Thursday, June 20, 2013

HELO si MERAH JAMBU - BAB 1


HUJAN yang turun dengan lebat hampir setengah jam sebentar tadi sudah mulai reda. Guruh yang berdentam-dentum juga sudah tidak kedengaran lagi. Kini rintik-rintik hujan yang menitik jatuh dari cucur atap terpercik ke tanah menghasilkan irama yang mententeramkan jiwa. Sudah hampir seminggu daerah itu tidak disirami air keramat dari langit sehingga rerumput dan tanaman hijau sudah nampak kering dan tandus. 

“Dah lama tak hujan. Sekali hujan turun, lebat sungguh.” Farhana asyik menatap rintik-rintik hujan yang jatuh dan memercik ke tanah. Dia seolah-olah bercakap dengan dirinya sendiri tanpa menoleh ke wajah Hamimi yang sedang enak mengunyah nasi goreng. Bihun sup yang dibeli tadi panas berasap kini sudah hampir sejuk. 

“Alhamdulillah, syukur. Sejuk sikit hari ini,” celah Hamimi. Pandangan matanya tertancap pada wajah ayu Farhana yang duduk bertentangan dengannya. Dia sering memuji kecantikan wajah yang dimiliki oleh temannya itu. Beruntungnya Farhana dianugerahkan bukan sahaja rupa paras yang cantik, malah budi pekertinya juga molek. Walaupun gadis itu tidak memakai secalit alat solek ke wajahnya namun dia tetap kelihatan cantik di pandangan mata Hamimi. Kalaulah dia punya abang, sudah pasti dia akan memilih Farhana menjadi kakak iparnya. 

“Hujan-hujan macam ni, kalau dapat makan ubi kayu rebus cecah sambal tumis kan best?” Bayangan ubi kayu rebus menerjah minda Farhana. Dia menelan air liur. Tiba-tiba dia terkenangkan emak dan ayahnya di kampung. Baru minggu lepas dia balik ke kampung menjengah mereka. Hamimi berhenti menyuap. Sirap bandungnya dicicip. 

“Dahlah tu. Jangan nak mengarut pula. Bihun sup kau tu dah sejuk dah. Cepatlah makan,” sergahnya tanpa mengetahui apa yang sedang bermain di minda sahabatnya itu. 

Mereka berdua merupakan sahabat karib. Kilang di tempat mereka bekerja itulah yang menemukan mereka, empat tahun yang lalu. Namun perhubungan itu kian erat dan mesra setelah dua tahun mereka menjadi teman sebilik. Kata orang, bumi mana yang tidak ditimpa hujan, begitulah dengan perhubungan mereka. Walaupun bersahabat baik namun hubungan mereka tidak sunyi dari pertengkaran dan perbalahan yang sering berlaku. Adakalanya perang dingin yang meletus mengakibatkan masing-masing bermasam muka dan tidak bertegur sapa sehingga berhari-hari lamanya. Pun begitu, pertelingkahan di antara mereka tidak dibiarkan lama. Mereka bagaikan sepasang sahabat yang saling memerlukan. Andai tanpa mendengar celoteh atau gurau senda di sebelah pihak, hidup bagaikan tidak lengkap di sebelah pihak yang lain. 

“Hei!” Hamimi mengetuk meja dengan hujung sudu. Farhana tersentak daripada lamunannya. Dia sempat melakar senyuman sebelum menyuap bihun ke mulut. Dia memandang Hamimi dengan hujung mata. Sesekali pandangan matanya melilau ke sekeliling ruang kafeteria itu seakan-akan mencari kelibat seseorang. Raut wajahnya nampak resah. 

“Kau cari siapa, hah?” tanya Hamimi. Dia sudah pun selesai makan. Minumannya juga sudah habis diteguk. 

“Tak ada siapa,” jawab Farhana tidak acuh. Mangkuk bihun sup yang masih berbaki ditolak ke tengah meja. 

