Sunday, July 10, 2011

IRAMA SEMALAM - BAB 30

.
Pagi ini aku keluar dari rumah tanpa bersarapan.  Aku memakai sepasang baju kurung berwarna merah hati, baju kegemaranku.  Aku bersolek nipis ke wajah.  Rambut yang melepasi bahu ku sisir rapi.  Perasaan ku amat gembira pagi ini, seperti sedang dilamun cinta.  Aku beryanyi-nyanyi kecil mengikut irama lagu yang berkumandang dari corong radio di dalam kereta.  Keadaan lalu lintas agak sibuk, masing-masing berkejar-kejar ke tempat kerja.  Apabila sampai ke bangunan pejabat, aku memakir kereta di tingkat bawah bangunan.  Waktu masih terlalu awal, banyak tapak yang masih kosong.  Aku memakirkan kereta bersebelahan dengan kereta Dino.  “Awalnya mamat ni dah sampai”, bisik ku.  Dan aku terus melangkah keluar ke restoran yang berhampiran. 

Seperti yang telah dijanjikan, Mimi telah setia menantikan aku dengan secawan kopi dan dua keping roti di hadapannya.  Rupa-rupanya Dino juga ada di situ.  Dia sedang duduk berhadapan dengan Mimi. 
“Hai pagi-pagi dah berdating?  Aku menganggu ke?” usik ku sebaik saja aku menghampiri meja mereka. 
Mimi tersenyum memandang wajahku dan beralih ke wajah Dino.  Tanpa diundang aku mengambil tempat di tengah antara mereka. 
“Cepat you datang pagi ni Sara?  Mimpi apa?”  tegur Dino mesra. 
“Mimpi apa pulak encik Dino, macamlah I ni tak pernah datang awal ke pejabat.  I selalu datang awal tau tapi I jarang keluar minum, selalunya I terus masuk pejabat” jelasku sambil menjerling ke arah Dino yang duduk di sebelah kanan ku. 
“Nak minum apa Sara?” tanya Mimi lalu memanggil salah seorang  pelayan di restoran itu. 
“Bagi saya Nescafe tarik dengan roti bakar satu set.  Dino, you tak makan?” Dino menggelengkan kepala. 
“OK, itu saja”  ujar ku pada lelaki yang mengambil pesanan lalu dia melangkah pergi.  Dino memandang ke wajahku dan beralih ke wajah Mimi. 
“Mimi, you perasan tak?  Hari ni kawan kita tu nampak berseri-seri lain macam ja”  usik Dino dengan memandang ku dari hujung mata. 
Aku mempamerkan wajah bersahaja sambil membetulkan lipatan kain.  Mimi memandangku dengan senyuman yang bererti.  Air minuman dari cawan dihirup perlahan. 
“Dino ni kan ada-ada saja pagi-pagi ni.  Kalau tak mengusik orang tak senang hati dia” kataku kepada Mimi. 
Mimi hanya membisu, tetapi sepasang matanya memerhatikan aku dan Dino bersilih ganti.  Lelaki pelayan tadi datang semula dengan membawa secawan Nescafe tarik dan roti bakar yang dipesan dan diletakkan di atas meja di hadapan ku.  Aku terus mengambil sekeping roti yang masih panas dan ku suap ke mulut. 
“Makan tu tak payah basuh tangan ke?” tegur Dino. 
“Dah basuh dah tadi” bidas ku. 
“Bila masa pulak you basuh tangan?” tanyanya lagi tidak berpuas hati dengan jawapan ku. 
“Alah tak kisahlah, I yang makan, bukan I bagi you makan” jawabku geram.
“Jangan suka marah-marah, kata orang nanti cepat tua” usik Dino.  Aku mendiamkan diri, tidak kuasa untuk melayannya lagi. 
“Dino, you ni suka menyakatlah” celah Mimi.   
“Alah, usik mengusik bawa bahagia, tak boleh ke?” tambah Dino lagi.  Nescafe
panas ku hirup perlahan, sesekali ku tiup ke dalam cawan supaya panasnya berkurangan. 
“Panasnya..” bisikku. 
“Air panas ke, hati yang panas?”, ish nak kena dia ni, saja nak cari pasal dengan
aku, bisik hatiku. 
“Minum air yang panas buat hati jadi panas so baik jaga-jaga supaya bahang
panas tu tak tersembur kat you” jawabku keras. 
“Relaxlah Sara, I bergurau saja.  Janganlah nak marah pagi-pagi ni, rezeki lari tau”  Dino cuba meredakan keadaan.  Mimi hanya mampu memandang gelagat kami berdua tanpa cuba mahu campur tangan.
“Siapa yang marah, tak marahlah.  You tengok muka I ni, ada macam orang marah ke?  Hari ni I nak happy happy” roti bakar di piring sudah habis ku makan dan sisa Nescafe yang ada di dalam cawan juga habis ku teguk. 
“You kena loteri ke? Atau cik abang balik hari ni?” usikan Dino begitu memualkan.  Soalan Dino ku biarkan tanpa jawapan. 
“Dah jom Mimi, biar Dino bayar” aku bangkit dari tempat duduk lalu menarik tangan Mimi.  Dino segera ke kaunter bayaran tanpa banyak soal.  Aku dan Mimi terus melangkah keluar dari restoran dan diekori oleh Dino dari belakang. 


