Monday, April 18, 2011

IRAMA SEMALAM - BAB 13

.
Sejak pagi lagi ibu dan ayah sudah sampai dengan membawa sebakul kuih karipap sebagai buah tangan untuk menambahkan juadah yang sedia ada untuk dihidangkan kepada tetamu-tetamu yang datang. 
“Ibu tunggu sampai malam ya” pintaku pada ibu yang cantik berbaju kurung pesak, kerudung yang dipakai menambah keanggunan ibu.
“Tak boleh Sara, lepas kenduri ni nanti ibu dengan ayah nak ke rumah makngah di Cheras” ujar ibu.  Tangannya memegang mesra tanganku. 
Ada apa nak pergi rumah mak ngah, bu?”. 
“Pakngah tak sihat, itulah nak pergi tengok dia sekejap”, beritahu ibu lagi. 
”Oh iyake?  Sakit apa pulak?”.
“Dengar kata baru operate mata” terang ibu.
“Iya?..kesian pakngah. Sampai sana nanti ibu kirim salam kat makngah dan
pakngah, insyaAllah nanti Sara ajak Azry pergi sana, ye bu”.  Ibu mengangguk  mengiakan. 
Kelihatan beberapa orang kawan mama telah tiba dan memenuhi ruang dapur.  Kak Rina kelihatan cantik dengan berpakaian baju kurung biru polos potongan Pahang.
“Min dengan Lia tak datang sekali makcik?” sapa kak Rina sebaik bersalaman dengan ibu. 
“Hari minggu macam ni tau ajelah, ada saja program mereka tu.  Oh ya, Min dan Lia kirim salam pada Rina”  sambung ibu lagi dan salam bersambut mesra. 
Senyuman tidak lekang dari bibir mungil kak Rina sejak kepulangannya ke tanah air semalam.  Mungkin dia merasa senang hati kerana telah pulang ke tanah air, tanah kelahirannya.  Atau mungkin juga hatinya yang remuk redam dulu telah ada penawarnya. 
Makanan yang ditempah telah sedia terhidang di meja besar di luar rumah.  Hanya menunggu kedatangan para tetamu dari masjid yang dijemput hadir selepas waktu zohor . Azry kelihatan duduk bersembang di ruang tamu dengan sepupu-sepupunya kerana sudah lama tidak berjumpa.  Suasana sungguh meriah, ramai tetamu yang hadir walaupun hanya kenduri doa selamat dan tahlil. Setelah waktu zohor masuk, rombongan dari masjid pun tiba. Oleh kerana makanan dihidangkan secara buffet maka tetamu-tetamu wanita di dapur tidak perlu bertungkus lumus untuk menghidang.  Selesai bertahlil dan berdoa, para tetamu pun dijemput untuk menjamu selera di bawah khemah di halaman rumah.  Papa kelihatan begitu ramah melayan tetamu-tetamu dari masjid dan beberapa jiran tetangga yang turut sama hadir.  Selepas menjamu selera tetamu-tetamu kelihatan beransur pulang.
Setelah semua tetamu pulang, kami sekeluarga duduk berkumpul di ruang tamu.
“Baju yang akak belikan untuk Sara tu, ok ke?  Boleh pakai?”  kak Rina
bertanyakan tentang baju yang dibelinya dari UK untuk ku.
“Boleh.  Kalau akak ikut saiz akak, memang ngamlah”. 
“Tak tau nak pilih, banyak sangat pilihan, tapi akak tau Sara suka warna
merahkan, sebab tu bila akak tengok je baju tu terus akak beli”. 
“Untuk Azry tak ada ke kak?”  sampuk Azry. 
“Alah sorrylah, akak sebenarnya tak sempat nak beli.  Lagi pun tak tau nak beli
apa untuk adik akak ni.  Tak apalah nanti akak belikan di sini je”. 
“Alah di sini mana sama dengan beli di sana?”  balas Azry mencebik seolah-olah merajuk. 
“Eee.. mengada-ngada je Azry ni..”  Mama dan papa yang duduk agak berjauhan dari kami turut ketawa melihatkan gelagat kedua-dua anak-anak mereka.
Selepas selesai kenduri, pembantu-pembantu yang diupah mama mulai sibuk berkemas untuk jamuan makan di sebelah malam  pula.
 