“Dari air muka kau, aku dah boleh agak. Kau mesti cari seseorang. Kau jangan nak tipu aku. Aku dah lama kenal kau.” Hamimi senyum sinis. 

“Tengok, bihun sup ni pun kau tak habis makan. Kenapa, tak sedap ke atau tak ada selera?” 

 “Kau ni suka buat cerita. Aku tengok orang pun salah. Habis tu, kau nak aku tengok muka kau aje dua puluh empat jam?” bidas Farhana sebal. Matanya masih meliar memandang sekeliling. 

Hamimi hanya menyengih menjawab soalan Farhana itu. Dia turut memerhati sekeliling. Yang dia tahu, gadis itu tidak punya teman lelaki di kilang itu. Tak tahulah kalau-kalau sahabatnya itu menyimpan rahsia daripadanya. Dia akui Farhana yang cantik itu sering menjadi siulan lelaki-lelaki nakal di kilang itu. Pernah beberapa orang kawan sekerja cuba menambat hatinya tetapi tidak dilayan. Dan Farhana juga tidak pernah bercerita tentang kisah teman lelaki dengannya. Sebaliknya, gadis itu pernah memberitahu yang dia datang ke Kuala Lumpur untuk bekerja, bukan untuk mencari cinta. Suasana waktu makan tengah hari di kafeteria sedikit sesak. Disebabkan hujan maka kebanyakan pekerja-pekerja di Kilang Omrun tidak keluar untuk mencari makan di tempat lain. Jika setiap hari makan di kafeteria dengan hidangan yang sama, bosan juga. Tetapi disebabkan hujan, maka kafeteria yang sederhana luasnya itu menjadi tumpuan mereka. 

“Sayang bihun sup ni. Membazir kalau tak habis makan.” Tanpa segan-silu, Hamimi menghabiskan bihun sup yang masih berbaki. Dia menghirup kuah sup itu sehingga mengeluarkan bunyi. Dia mengerling Farhana yang kelihatan gelisah. Anak matanya masih melilau memerhati sekeliling. 

 “Assalamualaikum.” Secara tiba-tiba satu suara garau memberi salam. Suara itu datang dari arah belakang Hamimi. Sebaik sahaja mendengar salam Ako Syukur yang tanpa diduga itu, Hamimi tersedak dan terbatuk-batuk kecil. Mukanya merah. 

“Terperanjat aku.” Dia mengurut dadanya sendiri. Mujur sup yang dihirup tidak terhambur keluar. Farhana yang perasan dengan kehadiran Syukur menjawab salam lelaki itu sambil menguntum senyum. Serta-merta wajah Farhana berubah ceria sejurus melihat wajah lelaki itu. Sengaja dia tidak menghiraukan Hamimi yang masih terbatuk-batuk kecil. 

 “Sorry, Mimi.” Syukur tidak menduga kehadirannya itu memeranjatkan Hamimi. Dia serba salah. Namun dia senyum saja. Lelaki yang senang dipanggil Ako itu mengenyitkan mata ke arah Farhana apabila perasan gadis itu memerhatikannya sejak tadi. Renungan sepasang mata bundar milik gadis itu bagaikan menusuk ke kalbunya. 

 “Kenapa kau lambat keluar makan?” sapa Farhana sambil tersenyum nipis. 

“Kerja tak habis, lambatlah keluar.” Selamba saja Syukur menjawab. Dia sangat komited dengan kerjanya. Selagi belum selesai, selagi itulah dia tidak akan berhenti. Dia pernah mendapat gelaran ‘Staff of the year’ selama dua tahun berturut-turut. 

“Orang rajin memanglah macam tu. Kalau tidak takkanlah boleh dapat gelaran pekerja terbaik. Dua tahun berturut-turut pulak tu,” sindir Hamimi. Syukur mengambil tempat di sebelah Hamimi. Pinggan dan gelas yang di tangannya diletakkan di atas meja. Sindiran Hamimi tadi tidak dihiraukan. 

