Wednesday, September 4, 2013

HELO si MERAH JAMBU - BAB 28

.
Qistina mempamerkan wajah kurang senang. Meluat dia dengan perangai Amirul. Barulah dia tahu bagaimana sikap sebenar Amirul yang selama ini disembunyikan. Lelaki itu rupa-rupanya hanya berlagak alim. Kalau dengan dia ada sahaja yang tidak boleh. Banyak sungguh pantang larangnya. Tetapi kalau dengan gadis-gadis itu tadi, bukan main lagi dia. Lembut gigi dari lidah.

Sengaja Amirul membiarkan Qistina berjalan dengan jarak beberapa meter jauh daripadanya. Betul kata Qistina, Amirul memang tidak ada langsung sifat sopan santun kalau dengan dia. Sering sahaja kata-kata yang terhambur keluar dari mulutnya adalah butiran kata yang boleh menyakitkan hati orang yang mendengar. Tidak ada langsung lemah lembutnya jauh sekali bersikap romantik.

“Qistina, you nak pergi mana lagi tu?” tanya Amirul apabila melihat Qistina menonong sahaja tanpa menunggu dia.

Qistina tidak menjawab, apatah lagi berpaling. Jauh di sudut hatinya dia berharap agar lelaki itu akan mengejar dan mendapatkannya untuk memujuk. Tetapi itu semua bagaikan satu harapan kosong. Bukan dia tidak tahu dengan sikap Amirul yang sering sahaja berkasar terhadapnya. Dia sendiri tidak tahu mengapa lelaki kasar seperti itu boleh menundukkan egonya. Hairan sungguh dia. Padahal sebelum kehadiran Amirul ada beberapa orang lelaki lain yang bersungguh-sungguh mahu berdamping dengannya tetapi ditolak ke tepi.

Bukan calang-calang orang yang tergila-gilakan dia. Mereka itu bukan sahaja kacak, malah berpelajaran tinggi dan sangat mengambil berat. Bukan macam Amirul. Qistina betul-betul tidak faham dengan lelaki itu. Tidak cantikkah dia? Atau tidak cukup baikkah dia? Huh! Lelaki itu memang tidak sedar diuntung, desisnya. Mungkin dia mahu gadis yang cukup sempurna. Tetapi dia lupa, dirinya sendiri sempurnakah?

“Qistina,” panggil Amirul lagi apabila panggilan pertamanya tadi tidak diendahkan. Beberapa orang yang berhampiran menoleh pandang ke arahnya. “Qistina, you ni dah kenapa? I panggil berapa kali, tak dengar ke?” gumam Amirul setelah mendekati gadis itu.

“Apa dia?”

“You nak pergi mana lagi ni? I dah penat. Kita balik saja, boleh?” Qistina mengeluh keras.

“Kita datang sini hanya untuk makan saja?”

Amirul mengangguk. Tidak kuasa dia melayan cakap dengan Qistina. Kalau terus melayan pasti akhirnya tercetus pertengkaran. Dia sudah bosan dengan situasi itu. Oleh kerana desakan dan tidak suka mendengar leteran panjang mamanya, dia turuti kehendak wanita itu. Dia tidak kisah jika mamanya mendesak dia bertemu dengan Qistina asalkan jangan memaksa dia untuk memilih Qistina untuk menjadi teman istimewanya.

“Menyesal I maafkan you. Mama I yang sibuk suruh I jumpa dengan you. Kalau tidak I tak ingin, tau.” Qistina mengerling tajam ke arah Amirul. Geram sungguh dia. Kalau budak kecil mahu saja dia mencubit pipi lelaki itu.

“Terpulanglah pada you sama ada nak memaafkan atau tidak. Yang penting, I dah mintak maaf. You tau tak apa hukumnya orang yang tidak mahu memaafkan kesalahan orang lain? Berdosa besar tau.” Amirul menghela nafas.

“Dahlah. You ingat I ni tak tau dosa pahala ke?” Qistina melajukan langkahnya menuruni askalator.

“Baguslah kalau tahu. Tak perlu I nak jelaskan panjang lebar lagi.” Amirul mengekori Qistina. Dia mendengus. Kalau tidak kenangkan mamanya, mahu saja dia tinggalkan Qistina di situ. Bosan rasanya berkawan dengan orang yang hanya pentingkan diri sendiri. Dia hanya tahu sakit hatinya sahaja tanpa pedulikan perasaan orang lain.

“Suka hati youlah nak cakap apa. I tak kisah. Lagipun I jumpa you ni sebab papa dan mama I.” Qistina berbohong. Jika mama dan papanya tidak mendesak pun, dia dengan suka rela mahu ketemu dengan lelaki itu untuk memohon maaf di atas insiden yang berlaku malam itu. Dia tidak sanggup membiarkan Amirul menjauhkan diri. Lebih-lebih lagi apabila melihat reaksi Amirul terhadap Farhana tadi. Dia seperti dapat mengagak sesuatu.

“Kalau macam tu, lebih baik kita jangan banyak cakap lagi. Kaki I pun dah penat dah ni. Jom kita balik,” ujar Amirul.

