Wednesday, August 14, 2013

HELO SI MERAH JAMBU - BAB 20

.

Cahaya matahari masih bersinar galak dan habanya membahang walaupun ketika itu sudah jam 5.00  petang. Perit terasa kulit muka kesan simbahan cahaya matahari yang menyengat itu. Peluh yang membenih di dahi diseka. Syukur singgah di sebuah gerai menjual air tebu di tepi jalan untuk melepaskan lelah. Dia baru sahaja sampai ke Petaling Jaya dari Ipoh setelah mengambil cuti mengejut selama tiga hari berturut-turut.

Sebaik sahaja dia selesai minum, telefon bimbitnya berdering. Lantas tangannya menyeluk poket seluar di sebelah kiri sambil tangan kanannya pula menghulur sekeping duit kertas satu ringgit kepada peniaga air tebu itu. Panggilan daripada telefon bimbit miliknya segera dijawab tanpa mengetahui siapa gerangan sipemanggil.

“Assalamualaikum.” Syukur memberi salam.

“Waalaikumussalam.” Suara seorang gadis kedengaran menjawab di talian sebelah sana. Suara itu menghadirkan debaran di dadanya. Sudah tiga hari dia tidak bersua muka apa lagi mendengar suara manja gadis itu.

“Farah, ada apa hal telefon aku ni?” Sengaja dia menanya soalan. Bukan dia tidak tahu apa hajat gadis itu. Sudah pasti gadis itu mahu tahu ke mana dia menghilangkan diri selama tiga hari tanpa berita. Dia tahu benar dengan perangai si Merah Jambu yang sangat mengambil berat tentang kawan-kawannya terutama terhadap Hamimi dan dirinya.

“Ako, kau kat mana ni?” tanya Farhana ingin tahu lokasi lelaki itu.

“Aku ada kat Bangsar ni.”

“Kau dah balik dari kampung?”

“Ya, baru aje sampai.”

“Kenapa kau tak beritahu aku dengan Mimi pasal mak kau? Sampai hati kau tak beritahu kita orang. Balik kampung pun tak cakap.”

“Maaflah, Farah. Aku nak cepat.”

“Alah, kalau kut ya pun nak cepat, takkanlah sampai tak sempat nak telefon? Patutlah aku dengan Mimi tunggu kau hari tu kat kafeteria, kau tak muncul-muncul.”

“Mana kau dengar pasal berita tu?”

“Rashid yang bagitahu. Lain kali janganlah buat macam tu, Ako. Kalau ada apa-apa bagitaulah. Apa guna ada kawan kalau tak boleh berkongsi masalah. Kau tahu kan macam mana aku dan Mimi ambil berat pasal kau.” Suara Farhana kedengaran sayup.

Perasaan Syukur sedikit tergores apabila dia mendengar gadis yang dipuja dalam diam itu menyebut perkataan ‘kawan’. Mengapakah dia dianggap hanya sebagai kawan sahaja, tidak bolehkah lebih dari itu? Bagaimana boleh aku luahkan rasa yang mengasak di hati bila mana perkataan kawan yang sering kau sebut-sebut? Syukur benci dengan perasaan yang dialaminya ketika itu. Hampir saja dia mahu menekan butang merah. Tidak sanggup telinganya mahu terus mendengar suara itu.

“Ako!” panggil Farhana beberapa kali apabila tidak ada respon daripada lelaki itu.

“Err… err… Farah, aku ada hal sikit. Okey. Bye!” Talian dimatikan dengan tergesa-gesa tanpa menunggu jawapan daripada Farhana. Semakin lama dia mendengar suara itu semakin terasa pedih dan ngilu tangkai hatinya.

Kesedihan atas pemergian ibunya ke alam baqak tiga hari lalu masih hebat terasa. Tiba-tiba dia menerima panggilan telefon daripada gadis itu pula yang menambah hiba perasaan lelakinya. Apalah malang nasib yang menimpanya. Dia hidup sebatang kara kini. Ibunya baru sahaja pergi dan tidak akan kembali lagi. Ayahnya pula sibuk dengan keluarga baru. Lebih malang lagi apabila dia terpaksa mengambil alih tugas untuk menjaga dua orang adik lelakinya yang enggan tinggal bersama ayah mereka.

Mujur sahaja mereka berdua tinggal di asrama. Dia sudah berjanji dengan adik-adiknya yang dia akan pulang mengambil mereka untuk tinggal bersamanya bila cuti sekolah tiba nanti. Kini dia sudah ada satu tanggungjawab berat yang terpaksa dipikul. Dia tidak boleh mementingkan dirinya sendiri sahaja kerana di saat ibunya menghembuskan nafas terakhir, wujud dua orang lagi manusia yang memerlukan perhatian daripadanya. Dua orang manusia itu bukan orang lain melainkan darah dagingnya juga.