“Kau orang dah habis makan, ke?” Matanya tidak lepas dari memandang wajah Farhana yang dihiasi senyuman. Semakin lama dipandang wajah gadis itu, semakin laju jantungnya berdegup degap. 

“Kita orang baru aje habis. Tunggu kau lambat sangat.” Farhana menjawab tanpa pedulikan Hamimi yang merenungnya dengan wajah sinis. 

“Oh.. baru aku tahu. Rupanya mamat ni yang kau cari dari tadi tu, ya? Aku ingatkan siapa,” sindir Hamimi. 

 “Oh ya ke Farah, kau cari aku?” tanya Syukur. Semangatnya berkobar-kobar. Farhana menggeleng. 

“Taklah.” 

“Aku tau kau rindukan aku, kan?” usik Syukur. Walaupun sebenarnya dia sedar kekurangan diri yang dimiliki. Sudahlah wajahnya tidak tampan, perangai pula tidak semenggah. Dan dia hanya seorang pekerja kilang dengan pendapatan yang tidak seberapa. Siapalah yang sudi padanya. Apatah lagi bagi gadis yang secantik Farhana. 

“Tak kuasa aku.” Farhana membetulkan kain tudungnya yang berwarna merah jambu. Syukur ketawa terbahak-bahak. 

“Kau orang berdualah kawan baik aku. Kalau kau orang tak ada, rasa sunyi hidup aku. Aku tahu, kalau aku tak ada mesti kau orang pun rasa bosankan?” Syukur menyeringai sambil mengangguk-angguk. Dia menoleh pandang ke wajah Hamimi dan kemudiannya beralih ke wajah Farhana pula. 

“Betul tak?” tanya lelaki itu lagi. Mulutnya penuh. Hamimi mengerling ke arah Syukur. Menyampah, hamunnya di dalam hati. Sedangkan Farhana hanya tersenyum sejak tadi. 

“Kau ni tak habis-habis dengan perasan kau tu. Alah, tanpa kau pun kita orang tak kisah. Lagipun kau kerja di bahagian lain. Kita bukan sama tempat kerja.” Selamba saja Hamimi menjawab. 

“Memanglah. Tapi aku kan bodyguard kau orang. Kalau aku tak ada mesti kau orang rasa kehilangan, kan?” kata Syukur hingga tersembur-sembur sisa makanan daripada mulutnya. Dengan pantas dia mengelap mulutnya dengan sapu tangan. 

“Ya ke? Sejak bila pulak kita orang lantik kau jadi bodyguard?” Hamimi mengerling tajam ke arah Syukur. Lelaki itu sangat menjengkelkan. 

“Aku yang lantik diri aku sendiri untuk jadi bodyguard kau orang. Aku tak suka orang lain kacau-kacau kau orang. Tambah-tambah kat kilang ni ada banyak buaya darat.” Sebenarnya Syukur cemburu kalau melihat ada orang yang berani mengganggu Farhana. Dia tidak suka gadis yang dipuja dalam diam itu diminati oleh orang lain. 

“Suka-suka hati dia aje lantik diri sendiri jadi bodyguard orang,” sindir Hamimi. 

“Oh! Kalau ada orang kacau kau, pandai pulak kau panggil aku. Kalau nak makan nasi lemak kukus Mak Cik Limah tu pandai kau suruh aku beli!” tempelak Syukur. Nasi Ayam sepinggan sudah habis dimakan. 

 “Eleh... mengungkit. Tolong orang tak ikhlas.” Hamimi membebel. Mulutnya terkumat-kamit. 

“Aku bukan mengungkit. Tapi kau tu...” tukas Syukur tanpa memandang ke sisi. 

“Aku apa?” Hamimi sudah naik berang. Matanya dibulatkan. 

