Monday, July 18, 2011

IRAMA SEMALAM - BAB 31

.
Mimi, kenapa kau masih lagi sendiri?” soalku pada Mimi semasa kami sedang menikmati makan tengah hari di sebuah restoran berhampiran pejabat.
Mimi memandang wajahku sekilas, kemudian menyuapkan mi goreng ke mulutnya dengan garpu. Agak lama dia terdiam. Aku serba salah kerana menanyakan soalan yang mungkin menggoreskan hati dan perasaannya. Aku tidak sepatutnya bertanya soalan begitu ketika waktu makan.
Sorrylah, Mimi... aku tak berniat nak buat kau rasa sedih. Kalau kau tak nak jawab, tak apa. Lupakan saja,” pujukku pada Mimi yang kelihatan sugul sebaik sahaja soalan itu aku ajukan.
It’s okay. Aku tak ada apa-apa. Cuma aku tak tahu di mana hendak mulakan cerita,” jelas Mimi sebelum meneguk minumannya.
“Cerita dari mulalah,” balasku sambil merenung wajah Mimi yang tidak kurang cantiknya dari kaca mataku.
“Aku dah lama lupakan peristiwa tu.” Mimi terus tertunduk.
“Kau pernah bercinta?” tanyaku tidak sabar.
“Bagi aku, cinta tu harganya tiada tandingan. Cinta tu bukan boleh dijual beli. Dan cinta bukannya boleh dibina dalam masa sehari dua, ianya memakan masa. Sekali aku jatuh cinta, aku akan cinta orang tu sampai bila-bila. Tetapi sekali cinta aku dipermainkan, tak ada cinta lagi dalam hati aku ni.” Keluhan dilepaskan.
“Dia dah bawa pergi cinta aku yang satu ni, Sara...” sambung Mimi penuh emosi.
Aku faham dan turut simpati.
“Tapi kau tak boleh terlalu prejudis. Engkau kena tabah dan kuat menghadapi semua tu. Semua orang pernah melalui perasaan putus asa. Orang tua-tua kata jangan ikutkan hati, nanti mati. Ikutkan rasa, binasa kita, Mimi.” Wajah Mimi kutatap.
“Aku tak kisah apa orang nak kata. Orang nak kata anak dara tua ke, kertu ke, andartu ke... whatever. Suka hati dia orang. Mulut tempayan boleh ditutup, tapi mulut manusia... sabar ajelah.” Mimi mempamerkan senyuman. Ternyata senyuman itu bukan lahir daripada hati yang ikhlas.
“Sebab itulah aku malas nak balik kampung kalau tak ada hal penting kecuali bulan puasa dan hari raya. Itu pun dua tiga hari aje aku boleh tahan. Aku tak suka bila orang sibuk bertanya bila aku nak kahwin. Dan kadang-kadang memberitahu aku, si polan dah bertunanglah, si anu dah kahwinlah, orang tu dah beranak dua tigalah... eh, suka hati akulah. Yang penting, aku kerja cari duit sendiri dan tak menyusahkan hidup orang lain, kan?” luah Mimi geram.
Mi goreng di pinggan sudah licin dimakan walaupun dalam keadaan beremosi. Sesekali dia meneguk minuman tanpa menggunakan penyedut air biarpun telah disediakan.
“Aku bukannya nak membantah dan tak juga menyokong pendapat kau tu seratus peratus. Tetapi satu hari aku harap hati kau akan terbuka jugak nanti. Kalau kau kahwin dalam masa terdekat ni, akulah orang yang paling gembira untuk kau, Mimi,” kataku dengan perasaan simpati yang menggunung terhadapnya.
“Terima kasih, Sara. Kaulah kawan yang memahami perasaan aku. Kau doakan aku cepat bertemu jodoh ya? Doa banyak-banyak.” Tanganku digapai, lalu diusap lembut.
“Apasal pulak aku yang kena doa banyak-banyak? Lebih afdal dan lagi termakbul kalau kau sendiri yang memohon dan berdoa. Lebih-lebih lagi setiap habis solat.”
Mimi merengus bersama muka masamnya. “Tak adalah... kau tu yang sibuk sangat nak tengok aku kahwin kan? Haa... kau doalah banyak-banyak untuk aku.”
“Okey, kita sama-sama berdoa ya?”
Kami sama-sama tergelak.