Sebagai anak yang paling tua, dia perlu bersiap sedia untuk menempuh dan mengharungi segala-galanya. Dia sedar qadak dan qadar yang didatangkan pasti ada hikmah di sebalik segala kejadian. Dia wajib redha sahaja tanpa merungut dan bersungut. Dia anak lelaki. Dia perlu kuatkan semangat dan tabahkan hatinya.

Dia bingkas berjalan menghampiri motosikal Honda EX5nya. Topi keledar yang diletakkan di dalam bakul kenderaan itu dicapai lalu disarungkan ke kepalanya. Syukur menghidupkan enjin lantas meninggalkan tempat itu dengan segera.

Beberapa minit menunggang, akhirnya dia sampai juga ke Blok B di Apartment Jalan Pantai Dalam yang telah disewa selama hampir sepuluh tahun itu. Motosikal kesayangannya diparkirkan di tepi bangunan Blok B. Beg pakaian yang diikat dengan getah di tempat duduk belakang dileraikan ikatannya lalu dia membimbit beg itu menuju ke pintu lif. Sejurus dia sampai pintu lif pun terbuka. Ada beberapa orang yang keluar dari perut lif itu sebelum dia pula masuk untuk ke tingkat sembilan.

Ketika Syukur sampai ke rumah sewanya, tidak ada sesiapa di rumah itu. Kesemua teman serumahnya masih belum pulang dari bekerja. Sebaik melangkah masuk ke dalam rumah, dia terus menuju ke bilik tidurnya. Beg pakaian yang dibimbit dicampak ke tepi katil lalu dia menghenyakkan tubuhnya di atas katil bujang miliknya itu. Dia mendengus kasar.

Dia terkenangkan Haris dan Saiful yang ditinggalkan di asrama sekolah mereka di Ipoh tengah hari tadi. Mereka menghantar kepulangannya ke Kuala Lumpur dengan wajah sugul. Berat hatinya mahu meninggalkan mereka tetapi dia mempunyai tanggungjawab yang lebih utama. Dia terpaksa kembali bekerja demi dirinya dan adik-adiknya yang kini sudah hilang tempat mengadu dan bermanja.

Kini dirinyalah tempat Haris dan Saiful bergantung harap. Ayah mereka turut menghulur duit perbelanjaan kepada Haris dan Saiful tetapi pemberiannya tidak tetap. Maklum saja, ayah mereka juga mempunyai tanggungjawab yang lain. Syukur sangat memahami justeru dia tidak mengharap bantuan yang sepenuhnya daripada ayah mereka.

“Rajin-rajin kerja, Ako. Cari rezeki yang halal. Jangan suka curi tulang nanti duit gaji yang awak dapat tak berkat.”

Syukur teringat pesanan ibunya enam bulan lalu di mana kali terakhir dia pulang ke kampung dan bertemu arwah ibunya. Wajah muram arwah ibunya terbayang-bayang.

Kekesalan menghantui dirinya apabila mengingatkan betapa dia seorang anak yang mengabaikan tanggungjawab. Dia sering leka dengan kehidupannya sendiri. Semasa hayat ibunya ada dia jarang dapat pulang bertemunya. Alasannya dia sibuk dengan kerja. Malah duit bulanan pun jarang dapat dia kirimkan. Kini setelah ketiadaan ibunya barulah dia berasa kehilangan. Dia dihantui rasa kesal.

Pilu hatinya kerana tidak sempat menabur jasa kepada arwah ibunya. Walaupun dia dibela oleh ayahnya setelah kedua ibu dan ayahnya bercerai namun kenangan bersama wanita itu tidak pernah luput dari ingatannya. Dia tetap ibu yang melahirkannya walaupun arwah ibunya sempat menjaganya sehingga dia berusia sepuluh tahun sahaja. Dia tidak pernah menyalahkan arwah ibunya. Mata Syukur berkaca.

Sehingga kini dia tidak tahu apa punca penceraian antara arwah ibu dan ayahnya. Dia ingat-ingat lupa. Sesekali kenangan semasa dia kecil dulu mengimbau datang. Apa yang pasti, ayahnya seorang yang baik dan bertanggungjawab kepada keluarga. 


Arwah ibunya pula seorang yang lembut dan rajin menguruskan rumah tangga. Entah di mana silapnya dan apa puncanya satu pertelingkahan besar telah meletus antara kedua-dua  orang tuanya yang mendorong berlakunya penceraian.


