Thursday, September 12, 2013

HELO SI MERAH JAMBU - BAB 29

.


Hari itu Farhana dan Hamimi bekerja syif petang. Kebiasaannya Farhana yang bangun lebih awal daripada semua penghuni di rumah bujang itu. Dan dia jugalah yang akan mengejut teman sebiliknya itu bangun untuk solat subuh. Tapi pagi itu bilik itu sepi seperti tiada penghuni biarpun matahari sudah meninggi. Hanya kedengaran putaran kipas yang ligat berpusing. Semakin hari meninggi semakin sedap pula lena mereka.

Di luar bilik, Shakila dan Yasmin sudah bersiap-siap untuk keluar ke tempat kerja. Jam di dinding yang tergantung di ruang tamu sudah menunjukkan pukul 8.15 pagi.

“Senyap aje bilik tu,” kata Shakila kepada Yasmin yang sedang menuang air sejuk di depan peti ais. “Tak kerja ke dia orang tu?”

“Kerja petang agaknya.” Yasmin menjawab yakin.

“Biasanya kalau kerja petang pun, dia orang bangun awal. Kan Farah rajin buat sarapan? Entah-entah membuta lagi, kut.” Shakila melangkah mendekati bilik tersebut. Telinga ditekapkan rapat ke daun pintu kayu. Ternyata tiada suara orang yang kedengaran.

“Farah!” panggil Shakila sambil mengetuk pintu. “Mimi!” jeritnya lagi setelah beberapa minit masih tidak ada yang menjawab. Daun pintu diketuk bertalu-talu.

Bunyi ketukan di pintu mengganggu mimpi Farhana. Kedengaran sayup-sayup suara seseorang memanggil namanya. Kelopak mata bagaikan berat untuk dibuka. Lalu matanya ditenyeh beberapa kali. Dengan mata yang sepet dia memandang ke arah jam dinding.

“Ya Allah! Dah pukul lapan lebih?” Farhana bingkas bangkit. Dia memandang ke arah katil sebelah. Hamimi dilihat masih meringkuk tidak sedarkan diri. Dia bergerak ke pintu. Selak dibuka dan tombol pintu dipulas. Sebaik sahaja pintu terbuka, dia melihat Shakila dan Yasmin sudah berada di muka pintu utama.

“Baru bangun ke, Farah?” tanya Yasmin sambil menyarung kasut.

Shakila yang sudah berada di luar rumah, menjengah. Dia melemparkan senyum kepada Farhana.

“Yalah. Tidur mati aku. Alarm bunyi pun tak dengar.” Farhana membetulkan rambutnya. Bibirnya tersungging senyum.

“Okeylah, kita orang pergi dulu.”

Sebaik sahaja teman-temannya pergi, Farhana menutup pintu lalu menguncinya dari dalam. Kemudian dia melangkah ke dapur untuk menenggek air sebelum kembali ke bilik tidur. Dia merapikan katil bujangnya. Dia tidak suka melihat katilnya dibiarkan tanpa berkemas. Setiap kali bangun daripada tidur dia akan pastikan tempat dia beradu dan melepaskan lelah itu berkemas rapi. Seketika sekujur tubuh yang masih lena diulit mimpi di katil sebelah menangkap perhatiannya.

“Bangun wahai, Tuan Puteri Limau Purut.” Dia mengejutkan Hamimi.

Bantal kecil kepunyaan Hamimi yang terjatuh ke lantai dikutip. Dia memukul punggung Hamimi dengan bantal kecil itu. Hamimi masih tidak bangun malah mengalihkan posisi tidurnya pula.

“Hoi! Bangun. Dah pukul berapa dah ni? Matahari dah terpacak kat atas kepala masih nak membuta lagi...” bebelnya bagaikan ibu tiri yang mengejutkan anak-anak tirinya bangkit dari tidur.

Mendengar suara Farhana yang bagaikan petir itu, segera kelopak mata Hamimi terbuka luas. Dia terpaku. Di dalam fikirannya dia menghitung hari. Seketika kemudian baru dia tersedar hari itu dia bekerja syif petang. Dia bangkit lalu duduk di birai katil dengan perasaan lega. Kelibat Farhana yang sedang terbongkok-bongkok mengemas almari pakaiannya dipandang kosong.

“Aku terlepas solat subuh pagi tadi. Kau pun satu. Kalau aku tak bangun, alamat tak solatlah jawabnya.” Farhana membebel.

