Sunday, September 15, 2013

HELO SI MERAH JAMBU - BAB 30

.
Tengah hari itu, Farhana dan Hamimi duduk di bangku kayu berhampiran dengan kilang sementara menunggu waktu untuk mula bekerja. Sedang mereka leka berbual-bual tiba-tiba mereka didatangi seseorang. Gadis itu memberi salam sebagai sapaan. Pada mulanya mereka berdua agak terkejut juga dengan kehadiran gadis itu. Mereka tidak menyangka setelah agak lama tidak berbual mesra, apatah lagi bertegur sapa tiba-tiba dia datang menyapa.

“Aku datang ni nak minta maaf dengan kau orang berdua.” Gadis itu kelihatan serba salah. Mungkin dia bimbang sekiranya kehadirannya tidak disenangi oleh kedua gadis itu.

Farhana dan Hamimi saling berpandangan kemudian pandangan mereka tertancap ke sesusuk tubuh yang sedang berdiri di hadapan mereka itu.

“Dah lama kami maafkan kau, Jiha.” Farhana memulakan bicara. Biarpun dia tahu kata-kata itu ditujukan kepada Hamimi.

“Selagi aku tidak minta maaf secara peribadi dengan kau orang, aku rasa tak puas hati,” tambah Jiha lagi lalu menghulurkan tangan kepada Farhana untuk bersalam.

Farhana menyambut huluran tangan Jiha dengan hati yang ikhlas. Kemudian Jiha mengalihkan perhatian pada Hamimi pula yang kelihatan berdiam sahaja tanpa sebarang reaksi.

“Mimi, aku minta maaf banyak-banyak. Aku tak sepatutnya tuduh kau dulu.” Jiha menghulurkan pula tangannya kepada Hamimi yang tidak berkalih pandang.

Huluran tangan itu disambut baik oleh Hamimi. “Aku pun sama nak minta maaf. Aku pun salah jugak sebab berkasar dengan kau.”

“Sebenarnya hari ini hari akhir aku bekerja di sini. Aku nak berhenti kerja.” Jiha duduk di tengah-tengah antara Farhana dan Hamimi.

“Kau nak berhenti? Kenapa?” tanya Hamimi ingin tahu.

“Aku dapat tawaran sambung belajar. Aku tak nak lepaskan peluang tu dan aku terima saja atas nasihat keluarga aku.” Jiha senyum. Kegembiraan terpancar jelas di matanya.

“Tahniah dari aku.” Hamimi meletakkan tangannya di bahu Jiha.

“Tahniah jugak dari aku. Kau dah buat pilihan yang terbaik. Aku doakan kau berjaya menamatkan pelajaran kau nanti.” Farhana mencelah dengan wajah gembira.

“Terima kasih. Aku juga akan mendoakan untuk kau orang berdua. Semoga kau orang pun akan berjaya dalam hidup. Aku akan rindukan tempat ini. Dan aku juga akan rindukan kau orang berdua. Aku kesal sebab selama setahun setengah aku di sini, kita hanya sempat berbaik sekejap aje. Aku mengaku aku silap pilih kawan,” ujar Jiha sayu.

“Sudahlah. Kita lupakan semua tu. Yang penting sekarang kau kena tumpukan perhatian kau pada pelajaran kau. Dan kau kena janji dengan aku, kau jangan datang kerja kat sini lagi sebagai minah kilang. Kalau kau nak kerja sini jugak, pastikan kau jadi pengurus kilang,” kata Hamimi disambut dengan gelak.

“Jom, dah nak dekat pukul dua,” ajak Farhana.

Mereka bertiga bergandingan melangkah masuk ke dalam kilang tempat mereka bekerja. Suatu ketika dulu mereka kerap bersama tetapi setelah mengenali Lola, Jiha meninggalkan mereka. Hari-hari berikutnya tidak akan ada nama dan kelibat Jiha di kilang itu lagi. Semuanya sudah jadi kenangan terindah untuk dikenang bagi Jiha.


