Friday, June 28, 2013

HELO si MERAH JAMBU - BAB 2



FARHANA dan Hamimi bekerja di bahagian jaminan kualiti atau Quality Assurance di Kilang Omrun yang terletak di Sungai Way sebagai operator pengeluaran. Hanya tempat duduk sahaja yang memisahkan mereka. Sebelum Syukur ditukarkan ke bahagian pemasaran, dia juga dahulunya bekerja di bahagian itu. Kilang Omrun adalah salah satu kilang terbesar di Malaysia yang mengeluarkan produk elektronik seperti periuk nasi, periuk serba guna, cerek dan lain-lain alat dapur yang menggunakan kuasa elektrik. 

Sebaik sahaja dinaikkan pangkat, majikan mereka menukarkan dia ke bahagian yang lebih mencabar lagi. Pada mulanya, Syukur enggan bertukar. Dia sudah biasa dengan persekitaran tempat dia bekerja. Dan dia sudah seronok bergaul dengan rakan-rakan sekerja, apatah lagi ketika itu dia baru saja berkenalan dengan Farhana. Waktu itu Farhana merupakan pekerja baru. Belum sempat hubungan itu mesra dia terpaksa ditukarkan pula. 

 Syukur yang sudah hampir enam tahun mengabdikan diri di kilang itu berasa sedikit kecewa dengan pertukaran itu. Mujur Farhana tampil memujuk dan memberinya nasihat. Dan akhirnya dia bersetuju menurut kehendak majikan. Walaupun bekerja di bahagian lain, mereka kerap berjumpa. Adakalanya di kafeteria pada waktu makan dan sesekali pula mereka bertemu di luar pada hujung minggu. Biasanya Hamimi akan turut serta menemani mereka. Hubungan mereka bertiga bagaikan saudara. Justeru pertengkaran kecil yang sering berlaku mengeratkan lagi hubungan persahabatan yang terjalin. 

Memandangkan Farhana dan Hamimi tinggal sebilik di sebuah rumah sewa yang berdekatan dengan kilang, maka mereka memastikan jadual kerja mereka sama. Mujur supervisor di bahagian itu merupakan seorang yang memahami dan boleh bertolak ansur. Alasannya, mereka tidak bersendirian berjalan kaki pergi dan balik dari kerja, terutama kalau mereka bekerja syif malam. 

 Di bahagian tempat mereka bekerja mempunyai lebih kurang 50 orang pekerja operator pengeluaran. 80% daripadanya terdiri daripada golongan wanita. 

 Tatkala semua pekerja-pekerja baru sahaja mahu memulakan tugas setelah kembali daripada makan tengah hari, tiba-tiba ada kekecohan yang berlaku. Kedengaran suara orang bertelingkah. 

“Kau jangan suka-suka nak menuduh aku. Entah siapa yang buat, kau kata aku pulak yang sengaja nak menganiaya kau.” Kedengaran suara Hamimi bertempik kuat. 

Situasi yang tadi tenang bertukar kecoh. Farhana bingkas ke tempat Hamimi untuk mengetahui apa yang sedang berlaku. Lokasi itu menjadi perhatian sebahagian pekerja yang berdekatan. 

“Aku tau kau dengkikan aku, kan? Kau sengaja sepahkan benda tu. Benda tu dah siap aku susun,” marah Jiha. Matanya mencerlang memandang Hamimi. 

“Kau cakap baik-baik sikit. Bukan aku yang buatlah,” kata Hamimi kasar. Panas hatinya akibat bertengkar dengan Syukur tadi masih belum reda, kini lahar kemarahannya terhadap Jiha pula membuak-buak di dadanya. 

Bimbangkan perkara yang tidak diingini berlaku, Farhana dan beberapa teman sekerja cuba meleraikan pergaduhan itu. 

