Sunday, August 18, 2013

HELO si MERAH JAMBU - BAB 22

.

Suasana di dalam rumah bujang yang terletak di tingkat tiga Pangsapuri Damai sudah sunyi. Sebentar tadi keadaannya riuh-rendah dengan gurau senda dan gelak tawa penghuninya yang empat orang itu. Ketika ini, mereka sudah pun masuk ke bilik tidur masing-masing walaupun jam baru pukul 9.00 malam. Namun begitu, dua buah bilik itu masih kelihatan terang-benderang menandakan penghuninya masih belum tidur lagi.

“Wahai, Cik Merah Jambu... jangan banyak berangan. Nanti tumbuh jerawat kat dahi tu.” Hamimi mengusik.

Farhana yang sedang terlentang di atas katil bujangnya tetap merenung siling tanpa pedulikan usikan Hamimi tadi. Sesekali dia mengerutkan dahinya dan sesekali pula dia menyengih seorang diri. Hidup manusia ini unik dan penuh warna warni. Semalam kita ketawa, tidak mustahil hari ini kita akan menangis pula. Dan esok belum tentu lagi, mungkin akan ketawa atau sebaliknya. Tidak siapa dapat meneka dengan tepat. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Tetapi apa yang pasti, hidup ini penuh dengan keindahan. Sebagai seorang mukmin wajib bersyukur dengan apa yang dianugerahkan ILAHI, bisik Farhana sendiri.

“Farah!” teriak Hamimi lebih kuat lagi setelah panggilannya beberapa kali tidak diendahkan. “Hoi, Farah!” panggilnya lagi dari katil sebelah.

“Apa?” Dengan nada malas akhirnya Farhana menjawab panggilan itu. Dia mengalihkan posisi. Dia mengiring menghadap Hamimi yang sedang menatap komputer riba. “Kau ni tak senang tengok orang senang ya?” Farhana mendengus.

“Jauh sangat mengelamunnya. Sampai aku panggil banyak kali pun kau tak menyahut. Apa yang kau fikirkan?” tanya Hamimi cuba mencungkil rahsia teman sebiliknya itu.

“Tak ada apa-apalah,” jawab Farhana perlahan.

Farhana menutup rapat kelopak matanya. Bukan semua perkara perlu dikongsikan dengan orang lain. Ada-ada perkara perlu juga disimpan sebagai rahsia. Belum sampai masa untuk dia berkongsi cerita dan rasa dengan sesiapa. Mungkin satu hari nanti jika dia memerlukan seseorang, dia pasti akan mencari Hamimi untuk mencurah segala cerita yang dijadikan rahsia. Dan dia juga pasti, ketika itu nanti Hamimilah orang yang tepat selain Syukur. Itu pun kalau lelaki itu sudi mendengarnya. Entah kenapa lelaki itu berubah sikap secara tiba-tiba. Perangainya menjadi pelik semacam sejak peristiwa emaknya meninggal dunia kelmarin. Adakah kerana kehilangan itu yang menyebabkan dia berubah laku? Farhana berteka-teki cuba mencari jawapan yang dia sendiri tidak pasti.

“Mana boleh tak ada apa-apa? Aku tak percaya. Aku tau, kalau kau dah termenung panjang macam tu mesti ada sesuatu yang kau fikirkan. Kau tak nak berkongsi dengan aku?” Hamimi berjeda. “Kalau tak nak kongsi, tak apalah. Kau simpan sajalah masalah kau tu sorang-sorang.” Hamimi kembali menatap komputer ribanya tanpa berkalih pandang.

“Merajuklah tu. Jangan suka merajuk nanti muka cepat berkedut,” usik Farhana.

“Yalah tu. Kalau tak nak cakap, tak apa. Aku tak kecil hati pun. Aku sentiasa bersedia mendengar kalau kau nak berkongsi cerita, bila-bila masa tanpa kos. Aku kan sahabat mithali?” Hamimi ketawa di hujung kata-katanya.

“Ya, aku tau. Kau memang sahabat aku dunia akhirat. Aku tau kau sentiasa ada waktu susah dan senang aku. Agaknya kalau tanpa kau, aku tak ada di sini kut. Sebenarnya kaulah kekuatan aku. Terima kasih Mimi sebab jadi kawan aku.” Kelopak mata Farhana sudah berkaca. Sayu menyelinap ke segenap jiwanya.

