Tuesday, August 20, 2013

HELO si MERAH JAMBU - BAB 23

.

Hasratnya untuk ke kafeteria terbantut apabila dengan secara tidak sengaja dia ternampak Farhana sedang rancak berbual dengan seseorang. Dia tidak pasti siapa gerangan lelaki itu kerana ada sesuatu yang menghalang pandangannya. Dia hanya perasankan Farhana sahaja kerana di situlah tempat mereka selalu duduk makan. Tatkala melihat Farhana duduk bersebelahan dengan lelaki itu, ada semacam satu perasaan yang menghimpit nalurinya. Rasa cemburu dan sakit hati berbaur. Syukur benci dengan perasaan yang dialaminya ketika itu.

Petang itu, Syukur sudah hilang tumpuan untuk bekerja. Wajah ayu Farhana yang sedang tersenyum sinis terbayang-bayang di matanya. Perasaan marah terhadap gadis itu membuak-buak di dada. Kalaulah ketika itu Farhana ada di depan matanya, mahu saja dia memaki hamun. Dia sudah pandai duduk berdua-duaan dengan lelaki. Siapalah gerangan lelaki yang berani itu? Kurang ajar betul. Dia tidak tahukah siapa Farhana itu? Langkah mayat aku dulu kalau nak mengurat dia. Farhana tu pun satu. Dulu bukan main lagi malunya, tapi sekarang kenapa berubah laku?

Semakin dia memikirkan gadis itu semakin jiwanya menjadi tidak tenteram. Hatinya dipagut resah. Kerja yang sepatutnya dibereskan sebelum pulang, terbengkalai begitu sahaja. Kalau dia tidak dapat menyudahkan kerja hari itu dia terpaksa pulang lewat. Kalau dalam keadaan kacau-bilau begitu, mana mungkin Syukur dapat melakukan kerja dengan sempurna. Kalau diberi masa sampai esok pun, kerja itu tidak mungkin dapat dibereskan. Ini soal hati. Sakitnya amat menyeksakan. Tanpa sedar, dia menumbuk meja. Kemudian Syukur mengadoi sendiri.


Malam itu, Syukur berkira-kira mahu menghubungi Farhana. Dia mencari nama si merah jambu dalam senarai nombor yang terdapat di dalam telefon bimbitnya. Nama itu direnung lama. Dia mengurut-urut dahi lalu termenung mencari akal. Apa alasan yang mahu dia katakan pada Farhana nanti? Kelmarin semasa Farhana menghubunginya dia berlagak seperti berjauh hati. Tiba-tiba hari ini dia pula yang mahu menelefonnya? Apa alasannya?

“Assalamualaikum.” Syukur mengucap salam sebaik sahaja mendengar suara manja Farhana menjawab panggilannya di hujung talian.

“Waalaikumsalam,” jawab Farhana teruja. Sebenarnya sejak semalam dia menunggu panggilan daripada lelaki itu. “Apa mimpi kau telefon aku?”

Aku mengganggu ke?” tanya Syukur gagap.

“Tak. Aku sedang baca novel sekarang ni.” Farhana yang sedang berbaring di atas katil segera duduk sambil melunjurkan kaki. Novel tebal yang dibacanya ditutup lalu diletakkan ke tepi.

“Oh... Sebenarnya aku nak minta maaf pasal kelmarin.” Lembut suara Syukur memohon kemaafan walaupun dengan berat hati.

“Tak apa. Aku faham keadaan kau. Macam mana kau sekarang, okey?” Itulah soalan yang mahu diaju sejak kelmarin. Tetapi sikap acuh tidak acuh lelaki itu membantutkan segalanya.

“Alhamdulillah. Aku okey.” Perlahan nada suara Syukur menjawab.

Sepi.

Kau dah makan?” Soalan Farhana itu memecah kesunyian.

Masing-masing bagaikan hilang kata-kata. Setelah beberapa hari tidak ketemu terasa janggal pula untuk bermesra seperti biasa. Seperti ada benteng yang memisahkan antara kedua-duanya.

“Orang bujang macam aku ni tak kisah. Kalau rasa lapar, pergi aje ke kedai makan. Kalau tidak, makan megi saja sambil duduk lepak tengok TV di rumah.” Ayat-ayat itu keluar sebutir-sebutir dari mulut Syukur. Lidahnya terasa kelu.

“Jadi, kau dah makan ke belum sekarang ni? Kalau belum, baik kau pergi makan. Jangan dibiarkan perut tu kosong. Tak ada penyakit jangan dicari penyakit. Nanti kau sendiri yang susah.” Sikap prihatin Farhana itulah yang membuatkan dirinya begitu istimewa di hati Syukur.

“Ya. Sekejap lagi aku makanlah,” jawab Syukur persis anak-anak kecil.

“Oh ya, tadi aku tak nampak kau. Kau masih cuti ke?” tanya Farhana sambil menyelak helaian muka surat novel yang berada di sisinya.

“Taklah. Aku kerja tadi.”

