Thursday, April 7, 2011

IRAMA SEMALAM - BAB 8

.
Kehadiran kami disambut oleh anak-anak kak Min, Aizat dan Aidil.  Sudah agak lama tidak bertemu, mereka kelihatan begitu jauh berbeza.  Budak-budak cepat benar besarnya. Masing-masing mendapatkan kami untuk bersalaman.
“Mama mana?” tanya ku kepada Aizat anak sulung kak Min yang kini berusia sepuluh tahun. 
“Mama kat dapur tolong nenek masak”  jawabnya girang. 
Apabila masuk saja ke ruang tamu ucapan salam pun diberi dan abang Fuad suami kak Min yang sedang leka membaca surat khabar menjawab salam kami lalu segera bangkit dari tempat duduk dan menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Azry.  Azry duduk di ruang tamu bersama abang Fuad dan aku terus menuju ke dapur dengan membimbit sebiji buah tembikai di tangan.  Di dapur ibu dan kak Min sedang sibuk memasak untuk hidangan makan tengahari kami nanti. 
“Assalamualaikum” salam ku beri dan kedua mereka menoleh kepadaku. 
Aku mendapatkan ibu dan mencium tangan ibu sebelum ku peluk dan mencium kedua belah pipi ibu dengan penuh mesra dan manja. 
“Eee! rindunya” ujarku dengan perasaan geram bercampur gembira.
 “Dah lama datang ke kak?” tanya ku ramah tanpa melepaskan tangannya yang kemas di dalam genggamanku.
 “Kita malam tadi lagi dah sampai tau”. 
“Ia ke ibu? Kak Min tidur sini ke malam tadi?” pertanyaan ku disambut dengan senyuman yang bukan sedikit dari bibir ibu. 
“Ialah, nasib baik kak Min ada, dah siap masak dah pun.  Kejap lagi kita dah boleh makan” kata ibu sambil kedua tangannya menyambut salam menantu kesayangannya Azry yang masuk ke dapur. 
“Papa dengan mama sihat?” tanya ibu kepada Azry. 
“Sihat. Ibu?”   Azry menoleh ku sekilas.
“Macam inilah, orang tua, kadang-kadang sihat, kadang-kadang sakit kakilah, sakit badanlah” jawab ibu dengan senyum yang lebar. 
“Kita tunggu ayah balik dari masjid lepas tu kita dah boleh makan nasi dah”  beritahu ibu sambil mengajak Azry ke ruang tamu.  Azry membuntuti ibu sedangkan aku masih di dapur menolong kak Min berhidang.
 “Kak Lia tak balik ke kak?”. 
“Entahlah.. semalam ada akak telefon dia, lupa pulak nak tanya balik ke tidak.  Sara tak telefon dia ke?” soal kak Min sambil menyenduk kuah ke dalam mangkuk. 
“Minggu lepas ada Sara telefon, masa tu kak Lia kat ofis, dia kata banyak kerja so tak dapat nak cakap lama”  terangku dengan mencebikkan muka. 
“Ibu kata dah lama Lia tak balik.  Ibu ada jugak cuba telefon tapi memanjang je tak dapat line” beritahu kak Min lagi.   
Perbualan kami terhenti apabila ibu datang dan memberitahu ayah sudah pulang dan kami pun ke ruang makan dengan membawa lauk pauk untuk dihidangkan di meja makan. Sambil menjamu selera, banyak yang kami bualkan.  Ayah kelihatan begitu gembira sekali dengan kehadiran kami.  Dia yang banyak bercerita tentang ibu dan dirinya, tentang pokok-pokok tanamannya, tentang masjid sehinggalah ke hal ehwal persatuan di kawasan perumahan itu.  Selepas selesai makan kami menyambung pula perbualan kami di ruang tamu sambil menikmati buah cempedak yang telah masak hasil tanaman ayah di belakang rumah. 
Ruang tamu rumah ini masih seperti dulu.  Rak perhiasan yang dihiaskan dengan gambar-gambar kami adik beradik setiap satu dengan bingkai kayu masih di situ.  Bekas-bekas bunga telor koleksi ibu yang diperbuat dari kaca tersusun rapi di atas rak yang di bawah sekali.  Manakala di rak tengah ibu hiaskan dengan pasu seramik yang berwarna hitam tetapi bunga rosnya sudah digantikan ke warna ungu dan putih.  Pasu bunga yang besar di sudut ruang tamu penuh dengan tangkai-tangkai kayu berwarna coklat masih kekal di situ. Sofa empuk yang tekstilnya berwarna merah hati juga masih digunakan walaupun telah berusia hampir sepuluh tahun.  Banyak nostalgianya rumah ini bagi kami empat beradik.  Kami membesar di sini dan seingat aku kami berpindah ke sini semasa usiaku dua belas tahun, semasa aku bersekolah dalam darjah enam.  Oleh kerana berpindah ke sini dari Serembanlah aku dan Azry berpisah dan membawa hal dan haluan masing-masing, sehinggalah kami dipertemukan semula dengan ikatan pertunangan. Seterusnya pernikahan yang sememangnya telah dirancang oleh kedua orang tua tanpa pengetahuan kami.  Alhamdulillah aku bersyukur dijodohkan dengan dia.  Sesungguhnya restu kedua orang tua amat bererti di dalam sesebuah perkahwinan. 