“Kan aku dah bagitau yang aku cuti? Kau lupa ke?”

“Kau ada bagitau aku ke? Entahlah, tak ingat.”

“Mana nak ingat, banyak benda lain lagi nak ingat, kan?” sindir Hamimi. Wajah Farhana yang masih belum mandi ditatap seketika.

Bibir Farhana menyungging senyum penuh makna. Dia beralih duduk di sisi Hamimi di birai katil.

“Orang cakap dia senyum pulak.” Hamimi berjeda. “Malam tadi balik lambat, pergi mana?” Dia ingin tahu.

“Adalah.” Farhana menjawab pendek.

“Berdating sampai tak ingat rumah tangga.” Hamimi menyindir.

“Bukan selalu. Sekali-sekala.” Farhana ketawa kecil.

“Masih baru memanglah sekali-sekala. Tunggulah sikit hari lagi. Setiap malam keluar sampai lupakan aku nanti.” Hamimi bimbang satu hari nanti hubungan mereka pasti renggang akibat kehadiran orang baru dalam hidup mereka.

“Mana boleh aku lupakan kau? Tanpa kau, aku rasa macam separuh dari hidup aku hilang. Kau tau tak?” Farhana tidak mahu kehilangan Hamimi yang sudah dianggap saudara itu. Jika mampu, dia mahu Hamimi tetap bersamanya sampai bila-bila.

“Apa Amirul cakap dengan kau semalam?” tanya Hamimi cuba mengorek rahsia.

“Cakap apa?” Soalan yang dijawab dengan pertanyaan oleh Farhana.

“Cakap apa-apalah. Ada?” tanya Hamimi seperti mendesak.

“Tak ada.” Farhana berterus terang. Tidak ada apa yang perlu disembunyikan dari Hamimi.

“Takkan dia tak cakap dia suka kat kau?” tanya Hamimi teruja.

“Gila ke apa? Takkanlah baru pertama kali keluar sama dah nak cakap pasal semua tu.” Farhana mengerutkan dahirnya.

“Eh... manalah tau, dia tak sabar-sabar nak mencurahkan perasaan. Takut-takut kalau dia tersyok sendiri,” gurau Hamimi.

“Tak adalah. Kami berbual hal-hal semasa aje. Tak sentuh pun pasal perasaan. Ada-ada aje kau ni.”

Hamimi ketawa suka. “Kau ada tanya dia pasal Qistina?”

“Ada. Dia kata dia dengan Qistina tak ada apa-apa cuma kawan biasa aje.”

“Boleh percaya ke cakap dia tu?”

“Biarlah dia. Lagipun kita orang bukan ada apa-apa pun. Kawan aje.”

“Mula-mula kawanlah, nanti lama-lama?”

Cubitan manja singgah di paha Hamimi. “Kau ni macam-macamlah.”

“Betullah apa yang aku cakap.” Hamimi menggosok-gosong pahanya akibat cubitan Farhana.

“Kita orang hanya berkawan saja, tak lebih dari itu.”

“Cuba kau terus terang kat aku, jangan bohong. Kau suka kat dia tak?”

Farhana menatap wajah Hamimi dalam. Ada senyuman yang terukir di bibirnya. “Kalau aku kata tak? Kau percaya ke?”

“Tak. Aku tak percaya. Kalau kau tak suka dia, kenapa kau terima pelawaan dia untuk keluar makan?”

“Pandai pun kau. Lagipun aku tak ada sebab kenapa aku tak suka dia. Dia baik dengan aku, jadi aku pun baik dengan dia. Salah ke?”

“Memang tak salah. Betul, aku setuju. Kita kena suka dengan semua orang yang berbuat baik dengan kita. Lagi satu aku nak tanya. Jawab ikhlas...”

“Apa lagilah kau ni?”

“Satu saja lagi soalan. Masa kau berdua-duaan dengan dia tu perasaan kau ada rasa lain macam tak?”

“Dahlah. Aku malas nak jawab. Dah pukul berapa dah ni. Aku pergi mandi lagi baik. Melayan kau sampai bila-bila pun tak habis.”

Farhana terus bangkit, dibiarkan soalan Hamimi itu tidak berjawab. Dia melangkahkan kaki menuju ke bilik  air meninggalkan Hamimi dengan seribu persoalan yang bermain di benaknya. 

Entah mengapa Hamimi gembira melihat Farhana berkawan dengan Amirul.



.

No comments:

Followers