“Aku tau, kau memang dengkikan aku. Berterus terang sajalah. Dah lama aku perasan niat jahat kau tu. Selama ni aku diamkan saja. Tapi kali ni kau dah melampau.” Jiha meronta-ronta minta dilepaskan. Kedua-dua belah tangannya dipegang oleh beberapa orang agar dia tidak beraksi lebih agresif. 

“Kau jangan kurang ajar sangat. Makan boleh sebarang makan tapi cakap tu jangan nak sesedap mulut kau aje,” bidas Hamimi. Sakit hatinya dituduh melakukan sesuatu yang dia tidak lakukan, malah tidak terlintas di benaknya untuk berbuat demikian. 

“Sudahlah, Mimi.” Farhana cuba mententeramkan keadaan. 

“Bukan aku yang mulakan dulu. Tak pasal-pasal aku dituduh yang bukan-bukan. Sengaja nak cari pasal.” Kemarahan Hamimi tidak dapat dibendung lagi. 

“Sudahlah, Jiha. Bukan ke lebih elok kalau kita bawa berbincang. Kalau supervisor dengar nanti, tak pasal-pasal perkara ni akan dibawa ke pihak atasan pulak. Susah kau nanti.” Farhana cuba memujuk Jiha. Kata-kata Farhana itu ada betulnya, fikir Jiha. 

“Aku takkan lepaskan kau macam tu saja. Ada ubi ada batas,” ugut Jiha sebelum beredar dari tempat itu. 

Hamimi mengerling tajam. Merah padam mukanya menahan kemarahan yang tidak terhingga. Pantang nenek moyang dia dituduh seenak-enaknya saja. Mujur ada Farhana dan teman-teman sekerja lain yang meleraikan keadaan. Kalau tidak, pasti Hamimi akan bertindak kasar terhadap Jiha. 

“Apa yang dah kau buat, Mimi?” soal Farhana mahukan kepastian sejurus semua yang berkumpul tadi beredar ke tempat kerja masing-masing. 

“Tak ada apa-apalah. Nasib baik kau orang ada, kalau tidak... memang dapat penyepak percuma aje perempuan tu,” kata Hamimi geram. 

“Kau okey ke?” Farhana mengurut belakang sahabatnya. 

“Okey. Ada ke patut dia tuduh aku? Tak terlintas pun dalam akal fikiran aku ni nak buat niaya orang sampai macam tu sekali. Aku tau dia tu memang sengaja nak cari pasal dengan aku. Agaknya dah lama dia tu nak kenakan aku. Tak apa, kali ini dia terlepas. Kalau dia buat hal lagi, siaplah dia,” gumam Hamimi sebal. 

“Sabarlah, Mimi. Kau jangan ikutkan hati kau yang marah tu. Tak ada gunanya nak bergaduh sesama kita.” 

“Bukan aku sengaja nak cari gaduh. Kalau orang yang serang kita dulu, tak kan kita nak diamkan diri aje. Kalau didiamkan nanti, habis kepala kita dipijaknya.” 

“Kau jangan layan. Biarkan dia. Bila dia penat nanti, dia berhentilah tu.” 

“Orang macam tu tak kenal penat. Jenis orang yang tak boleh tengok orang lain senang. Busuk hati... dengki.” 

“Dahlah tu. Sambung kerja kau,” pujuk Farhana lagi. Dia berasa simpati terhadap Hamimi. Setelah memastikan keadaan Hamimi sudah kembali tenang barulah dia beredar menuju ke tempat dia bekerja. 


 JAM menunjukkan ke pukul 4.00 petang. Pekerja-pekerja syif pagi akan menamatkan tugas mereka dan akan diganti dengan pekerja-pekerja syif sebelah petang pula. 

 Hamimi melihat jam di tangan. Dia segera berkemas. Hari itu kegembiraannya terjejas. Dia membuat kerja hanya dengan separuh hati sahaja. Kalau diikutkan perasaan, mahu saja dia lari pulang selepas pertelingkahan dengan Jiha tadi. Tetapi benteng kesabarannya masih kukuh. Dia tidak mahu hanya kerana perkara yang kecil itu, periuk nasinya tergugat. 