“Eh! Sudahlah. Kau orang berdua ni, kalau jumpa mesti nak bertekak. Pening kepala aku. Kalau tak bergaduh tak sah. Macam budak-budak.” Farhana yang berdiam sejak tadi tiba-tiba bersuara. Memang sudah jadi kebiasaan jika Syukur dan Hamimi bertengkar, dia yang menjadi pendamai. Ada kalanya dibiarkan saja mereka bertelagah kerana dia tahu gaduh mereka tidaklah sampai bertumbuk. 

“Kawan kau ni yang mulakan dulu.” Hamimi mencebir. 

“Apa pulak aku?” Syukur tidak puas hati. 

“Memang kau yang mulakan dulu, kan?” Hamimi menjegilkan matanya. 

“Eh! Dahlah. Orang tengoklah. Kau orang tak malu ke?” tegur Farhana separuh berbisik. 

“Hairan aku, macam manalah kau boleh tahan dengan dia ni, Farah. Garang macam harimau. Tak boleh usik sikit, nak baham orang aje kerjanya,” tambah Syukur lagi. 

“Memang aku rasa macam nak baham orang sekarang ni. Kau tu dahlah duduk sebelah aku aje kalau aku tak baham kang habis pulak muka kau tu aku cakar-cakar,” gumam Hamimi geram. Walaupun sudah faham benar dengan sikap Syukur yang suka mengusik namun setiap kali dia menutur kata terasa sakit hatinya mendengar. Geli hati Farhana melihat gelagat mereka berdua. Sudah macam anjing dengan kucing. Dia cuba sembunyikan tawanya. 

“Macamlah aku takut sangat. Kau tau cakar kau aje. Cakar aku, kau belum rasa lagi,” usik Syukur lagi. Sengaja dia mahu mendidihkan hati Hamimi. Semakin Hamimi marah semakin galak pula dia menyakat gadis itu. Muka Hamimi mencuka. Dia menoleh ke arah lain. Tidak kuasa dia mahu bertentang mata dengan lelaki yang selalu menaikkan darahnya itu. Farhana tersenyum. 

“Okey, sudah. Tak mahu gaduh lagi. Kalau kau orang bergaduh jugak aku tak nak duduk dengan kau orang lagi,” ugutnya. 

“Janganlah macam tu, Farah. Kita jangan layan dengan orang yang suka mengamuk tak tentu pasal ni. Kalau kita layan boleh jadi sasau macam dia jugak.” Selamba saja Syukur meluah kata tanpa mengambil kira perasaan Hamimi. Muka Hamimi sudah naik merah. Tahap kesabarannya sudah semakin menipis. Reaksi Syukur seakan-akan sengaja mencabar emosinya. 

“Hisy, kau jangan nak lebih-lebih pulak! Aku bagi kang.” 

“Kau punya bagi aje yang kau tau. Kalau kau bagi kau ingat aku akan diam aje ke?” Syukur semakin seronok melihat Hamimi marah-marah. 

 “Kau jangan pandang aku tak ada mata, okey. Jangan kau ingat aku perempuan aku takut dengan lelaki yang macam kau ni.” Mata Hamimi membuntang. Dia melihat Syukur seperti mahu ditelannya hidup-hidup. 

“Kau ni nak naik angin tak tentu pasal, kenapa? Kau period ke?” Syukur tergelak-gelak. Dia ketawa dengan ayat-ayatnya sendiri. 

 “Hisy! Tak baiklah kau cakap macam tu, Ako. Dahlah.” Farhana menyejukkan keadaan. Dia tahu kalau dia tidak berbuat demikian, perkelahian dua sahabatnya itu akan kian menjadi-jadi dan tidak ada berkesudahan. Dia mengerut dahi melihat wajah Hamimi yang cemberut. 

 “Ako, kau dah minta balik gambar aku dari Hanif?” Gadis itu mengubah tajuk cerita secara tiba-tiba. Sebenarnya itulah tujuan dia mahu berjumpa dengan Syukur sejak tadi. 

“Dah.” Syukur menjawab pendek. 

“Mana dia gambar tu?” tanya Farhana tidak sabar. 

“Ada kat rumah aku.” 

“Esok kau jangan lupa bawak, ya?” 

