Tuesday, July 5, 2011

IRAMA SEMALAM - BAB 29

.
            Biasanya hari isnin adalah hari ‘moody’.  Kemalasan yang melanda tidak mengira siapa termasuk aku.  Mentelahan  pula hari ini aku bertolak ke pejabat dari rumah kedua orang tua ku.  Berat rasanya hati untuk pergi meninggalkan mereka setelah dua hari aku luangkan waktu bersama mereka.  Aku berharap akan ada lagi peluang untuk bersama seperti kelmarin.  Ibu membekalkan beberapa keping sandwich yang diletakkan di dalam bekas plastik.  Teringat sewaktu aku masih anak dara dulu, ibu rajin menyediakan bekalan untuk aku bawa ke pejabat sehingga aku tidak perlu keluar makan di waktu tengahari.  Begitu tersentuh hati kecil ini dengan bekalan yang ibu hulurkan kepada aku tadi pagi.  Aku memeluk ibu erat sebelum memohon diri untuk ke pejabat.
Pagi ini jam 11 aku perlu menghadiri mesyuarat pengurusan syarikat.  Biasanya mesyuarat ini diadakan dua kali dalam masa sebulan.  Untuk mesyuarat pengurusan ini, sebagai pengurus untuk jabatan ku, aku harus membentangkan lapuran-lapuran jualan termasuklah jumlah harga keseluruhan jualan dan koleksi yang bakal syarikat perolehi dari jualan-jualan itu.  Aku juga perlu mengemukakan masalah-masalah yang dihadapi bagi pihak pembeli dan memberi cadangan bagaimana untuk menyelesaikan masalah itu bagi pihak jabatan ku pula dan juga beberapa perkara lain yang berbangkit.  Nasib ku begitu baik kerana mempunyai kakitangan yang sangat berwibawa dan boleh membuat kerja tanpa menunggu arahan.  Sebelum mesyuarat bermula, Dida sudah menyediakan fail minit mesyuarat dan beberapa dokumen untuk ku bawa bersama di dalam mesyuarat itu.  Aku ke tingkat enam kerana mesyuarat pengurusan itu diadakan di bilik mesyuarat di pejabat Dato’.  Kelihatan Dino, Zali dan beberapa peguam-peguam yang terbabit dengan projek kami ada di ruang lobi di luar bilik mesyuarat sementara menunggu Dato’ tiba. 
“Kenapa duduk  di luar? Jom lah masuk ke meeting room” ujar ku. 
Daun pintu bilik mesyuarat dibuka dan semua yang terlibat  melangkah masuk.  Mesyuarat  akan dipengurusikan oleh Dato’ Badrul.  Dino kelihatan duduk selang satu kerusi dari tempat ku.  Aku tidak dapat melihat dia seperti selalu kerana biasanya dia akan memilih tempat berhadapan dengan tempat aku duduk.  Dia seperti mahu menjauhkan diri dariku, mungkin dia berasa jauh hati dengan ku kerana sejak peristiwa di tempat letak kereta minggu lepas aku seperti seolah-olah cuba larikan diri darinya.  Sesekali aku mengerling ke arahnya di sana, wajahnya kelihatan selamba seperti pura-pura tidak perasankan kewujudan aku di situ.  Mesyuarat bermula sebaik Dato’ Badrul masuk dan duduk di kerusi khasnya dan mesyuarat terus berjalan seperti lancar. 

