Saturday, August 10, 2013

HELO SI MERAH JAMBU - BAB 19

.
Pagi itu Amirul mengambil sarapan pagi bersama papa dan mamanya. Begitulah rutinnya setiap pagi sebelum ke tempat kerja. Mengambil sarapan di awal pagi setiap hari adalah satu kemestian baginya. Hidangan dua keping roti bakar bersama dua biji telur separuh masak dan secawan nescafe panas sudah memadai.

“Macam mana kerja, seronok?” tanya Mazni memulakan bicara.

“Seronok ma. Setakat ni, saya belum nampak apa-apa masalah lagi. Saya rasa selesa duduk kat ofis tu. Datuk Kadir pun baik orangnya.” Roti bakar dicicah dengan telur separuh masak lalu dimakan sedikit demi sedikit sebelum mencicip minuman yang masih panas.

“Papa harap Mirul mampu pikul tanggungjawab yang Datuk Kadir bagi. Sebagai seorang pekerja yang belum banyak pengalaman, Mirul jangan malu-malu bertanya. Carilah pengalaman sebanyak yang boleh. Kilang tu besar, pekerja dia pun ramai. Pandai-pandai Mirullah macam mana nak menyesuaikan diri di situ. Yang penting kepercayaan yang diberikan jangan dipersiakan.” Tanpa jemu Mustafa memberikan kata-kata perangsang sebagai penguat semangat kepada anak tunggalnya itu agar terus berjaya di dalam kerjayanya.

“Insya-ALLAH, pa. Kebetulan di pejabat tu ada seorang pegawai yang banyak beri saya tunjuk ajar. Semakin hari saya rasa semakin bersemangat,” jelas Amirul.

Sejak semalam wajah Farhana sahaja yang melayari mindanya. Adakah kerana gadis itu yang membuatkan semangat dia kian membara untuk ke pejabat? Apakah kerana gadis itu juga yang menyebabkan fikirannya hanya melekat di kilang sana? Ahh… lagi-lagi pasal gadis itu. Amirul tersengih-sengih setiap kali bayangan wajah gadis itu yang tergayang-gayang di depan matanya.

“Tapi ingat Mirul. Bekerja di kilang tu hanya untuk sementara saja. Kerja untuk cari pengalaman saja. Lepas tu Mirul kena sambung belajar semula. Mama tak mau Mirul bekerja tetap di kilang yang tak glamour tu.” Mazni membuat mimik muka.

Memang sejak mula Mazni tidak bersetuju apabila mendapat tahu mengenai cadangan Mustafa untuk membenarkan Amirul bekerja di kilang itu. Baginya, pekerjaan itu tidak menjanjikan masa hadapan yang cerah. Katanya bekerja di kilang tidak ada jaminan. Dia semakin yakin dengan pendapatnya apabila mendapat tahu ada sebuah kilang terpaksa ditutup kerana mengalami kerugian yang teruk. Pekerja-pekerjanya pula diberhentikan tanpa memberi apa-apa ganjaran sebagai ganti rugi.

“Pekerjaan apa yang glamour, ma? Saya bukan artis nak kejar glamour. Niat saya bekerja untuk cari pengalaman dan mencari rezeki yang halal, itu saja. Yang penting saya dapat cari duit poket saya sendiri tanpa mengharapkan duit papa dan mama. Betul tak ma?” luah Amirul dengan nada tenang.

Dia tidak mahu kata-katanya akan menjadi punca pertelingkahan antara dia dengan Mazni. Dia sudah masak benar dengan sikap Mazni. Setiap perbuatan dan kehendaknya pasti ada sahaja bantahan dari Mazni. Adakala dia terfikir, kenapa mamanya tidak pernah bersetuju dengan pendapatnya. Ada saja salah dan silap dia di mata mamanya itu. Buntu akal fikirannya memikirkan.

“Ya, mama faham. Mirul bekerja untuk cari duit poket sendiri tapi janganlah keseronokan bekerja di kilang tu sampai Mirul lupa apa niat utamanya. Kalau boleh mama tak mau Mirul kerja lama sangat di kilang tu. Kalau setakat nak cari pengalaman cukuplah untuk dua tiga bulan je. Mama bimbang bila dah sedap pegang duit, lupa pulak nak sambung belajar nanti.” Mazni menambah air dari dalam teko. Bercakap dengan Amirul buat tekaknya haus.

