Saturday, July 2, 2011

IRAMA SEMALAM - BAB 28

.
Subuh pagi itu ibu mengejutkan aku dari tidur.  Tatkala aku membuka mata, terlihat wajah anggun ibu.  Aku rasa bagaikan bermimpi, seolah-olah aku adalah Sara yang dulu.  Ibu berlalu keluar sebaik sahaja aku membuka mata.   Aku masih berbaring sambil bermenung kosong memandang siling putih dengan pandangan yang kelam.  Percikan cahaya lampu dari luar bilik membantu penglihatan ku.  Inilah bilik milikku satu ketika dulu.  Bilik yang menyimpan sejarah kisah-kisah silam ku dan barang-barang kepunyaan ku masih tersimpan rapi di dalam almari kepunyaanku. 
“Bangun Sara, dah subuh”  kedengaran lagi suara ibu dari luar bilik. 
Ku capai telefon bimbit dan melihat jam yang tertera di skrin kecil  itu.  Tepat pukul 6.45 pagi.  Aku bingkas bangun dan mencapai tuala mandi.  Aku bergegas ke bilik air dan mandi.  Setelah siap berwuduk aku keluar dari bilik air dan melangkah semula ke bilik tadi.  Solat subuh dua raka’at ku tunaikan sebagai kewajipan seorang hamba kepada Penciptanya.  Usai solat ku angkat kedua tangan dan berdoa memohon segala kebaikan buat diriku dan orang-orang yang ku sayangi.  Setelah meletakkan kain telekung dan sejadah ditempatnya, aku membuka tingkap dan menyelak langsir supaya cahaya dari luar boleh masuk melaluinya. 
Aroma masakan ibu begitu menyusuk hidung sehingga aku tidak sabar untuk menjamah.  Rambut ku sisir rapi dan aku segera keluar dari bilik menuju ke dapur.  Ibu sedang sibuk menggoreng cokodok udang, makanan kegemaran kami sekeluarga.  Enaknya jika cokodok panas dicicah sos cili dihidangkan dengan kopi yang hitam pekat.   Emm.. sedapnya tidak dapat dibayangkan dengan kata-kata.

Ibu telah siap membancuh kopi seteko.  Di atas meja makan telah siap cawan dan pinggan.  Bukan itu sahaja, nasi goreng ikan bilis pun ada terhidang.  Baunya membuatkan aku menelan air liur.  Sudah lama tidak merasa masakan nasi goreng ikan bilis dari air tangan ibu.  Aku segera ke ruang tamu mencari kelibat ayah.  Tiada sesiapa di situ dan dari tingkap yang telah terbuka ku jengah keluar, juga tiada.  Aku kembali melangkah ke dapur. 
“Ibu, ayah tak ada pun, dia kemana?” tanyaku sambil memerhatikan ibu meletakkan cokodok yang telah digoreng ke dalam pinggan di atas meja. 
“Ayah biasanya pagi-pagi macam ni duduk berbual-bual dengan kawan-kawan dia di surau.  Lepas solat subuh, duduk berborak.  Sekejap lagi baliklah tu”  kata ibu.  Ibu menarik kerusi dan duduk. 
“Jom kita sarapan dulu”  aku pun mengambil tempat di depan ibu.  Kopi yang hitam pekat dan masih panas ku hirup sedikit sedikit.  Ibu menghulurkan pinggan yang telah berisi nasi goreng kepada ku.  Ku sambut pinggan itu dan memulakan makan sejurus membaca doa makan.  Di luar kedengaran suara ayah memberi salam.  Aku dan ibu menjawab salam ayah serentak.  Aku menoleh ke arah ayah yang sedang berjalan menghampiri kami. 
“Duduk minum sekali, yah”, kerusi di sebelah tempat duduk ku tarik.  Ayah melabuhkan punggung di kerusi itu.  Ibu meletakkan secawan kopi di depan ayah lalu  menghulurkan sepinggan nasi goreng, ayah menyambut dengan tangan kanan.  Aku memerhati gelagat ayah dan ibu yang begitu serasi sekali pada penglihatan ku.  Ayah dan ibu tidak pernah sekali pun ku lihat bertengkar atau berkelahi.  Mungkin mereka tidak berbuat demikian di depan anak-anak, barangkali.  Dari dulu sehingga kini ku lihat pasangan ini begitu aman dan mesra tanpa bertelagah.  Malahan mereka sering kelihatan usik mengusik sesama mereka.
“Semalam Sara dari rumah kak Min?  Kak Lia pun ada juga ke?”  tanya ibu sambil menyuap nasi goreng. 
“Iya bu, makan tengahari kat sana.  Kak Lia datang dah lewat petang”. 
“Idham ada sekali?”. 
“Ada”  aku mengangguk. 
“Eloklah tu, sesekali adik beradik berkumpul macam tu”  ibu memandang ke wajah ayah yang sedang makan.  Ayah menganggukkan kepala mengiakan kata-kata ibu itu. 
“Nampaknya abang Idham dengan kak Lia tu dah ok” sambung ku. “Alhamdulillah, itulah doa ayah dan ibu siang dan malam” jelas ibu lagi.