“Farah, balik kerja nanti boleh aku jumpa kau sekejap. Ada hal sikit nak cakap,” kata Syukur cuba memberanikan diri. Dia sudah nekad untuk bersemuka dan berterus terang dengan gadis itu. Dia mahu meluahkan perasaan yang selama ini terbuku di hati. Sudah tiba masanya untuk dia mencurahkan isi hatinya terhadap Farhana. Tidak boleh bertangguh-tangguh lagi.

Farhana yang ketika itu bersendirian ke kafe untuk membeli air minuman, terkedu. Dari jauh dia sudah nampak kelibat Syukur berjalan menuju ke arahnya. Dia sudah mengagak lelaki itu mahu bercakap sesuatu dengannya. Tetapi wajah lelaki itu tidak seceria selalu. Ke mana perginya sapaan mesra dan gurau sendanya yang dulu? Ketara benar perubahan sikapnya terhadap dia.

“Ada apa, Ako?” tanyanya. Sudah lama dia tidak menyapa tetapi tiba-tiba pula mahu berjumpa. Ada perkara pentingkah yang mahu dikongsikan dengannya?

“Nanti balik kita jumpa, ya? Kalau boleh aku nak jumpa dengan kau sorang aje. Aku tak mahu Mimi ada. Aku ada hal. Penting sangat.” Pandangan mata Syukur tidak lepas daripada  memandang wajah Farhana. Tidak berkedip matanya.

“Baiklah.” Pelbagai persoalan yang datang menghimpit fikiran Farhana. Semakin lama dia berfikir semakin banyak pula soalan yang bertandang.
Setelah berpuas hati dengan jawapan daripada Farhana, Syukur berlalu pergi. Dia melemparkan senyuman. Ternyata senyum itu tidak ikhlas.

Farhana kembali masuk ke kilang dengan seribu tanda tanya di benaknya. Langkahnya deras. Dia tidak ke tempatnya bekerja sebaliknya dia terus ke tempat Hamimi. Dia mahu mengkhabarkan kepada Hamimi tentang berita pertemuan dia dengan Syukur di kafe tadi. Dan yang paling penting dia mahu memberitahu Hamimi supaya dia tidak perlu menunggunya malam nanti kerana Syukur mahu berjumpa dengannya seorang.

“Ada apa hal dia nak jumpa dengan kau? Sorang-sorang pulak tu.” Timbul curiga di hati Hamimi.

“Entahlah. Dia kata penting. Kau agak-agak pasal apa, ya?” Farhana bertanya. Dia juga tidak pasti apa berita yang mahu lelaki itu sampaikan kepadanya sehingga Hamimi tidak dibenarkan ada sama.

“Agaknya dia nak bercerita pasal masalah keluarga dia pada kau kut. Mungkin dia nak mintak pendapat kau ke? Dia kan ada lagi dua orang adik yang masih bersekolah kat kampung?” teka Hamimi.

“Ya tak ya jugak. Betul cakap kau, mungkin dia nak berkongsi cerita dengan aku pasal tu agaknya. Tapi... Tapi kenapa dia tak nak kau ada sama?” Farhana meluahkan kecurigaannya.

“Kau macam tak tau, aku mana boleh dekat dengan dia. Nanti niat dia nak meluahkan perasaan tak sampai, aku dengan dia pulak yang bertekak tak sudah-sudah. Kau jugak yang pening kepala nanti. Tak apalah. Kau pergi sajalah. Nanti malam aku baliklah dengan budak-budak lain,” jelas Hamimi.

Dia sedikit pun tidak berasa hati apatah lagi cemburu apabila mengetahui dirinya tidak diperlukan. Dia sudah dapat mengagak bagaimana situasinya nanti kalau dia juga turut ada sama di dalam babak mencurah perasaan itu. Biarlah Farhana seorang saja yang pergi.

