengan Azry makan dulu nanti lepas ni mak Mah keluar makan”.  Aku mengangguk lagi dengan senyuman di bibir dan pintu ku tutup semula.  Walaupun mak Mah merupakan pembantu di rumah ini tetapi kami telah menganggap dia seperti ahli keluarga.  Kami tidak pernah menyisihkan dia.  Mak Mah tidak punya saudara mara di sini.  Dia sebatang kara.  
Setiba aku di ruang makan, Azry telah sedia duduk menunggu aku di situ. 
“Mak Mah tak nak makan sekali?” soal Azry. 
“Mak mah tengah mengaji, nanti kejap lagi dia makan” ku hulurkan pinggan yang telah berisi nasi kepada Azry.
            “Tadi masa Sara balik papa dengan mama ada rumah ke?”.
            “Tak ada.  Papa dengan mama pergi mana, bang?”
“Tadi papa telefon kata pergi Kuantan nak tengok perabut design baru kat sana.  Lepas tu mereka nak singgah ke rumah maklong Yati. Tak cakap pulak balik hari atau tidur sana ke” Azry meneguk air dari gelas kaca.
“Lepas makan nanti abang telefonlah tanya. Ni dah pukul 9 malam dah” aku luahkan kerisauan sambil mengunyah.
“Tambah nasi lagi bang?”.
“Tak.. malam makan sikit cukup, abang tengah berdiet ni”.
“Nak diet apa bendanya.  Abang bukannya gemuk”.
“Sebelum gemuk kena beringat, nanti kalau dah boroi perut ni ha, Sara pulak yang malu nanti nak jalan dengan abang.  Nanti orang kata eee.. husband Sara tu perut boroi”  seloroh Azry dengan ketawa yang terbahak-bahak.
“Boroi boroi pun suami Sara, nak buat macammana, ke nak jaga badan supaya tak nampak macam suami orang?” usik ku.
“Eh eh, ke situ pulak Sara ni, abang ni suami mithali tau.  Abang cuma ada Sara sorang je, satu ni pun susah abang nak jaga, kejap kejap merajuk, bukan senang nak pujuk pulak tu. Lainlah kalau orang tu nakkan payung emas”  gurau Azry diikuti dengan deraian ketawa lalu satu cubitan singgah dipehanya.

Selepas selesai makan kami berehat sambil menonton TV di ruang rehat di tingkat atas.  Aku duduk bersandar hampir dengan Azry, sesekali melentokkan kepala ke bahunya. Sambil menonton TV Azry membaca surat khabar.  Sememangnya sudah menjadi kelaziman, setiap kali selepas makan Azry pasti mencari surat khabar kerana tidak berkesempatan membaca diwaktu siang.  Aku mengingatkan Azry untuk menghubungi papa dan mamanya lalu ku hulurkan telefon bimbitnya supaya dia terus menelefon mereka.
“Assalamualaikum papa”.  Suara papa kedengaran walaupun tidak berapa jelas berkata sesuatu kepada Azry. 
“Papa kat mana ni?” aku yang berada disisi Azry hanya diam menumpukan perhatian ke peti TV sedangkan telinga ku mendengar setiap perbualannya dengan papa.      
“Papa dengan mama kirim salam” ujarnya sebaik telefon bimbit diletakkan ke atas meja yang berdekatan.
“Waalaikusalam wbt” jawabku jelas. 
“Papa dengan mama tidur kat rumah maklong Yati sebab kat Kuantan hujan”, Azry memberitahu tanpa aku bertanya dan aku sekadar menganggukkan kepala.  Remote control yang ada di tangan ku tekan dari satu channel ke channel yang lain. 
“Besok kan hari sabtu hari cuti, tak ada program yang best-best. Boring betul..” keluh ku sambil menjeling Azry. Dia tekun membaca surat khabar tanpa menoleh.
“Bang!” panggil ku manja sambil menggosok-gosok lengan Azry. 
“Emm” jawab Azry tanpa memandang. 
“Esok kita balik Gombak.  Dah lama tak jumpa ibu ayah” Azry segera berhenti membaca dan mengalihkan padangannya kepada ku. 
“Ini mesti rindu nak makan masakan ibu ni” duga Azry. 
Memang aku rindukan masakan ibu. Bukan sahaja itu malahan rindukan juga kepada kedua ibu dan ayah walaupun aku kerap menghubungi mereka melalui telefon.  Agak lama aku tidak ke sana. 
“Boleh ke?” soal ku. 
“Boleh sayang.  Besok lepas sarapan kita pergi. Sebelah petang nanti abang ingat nak ajak Sara pergi tengok wayang, ok tak?”. 
“No problem.  Kalau dengan abang ke lautan api pun Sara sanggup redah” Azry merenung tajam ke anak mataku.  Wajah yang tampan bagaikan tidak puas mata ini memandangnya.  Surat khabar di tangan dicampakkan ke atas meja kopi.  Pandangan dan jelingannya begitu romantis sekali. Azry mendekatkan wajahnya ke wajahku.  Dengan pantas aku tekupkan tangan ke bibirnya yang telah sedia muncung. Matanya yang pejam dicelikkan kerana terkejut dengan tindakan ku. 
“Apasal?” soal Azry kaget. 
“Sabar, takkan lari gunung dikejar. Tutup TV dan semua lampu, lepas tu kita masuk bilik, ok?” aku bangkit dari sofa dan berlalu ke bilik tidur.  Kedinginan bilik tidur dengan dilimpahi biasan cahaya lampu jalan yang masuk melalui tingkap kaca menyemarakkan lagi suasana romantis dimalam itu.


No comments:

Followers