Wednesday, September 18, 2013

HELO si MERAH JAMBU - BAB 31

.
Tengah hari itu Syukur tidak sabar untuk ke tempat kerja. Perkara pertama yang mahu dilakukannya  ialah bersemuka dengan Farhana. Dia tidak akan memarahi gadis itu kerana tidak muncul seperti yang telah dijanjikan. Dia sekadar ingin tahu apa sebenarnya yang telah berlaku sehingga gadis itu tidak menampakkan diri.

Dia sudah berada di kafe lebih awal dari biasa. Beberapa orang pekerja kelihatan mundar mandir di kafe dan sebahagiannya sedang duduk mengisi perut sambil berbual-bual sesama mereka. Dia mengambil tempat di mana Farhana dan Hamimi selalu duduk.

Cuaca tengah hari itu sangat terik. Peluh memercik ke dahi. Benarlah kata orang, menunggu itu satu penyeksaan.

Setelah setengah jam menunggu, dia ternampak kelibat Hamimi berjalan menuju ke kafe. Dia memanjangkan lehernya mencari kelibat Farhana. Sah, hanya Hamimi seorang  tanpa Farhana bersamanya.

‘Ke mana perginya si merah jambu? Tidak sihatkah dia?’ desisnya sendiri.

Dari jauh, Hamimi sudah melemparkan senyum. “Awal kau hari ni, Ako?” sapanya sebaik sahaja dia menghampiri  tempat duduk Syukur.

Syukur mengangguk. “Merah jambu mana? Dia tak datang kerja ke?” tanyanya tidak sabar.

“Tak. Dia demam.”

“Demam? Semalam elok aje aku tengok.” Syukur sedikit kecewa.

“Eh, kau ni. Dah nak demam, nak buat macam mana? Bukannya penyakit tu bagi salam sebelum dia menyerang,” sindir Hamimi geram.

“Aku tanya aje. Janganlah nak marah.”

“Siapa yang marah? Aku tak marahlah.”

“Habis tu... tinggi aje nada suara kau tu. Kalau tak marah, apa namanya?”

“Dahlah. Malas nak layan kau. Farah tak ada, dia tak datang hari ni. Dia demam. Bye.” Sempat Hamimi melambaikan tangan sebelum beredar. Namun setelah beberapa langkah dia menapak, dia mendengar lelaki itu memanggilnya.

“Mimi!” teriak Syukur tanpa mempedulikan orang yang lalu lalang.

“Apa?” Hamimi menoleh.

Syukur menggamitnya. “Mari sekejap.”

“Ada apa? Aku nak pergi beli airlah.”

“Kau pergilah beli dulu. Nanti kau singgah sini sekejap ya,” pinta Syukur. Dia mahu bertanya sesuatu. Dia tahu hanya Hamimi yang boleh menolongnya.

Beberapa ketika kemudian, Hamimi kembali singgah di tempat Syukur duduk menunggunya.

“Ada apa lagi?” tanyanya sebal. Semakin dilayan semakin banyak pula soalan lelaki ini.

“Satu aje air kau beli?” usik Syukur. Melihat bungkusan Milo ais milik Hamimi, dia terasa dahaga pula.

“Kau nak, pergilah beli sendiri.”

Ayat Hamimi memang tidak pernah menyedapkan telinga Syukur mendengar. Ada sahaja kata-katanya yang berbaur kemarahan.

“Tak apalah. Aku gurau aje.” Dia menyengih.

“Ada apa kau panggil aku? Nak tanya pasal Farah lagi?”

“Malam tadi, balik aje dari kerja kau terus tidur ke?” tanya Syukur. Berlagak betul Hamimi ni, bisiknya.

“Balik kerja dah penat, tidurlah. Apasal kau nak tau?” tanya Hamimi kasar. ‘Aku taulah malam tadi kau jumpa dengan Farah. Yang nak tanya aku tidur awal tu apasal pulak?’ tanyanya di dalam hati.

“Tak adalah, malam tadi aku telefon kau banyak kali. Tapi kau tak jawab,” jelas Syukur. Suaranya tersekat-sekat. Takut juga dia dengan Hamimi yang berlagak garang.

“Kau nak apa telefon aku malam-malam buta? Bukan ke kau...” Ayat Hamimi terhenti di situ apabila tiba-tiba seorang rakannya memanggil namanya dari belakang.

Lantas dia menoleh ke arah suara pemanggil yang sedang melangkah pantas menuju ke arahnya. Gadis itu adalah teman sekerja dan merupakan jiran sebelah rumahnya.

“Mimi!” Gadis itu termengah-mengah.

“Ada apa?” tanya Hamimi cemas. Dia memegang kedua-dua tangan gadis itu.

Syukur yang tadi duduk, kini sudah berdiri. Dia terlongo memerhatikan perbualan mereka berdua.

“Tadi kawan serumah aku telefon dari hospital. Dia kata Farah kena tahan wad. Dia suruh aku sampaikan pesan ni kat kau,” jelas gadis itu.

“Apa? Farah masuk hospital?” tanya Hamimi cemas. Sebaik sahaja mendengar berita itu, dia jadi tidak tentu arah. Bungkusan Milo ais terlepas daripada tangannya lalu jatuh tertumpah ke lantai.

Dia tidak tahu apa tindakan yang perlu dia ambil. Tadi sebelum dia keluar dari rumah, dia sudah hidangkan semangkuk bubur nasi untuk Farhana. Ketika itu Farhana sedang tidur. Dia tidak sampai hati mahu mengejutnya bangun. Tetapi dia ada meninggalkan nota menyuruh sahabatnya itu makan segera sebelum bubur nasi itu sejuk. Apa sebenarnya yang berlaku kepada Farhana? Air matanya sudah mula meleleh ke pipinya.

“Farah masuk hospital mana?” tanya Syukur kepada gadis itu tadi. Dia juga terkejut mendengar berita itu.

“Katanya di wad kecemasan, Universiti Hospital,” jawab gadis itu sebelum dia beredar pergi.

“Okeylah, macam ni, Mimi. Kau pergi bagitahu supervisor yang kau nak ambil emergency leave hari ni. Beritahu dia, kau nak melawat Farah di hospital.” Syukur menasihati Hamimi yang kelihatan buntu. “Aku tunggu kau kat sini. Kita pergi hospital sama-sama.”

 Tanpa berfikir panjang, Hamimi bersetuju dengan cadangan Syukur. Dia bergegas menuju ke kilang untuk berjumpa dengan supervisor dan berkemas untuk pulang.


Syukur menunggu Hamimi di bawah pokok ketapang dekat dengan tempat letak motosikal. Hati lelaki itu luruh ketika mendengar khabar yang disampaikan tadi. ‘Patutlah Farah tak datang malam tadi, rupa-rupanya dia tak sihat. Maafkan aku, Farah kerana salah sangka terhadap kau.”

.

No comments:

Followers