                        Malam itu selepas menunaikan solat maghrib berjemaah bersama Azry di dalam bilik, Azry bermenung di birai katil. 
“Ha! kenapa pulak termenung ni?”  tegurku. 
“Abang nak pakai baju apa untuk jamuan malam ni?” Azry mengeluh dengan mengerutkan wajahnya. 
“Pakai sajalah baju melayu abang yang lagi satu tu”. 
“Takkanlah nak pakai baju melayu pulak? Siang tadi kenduri bolehlah pakai baju melayu”. 
“Apa salahnya pakai baju melayu?  Itukan pakaian kebangsaan kita, boleh dipakai dimana-mana dan untuk apa-apa function pun, apa”. 
Aku hampir terlupa dengan kemeja yang aku belikan untuk Azry kelmarin, lalu pintu almari baju ku buka untuk mengambil baju tersebut yang ku simpan di dalamnya.  Mengalahkan orang perempuan, cerewet betul memilih pakaian untuk dipakai, rungutku. 
Aku menghampiri Azry yang sedang membelek dua helai baju yang telah beberapa kali dipakainya. 
“Yang mana satu abang nak pakai?” kedengaran suara Azry bertanya tanpa menoleh ke wajahku. 
“Pakai yang ni ajelah bang”  baju kemeja merah yang baru ku beli itu ku hulurkan kepada Azry.  Azry memandang ke arahku dengan kehairanan. 
“Bila beli ni?”  Azry menyambut baju yang masih berlipat  di dalam plastik dari tanganku.
“Siapa lagi yang nak belikan untuk abang tu, kalau bukan isteri abang ni!”, jawabku dengan menjeling ke arahnya. 
“Iya ke? terima kasih sayang”, Azry menghampiriku lalu mencium kedua-dua pipiku dengan perasaan gembira.  Dia seperti budak kecil yang mendapat coklat saja lagaknya.
“Eh eh, sedondon pulak kita malam ni, macam majlis malam ni majlis kita pulak”, kata Azry apabila melihat aku memakai dress labuh yang juga berwarna merah yang dihadiahkan oleh kak Rina. 
Sejurus siap berpakaian Azry masih membelek-belek wajahnya di hadapan cermin lalu dia mencapai minyak wangi kegemarannya dan disembur ke seluruh pakaian. 
“Dahlah bang sembur minyak wangi tu, banyak sangat nanti bukannya berbau wangi, bau busuk lagi ada”  perli ku. 
“Sikit-sikit dahlah, nak wangi-wangi sangat pun bukan ada orang nak cium abang pun”  Azry berlagak selamba. 
“Ok, jom turun sayang”   Azry menghulurkan tangannya untuk memimpin aku ke bawah. 
Teman-teman mama dan beberapa saudara mara yang terdekat telah mulai memenuhi ruang tamu.  Kak Rina masih tidak kelihatan.  Aku menghampiri mama menanyakan tentang kak Rina. 
“Di dalam bilik, tak siap lagi agaknya”  jawab mama. 
“Biar Sara pergi tengok sekejap”  ibu mengangguk. 
Aku pun memanjat anak tangga semula ke atas.  Daun pintu kak Rina ku ketuk perlahan.  Seketika kemudian kak Rina kelihatan terjengul di muka pintu.  
“Oh Sara, masuklah”  aku pun memboloskan diri ke dalam bilik kak Rina. 
“Dah siap pun, kenapa tak turun?”  tanyaku kepada kak Rina yang duduk di kerusi berhampiran dengan meja solek.
“Akak tengah tunggu call”  jawab kak Rina dengan telefon bimbit di tangan.  “Tunggu call? Dari siapa?”  aku ingin tahu.  