“Kalau macam tu, okeylah. Balik nanti kau tak payahlah tunggu aku,” kata Farhana sebelum beredar dari situ.


Tumpuan Farhana terhadap kerjanya sedikit terganggu. Dia tidak sabar untuk menunggu saat untuk berjumpa dengan Syukur nanti. Dia sungguh-sunguh mahu tahu apa sebenarnya yang membelenggu fikiran lelaki itu sehingga dia berubah menjadi seperti orang lain. Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, lain benar sikapnya.

Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Walaupun deringannya diperlahankan tetapi dia masih dapat mendengarnya kerana telefon itu diletakkan di atas meja kerjanya. Dia menoleh melihat skrin telefon bimbitnya. Nama Amirul tertera di situ. Jantungnya tiba-tiba sahaja berdebar. Dengan perasaan teruja dia mencapai telefon itu.

“Assalamualaikum.” Farhana memberi salam sebaik sahaja mendengar suara lelaki itu ditalian.

“Waalaikumussalam, Farah.” Kedengaran suara Amirul ceria.

“Saya sedang bekerja ni, ada apa awak telefon?”

“Saya balik lewat hari ni. Nanti malam saya hantar awak balik, ya.”

“Apa? Awak nak hantar saya balik?”

“Kita pergi makan dulu, lepas tu saya hantar awak balik. Boleh tak?”
Tanpa berfikir panjang, Farhana bersetuju. Entah kenapa, pelawaan Amirul itu seperti susah benar untuk ditolaknya. “Okeylah. Nanti saya tunggu awak di luar. Awak tak perlu telefon saya sebab telefon saya dah kehabisan bateri,” jawabnya menamatkan perbualan mereka. Hatinya berbunga-bunga.

Lenyap sudah kebimbangannya terhadap Syukur yang menyesakkan fikirannya tadi. Rasa teruja untuk bertemu Amirul mengatasi perasaan lain. Hatinya melonjak riang. Dirinya yang resah tadi berubah ceria. Tidak sabar rasanya untuk bertemu sehinggakan waktu terasa lambat berlalu. Dia mahu segera menyudahkan kerja supaya fikirannya tidak terbeban memikirkan kerja-kerja yang belum selesai nanti.

Tetapi tiba-tiba dia diburu rasa serba salah apabila teringatkan janjinya dengan Syukur. ‘Alah, esok sajalah aku jumpa dengan dia.’

Tanpa disedari waktu kerja sudah berakhir. Dengan tergopoh-gapah Farhana berkemas. Kemudian dia ke bilik air untuk membasuh muka dan menempek sedikit bedak muka dan mencalit gincu ke bibir agar kelihatan sedikit berseri. Farhana tidak sempat untuk memberitahu Syukur yang dia tidak dapat berjumpa dengannya malam nanti. Dan dia juga terlupa untuk meninggalkan pesanan kepada Hamimi tadi. Hamimi pula sudah pulang tanpa berjumpa dengannya terlebih dahulu. Hendak menghubunginya melalui telefon, baterinya pula sudah kehabisan.

Farhana bergegas menapak keluar. Dia bimbang terlambat. Dan yang paling membimbangkannya jika bertembung dengan Syukur di luar nanti. Dia perlu cepat untuk mengelak daripada terserempak dengan lelaki itu. Tidak dapat dia bayangkan bagaimana keadaannya nanti andai itu benar-benar berlaku. Bukan dia tidak risaukan Syukur tetapi kehadiran Amirul lebih diutamakan ketika ini. Dia sangat senang dan selesa bila berdamping dengan lelaki itu. Entah kenapa setiap kali berada dekat dengan Amirul, seperti ada satu perasaan yang menjalar ke dalam jiwanya. Menyebut nama Amirul saja sudah cukup membuatkan dia penasaran.

Setelah beberapa ketika menunggu di tempat yang telah dijanjikan, kelibat Amirul dilihat berjalan menuju ke arahnya. Wajah lelaki itu kelihatan berseri-seri, bibirnya sentiasa dihiasi senyuman. Semakin dekat semakin lebar senyumnya.