Qistina sengaja berpura-pura seperti tidak mendengar. Wajahnya mencuka. Perasaannya terluka. Dia terus mengayun langkah tanpa arah tujuan. Sesekali bahunya berlanggar dengan orang yang berjalan menentang arus.

“Qistina,” panggil Amirul. Mahu rasanya dia merentap tangan Qistina supaya berhenti melangkah. Degil betullah perempuan ni!

“Kalau you nak balik, pergilah.” Qistina mempertahankan egonya.

“I yang bawa you ke sini dan jadi tanggungjawab I untuk hantar you balik ke rumah. You jangan degil, boleh tak?” Amirul naik geram. Dia mengetap bibir.

“Siapa yang degil? You ke I? Kalau dah sibuk sangat nak balik, pergilah balik. Tinggalkan aje I kat sini.” Qistina tetap berkeras.

“I tak fahamlah dengan you ni.”

“Tak faham sudah!”

“Suka hati youlah. I nak balik. Malas I nak layan perangai you yang degil ni. Tapi ingat, kalau I dengar you mengadu kat mama I kata I tinggalkan you, siaplah you.”

“You nak buat apa?”

“You tak perlu tau apa yang I akan buat. Tapi siaplah you,” ugut Amirul sebelum melangkah pergi.

Baru sahaja beberapa tapak Amirul melangkah, Qistina segera menoleh dan mengejar lelaki itu. “Susah betullah dia ni. Nak bermanja-manja pun tak boleh. Kita acah-acah aje, dia tangkap serius pulak,” omelnya.

“You nak pergi mana pulak ni?” tanya Amirul apabila perasan Qistina mengekorinya menuju ke tempat letak kereta.

“Nak baliklah.” Selamba Qistina menjawab.

‘Padan muka. Nak tunjuk keras kepala konon. Dia ingat aku ni senang dibuli. Sorry ya Qistina, kau salah orang.’ Puas hati Amirul kerana berjaya membuat Qistina menuruti kehendaknya.


Sepanjang perjalanan menuju ke rumah Qistina, mereka berdiam. Amirul hanya menumpukan perhatiannya ke jalan raya. Sengaja dia tidak mahu mencetuskan perbualan. Lebih baik diam daripada bercakap sesuatu perkara yang akhirnya akan berlaku pertengkaran antara mereka. Sesekali Amirul mengerling ke sisi. Tiba-tiba ingatannya terhadap Farhana meluap-luap. Hatinya berbunga setiap kali terbayangkan wajah mulus gadis itu. Nama Farhana bermain-main di bibirnya. Dia tersenyum-senyum.

Qistina yang duduk di sebelah berasa jengkel melihat gelagat Amirul. Tersengih-sengih seorang diri macam orang gila. Tapi kenapalah aku suka sangat dengan dia ni, desisnya di dalam hati.

Tanpa disangka secara tiba-tiba Amirul menekan brek sehingga tubuh mereka berdua terdorong ke hadapan. Mujur sahaja mereka memakai tali pinggang keledar. Kereta Amirul nyaris berlanggar dengan kereta di hadapan yang menekan brek kecemasan. Merah padam muka Amirul. Di dalam hatinya dia menyumpah. Qistina pula sudah menggigil ketakutan.

“You ni dah kenapa, hah?!” marah Qistina. Dia mengurut dada.

“Apa pulak I? You tak nampak ke kereta yang kat depan tu buat emergency break?” Amirul menuding jari ke arah kereta berwarna putih di hadapannya. Bunyi hon yang bertalu-talu dari belakang membingitkan telinga.

“Yang you ikut rapat dengan kereta tu kenapa?” Wajah Qistina berkerut-kerut. Matanya mencerlang. Perasaan marah yang masih terbuku di hati dilepaskan.

“You ni boleh diam tak? I tengah marah ni. Nasib baik tak berlanggar. Kalau berlanggar tadi, habis kereta I. You tau, tak?!” tengking Amirul. Rasa marahnya tidak dapat ditahan-tahan. Sudahlah keretanya hampir terlibat dengan kemalangan, Qistina pula menyalahkan dia. Bunyi hon kereta yang memekakkan telinga menyemarakkan api kemarahan yang sedia ada.

“Kalau kereta you rosak, boleh diganti. Tapi kalau I ni... kalau I ni yang luka parah, siapa nak jawab?!” herdik Qistina. Dia seperti mahu menangis.

“Kan I kata tadi, bukan salah I.” Amirul cuba bertenang. “Payah bercakap dengan orang yang tak faham bahasa ni.” Dia mendengus apabila melihat wajah Qistina yang tegang.

Lalu pintu kereta dibuka kasar. Amirul melangkah keluar untuk memastikan apa sebenarnya yang telah berlaku. Dia menjengah ke hadapan. Rupa-rupanya kereta di hadapan kereta putih itu telah melanggar seekor anjing. Anjing itu masih hidup dan kelihatan cuba berjalan dengan kaki terhincut-hincut untuk ke tepi. Insiden itu menyebabkan kelancaran jalan raya terganggu. Namun dalam beberapa minit kemudian keadaan kembali pulih semula. Dan Amirul pun meneruskan perjalanannya untuk menghantar Qistina pulang dengan perasaan sebal.




No comments:

Followers