“You ni, cubalah sesekali bagi Amirul tu buat keputusan dia sendiri. Kan dia dah kata dia nak sambung belajar. Bekerja ni hanya untuk sementara saja.” Mustafa menatap wajah Mazni penuh makna. Dia sangat berharap agar Mazni dapat memberi sedikit ruang untuk anak bujang mereka itu bebas melakukan aktiviti yang disukainya asalkan tidak melampui batas.

“I ni mama dia, pa. Kalau bukan I yang mengingatkan dia siapa lagi? Nak harapkan you yang sentiasa sibuk dengan urusan pejabat you tu, memang tak boleh haraplah.” Mazni mendengus.

Mustafa menggeleng beberapa kali. Sudah masuk 24 tahun usia Amirul, masih lagi Mazni yang putuskan setiap aktiviti yang anak mereka mahu lakukan. Sudah beberapa kali Mustafa mengingatkan Mazni bahawa anak mereka itu sudah dewasa dan dia sudah tidak perlukan arahan dari mereka lagi. Sebagai orang tua, mereka sekadar boleh memberi nasihat dan kata semangat. Itu pun kalau anak itu memerlukan perkhidmatan itu dari mereka.

“Dah nak dekat pukul 8, cepatlah pergi kerja Mirul. Nanti terlambat pulak.” Mustafa mengingatkan Amirul untuk mengelak dirinya dibebel oleh Mazni.

Amirul bingkas bangkit dan memohon diri sebelum berlalu pergi. Memang kata-kata itu yang ditunggu-tunggu. Baginya Mustafa adalah penyelamatnya disetiap kali Mazni membebel panjang. Dia tidak suka membangkang kata-kata mamanya. Dia sedar adalah satu dosa besar jika dia melakukan demikian terhadap mamanya. Namun adakalanya benteng sabarnya goyah juga lantaran sikap mamanya yang tidak pernah berpuas hati terhadapnya.

“Amirul tu dah besar, ma. Bagilah dia peluang untuk bebas sikit. Lagipun dia bukannya buat benda yang salah. Orang lelaki ni tak suka dikongkong. Nanti satu hari dia memberontak baru padan muka you,” kata Mustafa tegas.

“Itulah you ni. Suka manjakan anak. Anak kita tu cuma sorang je. Jadi tolonglah fahami perasaan I. I nak yang terbaik untuk dia,” jelas Mazni. Hatinya terusik dengan sikap Mustafa yang seolah-olah menggalakkan anak mereka untuk tidak mendengar nasihatnya.

Mustafa mengeluh keras. Sudah acapkali dia bertegas dengan Mazni berkenaan isu Amirul, anak tunggal mereka itu. Dia sudah malas untuk mengulang cakap. Isterinya itu tetap dengan pendiriannya yang mahukan Amirul mengikut apa sahaja kemahuannya. Jika terlebih bersuara nanti isterinya berjauh hati pula.

“Okeylah, I nak pergi dah ni.” Mustafa mahu segera beredar sebelum dirinya pula menjadi mangsa bebelan Mazni.

“Hai! Kita belum habis bercakap lagi dah nak pergi?” keluh Mazni. Menyirap darahnya melihat Mustafa melangkah pergi meninggalkannya seorang diri di meja makan. Bapa dengan anak sama saja, pantang bebel sikit dah panas punggung.


Jalan raya ketika itu agak sesak. Amirul tenang sahaja memandu untuk ke tempat kerja. Begitulah senarionya setiap pagi. Jalan raya tidak pernah sunyi dari kenderaan. Sambil memandu dia melayan lagu-lagu yang berkumandang dari corong radio yang terpasang. Sesekali dia menyanyi kecil mengikut lagu yang didengarinya. Terbayang wajah Farhana, hatinya berbunga riang. Dia asyik teringatkan wajah cemas Farhana ketika insiden air minuman yang dibawanya tertumpah dan memercik ke bajunya. Gadis itu kelihatan sangat naïf dan comel. Amirul tersenyum-senyum.

“Kenapalah aku asyik teringatkan dia saja?” soalnya kepada diri sendiri. Sejak pertama kali bertentang mata dengan gadis itu entah kenapa perasaannya menjadi tidak keruan. Gadis itu mempunyai senyuman yang menarik. Raut wajahnya yang lembut dan sikapnya yang tenang membuat hatinya tertambat. “Angau agaknya aku ni.” Amirul tersenyum panjang.