Dari jauh aku tersenyum kelegaan melihat Azry yang ramah berbual mesra dengan ayah dan abang Fuad di ruang tamu kedua.  Sesekali mata kami bertemu dan rasa kasih yang amat mendalam meresap ke tangkai jantungku. 
“Tidur sini ke malam ni Sara?” pertanyaan kak Min mengejutkan aku dari lamunan. 
“Taklah kot.  Nantilah bila ada cuti panjang sikit Sara tidur sinilah, ya ibu”  aku mengalihkan pandangan ke wajah ibu yang sentiasa tersenyum. 
“Alah bukannya jauh sangat, tak tidur pun tak apa asalkan selalu balik”  jawab ibu mesra. 
“Minggu ni Ako tak balik ke bu?”  tanya ku lagi. 
“Tak, minggu lepas dia dah balik, katanya exam dah nak dekat, sibuk sikit”  jawab ibu tenang. 
Anak bongsu ibu satu-satunya adik lelaki kami yang masih belajar di UITM Shah Alam di dalam jurusan Art & Design yang kini berada ditahun dua.  Rindu juga aku pada Ako apabila tiba-tiba namanya disebut.  Kali terakhir kami berjumpa dua bulan yang lalu semasa kami sekeluarga keluar makan malam di Kajang. 
Sedang kami rancak berbual-bual Aidil berlari-lari mendapatkan mamanya. 
“Mama tengoklah abang tu, dia kata Aidil bodoh” Aidil memeluk mamanya dari belakang sambil merengek. 
“Hish! tak baik tau cakap orang bodoh”.
 “Abang tu yang kata Aidil bodoh, bukan Aidil yang cakap”. 
“Iyalah kenapa dia cakap macam tu kat Aidil, mana abang?”. 
“Tu ha! kat luar”  Aidil menarik-narik tangan mamanya pula. 
“Aizat.. Aizat..” laung kak Min memanggil anak sulungnya.  Dengan segera Aizat datang mendapatkan mamanya. 
“Ya ma” sahut Aizat.
“Kenapa buat adik, Aizat ni suka betul kacau dia tau, lemas lah mama”. 
“Alah cakap macam tu pun nak merajuk” adu Aizat. 
“Kenapa cakap macam tu kat adik, tak baik tau” sampuk ibu lembut.
“Habis tu dia baling kasut Aizat kenapa?”. 
“Mana ada.  Aidil main-main aje”  jawab pula Aidil dan secepat kilat tangan Aizat sampai ke belakang Aidil.  Bedebup bunyinya.  Aidil pun apa lagi, meraung sehingga menampakkan anak tekak. 
“Aizat kenapa ni?” kak Min naik berang dengan gelagat anak-anaknya.  Abang Fuad pun datang menghampiri apabila mendengar tangisan Aidil. 
“Kenapa ni Aizat?” tanya abang Fuad dengan suara tegas. 
“Apa lagi anak-anak you ni, kalau tak bergaduh tak sah, macam anjing dengan kucing” celah kak Min geram. 
“Dah pergi kemas baju-baju, kita baliklah.  Kalau bergaduh-gaduh macam ni jangan ajak datang rumah atok nenek lagi.  Pening kepala atok dengan nenek tengok perangai Aizat dengan Aidil tau” bebel kak Min. 
Dengan wajah yang sugul Aizat berlalu ke bilik untuk mengemas beg pakaiannya.  Abang Fuad masih memujuk anak kesayangannya Aidil yang masih merengek manja.  Seketika kemudian Aizat datang membawa satu beg sederhana besar yang berisi pakaian dan diletakkan di sebelah mamanya.
“Dah nak balik ke?” ayah menegur. 
“Besok kan cuti lagi, tidurlah sini lagi semalam” sambung ayah lagi sambil mengusap rambut cucunya.  Aizat membatu, hanya memandang wajah atoknya dengan mata terkebil-kebil. 
“Biarkan, kalau dia nakal lagi, lain kali tak payah datang tidur sini lagi”  bidas kak Min. 
“Minggu depan datang lagi ya Aizat”  pesan ibu kepada cucunya. 
“Dah, salam atok, salam nenek” arah abang Fuad dan dengan segera Aizat dan Aidil mendapatkan atok dan nenek mereka dengan muncung yang panjang.  Mereka dipeluk dan dicium.
“Tu salam mak lang, pak lang” mereka mendapatkan aku dan Azry seorang demi seorang silih berganti.
“Kitorang pun nak balik jugak ni” kataku. 
“Eh, dah nak balik jugak ke? Tak tunggu karang-karang, lepas makan malam ke?” pujuk ibu sambil mengerling Azry di sebelah ku. 
“Tak apalah, bu.  Nanti bila senang-senang kitorang balik lagi ya”  aku segera menjawab dan mendapatkan tangan ibu lalu ku peluk erat-erat tubuh ibu.  Begitu juga buat ayah. 
“Balik dulu yah” ayah cuma mengangguk dengan senyuman yang tidak lekang dari wajahnya. 
“Bye Aizat, bye Aidil”  aku melambaikan tangan kepada kedua-dua anak-anak buah ku yang nakal itu.  Mereka sudah berada di dalam perut kereta Proton Myvi merah, menunggu mama dan papa mereka yang masih lagi berbual.. 
“Bila nak datang rumah akak, Azry?” tanya kak Min kepada Azry. 
“Nantilah kak, kalau kitorang datang kita call dulu. Akak kena masak special lah” gurau Azry. 
“Eh, no problem,  setakat masak untuk Azry dengan Sara, emm small matterlah”, kami pun mengekek ketawa.