Tatkala di dalam kesibukan tugas di pejabat, hati terpanggil untuk menghubungi Azry.  Deringan agak lama tetapi tiada jawapan.  Ku cuba sekali lagi.  Kali ini kedengaran suara Azry menjawab sayup di hujung talian.  Dari tona suaranya aku dapat meneka yang Azry baru bangun dari tidur. 
“Baru bangun tidur ke?”. 
“A’ah, malam tadi tidur lambat, ada kerja sikit” dia kedengaran menguap. 
“Habis tu hari ni tak pergi kerja?”. 
“Pergi lambat sikit.  Sara apa khabar?”. 
“Sara OK, abang confirm ke balik hari jumaat nanti?”. 
“Kalau ikut perancangan macam itulah.  Tapi macammana pun abang memang kena balik juga sebab di ofis sana pun ada kerja yang abang kena bereskan.  Kalau tak habis kerja minggu ni, abang kena datang balik minggu depan” terang Azry. 
“Kena pergi balik?” dahi ku berkerut. 
“Iyalah, dah kerja tak habis, terpaksalah.  OKlah, kalau apa-apa hal nanti abang telefon.  Abang nak bersiap pergi kerja.  You take care ya, bye”  talian telefon dimatikan. Bosannya, keluhku. 

Jam di tangan ku kerling sekilas.  Sudah hampir pukul 12 tengahari.  Semakin dekat waktu temujanji itu, debaran terasa semakin kencang.  Setiap detik yang berganti terasa begitu lambat berlalu.  Aku mengimbau kenangan lalu bersamanya lagi.  Segalanya tersingkap di minda, bagaikan ada tabir putih  di hadapan ku yang menayangkan semula bibit-bibit pertemuan kami.  Kenangan itu amat mengusik kalbu.  Bagaimana kali pertama aku melihat dia masuk ke kelas lantas terpikat dengan senyuman dan lirikan tajam matanya.  Bagaimana kali pertama dia menyapa aku dengan gelagatnya yang lucu mencuit hati.  Bermula dari seorang kawan biasa yang hanya jeling menjeling sehingga ketahap rindu-rinduan apabila tidak bersua biarpun sehari.  Cuti hujung minggu bagaikan setahun lamanya.  Seandainya boleh, cuti hujung minggu itu dimansuhkan asalkan dapat melihat dia walaupun dari jauh.  Bukan sahaja aku malahan dia juga mempunyai perasaan yang sama.  Tidak dinafikan kasih sayang yang tercipta diantara kami datang bukan dipinta.  Kehadirannya tanpa kami sedari.
Setelah bertahun-tahun tidak bertemu, getarnya tidak terbendung. Bagaimana detik-detik pertemuan aku dan Irfan nanti?  Berbagai-bagai persoalan timbul di minda bersilih ganti membuatkan debaran di hati kian kuat terasa.  Aku tidak mahu terlewat.  Aku mahu segera berjumpa dengan dia, seksa rasanya menanggung rasa yang tidak keruan ini.   
Seperti yang telah dijanjikan, aku terus meluru ke hadapan pintu besar bangunan.  Di situlah aku berjanji untuk menunggunya.
Setelah beberapa minit menanti, tiba-tiba ada sebuah kereta Honda CRV berwarna hitam berhenti berhampiran dengan tempat aku berdiri.  Irfan melambaikan tangan.  Dia memakai kacamata hitam, memandang aku dengan senyuman yang masih sama seperti dulu.  Aku segera membuka pintu dan masuk ke dalam kereta milik Irfan itu dengan debaran yang bukan sedikit.
“Nak kemana?” tanyanya.  
“Kemana-mana saja”.  Betul ke apa yang aku lakukan ini?  Hati dan perasaan bagaikan bertengkar tentang pahala dan dosa.
Sepanjang perjalanan aku hanya membatukan diri.  Irfan sesekali berpaling menoleh ke arah ku.  Keadaan sunyi sepi, hanya kendengaran lagu-lagu berkumandang dari corong radio yang terpasang diselang seli dengan celoteh DJ yang bertugas. 
“Kenapa you diam?”  Irfan memulakan bicara.  Ternyata begitu kekok dirasakan untuk berbual dengannya, walhal jika di dalam telefon kami berbual begitu mesra sekali.