Tiba-tiba Amirul tersentak apabila terdengar jeritan hon dari belakang keretanya. Bayangan wajah manis Farhana hilang serta-merta. Dengan tergesa-gesa dia menekan pedal kereta apabila menyedari lampu yang tadi merah kini sudah bertukar hijau. Kereta dipecut, meluncur laju. Seketika kemudian dia sudah sampai di tapak parkir kilang tempat dia bekerja.

Kereta Honda City warna hitam miliknya menjadi perhatian gadis-gadis di kilang. Setiap kali mereka ternampak kelibat kereta itu melintasi mereka, pasti mereka sudah tersengih-sengih memandang. Gadis-gadis itu berharap agar pemilik kereta itu akan mengerling pandang ke arah mereka.

Amirul melangkah segak menuju ke bangunan pejabatnya. Dia memakai baju kemeja berlengan panjang warna biru laut dipadankan dengan seluar slack hitam. Rambutnya yang dibelah tepi disisir rapi. Dari jauh kasut hitam yang dipakainya nampak berkilauan. Baru sahaja dia mahu menjejakkan kaki di kaki lima, dia terdengar ada suara yang memanggilnya. Dia kenal benar dengan suara itu. Langkah kakinya terhenti. Dia menoleh pandang.

“Awal lagi. Jom kita pergi sarapan dulu,” pelawa Gunawan sambil menghadiahkan senyum.

Amirul melihat jam di tangan. “Aku dah sarapan. Tapi tak apalah aku temankan kau saja.” Amirul menepuk perlahan di belakang Gunawan yang berjalan mendahuluinya menuju ke kafeteria.

Beberapa pekerja kilang yang mengenali mereka memberi ucap salam. Ada juga yang tersenyum-senyum sambil tersipu-sipu malu. Kehadiran pengurus baru yang kacak itu menjadi bualan kebanyakan gadis-gadis di situ. Ada yang berlumba-lumba memasang badan semata-mata untuk memikat hati Amirul. Tetapi semua usaha itu sia-sia belaka kerana tidak ada siapa yang tahu bahawa ruang hatinya sudah ditawan.

“Untunglah kau duduk dengan keluarga. Makan minum ada yang menjaga. Nasib aku tinggal bujang, semua kena buat sendiri,” rungut Gunawan yang masih membujang walaupun usianya sudah melebihi tiga puluh tahun.

“Kahwinlah, kan senang.” Amirul mencadangkan.

Kata-kata Amirul itu bagai menggaru-garu hati Gunawan sehingga dia mengakah-ngakah ketawa sambil kaki melangkah. Mereka mengambil tempat hampir dengan kaunter. Amirul sudah melabuhkan punggungnya disalah sebuah bangku manakala Gunawan ke kaunter untuk membuat pesanan makanan. Seketika kemudian dia kembali dengan menatang sebuah dulang. Secawan kopi panas dan sepinggan mi goreng penambat seleranya untuk bersarapan.

“Eh! Betul ke kau tak nak makan?” tanya Gunawan sebaik dia meletakkan sarapannya ke atas meja.

“Betul. Aku dah sarapan di rumah.” Amirul memberi jawapan yang serupa.

“Tak bestlah aku makan sorang. Minum pun tak nak?”

“Tak apa. Kau makanlah.”

Setelah berpuas hati dengan jawapan Amirul, barulah Gunawan memulakan sarapannya sebelum membaca doa makan. Keadaan kafeteria itu agak lengang sedikit kerana pekerja-pekerja kilang di syif pagi sudah masuk bertugas sejak awal pagi.

“Aku tengok ramai betul minah-minah kilang yang asyik perhatikan kau saja. Dapatlah aku tumpang glamour.” Gunawan ketawa. “Manalah tau berkat ketampanan kau ada pulak yang sangkut kat aku.” Gunawan ketawa lagi di akhir kata-katanya.

“Kau ni memilih sangat kut. Itulah sebabnya susah nak dapat pasangan.” Amirul tersenyum nipis.

“Aku tak hensem macam kau. Siapalah yang hendakkan aku. Rupa tak ada, budi bahasa apa tah lagi.” Gunawan cuba merendah diri.

Selama lima tahun dia bekerja di kilang itu sudah beberapa kali dia dikecewakan. Namun dia tidak pernah berputus asa untuk mencari cinta yang tulus. Malangnya, setiap gadis yang pernah didekati hanya mampu bertahan untuk beberapa bulan sahaja. Dia sering menjadi mangsa gadis yang hanya mengambil kesempatan untuk mengikis wang ringgit semata. Setelah habis wangnya dikikis mereka berhenti dan menghilangkan diri entah ke mana. Anehnya, sehingga kini Gunawan tetap berharap masih ada lagi cinta buatnya. Dia tidak pernah serik dan tidak akan pernah mengalah untuk memburu cinta.