Petang itu, sekembali kami dari rumah ibu, kami tidak terus pulang ke
rumah sebaliknya kami ke Sunway Pyramid untuk menonton filem Fast & Furious 4 . Sesampainya kami di panggung, kelihatan orang ramai sedang beratur untuk mendapatkan tiket di kaunter.  Tidak ada pilihan lain, kami pun terpaksa menunggu dan beratur dibarisan yang agak panjang.  Kami masih ada lebih kurang satu jam lagi untuk menonton maka sementara itu kami pun ke restoran Mc Donald untuk minum-minum dan meluangkan masa yang ada selepas menyaksikan orang yang bermain ice skating di tingkat paling bawah. Kami duduk hampir sangat dengan permainan kanak-kanak.  Maka dari situ kami boleh melihat dengan jelas kanak-kanak yang bermain dan berlari-lari berkejaran. 
“Sara nak berapa orang anak?” tiba-tiba kesitu pula soalan yang diajukan oleh Azry. 
“Kenapa ni?” tanya ku pendek. 
“Abang nak empat orang anak tau Sara, dua lelaki dan dua orang perempuan, boleh tak?” tanya Azry lagi sambil menggenggam erat tanganku.
“Hish! ada-ada je abang ni, jomlah bang, dah pukul berapa dah ni” aku menukar topik.   
Tanpa bertanya lagi Azry pun memimpin tangan ku dan kami pun berlalu dari situ. Ketika kami sedang berjalan menuju ke tingkat atas, aku berselisih dengan Dino di eskalator.  Kami tidak sempat bertegur sapa. Sekadar berbalas pandang dan melambai tangan.  Dino kelihatan bersama dua orang kawan lelaki, mungkin teman serumahnya.  Azry menoleh pandang beberapa kali kepada Dino dengan pandangan kehairanan. 
“Siapa tu Sara?”. 
“Dino”.
“Dino? Siapa?” tanyanya lagi tidak berpuas hati dengan jawapanku. 
“Dia tu Finance Manager kat ofis Sara” jawabku sambil menarik tangannya masuk ke panggung.  Kami mencari tempat duduk berpandukan tiket yang ada di tangan Azry.  Sebaik sahaja mendapat tempat duduk, Azry bertanya lagi tentang Dino.  Eh mamat ni tak puas hati lagi ke? desis hati ku.  Aku berpura-pura seperti tidak mendengar lantaran suara dari alat pembesar suara yang sedia ada di situ sungguh membingitkan telinga.  Suaranya tenggelam dek kebingitan suara dari alat itu.  Oleh kerana sikap ku yang acuh dan tidak acuh itu, Azry pun terdiam, tidak lagi bertanya apa-apa.



No comments:

Followers