 Mengenangkan emak dan adik-adik di kampung hatinya luruh. Dia merupakan anak sulung dalam keluarga. Ayahnya sudah lama meninggal akibat kemalangan jalan raya. Sejak itu kehidupan mereka sekeluarga sepi dan kosong. Keakraban dan kebaikan arwah ayahnya terhadap mereka sekeluarga membuatkan mereka berasa kehilangan yang teramat. Mereka hilang tempat bergantung dan menumpang manja. Emaknya pula terpaksa mengambil alih tugas untuk mencari rezeki bagi menyambung hidup. Walaupun tanpa ayah yang selama ini bekerja kuat untuk keluarga, hidup perlu diteruskan. 

 Kini emaknya terpaksa menjaja kuih-muih untuk menyara tiga orang adik-adik yang masih bersekolah. Sebaik sahaja dia tamat persekolahan dengan mendapat pangkat tiga di dalam peperiksaan SPM, dia mengambil keputusan untuk bekerja. 

Biarpun ramai antara teman-teman sebaya menyambung pelajaran ke universiti dan kolej, namun dia nekad untuk berhenti belajar untuk memberi laluan kepada adik-adiknya. Sebagai kakak sulung, biarlah dia yang berkorban untuk melihat adik-adiknya yang lain berjaya. Dia berharap apabila adik-adik sudah berjaya kelak, mereka akan membalas jasa emak yang selama ini banyak bersusah payah membesarkan mereka empat beradik. 

Berapalah sangat hasil jualan kuih yang emaknya dapat setiap hari? Kalau tanpa dia yang membantu, siapa lagi? Oleh kerana itu, dia sanggup melalui apa sahaja dugaan demi keluarganya di kampung. 

 Sebagai seorang gadis yang mengikuti peredaran semasa sudah pasti dia ingin memiliki sebuah telefon bimbit yang canggih seperti yang dimiliki oleh Farhana. Atau sekurang-kurangnya dapat membeli pakaian-pakaian atau aksesori wanita fesyen terkini. Tetapi dia terpaksa mengorbankan nafsu keinginannya demi adik-adik yang lebih memerlukan. Mujur dia memakai pakaian seragam ke tempat kerja, maka banyak wang yang dapat dijimatkan di situ. Perasaannya sebak. Seorang demi seorang wajah adik-adiknya terbayang di ruang mata. 

Pun begitu, hatinya amat gembira apabila setiap kali balik ke kampung dia disambut dengan wajah ceria emak dan adik-adiknya. Dan dia akan pastikan setiap kali kepulangannya, dia akan membawa buah tangan buat mereka. Tidak lupa juga wang bulanan tetap untuk emaknya. 

Adakalanya dia berasa cemburu melihat Farhana yang mempunyai ibu bapa yang sering mengambil berat tentang dirinya. Walaupun berasal dari kampung, Farhana tergolong di kalangan orang senang. Setiap kali sahabatnya itu bercerita tentang keluarganya, perasaannya bercampur baur. Ada rasa gembira dan sedih juga. Dan setiap kali Farhana pulang dari kampung, dia sering dihantar oleh abangnya yang tinggal di Petaling Jaya. Tidak seperti dirinya yang terpaksa berjalan kaki untuk mendapatkan kenderaan awam. Namun dia tetap bersyukur kerana masih mempunyai emak dan adik-adik yang sentiasa menunggu kepulangannya di kampung. 

“Kau tak habis lagi ke, Farah?” sapa Hamimi apabila melihat Farhana yang masih lagi sibuk dengan tugasnya. 

“Lagi sikit. Sekejap ya?” kata Farhana tanpa menoleh. Tangannya sibuk memeriksa penutup periuk untuk memastikan ianya dipasang mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan. 