              Kemungkinan besar Azry terpaksa berada di JB sehingga beberapa hari lagi, katanya semasa menghubungi aku melalui telefon siang tadi.  Banyak tugas yang harus diselenggarakan tetapi dia berjanji akan menghubungi ku lagi nanti.  Aku tidak mahu terlalu mendera fikiran ku sendiri dan aku tidak mahu melayan perasaan yang berbolak balik yang menerpa tangkai hati.  Aku perlu berfikiran positif.  Azry ke sana atas urusan kerja dan bukan melakukan perkara-perkara yang tidak baik.  Dan aku tidak perlu menyiasat dengan menghubungi pejabatnya untuk mengetahui adakah benar dia ke JB atas urusan kerja atau sebaliknya.  Aku rasa benar-benar berdosa kerana mulai curiga terhadapnya. 
Petang ini aku tidak ada ‘mode’ untuk membelek semua kertas-kertas kerja yang berselerak di atas meja kerja ku.  Aku bingung, fikiran ku kusut.  Emosi ku terganggu. Semakin banyak aku memikir semakin merungsingkan kepala otak ku yang telah sedia berserabut ini.  Lalu aku melangkah keluar dengan telefon bimbit di tangan.  Aku terus menaiki anak tangga ke tingkat satu. 
“Hai Mimi” teguran ku disambut dengan senyum lebar. 
“Kau cari aku ke cari Dino?” tanya Mimi yang memakai baju kurung merah jambu. 
“Aku datang sini cari kaulah, siapa lagi?”. 
“Iya ke?  Macam tak percaya je” usik Mimi.  Aku memerhatikannya dengan seulas senyuman. 
“Aku ada hal nak discuss dengan Dino pasal meeting tadi.  Kau ingat aku nak borak-borak kosong je ke?” sindirku. 
“Hai, manalah aku tau.  Kot kot nak meluahkan masalah yang membendung di hati ke?” teka Mimi. 
“Kau ni mengarut jelah.  Dahlah, pergi buat kerja kau, kang aku repot kat Encik Zali kau tu nanti, baru padan muka”  aku ketawa apabila melihat Mimi ketawa lalu pergi meninggalkannya dengan ketawa yang masih bersisa.
            Pintu bilik pejabat Dino yang bertutup ku ketuk.  Dan aku terus menolak daun pintu dan mengintai ke dalam.  Salam yang diberi berjawab.
“Boleh saya masuk?”. 
“Masuklah, pintu tak berkunci.  Mimpi apa ni?” jawab Dino sambil bersandar di kerusinya.  Wajah Dino kelihatan manis dengan senyuman. 
“Hai, datang ke bilik pejabat you ni kena ada mimpi ke baru boleh datang?” perliku lalu duduk di depannya.
“Patutnya tadi you interkom I bagitau yang you nak datang ke ofis I ni, boleh I siapkan karpet merah dengan beras kunyit sekali” usikan Dino buat hati ini sedikit terhibur. 
“Buat apa?” tanyaku.  Aku memandang wajah lelaki itu yang tidak kurang kacaknya.  Wajahnya dihiasi sedikit kumis yang dijaga rapi.
“Sambut you datanglah” ada riak gembira di air mukanya.
“Ada-ada je you ni”  suasana sunyi sebentar.
“Kenapa dengan you ni, sejak menjak ni I tengok macam nak  lari je dari I, you marah I ya?”  Dino tergamam dengan pertanyaan ku.
“I marah you?  Mana pernah I marahkan you.  Tak ada sebab nak marah. Tak tau lah I kalau you pulak yang marah kat I sebab insiden di basement kelmarin” terang Dino.
“Kan I dah maafkan you pasal hari tu.. so janganlah nak ungkit-ungkit lagi pasal tu, ok?” ujarku.
“I ingatkan you merajuk dengan I.  Bila I tanya sepatah, sepatah you jawab, macam tak suka je nak bercakap-cakap dengan I” wajah Dino berubah.
“Tak adalah, I ok je”  aku cuba sembunyikan perasaan yang gundah.
“Hubby you mesti tak ada kat sini kan sekarang ni?” Dino cuba meneka.
“A’ah, dia ke JB seminggu.  Hari jumaat nanti baru balik.  Tapi I dah biasalah kalau hubby I tak ada.  Dia memang selalu outstation”.
“You tak risau ke, bila dia selalu pergi outstation tu?”  Dino seakan mendugaku.
“Nak risau apa pulak?  Dia pergi kerja bukan pergi melancung makan angin”.
“Manalah tau, asyik pergi outstation je, tau-tau dah ada branch kat tempat lain”,  usik Dino lagi.
Branch tempat lain?  Memang company dia ada banyak branch kat tempat lain, sebab tu dia kena pergi sana sini”  jawabku selamba tetapi jauh di sudut hati hanya Allah yang mengetahui.  Tetapi aku pura-pura tidak mengerti.
“Bukan branch yang itu, maksud I branch yang lagi satu tu”, Dino cuba berseloroh.
“Oh maksud you rumah lainlah ni ek?” Dino mengangguk dengan senyuman mengusik.
“Tak apalah, lelakikan boleh kahwin empat” aku pula cuba provok.
“Memanglah lelaki boleh kahwin empat, tapi you tu boleh terima ke?  Jangan kata kahwin entah-entah baru tahu ada skandal je pun dah nak mengamuk sakan” Dino ketawa, suka betul dia menyakat aku begitu.
“Kalau dia boleh ada skandal, I pun boleh ada skandal jugak” Dino terdiam dan tercengang.
“Biar betul you ni, ada beranikah?”.
“Tak adalah, I saja je cakap macam tu, you ni ingat I ni dah tak waras ke?”  aku cuba menyangkal.  Dino terus ketawa menampakkan kekacakkan wajah seorang lelaki pujaan wanita Malaya.
“You ni suka buat lawaklah Sara, itu yang I suka berborak dengan you ni.  Hati gundah pun boleh jadi terhibur” ketawanya masih bersisa.
“Hati you gundah?  Biar betul Dino, macam tak percaya je..  I tengok you tu selalu happy jer…”.
“Itulah you tak tau, orang nampak zahirnya saja ketawa tapi di dalam hati menangis orang tak tau..”  luah Dino sinis.
“Makanya Encik Dino, berterus teranglah jangan suka simpan di dalam hati akibatnya makan hati, kalau makan hati boleh cepat mati tau” usikku sambil terus ketawa lalu beredar dari situ tanpa memandang ke belakang.