Aku tak nampak kau pun masa makan kat kafe tengah hari tadi.”

“Oh... aku keluar lambat. Banyak kerja tadi.” Syukur berbohong. Panas hatinya mengingatkan kejadian siang tadi.

“Patutlah. Aku tunggu jugak kau datang tapi sampai habis waktu makan pun tak nampak-nampak bayang kau. Aku ingat kau masih belum masuk kerja lagi,” jelas Farhana lembut.

“Dah tiga hari aku cuti. Takkanlah aku nak ambil cuti lagi? Lagi lama aku bercuti lagi menimbun-nimbun kerja aku.” Syukur menarik nafas dan melepaskan dengan perlahan. “Kau makan dengan siapa tadi?” Sengaja Syukur bertanya. Dia sekadar mahu menduga. Dia mahu menguji sejauh mana sifat jujur yang ada pada diri gadis itu walaupun dirinya bukan sesiapa.

“Dengan Mimi.” Ringkas sahaja jawapannya.

‘Aku tak nampak Mimi pun tadi? Pandai nak berselindung ya. Kau ingat aku tak nampak ke dengan siapa kau makan tengah hari tadi?’ bisiknya geram. Berat pula hatinya mahu bertanya siapakah gerangan lelaki yang duduk di sebelahnya siang tadi. Bimbang nanti dia dituduh cemburu tak bertempat pula.

“Ako, kau buat apa tu? Kenapa senyap?” sergah Farhana.

“Tak ada... tak ada apa-apa. Err... Mimi mana?” tanya Syukur. Dia mengubah tajuk cerita. Sementelahan pula sudah beberapa hari dia tidak nampak kelibat Hamimi, teman gaduhnya itu.

“Dia tengah tengok TV kat depan. Kau nak cakap dengan dia ke?”

“Tak apa. Nanti kirim salam kat dia ya. Okeylah, Farah. Aku ada hal sikit. Nanti esok pagi kita jumpa di kafe ya?” cadang Syukur.

“Esok kita orang kerja petang,” kata Farhana.

“Oh, ya ke? Kalau macam tu tak apalah. Nanti bila-bila kita jumpa ya?”

“Okey. Kau jaga diri kau baik-baik ya. Jangan lupa makan.” Farhana mengingatkan lelaki itu lagi.

Kata-kata itu hinggap ke telinga Syukur dan meresap hingga ke seluruh urat nadi. Tidak ada orang lain yang mengambil berat tentang dirinya selain dari gadis itu. Bagaimanalah hati lelakinya tidak tertawan? “Ya. Kejap lagi aku pergi makan. Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam.” Talian dimatikan.

Berat sungguh hati lelaki itu untuk menekan butang merah. Telefon bimbitnya direnung lama seolah-olah ternampak wajah manis si Merah Jambu di skrin comel telefon itu. Kalau ikutkan hati banyak lagi perkara yang mahu dibicarakan. Entah kenapa berat mulutnya untuk meluahkan apa yang terpendam di lubuk jiwa.

Biarlah... biarlah segala perasaan yang terpendam ku simpan sebagai rahsia selagi badan ini terdaya. Aku tahu kau hanya menganggap aku sebagai teman biasa sedangkan aku mengharapkan kau lebih dari itu. Aku umpama gagak di rimba sedangkan kau persis merak di kayangan, mana mungkin kita dapat terbang seiring. Aku sedar aku tidak punya apa-apa selain dari sekeping hati yang sarat dengan rindu terhadapmu. Aku tahu kita tidak sepadan. Siapalah aku di sisimu yang hanya seorang pekerja kilang dengan pendapatan yang tidak seberapa.

Bukan aku tidak pernah cuba untuk melupakan dirimu, malangnya kian aku cuba melupakan kian kuat ingatan ku terhadapmu. Bagi ku kau ibarat sebutir bintang yang berkelipan indah berbanding aku yang hanya sebutir pasir di pantai. Kau adalah anugerah Ilahi yang amat berharga bagiku.

Andai suatu hari nanti jika kau mendapat tahu betapa aku pernah mencintaimu sepenuh hatiku sedangkan saat itu aku sudah berada jauh atau tidak wujud lagi di muka bumi ini, kau kunjungilah pusaraku. Kau kirimkanlah doa serta surah. Ketika itu usahlah kau tangisi kerana pemergianku bukan kerana benci.

Jika kau rindu aku, kau renunglah bulan di langit malam dan sudah pasti aku juga akan merenung bulan yang sama. Aku mahu kau tahu sesungguhnya kaulah insan yang amat istimewa di hatiku. Andai kata, tiada jodoh kita di dunia, aku berharap semoga suatu ketika nanti kita akan pasti bersatu di alam sana. Sayangnya, aku hanya bisa memuja kau di dalam diam kerana aku tahu siapa aku di hatimu.


Arrgghh.. Syukur gagal mempertahankan air matanya daripada gugur hanya kerana seorang perempuan. Dia tewas dengan perasaannya sendiri. 

.

No comments:

Followers