“Rupa paras tak penting. Yang penting poket. Kalau muka hensem tapi poket kosong nak buat apa?” Amirul cuba menyangkal kata-kata Gunawan. Dia tidak bersetuju dengan pendapat Gunawan itu.

“Ya, aku setuju. Tapi kalau poket penuh tapi tak ada orang nak dekat pun tak guna jugak. Tapi aku masih mengharap satu hari nanti akan ada seorang gadis yang datang pada aku dan meluahkan kata cinta pada aku.” Gunawan ketawa terbahak-bahak dengan kata-katanya sendiri. “Tak pun kalau kau ada lebih kawan perempuan kenalkanlah dengan aku.” Lelaki itu ketawa lagi. Sepinggan mi goreng sudah habis licin.

“Aku mana ada ramai kenalan perempuan. Semasa di Universiti dulu, aku hanya bergaul dengan kawan-kawan lelaki saja. Kawan-kawan perempuan segan nak datang dekat sebab mereka kata aku sombong. Sebenarnya mereka tak tau, aku ni pendiam. Aku bukan suka cakap merapu yang tak berfaedah.” Amirul meluah kata.

Hakikatnya Amirul merupakan salah seorang pelajar yang tidak banyak bercakap. Dia hanya bercakap tentang perkara yang penting-penting sahaja. Dia memegang prinsip, lebih baik diam dari berkata-kata sesuatu yang boleh menyakitkan hati orang lain.

“Oh ya, aku nak tanya, kau kenal ramai tak budak perempuan kat sini?” tanya Amirul bersemangat. Manalah tahu kalau kalau si Gunawan ni kenal dengan gadis itu, senanglah kerjanya nanti.

“Tak adalah ramai sangat. Lagipun aku kerja di pejabat. Waktu bekerja pun tak sama. Tak sempat nak mengacau. Aku hanya mampu tengok je,” jelas Gunawan berterus terang.

Dia mengangkat cawan lalu didekatkan ke mulutnya. Dia menghirup kopi yang sudah suam sehingga habis. Cawan yang sudah kosong itu diletakkan semula di atas piring yang diletakkan sebagai alas.

“Kenapa kau tanya?” soal Gunawan pelik. Mukanya dihiasi senyum nipis sejak tadi.

“Tak ada apa-apa. Saja aje tanya.” Amirul sudah bangun dari bangku.

“Aku rasa mesti ada apa-apa yang kau sorokkan dari aku. Cakap saja. Jangan pendam perasaan. Takut-takut melepas kau nanti.” Gunawan turut bangun. “Kau baik-baik sikit. Sebelum kau jatuh hati dengan gadis-gadis kat sini, lebih baik kau siasat dulu latar belakang mereka. Jangan salah mengurat, entah-entah makwe orang. Lagi haru kalau dia bini orang, niaya je. Kalau jadi macam tu, aku tak nak masuk campur,” gurau Gunawan. Dia menyengih saja.

“Kalau makwe orang atau bini orang yang nak mengurat aku pulak macam mana?” balas Amirul sambil ketawa.

Gunawan menjongketkan bahunya. “Yalah. Kaukan hensem.”

Kata-kata Gunawan itu disambut dengan gelak ketawa. “Kau kenal Farah?” tanya Amirul dalam sisa ketawa.

“Si Merah Jambu?” Gunawan meneka.

“Si Merah Jambu?” Wajah Amirul berkerut.

“Yalah. Farhana kan nama penuh dia? Kenapa, kau terpikat dengan dia? Aku dah agak dah.”

“Kenapa kau panggil dia Si Merah Jambu?” tanya Amirul pelik.

“Sebab dia jambu,” gurau Gunawan sambil menyengih.

Amirul merenung wajah Gunawan dengan penuh tanda tanya.

“Ramai yang minat kat dia tu. Tapi yang herannya, bukan senang nak pikat hati dia.”

“Dia dah ada boy friend?”

“Kau tanya aku, manalah aku tau? Kau dah berkenalan dengan dia kan? Pandai-pandailah kau macam mana nak korek rahsia. Mudah-mudahan kau berjaya menawan hati dia tu.” Gunawan tersengih-sengih seperti ada rahsia yang disembunyikan.




 .

No comments:

Followers