Hari ini jadual di pejabat agak penuh. Aku ada temu janji dengan beberapa pembekal dan peguam yang terlibat dengan projek syarikat. Aku perlu menguruskan beberapa pembeli-pembeli baru yang akan berkunjung ke pejabat untuk menandatangani dokumen perjanjian jual beli.
Segala tugasan itu telah aku agih-agihkan kepada stafku untuk diselenggarakan. Aku hanya perlu memantau supaya semuanya berjalan dengan lancar. Surat-surat pemberitahuan mengenai urusan itu telah diedar keluar.
Semua jadual disusun atur oleh Dida dan Zul. Aku telah memeriksa semua laporan kerja yang diserahkan kepadaku kelmarin. Dida dan Zul adalah staf yang sangat efisien. Aku sangat berpuas hati dengan kerja-kerja mereka.
Tatkala lewat petang, ketika semua staf mula bersiap-siap untuk pulang, Dino datang mengetuk pintu pejabatku yang sedia terbuka. Aku terhenti mencatit sesuatu di atas sehelai kertas dan mendongak memandang Dino yang berdiri tegak di muka pintu.
“Hai, masuklah... sejak bila pulak tunggu keizinan baru nak masuk. Selalunya main sergah tak kira masa,” sindirku sambil meneruskan tugas yang terhenti tadi.
“Assalamualaikum...” sapa Dino dengan wajah manis.
“Waalaikumussalam. Apa kena dengan you ni?”
“Kita kan orang Islam. Memberi salam tu besar pahalanya.” Dino melangkah menghampiri mejaku.
“Okey... ada apa yang boleh I bantu?” tanyaku sopan.
“I bukan datang minta bantuan,” jawab Dino selamba.
“Habis tu?” tanyaku sedikit keras sambil menyusun kertas-kertas yang berselerak.
“I nak ajak you temankan I minum. Jom I belanja.” Dino menyengih.
“Pukul berapa dah ni?” Aku melihat jam di tangan.
“Baru pukul 5.15. Awal lagi. Balik sekarang, jalan jam. I ada cerita nak cerita kat you. Jomlah...” desak Dino.
“Okeylah... tunggu kejap, I nak berkemas.” Aku memberi isyarat tangan.
“I tunggu you kat luar ya?” cadang Dino.
Aku mengangguk sambil menyusun fail-fail di tepi meja. Setelah selesai, kucapai beg tangan dari bawah meja. Aku mengeluarkan sikat dan cermin kecil dari dalam beg, lalu kusisir rambut agar lebih rapi. Telefon bimbit yang terletak di atas meja dicapai sebelum aku melangkah keluar.
Dino menungguku di pintu besar bangunan pejabat. Kami beriringan menuju ke Kafe Cinta Sayang yang terletak tidak jauh dari pejabat, tempat kami selalu melepak menghabiskan waktu-waktu terluang. Kafe itu kelihatan sibuk kerana kebanyakan staf singgah di situ sebelum meneruskan destinasi untuk pulang ke rumah. Biasanya waktu petang begini, ramai yang minum sambil bersembang bersama rakan-rakan setelah habis waktu bekerja. Mungkin sementara menunggu kesesakan jalan raya reda sedikit.
Dino memilih tempat duduk di luar bangunan kafe. Suasana  berangin biarpun cuaca agak panas. Sebaik sahaja kami mengambil tempat, seorang pelayan perempuan datang untuk mengambil pesanan.
“You nak minum apa, Sara?” tanya Dino.
“Bagi saya fresh orange,” kataku kepada pelayan perempuan itu.
“Bagi teh tarik dengan roti canai banjir satu. You tak makan apa-apa ke, Sara?”
Aku menggeleng.
“I belanja. Jangan menyesal pulak. Offer sekali aje,” gurau Dino lagi.
“Tak nak...” balasku sambil menggeleng memandang wajah pelayan perempuan yang berdiri di sisi dengan senyuman.
“Itu saja.” Dino memberitahu pelayan itu, lalu memerhati kelibatnya hilang daripada pandangan.
Sementara menunggu pesanan datang, aku membelek akhbar The Star yang berada di atas meja itu. Seketika kemudian, pelayan perempuan tadi datang membawa minuman dan makanan yang kami pesan tadi. Mata Dino tidak berkelip-kelip memandang perempuan itu.
“Kenapa you pandang dia macam tu?” tegurku dengan wajah berkerut setelah pelayan itu berlalu.
“Apa salahnya? Cun pulak I tengok dia tu.” Dino tersengih. Teh tarik yang masih panas diteguk sedikit.
“Eloklah tu. Apa lagi, tacklelah.” Aku cuba memprovokasi.
“Senang aje you ni. Tengok saja suruh tackle.”
“Habis tu, dah berkenan apa tunggu lagi? Jangan tunggu lama-lama, nanti dikebas orang. Melopong you nanti,” usikku sebelum menghirup fresh orange yang sungguh sedap, rasanya manis-manis buah. Aku mengecap bibir.
“Jangan gelojoh, perhati dan selidik dulu. Dah puas hati barulah bertindak. I tak mahu menyesal kemudian hari.”