            Aku menerima panggilan dari Irfan lagi buat kesekian kalinya.  Aku merasa begitu gembira.  Adakah itu menandakan Irfan  selalu mengingati aku?  Ahh, sehingga ke situ pula fikiran ku melayang. 
Busy ke hari ni?” suara Irfan masih seperti dulu.
“Adalah sikit-sikit kerja yang kena dibereskan.  Awak call dari mana ni?”.
“Dari mana lagi?  Ofislah.  Tapi lepas ni nak keluar ada appointment. Oh ya! Esok I ada meeting somewhere dekat office you tu, so I ingat since ada area sana nak ajak you lunch, boleh tak?  Itu pun kalau you tak keberatanlah”  hatiku berdebar-debar dengan tiba-tiba.  Aku tersentak disaat itu. Berjumpa?  Aku tidak pernah berharap sejauh itu.
Hallo! Sara, are you still there?” tanya Irfan memecah kesunyian itu.
“Ya, I masih di sini.  Emm.. OK lah.  Pukul berapa tu?” tanya ku gugup.  Betulkah apa yang aku lakukan ini? Oh..aku seperti tidak percaya.
Meeting tu pukul 10 pagi.  Habis pun mungkin dalam pukul 11.30 kot, so kita jumpa dalam pukul 12? Is it fine?  I’m not forcing you.  Up to you, kalau tak boleh tak apa”  suara Irfan mengendur.  
“Boleh, no problem” cepat saja ayat-ayat itu terhambur keluar dari mulutku.
“So, I tunggu you di mana?”. 
Persetujuan ku membuat Irfan gembira, jelas kedengaran dari tona suaranya.  “Bangunan ofis you yang tinggi tu kan?  Bangunan Mercu Jaya, kan?”. 
“Pandai you teka”  puji ku. 
“You tunggu di depan bangunan tu je, boleh?”  cadang Irfan. 
“You nak ambil I dan kita pergi makan tempat lain?”. 
“Kalau di luar boleh?  Kalau tak boleh, tak apalah , dekat ofis you pun ok”.
“I rasa dekat sini jelah, ye” cadang ku. 
“Ok, no problem.  I tak kisah mana-mana pun boleh, asalkan you setuju”. 
Kami terdiam sebentar. 
“Lama kita tak jumpa ya Sara.  Macamanalah agaknya nanti?”.
 “Macamana apa pulak?”   hembusan nafas Irfan jelas kedengaran. 
“Entahlah, rasanya masa dan jarak waktu yang memisahkan kita terlalu lama.
Berdebar-debar jugak nak berhadapan dengan you nanti” luah Irfan. 
Engkau berdebar Irfan?  Aku apatah lagi.  Jangan kau tanya perasaan aku bagaimana.  Sudah tentu debaran ku melebihi apa yang kau rasa.   Ahh! Kita tunggu saja, bagaimana esok nanti disaat pertemuan dua mata, dua hati dan dua jiwa yang dulu pernah menjadi satu tetapi kini…. terasing.


No comments:

Followers