Tumpuan Hamimi ke skrin komputer riba terganggu. Dia menoleh lalu melangkah mendapatkan Farhana di katil sebelah. Dia duduk melutut di lantai. Dia menatap dalam ke wajah Farhana yang masih berbaring sambil memeluk anak patung beruang kesayangannya.

“Aku tak buat apa-apa pun untuk kau. Sepatutnya aku yang perlu berterima kasih pada kau. Kerana kaulah aku berubah jadi macam ni. Kau tau kan macam mana kasarnya perangai dan tutur kata aku dulu? Bila dah berkawan dengan kau, aku rasa seperti dilahirkan semula. Aku mahu jadi seperti kau. Lemah lembut dan bersopan santun. Pakai tudung dan suka pakai baju kurung ke mana-mana. Perubahan yang paling ketara sejak aku kenal kau ialah solat. Dulu aku jarang bersolat. Telekung pun pinjam orang. Aku tak ada telekung sendiri. Terima kasih sebab hadiahkan aku kain telekung tu.” Hamimi mula teresak-esak.

Farhana segera bangkit lalu duduk menghadap Hamimi. Dia mendakap sahabatnya itu penuh kasih. Dia berasa hiba dan sebak melihat keadaan Hamimi begitu. Seketika dua sahabat itu saling berpelukan dan beresak tangis. Perasaan kasih dan sayang semakin tebal menular ke dalam dua jiwa itu menjadikan persahabatan mereka kian akrab.



Sinar matahari sudah melimpahkan cahayanya ke seluruh alam. Walaupun masih awal pagi namun suasana di luar rumah sudah kelihatan terang-benderang. Semua penghuni di dalam rumah bujang itu sudah bersiap-siap untuk ke tempat kerja.

Farhana dan Hamimi bergegas ke pintu lif. Mereka tidak mahu terlambat. Sebaik sahaja mereka sampai, pintu lif terbuka dengan sendirinya tanpa sempat mereka menekan butang. Seorang lelaki muda melangkah keluar sebelum dua orang gadis itu menyusup masuk ke dalam lif. Di dalamnya terdapat beberapa orang yang memakai pakaian seragam yang sama seperti mereka berdua. Mereka hanya menyapa dengan berbalas senyum.

Setiap hari Lebuhraya Damansara-Puchong sesak dengan kenderaan, apatah lagi di waktu awal pagi. Namun kesesakan lalu lintas itu tidak mengganggu perjalanan mereka ke kilang. Mereka berjalan kaki dan menaiki jejantas untuk menyeberangi lebuh raya yang sibuk dengan kenderaan itu. Sesekali mereka menekup hidung dan mulut untuk menghindari pencemaran asap kereta yang boleh menjejaskan kesihatan.

Acap kali juga mereka diusik dengan siulan dari anak muda yang melintasi mereka. Begitulah senario yang mereka hadapi setiap kali ke tempat kerja. Namun, itu semua bukanlah halangan malahan mereka menganggapnya sebagai rutin yang perlu diharungi demi sebuah kehidupan.


Sebaik sahaja mereka sampai ke kilang, mereka meluru ke tempat kerja masing-masing tanpa singgah di kafeteria seperti kelaziman. Kebetulan mereka ada membawa bekalan roti dan minuman sebagai sarapan. Sebelum memulakan kerja mereka mencuri sedikit masa menjamah roti sebagai pengalas perut sementara menunggu waktu makan tengah hari tiba nanti.

Dalam kesibukan bekerja, masa terasa begitu pantas berlalu. Tanpa disedari, sudah tiba waktu untuk makan tengah hari. Berdedai-dedai semua pekerja-pekerja lelaki dan perempuan melangkah keluar dari kilang. Ada yang mengatur langkah ke kafeteria, tidak kurang juga yang keluar dari kawasan kilang untuk makan di luar. Dan ada juga yang mengambil kesempatan untuk melelapkan mata di surau atau di tempat-tempat yang dirasakan sesuai untuk merebahkan badan.

Bagi Farhana dan Hamimi, waktu rehat adalah masa untuk mereka makan. Sementelahan pula sarapan tadi mereka hanya mengambil roti sahaja. Hamimi tidak betah tanpa nasi. Nasi adalah makanan wajibnya setiap hari. Kalau tidak dapat dua kali sehari, sekali sehari pun jadilah. Kalau tanpa nasi, dia rasa mahu pitam. Matanya akan berpinar-pinar, kepalanya terasa berpusing-pusing dan lututnya akan menggigil kelaparan.