Selepas sarapan aku masuk ke bilik.  Aku membuka daun pintu almari yang banyak tertulis nama ku di situ.  Ada beberapa helai baju kepunyaanku yang masih elok bergantung.  Begitu juga di bahagian lipatan baju di rak bawahnya.  Ku selak lipatan baju-baju itu dan terdapat sebuah kotak di bawahnya.  Keadaan kotak itu masih elok walaupun kelihatan sedikit terkoyak di sana sini.  Ku keluarkan kotak itu dari almari.  Aku duduk di birai katil dan ku letakkan kotak itu di atas riba.  Dengan perlahan-lahan kotak itu ku buka.  Di dalamnya terdapat surat-surat dan kad-kad selamat hari raya dan harijadi yang pernah ku terima dari kawan-kawan.  Ada senyuman yang terukir di bibirku.  Ku buka salah satu sampul surat yang sudah lusuh walaupun masih tersimpan rapi.  Dari bentuk tulisannya saja sudah ku tahu siapa gerangan pengirimnya.

Salam…,
Buat sahabatku Maisara, semoga dengan kedatangan lembaran ini tidak menganggu emosimu ketika ini.  Waktu ini aku sedang mengelamun mengingatkan dirimu yang sudah lama tidak ku temu. Cuti sekolah baru saja tiga hari berlalu, bererti ada lagi sebelas hari yang akan dilalui tanpa melihat wajahmu.  Baru tiga hari saja, aku sudah mulai rasa rindu.  Bagaimana pula akan ku tempuhi hari-hari seterusnya nanti?
Sara, adakah kau merasa seperti apa yang aku rasakan?  Atau hanya aku yang gila bayang seorang? Seandainya kau mengingati aku, renung lah musix box yang pernah ku berikan padamu dulu.  Kau akan merasa aku sentiasa dekat denganmu.  Aku rindu melihatkan kerlingan matamu dan senyuman dari bibirmu.  Aku berharap aku akan sentiasa dapat melihat dirimu di mana-mana seperti di sekolah dengan pakaian sekolah berwarna putih dan bereben putih yang melilit rambutmu, menandakan kesucian hatimu.
Aku sentiasa ingat kamu, di dalam tidur dan jagaku.
Wassalam.
Aku yang rindu,
Irfan Effendy