“Emm.. tak tahu apa nak cakap, excited sangat dapat jumpa you.  Tak sangka sebab dah bertahun terpisah tiba-tiba boleh berjumpa dalam keadaan yang macam ini” Irfan tersenyum.  Aku membalas senyuman dengan rasa debaran di dada. Seperti mana kali pertama aku bertemu lelaki itu, begitulah perasaan ku kini.  Lidah terasa kelu dan degup jantung bagaikan dapat memecahkan dinding dadaku.
“Kita nak kemana?”  tanyaku pula. 
 “Kenapa, you takut I bawa you lari ke?” usiknya.
“Tidaklah sampai macam itu anggapan I pada you, kalau pun you nak bawa I lari, nak lari kemana?” Irfan ketawa.  Aku juga turut ketawa.
“Tak kan lah I nak bawa you lari, I tahu you tu anak orang dan isteri orang.  Ramai yang akan menangis kalau you dibawa lari, kan?” tanyanya menduga. 
“Oh iya, hubby you tak marah ke I bawa you keluar lunch ni?” aku tergamam dengan pertanyaan Irfan itu. 
“Kalau Azry tahu bukan saja marah, mampus kau dibunuhnya”  hatiku berkata-kata.  “Perlu ke I jawab soalan you tu?”. 
It’s up to you, kalau tak keberatan, I sedia mendengar” kata Irfan lembut sambil
memandu, tetapi sesekali mengerling aku yang duduk di sebelahnya. 
“Mana ada manusia yang rela apabila dapat tahu apa lagi melihat seseorang yang
menjadi miliknya bertemu dengan kekasih lama? Kalau ada pun mungkin orang itu tidak ada perasaan kot” aku bermonolog.
Kesejukan dari alat penghawa dingin begitu terasa sehingga ke tulang hitam.  Aku sendiri tidak pasti apakah kersejukan yang aku rasai itu datang dari alat penghawa dingin yang terpasang atau hanya dari perasaan ku sahaja.  Sesekali aku berpeluk tubuh, sesekali  membetulkan posisi duduk  dan sesekali aku menguak anak rambut yang jatuh ke dahi dan hampir mencucuk anak mata. 
“Kenapa? You rasa tak selesa ke?” tegur Irfan. 
“Tak adalah.  I’m OK”  balasku. 
“OK kita dah nak sampai, you ingat lagi tempat ni Sara?” spontan aku membuangkan pandangan mata keluar tingkap.  Ku perhatikan kawasan persekitaran. Irfan memandu dengan perlahan agar aku dapat melihat pemandangan di sekeliling.  Ia, di sinilah dulu kami pernah berkunjung beberapa kali sewaktu hangat di alam percintaan.  Senyum ku melebar.  Aku mengimbau kenangan 6 tahun yang lalu.  Kami ke mari semasa menyambut hari ulangtahun ku yang ke 21 tahun.  Dan di sinilah tempatnya Irfan membisikkan kata cintanya.  Aku terharu dengan keberanian Irfan meluahkan perasaan hatinya terhadapku.  Walaupun sebelum itu kami berkawan rapat tetapi tidak pernah meluahkan rasa hati apatah lagi mencurahkan perasaan cinta.  Namun perasaan kasih sayang sebagai sahabat yang terjalin terlalu lama menjadikan kami seolah-olah faham perasaan yang terpendam tanpa diluahkan.  Di sinilah juga kami menyusuri jalan di sepanjang tasik sambil berbual mesra.  Dan di sinilah juga Irfan menyarungkan cincin emas berbatu nilam berwarna merah ke jari manisku tanda cintanya padaku yang telah sekian lama bersemi.  Aku seakan-akan melihat sepasang teruna dara yang sedang memadu kasih di bawah pohon cemara itu.  Airmata mula bergenang di kelopak mata.
Segala-galanya bermula di sini.  Aduh… indahnya kenangan itu.  Kenangan yang telah lama ditinggalkan tetapi masih segar diingatan.  Airmata yang bergenang menitis juga akhirnya.
Irfan memberhentikan kereta di hadapan sebuah restoran dua tingkat.  Lokasinya begitu mendamaikan dan mententeramkan jiwa, jauh dari kebingitan dan kesibukan kota.  Landskap yang indah di sekeliling restoran itu menjadi tarikan pengunjung-pengunjung yang datang.   Irfan segera membuka pintu dan keluar dari kereta.  Aku masih terpinga-pinga, situasi itu bagaikan mimpi.  Seketika kemudian Irfan sudah membukakan pintu kereta untukku.  Dan aku melangkah keluar bagaikan Tun Teja yang disambut oleh Hang Tuahnya.  Irfan berjalan perlahan mendahului aku.  Aku mengekorinya dari belakang dengan anak mata yang melilau memerhatikan kawasan sekeliling.  Tempat itu tidak banyak berubah, masih seperti dulu.