Sejurus membuat bayaran di kaunter, Hamimi mencari tempat duduk sambil menatang pinggan yang penuh dengan lauk pauk. Farhana sudah memilih tempat yang paling hujung sekali. Di tempat itulah mereka berdua sering duduk makan. Di tempat itu jugalah Syukur akan mencari mereka jika mahu bertemu.

“Amboi, penuhnya sampai tak nampak bunga pinggan. Meriah pinggan kau hari ini ya, Mimi.” Farhana memerhati lauk-pauk yang berlonggok di dalam pinggan Hamimi yang diletakkan di atas meja.

“Terliur tengok lauk-lauk yang ada. Rasa macam nak ambil semua. Nasib baik aku kuat iman. Aku ambil dua jenis lauk saja. Aku bukan boleh tengok nangka muda masak lemak ni, tambah-tambah makan dengan ikan masin dan sambal belacan. Fuhhh… memang terangkatlah.” Hamimi menelan liurnya. Dia kelihatan seperti tidak sabar mahu menjamah makanan sehingga terlupa untuk membeli minuman untuk dirinya.

“Mana air kau?” tanya Farhana apabila perasan hanya ada satu gelas  yang kelihatan di atas meja.

“Aku lupa nak beli.” Hamimi tersengih. “Tak apa. Lepas makan karang aku pergilah beli.” Dia segera menyuapkan nasi berlaukkan nangka muda masak lemak ke mulut sejurus membaca Bismillah.

Sedang mereka sedap menjamu selera, tiba-tiba mereka dikejutkan dengan suara orang memberi salam. Kedua-dua gadis itu menoleh pandang ke arah datangnya suara itu. Mereka terlopong seperti tidak percaya melihat kelibat lelaki itu tercegat hampir dengan tempat mereka duduk. Padahal masih ada lagi tempat lain yang masih kosong.

“Assalamualaikum.” Sekali lagi lelaki itu mengucap salam. Bibirnya mengukir senyuman ikhlas.

“Waalaikumussalam,” jawab dua orang sahabat itu serentak. Farhana dan Hamimi saling berbalas pandang.

“Maaf. Boleh saya duduk sama?” tanya lelaki itu.

Belum sempat Farhana dan Hamimi menjawab, lelaki itu sudah meletakkan pinggan dan gelas minumannya ke atas meja. Dia mengambil tempat bersebelahan dengan Farhana. Pandangan anak matanya beralih dari wajah Hamimi kemudian ke wajah Farhana pula. Dia jadi serba salah. Malu pun ada juga. Dia bimbang kehadirannya tidak disenangi.

“Err... duduklah. Maksud saya, err... boleh.” Tergagap-gagap Farhana menjawab. Tiba-tiba dia berasa segan untuk menyuap makanan. Seleranya terbantut. Nasi di dalam pinggannya dikuis-kuiskan dengan sudu dan garfu. Sesekali dia mengangkat muka memandang Hamimi yang kelihatan selamba menghabiskan makanannya seperti tidak ada apa-apa yang berlaku.

“Kenapa tak makan? Awak malu ya?” soal Amirul. Mi goreng di dalam pinggannya sudah tinggal separuh.

“Taklah.” Farhana menggeleng.

“Kalau macam tu, kenapa tak habiskan makan? Sayang nasi tu.” Amirul senyum sahaja sejak tadi.

“Sekejap ya. Aku nak pergi beli air.” Tiba-tiba Hamimi bersuara. Dia bangkit lalu mengorak langkah menuju ke kaunter. Sengaja dia mencari alasan untuk memberi peluang kepada mereka berdua. Selepas beberapa tapak melangkah, dia menoleh mencuri pandang ke arah pasangan itu. Di dalam hatinya dia memuji-muji ketampanan yang dimiliki oleh lelaki itu.

Farhana tergamam apabila ditinggalkan bersendirian dengan Amirul. Tetapi bagi Amirul pula, ini adalah satu peluang keemasan.

“Awak tak kisah ke saya duduk makan kat sebelah awak?” Amirul sudah selesai makan. Dia mengelap mulutnya dengan tisu kertas.

“Tak kisah. Kenapa awak tanya?” Farhana menjongketkan keningnya. Nasi di dalam pinggannya masih bersisa tetapi dia sudah tidak berselera untuk menghabiskannya.