Airmata mula bergenang di kelopak mata.  Memori-memori silam bersama Irfan begitu menganggu fikiran dan minda.  Semuanya bagai mengasak-ngasak perasaan.  Kepergiannya meninggalkan goris yang memberkas di hati.  Hari-hari yang ku lalui tanpa rasa seperti dulu yang ku alami.  Sebaknya terasa sehingga terasa sakit kerongkong ku menelan liur.  Aku merasa seperti mahu kembali semula ke zaman persekolahan yang telah lama aku tinggalkan.  Aku mahu mengulangi saat-saat manis bersama-sama teman-teman seperjuangan terutamanya bersama dia yang selalu dan tetap bertakhta di hati ini.  Walaupun waktu-waktu itu telah lama berlalu namun kenangan-kenangan yang mencakar jiwa tetap mengusik di kalbu.  Airmata berlinangan menitis ke pipi.  Terasa hangatnya lelehan airmata itu sehangat ingatan ku padanya.  Mana mungkin ku lupakan dia begitu saja.  Dialah orangnya yang mengajar aku erti rindu dan kasih sayang dan dia jugalah yang menjerumuskan aku ke kancah kekecewaan lantaran kasih yang berbelah bagi dengan si dia yang lain yang menjadi penghalang hubungan kami.
            Lembaran itu ku lipat kemas dan ku simpan semula ke dalam sampulnya.  Ku capai pula sehelai kertas yang berwarna merah jambu.  Ada puisi yang tertulis.  Itu adalah tulisan tangan dan hasil ciptaan ku sendiri.  Puisi yang bertajuk  BICARA RINDU ku baca perlahan.  Berulang-ulang.
Dikala ini …
Sepi menjenguk diri…
Sayu rasa dihati…
Dalam diam-diam…
Rindu ku padanya kian mendalam…
Kiranya masih ada sayang yang terpendam. 
            Sewaktu kekecewaan melanda hati dan perasaan, aku menjadi begitu puitis sekali sehingga melahirkan beberapa puisi yang bertemakan cinta dan kasih sayang, rindu dendam dan penderitaan.  Idea datang mencurah-curah dan aku begitu ghairah menulis melakarkan perasaan yang kecewa di atas kertas.  Tangisan ku menjadi esakan yang tidak tertahan-tahan.
            Aku segera mengesat airmata dengan hujung jari tatkala mendengar deringan dari telefon bimbit.  Ku capai telefon Sony Ericson yang terletak di atas katil tidak jauh dari tempat aku duduk.  Tanpa melihat ke skrin, aku menjawab.  Suara Azry kedengaran sayup ditalian.  Seperti biasa dia bertanyakan khabar ku dan sentiasa mengingatkan aku supaya makan pada waktunya.  Tidak lupa juga dia berkirim salam kepada kedua ibu dan ayahku.  Aku berjaya menyembunyikan perasaan pilu ku tika itu.  Oleh kerana talian tidak begitu memuaskan Azry berjanji akan menghubungi aku semula nanti. 
Aku merebahkan tubuh di atas katil.  Aku membayangkan waktu-waktu indah bersama Irfan suatu ketika dulu.  Kenangan-kenangan bersamanya begitu mencengkam perasaan.
            Aku masih ingat,  sewaktu sekolah kami mengadakan perjumpaan semula pelajar-pelajar lama setelah setahun kami meninggalkan sekolah.  Aku ke dewan itu bersama Irfan.  Dan kami duduk semeja dengan beberapa teman-teman yang pernah belajar dalam kelas 5 sastera 2 dahulu.  Sebelum jamuan bermula, beberapa pelajar senior memberikan ucapan.  Sejurus selesai ucapan diberikan, pementasan bermula.  Beberapa pelajar menunjukkan bakat dalam nyanyian dan membaca puisi.  Tidak aku sangka, Irfan juga telah mendaftarkan nama untuk menyampaikan sebuah lagu.  Sedang kami menjamu selera, kedengaran nama Irfan dipanggil untuk naik ke atas pentas untuk menunjukkan bakat yang terpendam.  Irfan sempat memegang tanganku dan melangkah naik ke atas pentas.  Aku memandangnya dengan pandangan yang tidak dapat ku gambarkan dengan kata-kata.  Irfan mencapai sebuah gitar yang telah sedia ada di situ. Tetamu-tetamu yang hadir bertepuk tangan. Jari jemarinya mula memetik gitar itu perlahan. 
“Saya ingin menyampaikan lagu ini untuk semua teman-teman yang saya hargai dan teristimewa untuk sidia yang saya kasihi.  Lagu ini begitu bermakna dan bererti buat saya.  Dengarkan lagu ini dan hayatilah senikatanya.  Terimalah BELAIAN JIWA yang dipopularkan oleh kumpulan Carefree”.  Irfan memetik gitar sambil menyanyi.  Aku begitu kagum dengan bakat yang dia miliki yang tidak pernah aku tahu.  Suara lunaknya mengalunkan lagu itu buat aku benar-benar jatuh cinta padanya.  

            Semua yang berada di dewan itu memberikan tepukan yang gemuruh sebaik saja lagu itu habis dinyanyikan. 
“Terima kasih, terima kasih”  ucap Irfan sebelum melangkah turun dari pentas.  Sambil melangkah menghampiri tempat duduk kami, aku memandang Irfan dengan mata yang tidak berkelip.  Senyuman tidak lekang dari bibir ku untuknya.  Sejak itu kasih sayang ku padanya kian mendalam dan melimpah ruah.


No comments:

Followers