Sebaik sahaja masuk ke dalam restoran itu, seorang pelayan lelaki yang berpakaian kemas menunjukkan tempat duduk untuk kami.  Pengunjung yang datang ke situ boleh dikira dengan jari.  Dan kebanyakannya berpasangan seperti aku dan Irfan.  Dari tempat duduk kami, aku boleh melihat pohon cemara di tepi tasik dimana tempat kami pernah duduk mengukir cinta dan rindu.  Suasana nyaman dengan aroma yang membangkitkan selera dan persekitaran yang romantik bisa mengembalikan nostalgia.  Alat penghawa dingin yang terpasang membuat situasi di situ begitu selesa berbanding cuaca di luar yang panas biarpun berangin.
Pelayan lelaki tadi datang menghampiri kami untuk mengambil pesanan. 
“You nak makan apa Sara?”  soal Irfan sambil membelek menu yang sedia ada di atas meja.  Aku merenung menu yang sama di hadapan ku. 
Fish and Chips dan fresh orange” kataku sambil mendongak memandang pelayan lelaki itu. 
“Ok, bagi dua set”  kata Irfan pula dan pelayan lelaki itu berlalu pergi setelah mencatit pesanan di atas kertas kecil.
“Tempat ni masih macam dulu tak berubah”  kata ku sambil mata memerhatikan kawasan sekeliling.  Sengaja aku larikan anak mata dari menatap matanya.  Dia mempunyai sepasang mata yang redup dan mendamaikan jiwa. 
 “I ada datang sini beberapa kali selepas kita brake off.  Datang untuk melihat semula tempat yang banyak menyimpan nostalgia kita” aku tertunduk.
 “Oh iya, Husband you apa khabar? Siapa namanya?” bibirnya mengorak senyum, renungan dari sepasang anak matanya bagai menikam tajam ke wajahku.  Aku melarikan pandangan.  Tidak sanggup menatap matanya, hati perempuan ku bisa cair. 
“Dia OK, sekarang dia tak ada di sini, dia di JB, outstation”  Irfan mengangguk-anggukkan kepala. 
“Siapa nama dia?”  tanyanya lagi. 
“Mohd Azry”  jawabku berterus-terang. 
“Ooo.. You kata dah setahun kahwinkan?  Tak ada plan nak tambah ahli keluarga?”  wajahku merona merah.  Terasa darah yang mengalir melonjak ke muka. Soalan yang paling aku benci ditanya.
“Belum ada rezeki” balasku sambil memintal hujung rambut. 
“You tinggal dimana?” soal Irfan lagi macam inspektor polis pulak lagaknya.
“Tinggal di Kampung Tunku, rumah mertua I” jawabku lagi sambil mempamerkan riaksi yang kurang senang dan berharap tiada lagi soalan-soalan yang berupa peribadi. 
“You sibuk tanya I macam-macam.  You tu bila nak kahwin?” dalam berlagak malu aku menyoalnya sinis. 
Wajahnya tetap mengukir senyum dan belum sempat dia menjawab, pelayan lelaki tadi datang semula dengan menatang dulang lalu meletakkan dua gelas fresh orange di hadapan kami.  Senyumannya masih bersisa di bibir.  Beberapa saat kemudian pelayan lelaki itu datang lagi bersama makanan yang dipesan tadi.  Kami terdiam dan membatu.  Pandangan mata kami bertemu.  Oh mata itu, tajamnya bagai menikam jantung hati.  Aku segera tunduk dan Irfan perasan perubahan di raut wajahku. 
“Makanlah Sara, nanti lambat pulak balik ofis”  kata Irfan lembut.  Pertanyaan aku tadi menjadi tanda soal yang tidak berjawab walaupun hati meronta-ronta inginkan jawapan.
Sejurus membuat bayaran di kaunter, kami pun berangkat pulang.  Irfan menghantar aku kembali ke pejabat. 
“Boleh kita keluar makan lagi dilain kali?” bulat mataku mendengar pertanyaan Irfan itu.  Seperti ada sesuatu yang tersirat dengan seribu makna.  Aku semakin keliru dan tidak menentu.
“InsyaAllah,”  ada senyuman yang terukir di bibirku.  Hatiku bagaikan berbunga. 


No comments:

Followers