“Alah, biarlah aku simpan buat kenangan. Sebenarnya masa aku mintak gambar tu dari Hanif, dia tak mahu bagi. Puaslah aku bertekak pasal gambar tu, tapi bila aku bagitahu dia kau yang suruh mintak, barulah dia bagi. Itu pun bagi macam muka tak puas hati.” 

Hamimi tercengang mendengar perbualan mereka berdua. Kemudian barulah dia tahu mengapa sahabatnya itu kelihatan gelisah sebentar tadi. Sampai hati Farhana tidak memberitahunya tentang insiden curi gambar itu. Dia lebih terkejut apabila mendapat tahu lelaki yang menjadi gilaan minah-minah kilang itu yang mencuri gambar Farhana. Sudah pasti Hanif merupakan salah seorang secret admirer sahabatnya itu. Beruntung Farhana, ramai yang berminat padanya. Tapi macam mana dia boleh tak tahu tentang cerita itu? Rupa-rupanya ada rahsia yang disimpan daripada pengetahuannya. Dulu Hanif pernah bekerja di kilang itu, tetapi lelaki itu sudah berhenti sejak dua minggu lalu kerana menyambung pelajaran. Hanif menaruh hati separuh gila terhadap Farhana sehingga dia sanggup mencuri gambar Farhana yang diletakkan di dalam loker. Sudah beberapa kali Farhana cuba meminta semula gambar itu daripada Hanif, tetapi tidak dipedulikan. Farhana tidak berpuas hati. Selagi dia tidak dapat semula gambarnya, selagi itu dia tidak senang duduk. Lalu dia meminta bantuan Syukur untuk meminta semula gambar itu bagi pihaknya. 

 “Tak boleh. Esok kau mesti pulangkan balik gambar tu pada aku,” pinta Farhana bersungguh-sungguh. 

“Yalah, yalah... esok aku bagilah. Kedekut betullah si Merah Jambu ni.” Memang sejak mula Syukur ingin menyimpan gambar itu sebagai kenangan. Perasaannya yang lama terpendam tidak siapa yang tahu. Bijak dia menyimpan rahsia hatinya sehingga Hamimi mahupun Farhana tidak dapat menghidunya. Sikapnya yang sering ceria dan suka mengusik itu berjaya menyembunyikan perasaan halusnya itu. 

“Aku sayang dengan gambar tu. Aku cuma ada sekeping itu saja,” keluh Farhana. Sebahagian teman-teman di kilang menggelarnya si Merah Jambu kerana minatnya yang melampau pada warna itu. Acap kali dia dilihat memakai pakaian, beg, kasut dan payung warna yang sama... merah jambu. 

“Okeylah, esok aku bagi,” ujar Syukur dengan nada kecewa. Kalaulah kau tahu perasaan hati aku pada kau, adakah kau akan rela menyerahkan gambar potret kau itu untuk aku tatap saban waktu? Sayangnya kau tak pernah tahu isi hati yang aku pendam terhadap kau. 

“Hoi, Ako!” Farhana mengetuk meja apabila mendapati lelaki itu merenungnya tanpa berkelip. Serta-merta Syukur tersentak. Tiba-tiba dia jadi gelabah. 

“Okeylah, dah nak dekat pukul dua. Nanti esok pagi kau tunggu aku. Nanti aku belikan kau nasi lemak kukus Mak Cik Limah tu, ya? Aku beli yang special punya untuk kau. Untuk kau saja, tau.” Sengaja ayat akhirnya dikuat dan ditekankan sambil matanya mengerling Hamimi. Dia segera bangkit dari tempat duduknya. 

“Eleh, tak heran pun,” pintas Hamimi. 

“Kau diamlah. Aku bukan cakap dengan kau. Jangan lupa esok ya, Farah?” Sebelum beredar Syukur sempat melambaikan tangannya kepada Farhana yang sudah berubah reaksi wajahnya. Sengaja dia berbuat demikian untuk menyakat Hamimi. Hamimi masih berdiam. Dia menyinga. Muncung saja mulutnya. Seketika suasana menjadi sepi. 