“Jom, Farah.” Amirul melangkah ke keretanya yang terparkir tidak berapa jauh dari tempat itu.

Farhana mengekori lelaki itu dari belakang sambil mata melilau memandang sekeliling. Bimbang kalau-kalau Syukur ada di situ.
Sebaik sahaja mereka masuk ke dalam kereta, Amirul terus menghidupkan enjin sekali gus menekan punat penghawa dingin. Tidak sah kalau tidak memasang radio. Kalau sehari Amirul tidak mendengar lagu terasa sunyi hidupnya lalu punat radio ditekan. Serta-merta berkumandang lagu cinta masa kini yang sering diputarkan di stesen-stesen radio. Kebetulan Farhana suka lagu itu. Di dalam hatinya dia turut beryanyi sama. Sejurus tali pinggang keledar dipasang, perlahan-lahan kereta Honda City itu bergerak meninggalkan kawasan kilang.

Sewaktu kereta yang dinaiki melintasi tempat meletak motosikal, Farhana ternampak kelibat Syukur di situ. Dia tahu lelaki itu sedang menunggunya. Mujur sahaja jarak laluan kereta agak jauh sedikit dari tempat itu. Rasa simpati terhadap lelaki itu tiba-tiba menyelinap ke dalam hati. Serba salah dia dibuatnya.

“Diam aje, kenapa?” tanya Amirul.

“Err... tak ada apa-apa.” Farhana gugup.

“Saya nak bawak awak makan nasi lemak kukus berlauk. Awak suka tak makan nasi lemak?” Amirul kedengaran ceria.

“Dah malam-malam buta begini nak makan nasi lemak?” Bukan Farhana tidak biasa makan pada waktu dinihari begitu, tetapi tidaklah sehingga makan nasi lemak.

“Alah... sekali-sekala, bukannya selalu.”

“Kalau sarapan pagi, bolehlah. Tapi... tengah-tengah malam macam ni, taklah kut. Nasi lemat berat sangat. Takut nanti tak boleh tidur dibuatnya, sebab kekenyangan.” Sesekali Farhana menoleh ke sisi, memandang wajah Amirul yang sejuk mata memandang. Lelaki itu mempunyai kening yang lebat dan bola matanya berwarna coklat. Hidungnya pula mancung iras pelakon Hindustan. Rambutnya lebat tetapi kemas disikat ke belakang.

Setiap kali melihat wajah itu, bagaikan ada satu rasa yang menyelinap ke jiwanya. Naluri apa yang menerpanya di kala itu? Dia jadi keliru dan tertanya-tanya. Adakah itu yang dinamakan cinta? Cinta pandang pertama? Oh, tidak mungkin! Mana mungkin dia menyimpan perasaan itu terhadap Amirul? Perkenalan mereka baru sahaja terjalin. Bimbang kalau-kalau dia seorang sahaja yang perasan. Sakitnya hati kalau bertepuk sebelah tangan.

Sepanjang perjalanan menuju ke destinasi, Amirul dan Farhana saling berbual mesra. Keresahan Farhana terhadap Syukur sudah mulai reda. Yang pasti, hatinya kini berbunga bahagia.


Syukur gelisah. Kedinginan angin yang meniup menusuk ke tulang. Dia memeluk tubuhnya. Sekejap-sekejap dia memandang jam di pergelangan tangan. Setelah penat berdiri dia duduk dan kemudian berdiri semula. Telefon bimbit di dalam kocek seluar dikeluarkan. Dia meneliti telefon itu kalau-kalau ada mesej atau panggilan yang dia tidak perasan. Hampa. Dia cuba untuk membuat panggilan, manalah tahu andai Farhana terlupa akan janji mereka. Malangnya talian tidak dapat dihubungi seolah-olah berada di luar kawasan. Syukur menarik nafas panjang.