“Adalah..”  jawab kak Rina pula.  Ada riak gembira di muka. 
Tiba-tiba kedengaran deringan dari telefon bimbit kak Rina.  Kak Rina pun
dengan girangnya menjawab panggilan telefon itu. 
“Dah sampai?”  tanya kak Rina kepada seseorang yang masih menjadi tanda tanya di seberang talian. 
“Ok, I nak turun dah ni”  kata kak Rina lagi.
Kak Rina kelihatan mengangguk-anggukkan kepala seolah-olah sedang mendengar sipemanggil di hujung talian sedang bercakap.
“Bye..”  talian telefon dimatikan.  Kak Rina bingkas bangun. 
“Jom kita turun”. 
“Siapa tadi tu kak?”. 
Surprise, nanti akak kenalkan”.
“Dah ada pakwe baru agaknya” hatiku berteka teki. 
Mungkin seseorang yang istimewa bakal datang dan akan diperkenalkan kepada kami sebentar lagi.  Kami terus melangkah keluar menuruni anak tangga.  Kami mendapatkan tetamu-tetamu di ruang tamu dan bersalam-salaman dengan mereka.  Di luar rumah,  ramai sudah tetamu-tetamu yang sedang menunggukan kehadiran kak Rina.  Kebanyakan mereka terdiri daripada kawan-kawan lama kak Rina.  Azry menghulurkan aku segelas fresh orange dan mendapatkan kerusi untuk aku duduk di satu sudut berhampiran dengan pintu utama masuk ke rumah. Seketika kemudian Azry datang lagi membawakan aku sepiring mihun goreng dan sekeping cheese tart kegemaran ku. Azry duduk di sebelah bersama-sama menemani aku makan.
Dari kejauhan dengan jelas kelihatan kak Rina berdampingan dengan seseorang.  Seorang lelaki kacak yang sama padan dengan kak Rina yang cantik itu. 
“Siapa tu?”  bisik ku ke telinga suamiku.  Azry melilau mencari-cari siapa yang ku maksudkan.
“Tulah, yang jalan dengan kak Rina tu”  aku menunjuk dengan muncung.  Agak lama Azry memerhatikan pasangan itu.
“Eh! tu kalau tak salah Hakim pakwe lama kak Rina dulu tu”. 
Barulah aku tahu rupanya itulah lelaki yang menelefonnya tadi.  Mungkin mereka
sudah berbaik semula.  Baguslah kalau betul begitu.  Dalam sekelip mata sahaja pasangan itu telah hilang dari pandangan di tengah-tengah tetamu-tetamu yang hadir.  Mama dan papa kelihatan sibuk melayan teman-teman mereka yang turut sama ada pada malam itu. 
Kak Rina tiba-tiba menghampiri aku dan Azry yang sedang  menikmati keenakan makanan yang ada tanpa perasan kehadiran kak Rina dan lelaki tadi disisinya.  Azry bersalaman dengan lelaki kacak itu sebaik sahaja mereka terpacul di depan mata dan kak Rina memperkenalkan aku kepadanya. 
“Ini wife Azry, namanya Sara”  lelaki itu menghulurkan tangan kepadaku dan aku
menyambut tangannya dengan sekuntum senyuman manis di bibir. 
“Hai, saya Hakim, apa khabar?”  tanyanya ramah. 
“Baik”  jawabku pendek.  Tangan Azry segera merangkul lenganku.  Kak Rina kelihatan berbisik sesuatu ke telinga lelaki itu dan dengan hormatnya dia meminta diri dan mereka berlalu meninggalkan kami.
“Padan betullah mereka berdua tu, kan bang?”. 
“Ia ke? macam kita?” Azry tidak habis-habis dengan gurauannya yang menjengkelkan.  Perasan! Satu cubitan singgah di pehanya.