“Yalah. Manalah tau, awak bimbang ada orang nampak saya duduk sebelah awak.”

“Apa yang nak dibimbangkan? Kita duduk makan di tempat awam, semua orang nampak, kan?” Bibir mongel Farhana mengukir senyum.

“Maksud saya, boyfriend awak. Dia tak marah ke nampak saya duduk makan di sebelah awak macam ni?”

Farhana ketawa sopan. Mulutnya ditutup dengan tisu.

“Kenapa awak ketawa?” Amirul suka melihat wajah Farhana ketika dia ketawa.

“Siapalah nak orang macam saya.” Farhana merendah diri.

“Kenapa dengan awak?” soal Amirul lagi.

“Saya sekadar minah kilang.”

“Apa salahnya? Hina ke jadi minah kilang?”

“Bukan macam itu maksud saya. Ah... lupakan sajalah.” Farhana berjeda. “Apa mimpi awak, mahu duduk makan bersama kami?”

“Awak tak suka saya duduk makan di sini?” Berkerut-kerut dahi Amirul.
Farhana menggeleng. “Bukan macam tu.”

“Habis tu? Tapi tak apalah, kalau awak tak suka, lain kali saya tak ganggu awak makan lagi.” Amirul berpura-pura merajuk.

“Awak ni macam budak-budak kecik aje. Nak merajuk konon.” Farhana menyengih. Dia mahu ketawa melihat wajah Amirul yang berubah secara tiba-tiba. Sikap Amirul itu mencuit hatinya. “Kita kan tak pernah duduk makan bersama? Tapi tiba-tiba hari ini awak muncul dan mahu sama-sama duduk makan dengan saya dan Mimi. Terkejutlah saya.”

“Biasanya saya dengan kawan saya makan di luar. Hari ini saya makan sorang. Secara kebetulan masa saya mencari-cari tempat duduk saya ternampak awak. Saya pun apa lagi, terus aje singgah. Tak salah, kan?”

“Tak salah. Malah dialu-alukan,” jawab Farhana untuk menyedapkan hati Amirul.

“Itulah jawapan yang saya harapkan.” Amirul tergelak.

Farhana juga turut tergelak sama. Tiba-tiba dia teringatkan Hamimi. Berapa lama dia ni pergi beli air? Dari tadi tak sampai-sampai lagi? Sengaja aje Mimi ni tinggalkan aku.

“Kenapa?” tanya Amirul setelah melihat Farhana berubah resah. Anak matanya memandang ke sekeliling.

“Hamimi. Tak nampak-nampak batang hidung dia. Mana agaknya dia pergi?” Farhana memanjangkan leher, menjengah ke kaunter. Kelihatan gadis-gadis yang melewati tempat mereka berdua duduk mengerling pandang ke arah mereka. Ada yang tersenyum-senyum sambil berbisik-bisik sesama mereka. Farhana kurang senang dengan situasi itu.

“Sekejap lagi dia datanglah tu. Kalau dia tak datang balik pun, bukan ke mana perginya. Entah-entah dia dah masuk ke kilang,” teka Amirul untuk menyedapkan hati gadis itu. “Tak ada orang marah ke tengok kita duduk berdua-dua ni?” Dia sekadar menduga.

“Oh.. tak ada. Siapa pulak yang nak marah.”

“Manalah tau, kalau-kalau ada jejaka idaman yang marah.”

Farhana hanya menyengih sahaja dengan kenyataan Amirul itu. “Tak habis-habis awak ni, dari tadi itu saja soalan awak. Tapi... mungkin kalau abah dan emak saya nampak, mereka akan marahlah kut,” tambah Farhana sekadar bergurau.

“Eh! Takutnya saya. Duduk jauh-jauh sikitlah.” Amirul menjarakkan duduknya daripada gadis itu.

“Macam-macam aje awak ni. Okeylah, saya dah nak balik ke kilang. Nanti lambat masuk pula.” Farhana memohon diri untuk beredar. Suasana kafeteria sudah semakin lengang.

“Lain kali boleh kita duduk makan sama lagi?” Amirul sudah bangkit dari bangku.

“Insya-ALLAH. Boleh, apa salahnya.”

“Okey, jumpa lagi.” Amirul melambaikan tangannya.

Farhana hanya membalasnya dengan senyuman sebelum mengatur langkah meninggalkan Amirul yang masih tercegat memerhatikannya berlalu pergi.




No comments:

Followers