Kata-kata Dino itu membuatkan aku terasa. Aku mengerling tajam ke arahnya.
“Eh... jangan menjeling-jeling macam tu, Sara. Takut I tergoda, susah pulak suami you nanti,” usik Dino lagi dengan menguntum senyum. Dia menyuapkan roti canai ke mulut sebelum mempelawa aku untuk makan sama.
Aku memerhatikannya sahaja.
“Sara, you lunch dengan siapa kelmarin?” soal Dino.
“Bila?” Soalan dijawab dengan pertanyaan.
Aku berpura-pura tidak mengingati.
“Alah... yang bawa kereta Honda CRV hitam tu,” tambah Dino.
“Oh... dia tu kawan lama I,” jawabku acuh tidak acuh.
“Kawan lama? Kawan masa bila? Tak pernah pun I nampak dia sebelum ni.” Soalan demi soalan dilontarkan, membuatkan aku terdiam sejenak.
“Kawan masa sekolah-sekolah dulu. Dah lama terputus hubungan. Entah macam mana terjumpa masa pergi shopping hari tu. Kami sempat bertukar-tukar nombor telefon. Lagi apa yang you nak tahu? Kecoh betul,” rungutku.
“Sampai hati you kata I macam itu ya? I ambil berat tentang you.” Dino terdiam sekejap dan menyambung. “Manalah tahu ada skandal ke. Zaman sekarang ni, isteri orang ke, suami orang ke... skandal dah macam trend. Dah tak hairan dah,” perli Dino serkap jarang.
Aku memandang wajah Dino yang sedang membebel dengan menunjukkan riak bosan. “Tadi kata ada cerita nak cerita? Cerita apa?” Aku cuba menukar tajuk.
“Tukar topik nampak?” perli Dino.
“Dah pukul berapa dah ni? Nanti lambat pulak I sampai rumah. You ajak I tadi kata ada cerita nak bagi tahu, kan?” Aku menyedut fresh orange.
“Relakslah, Sara...” Dino terdiam, memulakan bicara semula dengan perlahan. “I nak minta pendapat you. Macam mana kita nak tahu seseorang tu suka kat kita?”
Soalan Dino kusambut dengan ketawa yang terbahak-bahak sambil menakup mulut dengan tangan.
“You ni kenapa? I minta pendapat, bukan buat lawak.” Dino seakan-akan merajuk.
“Kenapa tiba-tiba tanya soalan macam tu?” tanyaku dengan ketawa yang masih bersisa.
“I tanya you tak jawab lagi. You pulak tanya I balik. Come on, Sara.” Dino menarik muka masam. Benganglah tu agaknya.
“Okey, okey... ceritalah.”
“You jangan ketawakan I ya?”
Aku menggeleng, cuba menahan senyum. Dino menyambung semula ayat-ayatnya.
“Sebenarnya dah tiga minggu I berkenalan dengan sorang awek ni. Housemate I yang kenalkan. Dia tu officemate kawan I tu. Kita orang berdua dah keluar dinner empat kali. Dan setiap kali jumpa, I nampak dia baik, bersopan, lemah lembut dan caring. I belum cakap terus terang dengan dia tentang perasaan, tapi I ada tunjukkan sikap penyayang dan ambil berat I ni pada dia. You tahu sajalah I ni kan, perangai I memang macam tu.” Dino berhenti bercerita.
Aku terus menunjukkan riak wajah ingin tahu cerita selanjutnya.
“I tak tahu sama ada dia syok kat I atau tak. Sebab dia nampak macam biasa saja, tak menunjukkan sikap yang lebih-lebih kat I. Apa pendapat you, Sara?” soal Dino serius.
“Dah habis? Itu saja?”
Dino mengangguk dengan wajah seperti budak baru masuk sekolah lagaknya.
“You kena ambil masa. Macam you kata tadi, jangan gelojoh. Nanti terkejut, lari pulak si minah tu. Baru padan muka you.” Aku tergelak, tetapi Dino kelihatan serius.
“You pegang dia. Bukan maksud I pegang tangan dia. Maksud I, ambil hati dia. Selalu call dan hantar sms tanya khabar, tanya dah makan ke belum. Kalau bajet lebih, setiap kali jumpa belikan sesuatu untuk dia. Lebih kurang beli hatilah, kata orang. Lama-lama dia mesti cair punyalah. Bila you tengok dia dah macam suka kat you, cuba you uji dia,” terangku seperti pakar penasihat pada Dino.
“Uji apa?” tanya Dino tidak sabar.
“Cuba jangan call atau hantar mesej pada dia buat beberapa hari. You tunggu. Mesti dia akan call tanya, kenapa lama tak telefon dia. Haa... itu tandanya dia rindu,” beritahuku dengan mengukirkan senyuman penuh makna.
“Lepas tu?” Dino kelihatan teruja.
“Lepas tu, kena tunggu. You buat dulu apa yang I cakap tadi. Nanti you beritahu I lagi. I will tell you what to do next. Okey? Sekarang ni I nak balik, hari pun dah nak senja. Jangan susah hati. Just do what I told you to do, the next step, later I’ll tell you.”
Dino diam mengangguk, membuatkan aku tersenyum.





No comments:

Followers