Pekerja-pekerja yang lain sudah semakin beransur pulang. Sebentar lagi pekerja-pekerja syif petang akan mengambil alih tugas mereka. Sesekali anak mata Hamimi mengerling ke arah tempat Jiha bekerja. Kelibat gadis itu sudah tidak kelihatan. Mungkin dia sudah balik. Walaupun tanpa melihat kelibat Jiha di situ, melihat tempat dia bekerja pun sudah cukup membuat hatinya bengkak. 

 “Okey... jom, Mimi.” Farhana meraih lengan Hamimi. Mereka bergandingan melangkah keluar dari kilang. 


 RUMAH sewa mereka terletak tidak jauh dari kilang tempat mereka bekerja. Mereka hanya berjalan kaki pergi dan balik. Kebiasaannya, di pertengahan jalan mereka akan singgah di gerai menjual kuih untuk membeli goreng pisang atau kuih-muih lain. Atau adakalanya mereka singgah di pasar raya untuk membeli bahan-bahan mentah untuk dimasak. Itu pun kalau mereka rajin. Kalau tidak, mereka hanya ke kedai sahaja untuk mengisi perut. 

Selalunya ada sahaja cerita yang dibualkan sepanjang perjalanan dari kilang ke rumah. Tapi tidak pada petang itu. Farhana turut terkelu untuk berbicara apabila melihat Hamimi yang diam dan monyok itu. Dia tahu perasaan Hamimi masih terganggu dek insiden di tempat kerja tadi. Sengaja dia membiarkan Hamimi melayan perasaannya tanpa berkata apa-apa sehingga mereka sampai ke rumah. 

Tidak sampai sepuluh minit berjalan kaki mereka sudah sampai ke bangunan pangsapuri 12 tingkat yang telah diinap selama dua tahun itu. Rumah sewa mereka terletak di tingkat tiga. Rumah itu mempunyai dua bilik tidur. Ruang tamu, ruang makan dan ruang dapur rumah itu cukup lengkap dengan peralatan asas. Mereka tinggal bersama Yasmin dan Shakila yang menyewa di bilik lain. Kedua-dua gadis itu bekerja di syarikat swasta di Petaling Jaya. Walaupun mereka tinggal serumah tetapi mereka amat jarang bertemu. Masing-masing sibuk dengan kesibukan urusan harian. 

Sebaik sahaja Hamimi melangkah masuk ke dalam rumah, tanpa bertangguh dia terus ke bilik dan menghempaskan tubuhnya ke katil. Keluhan keras dilepaskan. Seluruh badan terasa letih. Selalu tak macam ni, keluhnya. Dia berbaring menatap siling. Tanpa sedar dia terlelap. 


 FARHANA melihat rakan sebiliknya itu sudah terlentang di atas katil tidak sedarkan diri. Sebentar tadi dia ke dapur. Goreng pisang yang dibeli tadi sudah diletakkan ke dalam pinggan dan diletakkan di atas meja makan. Dia tidak mahu mengganggu tidur Hamimi. Lalu dia mencapai tuala mandi dan meluru ke bilik air. 

Usai solat asar, dia menghampiri Hamimi. Sahabatnya itu masih kelihatan lena. Dia tidak sampai hati mahu mengejutkan Hamimi bangun. Ketika itu jam yang tergantung di dinding sudah menunjukkan ke pukul 5.15 petang. Kalau tidak dikejutkan nanti waktu asar akan berakhir. 

 “Mimi,” kejut Farhana perlahan. Lengan Hamimi dicuit. 

“Mimi... bangun, asar dah nak habis.” Pipi gebu Hamimi ditampar perlahan. 

“Dah pukul berapa dah ni?” tanya Hamimi sebaik sahaja matanya terbuka. Kedua-dua matanya digenyeh dengan tangan. Dia duduk di birai katil. Termenung. 

“Hoi! Pergilah mandi. Dah nak dekat pukul lima setengah dah ni.” Farhana menggantungkan telekungnya di penyangkut baju lalu disangkutkan di belakang pintu bilik. 

Seperti orang mamai, Hamimi bangkit lalu mencapai tuala mandi dan menghilang ke bilik air.


.

No comments:

Followers