Perasaannya jadi tidak menentu. Rasa geram dan marah bercampur baur. Apa sebenarnya yang telah berlaku kepada gadis itu? Dia terlupakah atau sengaja lupa? Selama ini dia dilihat seperti seorang saudara yang sangat mengambil berat tentang dirinya. Tetapi kenapa apabila dirinya menghadapi masalah, tiba-tiba dia seperti mahu menjauhkan diri pula.

Dia teringatkan Hamimi. Lantas dia mencari nombor telefon Hamimi di dalam lis telefon bimbitnya. Berkali-kali dia cuba menghubunginya tetapi tidak berjawab. Suasana sekeliling semakin sunyi. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk beredar dari tempat itu dengan perasaan hampa.



Malam itu, Syukur tidak dapat tidur. Puas dia cuba melelapkan mata namun gagal. Setiap kali dia cuba melelapkan mata, setiap kali itu jugalah seraut wajah gadis yang dipuja itu hadir dalam ingatannya. Jiwanya jadi kacau. Dia menukar posisi tidurnya. Mengiring ke kiri kemudian ke kanan. Kemudian dia terlentang. Matanya berkedip-kedip memandang kipas yang ligat berputar.

‘Sampai hati Farah mungkir janji. Kenapa sewaktu aku tanya siang tadi dia setuju? Kalau tak nak jumpa, cakap sajalah. Bukan aku kisah pun. Ini tidak. Kata okey, tapi tak muncul-muncul. Sakit betul hati aku,’ omel hatinya.

Apakah yang Farhana cuba buktikan? Marahkah dia kepada dirinya? Seingatnya, dia tidak pernah berbuat salah apatah lagi menyakitkan hati gadis itu. Tetapi kenapa dia memungkiri janji? Kalaulah dia tahu betapa aku sayangkan dirinya, bagaimanalah agaknya reaksi Farhana? Sukakah atau sebaliknya menjauhkan diri?

Fikirannya buntu dan bercelaru. Mungkin Farhana tidak perasan dan tidak pernah merasai kelainan yang dia cuba pamerkan selama ini. Atau mungkin juga Farhana pura-pura tidak mengerti. Atau tidak pernah ambil peduli. Mentang-mentanglah dia hanya pekerja kilang. Tapi hinakah pekerja kilang yang menggunakan tulang empat keratnya sendiri tanpa meminta belas ihsan orang lain? Gaji yang diperoleh  setiap bulan adalah halal hasil titik peluh sendiri. Atau dia yang sepatutnya sedar akan kekurangan diri yang tidak memiliki wajah tampan apa lagi personaliti yang menarik?

Pelbagai soalan yang menerjah mindanya. Bertalu-talu. Fikirannya jadi runsing. Kepalanya sakit berdenyut-denyut. Sesekali dia memicit kepalanya sendiri. Perasaannya tidak dapat digambarkan. Kalau menjerit boleh meredakan kekusutan, mahu saja dia lakukan itu. Kalau lelehan air mata boleh melegakan perasaannya yang gundah, dia sanggup beresak tangis asalkan semua perasaan itu lenyap daripada hidupnya.

Ternyata Farhana tidak menganggapnya lebih daripada seorang kawan. Hanya dia yang tersalah sangka. Kecewa sungguh bila mengenangkan semula detik-detik kemesraan yang terjalin sekian lama. Sia-sia belaka. Syukur menumbuk bantal untuk melepaskan rasa marah dan sakit hati.

Bila difikirkan semula, apalah guna memaksa jika orang sudah tidak suka? Apalah guna bersedih jika orang tidak sudi. Syukur mengeluh dalam. Nafasnya terasa sesak. Wajah Farhana terbayang-bayang di mata. Pedihnya hati hanya Allah yang tahu. Sesungguhnya, jauh di sudut hatinya dia mengharap Farhana tidak membencinya. Akhirnya tanpa disedari, dia terlena.

.

No comments:

Followers