            Malam sudah semakin lewat dan para tetamu yang hadir mulai beransur pulang.  Kak Rina masih di luar melayan beberapa orang teman-temannya yang ada.  Lelaki tadi sudah tidak kelihatan lagi mungkin sudah lama pulang. Azry mengajak aku ke bilik kerana keletihan. Selepas bersiram terasa hilang kepenatan kerana sepanjang hari melayan tetamu-tetamu yang datang. Cuaca malam itu agak panas, alat penghawa dingin yang terpasang terasa leganya.  Oleh kerana kekenyangan aku tidak bisa melelapkan mata walau sepicing.  Puas aku melayan untuk melelapkan mata, ku pusing ke kiri, pusing ke kanan masih tidak berjaya. Suamiku yang tidur di sebelah telah lama terlelap dan dengkurannya menambahkan gangguan tidurku.  Aku terlelap sewaktu hari hampir subuh. 

                        Pagi itu kerana mengantuk yang amat sangat, aku rasa tidak berdaya untuk bangun pagi. Mata terasa berat untuk dibuka. Tangan ku meraba-raba di sebelah, ternyata Azry juga masih diulit mimpi indah.  Aku terlelap semula. Kring.. kring…kring… deringan telefon bimbit mengejutkan aku. Ya Allah! Pukul berapa ni?  Biasan cahaya matahari yang terang benderang masuk dari tingkap kaca menandakan hari sudah tinggi.  Deringan tadi terhenti sebelum ianya sempat aku jawab.  Di skrin telefon bimbit tercatat nombor pejabat, siapalah yang telefon tadi? 
Jam bulat yang tergantung di dinding  menunjukkan kepukul 9.45 pagi.  Aku mengeluh, terlewat bangun aku hari ni.  Terasa penat seluruh tubuhku. Aku menepuk belakang Azry yang masih berdengkur.  Terpisat-pisat dia terjaga dan bangun. 
“Sara tak kerja ke hari ni?”. 
“Kerja. Masuk lepas lunchlah. Letihlah bang”. 
“Abang cuti, nanti abang hantar Sara ok”.  Azry bergerak ke bilik air. 
“Ok” lega rasanya bila Azry menawarkan dirinya untuk menghantar aku ke pejabat nanti.  Aku segera menekan nombor pejabat dan kedengaran suara Maria penyambut tetamu menjawab. 
“Perangsang Delima Sdn Bhd , good morning”. 
“Good morning Maria, tolong pass the line to Dida”. 
“Oh Puan Sara, you hold on”. 
Thank you, Maria”. 
Aku memberitahu Dida yang aku akan masuk ke pejabat selepas waktu makan tengahari dan memintanya menyediakan senarai nama-nama pembeli dan nombor lot rumah yang telah berjaya dijual sepanjang pameran di PWTC berserta harga-harga rumah tersebut.  Aku terus berbaring di katil sementara menunggu Azry keluar dari bilik mandi.  Suara Azry kedengaran memanggil ku.  Dengan malas aku bangkit dari tempat pembaringan menuju ke bilik mandi.  Dato’ Dr Fadzillah Kamsah selalu berkata di dalam ceramah-ceramahnya, sekiranya mahu rumah tangga kekal bahagia hendaklah sekali sekala mandi bersama.  Itulah kata-kata yang selalu Azry bisikkan ke telingaku.


                        Selepas makan tengahari Azry menghantar aku ke pejabat.  Setibanya aku di ruang pameran berhampiran dengan meja penyambut tetamu, kelihatan sepasang suami isteri sedang duduk berbincang sesuatu dengan Badri.  Aku terus ke bilik pejabatku.  Dokumen-dokumen yang telah ku arahkan Dida tadi telah siap berada di atas mejaku.  Aku mengeluarkan telefon bimbit dari beg tangan dan ku letakkannya di atas meja sisi.  Dokumen-dokumen tadi ku semak dengan terperinci satu persatu.  Tok… tok…tok… pintu diketuk dari luar.  Badri datang menghampiriku dengan senyuman. 
“Puan Sara, ada purchaser di luar yang nak berbincang sesuatu dengan you”. 
Ada hal apa, Bad?”. 
Purchaser tu nak beli dua lot rumah banglo, tapi dia minta diskaun lagi, I tak
berani nak bagi so kalau boleh I panggil mereka masuk jumpa you”, cadang Badri. 
“Siapa nama mereka?”  Badri menghulurkan borang pendaftaran yang telah diisi   
oleh mereka. 
“Dato’ Saiful Baharum dan Datin Fariza, emm.. ok panggil mereka masuk”  Badri
 pun keluar menuju ke pintu.  Aku bangkit dari tempat duduk apabila melihat kedua-dua tetamu itu masuk.
“Sila duduk Dato’, Datin”  dengan hormat aku mempersilakan mereka duduk.  Dato’ Saiful memberitahu aku tujuan mereka dengan ramah sekali, begitu juga isterinya Datin Fariza. 
“Kami nak minta jasa baik you untuk bagi diskaun lebih sikit, sebab kami bercadang nak beli dua biji banglo sekali.  Kami dah pergi ke tapak rumah dan sudah tengok rumah contoh tu.  I memang sukalah dan berkenan sangat dengan design rumah tu. Satu tu nak hadiahkan untuk anak I yang nak kahwin tak lama lagi”  luah datin Fariza dengan panjang lebar. 
“Beginilah Dato’ dan Datin, saya akan bawa hal ini ke mesyuarat nanti, sebab masalahnya harga-harga tu dah ditolak 10 peratus dari harga asal.  Jadi saya kena berbincang dengan pihak atasan berkenaan hal itu dulu, tak berani nak buat keputusan dan saya akan beritahu Dato’ dan Datin secepat mungkin”  jawabku dengan  seulas senyuman. 
If that is the case, tak apalah, we’ll wait for your call ”. 
“Ya”  aku menggangguk. 
Don’t worry Dato’, Datin, I’ll let you know as soon as I got the answer from the management, ok”. 
“By the way, you are?” tanya Datin Fariza sambil menghulur tangan untuk berjabat salam.
“Sara.. er.. Maisara..”  tangannya ku sambut.  Aku juga bersalaman dengan Dato’ Saiful.  Sebagai tanda menghormati mereka aku mengiringi mereka sehingga ke muka pintu.


No comments:

Followers