“Dahlah tu. Aku heran tengok kau orang berdua, tak boleh bertemu muka. Kalau berjumpa, mesti ada saja yang nak bertekak. Aku ingat kau orang berdua ni sebenarnya serasilah. Boleh duduk satu rumah.” Farhana cuba mengusik untuk mencuri perhatian Hamimi. 

“Duduk serumah? Eeii... tak kuasa aku dengan lelaki macam tu. Bagi free pun aku tak mau.” Hamimi mencebik. Memang Syukur bukan kriteria lelaki idamannya. 

“Tak baik kau cakap macam tu. Mana tau satu hari nanti kau berdua dijodohkan, baru padan muka kau.” Farhana terkekeh ketawa. 

“Tolong sikit... dengan aku memang tak sesuai. Tapi kalau dengan kau memang padan sangat. Kau tengoklah perangai dia, kalau kau cakap apa pun dia mesti setuju. Aku perasan dia selalu tenung kau,” kata Hamimi. Api kemarahannya tadi sudah mulai sejuk sebaik sahaja kelibat lelaki itu menghilang daripada pandangan. Farhana melirikkan senyuman. 

“Ada-ada saja kau ni. Kau jangan cakap macam tu. Aku bimbang satu hari nanti siapa tahu, kau pulak yang syok kat dia setengah mati. Dia pulak yang jual mahal. Masa tu baru kau tau, menyesal tak sudah. Ada orang kata, sayang biar berpada, takut nanti jadi benci. Benci jugak biar berpada, takut nanti berubah jadi sayang.” 

“Yalah tu. Aku berdoa, dia bukan jodoh aku.” Hamimi menadah tangan dan meraup ke mukanya. 

“Eh, dahlah. Aku tak mau lagi cakap pasal tu. Asyik cerita pasal dia aje, kita yang lambat masuk kerja nanti. Jom,” ajaknya. Mereka berdua melangkah bergandingan ke kilang tempat mereka bekerja. Di dalam sekelip mata kafeteria itu sudah kelihatan lengang. “Sampai hati kau tak bagitahu aku pasal Hanif tu.” Tiba-tiba Hamimi bertanya. Rupa-rupanya persoalan itu masih berlegar-legar di benaknya. 

“Alah, cerita tu tak penting.” Farhana sengaja mahu mematikan cerita. Dia melajukan langkahnya. 

“Kau kan tau, dia tu jejaka rebutan kat kilang kita ni? Macam mana boleh aku tak tau langsung pasal tu. Dia mesti ada hati dengan kau, kan? Ceritalah.” 

“Lain kalilah aku cerita, banyak masa lagi.” 

“Kau berahsia dari aku nampak...” Hamimi masih tidak puas hati. 

“Rahsia apa? Aku dengan dia tak ada apa-apalah. Kami hanya kawan biasa saja.” 

“Aku tak percayalah. Kalau kawan biasa, kenapa dia curi gambar kau? Apa maknanya tu?” “Manalah aku tau kenapa dia nak curi gambar aku.” 

“Habis tu macam mana kau dapat tau dia yang curi gambar kau?” 

“Dia sendiri yang bagitau kat aku.” 

“Pelik. Dah curi, bagitau pulak kat tuan yang empunya. Mesti dia ada niat apa-apa.” 

“Entahlah. Aku tak taulah.” Farhana sudah sampai ke tempat dia bekerja. Dia berharap sangat agar Hamimi tidak lagi mengaju soalan-soalan yang memeningkan kepalanya itu. 

 “Farah, nanti kau cerita, ya?” 

“Yalah. Nanti aku ceritalah. Dah, pergi kat tempat kau.” Farhana rimas dengan soalan Hamimi yang bertubi-tubi. Apa hal perempuan tu sibuk saja nak tahu tentang Hanif?



.

No comments:

Followers