Ketika itu, Haris baru berusia setahun manakala Saiful pula berusia tiga tahun. Dia masih ingat bagaimana arwah ibunya tergesa-gesa keluar dari rumah sambil mengheret Haris dan Saiful pergi selepas kejadian itu berlaku. Ketika itu dia menangis teresak-esak kerana mahu mengikut ibu dan adik-adiknya pergi tetapi dihalang oleh ayahnya. Sejak itu dia tidak lagi berjumpa dengan mereka dan sejak itu dunianya sepi.

Setelah dia tamat persekolahan dia bertekad mencari arwah ibu dan adik-adiknya. Ayahnya tidak sedikit pun menghalang. Malah, ayahlah yang banyak memberi infomasi tentang lokasi di mana arwah ibu dan adik-adiknya berada. Syukur membiarkan air matanya mengalir dan membasahi bantal. Keluhan yang amat berat dilepaskan.

Tiba-tiba telefon bimbitnya yang lama membisu kini menjerit-jerit minta diangkat. Syukur menggagau mencari telefon dari dalam poket seluarnya. Seketika dia mengerling ke arah skrin comel telefon itu. Tertera nama Si Merah Jambu di situ. Sengaja dibiarkan telefon itu berdering. Saat fikirannya bercelaru memikirkan masalah diri, gadis itu pula sibuk mengganggu. Telefon itu masih berbunyi dan sengaja dibiarkan deringan itu berhenti dengan sendiri.

Kini masalah yang ditanggungnya kian terasa sarat. Antara perasaan hiba ditinggalkan pergi oleh insan tersayang dan perasaan kecewa akibat memendam rasa. Ah... perasaan terhadap gadis itu tidak bisa diluputkan begitu sahaja. Rasa serba salah menghantuinya. Adakala dia mahu mengambil keputusan untuk menjauhkan diri daripada Farhana. Biarlah dia dianggap sombong kerana memutuskan silaturahim daripada hatinya sakit kerana kelukaan dan kekecewaan yang berpanjangan.

Tanpa jemu telefon itu berbunyi lagi. Akhirnya lelaki itu mengalah. Dia menekan butang hijau lalu telefon itu ditekap ke telinga kirinya. Dia hanya diam tanpa sepatah kata. Hanya hembusan nafasnya yang kedengaran. Berat dan sesak.

“Assalamualaikum.” Farhana mengucap salam. Dia dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan lelaki itu.

Lelaki itu berdiam agak lama sebelum menjawab salam Farhana. Nada suaranya lesu dan tidak bermaya. Seperti hendak dan tidak sahaja dia menjawab.

Kau tak sihat ke, Ako?”

Sepi.

“Ako, kenapa kau diam? Setiap yang hidup pasti akan mati. Sebagai seorang anak kau kena rajin sedekahkan al-Fatihah kepada arwah. Itu saja cara yang terbaik untuk kau menebus segala rasa bersalah kau terhadap arwah emak kau. Kau jangan sedih. Kalau kau sedih aku dan Mimi jugak akan rasa sedih,” kata Farhana cuba memujuk.

Sepi.

“Farah, aku rasa penat sangat. Aku nak berehat. Terima kasih kerana prihatin dan bagi kata semangat pada aku.” Lelaki itu bagaikan hilang semangat untuk berbual apa lagi bergurau seperti selalu.

Kau berehatlah. Jangan banyak berfikir. Nanti esok kita jumpa ya. Assalamualaikum.” Farhana memahami situasi sahabatnya itu. Dia baru sahaja kehilangan orang yang tersayang. Mungkin dia masih dalam keadaan bersedih.

“Waalaikumussalam,” jawab Syukur lesu. Telefon itu direnung kosong walaupun talian telah dimatikan.

Ah... gadis itu tidak pernah tahu betapa sakitnya hati ku menanggung rindu yang tidak berbalas. Aku ibarat pungguk yang menagih kasih sang bulan. Kalaulah bisa bulan itu aku capai, pasti akan aku rangkul dan aku bisikkan kata-kata indah. Biar bulan itu rebah di ribaanku dan lemas dengan lautan kasih sayang ku yang tidak bertepi.

Fikiran Syukur kacau-bilau. Bayangan wajah manja Farhana bermain-main di matanya walaupun puas dia cuba untuk menghakisnya pergi. Hatinya kian terasa pedih. Gadis yang dipuja dalam diam itu tidak pernah tahu perasaan yang dipendam terhadapnya. Kalaulah gadis itu tahu apa yang tersirat di lubuk hatinya, adakah gadis itu akan mendepangkan tangan dan menyambut cintanya yang tulus suci itu? Atau adakah dia akan menolak mentah-mentah dan menjauhkan diri pula? Kalaulah itu yang akan berlaku, sanggup dia memendam perasaan dan menjeruk rasa sampai bila-bila?

Oh tuhan, bukakanlah pintu hatinya untuk menerima cintaku…






No comments:

Followers