Setelah seminggu bercuti, Hamimi dilanda penyakit malas
untuk pergi bekerja. Kebetulan minggu itu mereka bekerja syif petang. Jam
1.00 petang Farhana sudah bersiap-siap
manakala Hamimi masih melingkar di atas katil. Hati terasa berat manakala badan
pula begitu liat untuk bangun dan bersiap. Ketika itu bermacam-macam pula
perkara yang menyerang fikirannya. Mulalah dia berangan-angan. Kalaulah aku
jumpa dengan putera raja, alangkah bahagianya...
|
“Sudah-sudahlah
berangan tu. Cepatlah siap, Mimi. Dah pukul berapa dah ni? Aku lapar ni. Kalau
lambat nanti tak sempat nak makan nanti.” Farhana merungut tatkala melihat
Hamimi yang tersengih-sengih seorang diri di atas katil bujangnya. Dia dapat
meneka apa yang bermain dalam fikiran sahabatnya itu. Kalau tidak berangankan
putera raja, apa lagi?
“Alah,
baru pukul satu. Ada lagi satu jam, apa pulak tak sempat? Lagipun aku dah
mandi, cuma nak sarung seluar saja. Kejaplah.” Hamimi memejamkan matanya.
“Kejaplah,
kejaplah. Masa berjalan tau, Mimi. Masa tak menunggu kita.” Farhana
menyarungkan tudung warna merah jambu ke kepalanya. Dia membelek-belek wajahnya
di depan cermin panjang yang melekap di dinding.
“Lepas
seminggu cuti, rasa malas pulak nak pergi kerja.” Perlahan-lahan Hamimi bangkit
lalu duduk bersandar di kepala katil. Dia hanya memerhati Farhana yang sedang
menghadap cermin.
“Dah
banyak lemak kau tu,” sindir Farhana. Dia memandang Hamimi melalui cermin.
Sejurus kemudian dia mencapai beg galas dan baju uniformnya yang terletak di
atas kerusi. “Cepat, Mimi.” Dia melangkah keluar dari bilik meninggalkan Hamimi
yang masih terpinga-pinga.
Hamimi
tersengih-sengih lalu bangkit dengan malas. Dia menyarung seluar jeans birunya
manakala kain batik yang dipakainya dilondehkan. Kemudian kain batik itu
diambil dengan kaki sahaja lalu dilipat dan diletak di atas katilnya. Baju
seragam yang tergantung di balik pintu dicapai. Tudung yang sudah digosok
disarungkan ke kepalanya. Kemudian dia menghadap cermin. Tanpa mengambil masa
yang lama dia sudah bersiap lalu tergesa-gesa keluar dari bilik untuk
mendapatkan Farhana.
Farhana
sudah menunggu Hamimi di hadapan pintu lif. Sejurus Hamimi sampai, pintu lif
pun terbuka. Tanpa berlengah mereka melangkah masuk. Kelihatan beberapa orang
lain turut ada di dalam lif tersebut. Sebaik sampai ke tingkat paling bawah,
semua yang ada di dalamnya berdedai-dedai keluar macam kambing keluar dari
kandang.
“Lupa
aku nak beritahu kau, kita dah ada manager baru tau Mimi,” beritahu Farhana. Mereka berjalan
bergandingan menuju ke kilang.
“Ya?
Lelaki ke perempuan?” soal Hamimi tidak sabar.
“Cuba
kau teka?”
“Nak
suruh teka-teka pulak. Cakap sajalah. Cepatlah Farah.” Hamimi menarik-narik
tangan Farhana. Dia teruja ingin tahu.
Farhana
tergelak. “Kau teka sajalah.”
“Mesti
lelaki, kan? Aku tengok air muka kau aje aku dah tau. Mesti hensem, kan?” desak
Hamimi.
“Entahlah.
Tak tau nak cakap.” Farhana menjongketkan kedua-dua bahunya. “Kau tau, Mimi?”
“Apa
dia?”
“Kau
ingat tak lagi dengan lelaki yang aku cerita kat kau dulu. Yang aku langgar dia
di McDonald’s,
habis air tumpah terpercik kat baju dia. Makwe dia mengamuk sakan dengan aku
tu?” Farhana terkenangkan insiden tiga bulan lalu. Dia terbayangkan wajah
keliru lelaki yang dilanggarnya itu.
“Oh!
Lelaki tu. Lelaki yang datang dalam mimpi kau tu? Kenapa dengan dia?”
“Lelaki
itulah.. Dia tulah orangnya.
Mula-mula aku tak perasan. Tapi bila dia tertoleh-toleh pandang aku, baru aku
perasan dia. Bila nampak aje muka aku, merah padam muka dia.”
“Kau tak
tegur dia?”
“Eeii…
Nak pandang dia pun aku segan, inikan pulak nak tegur dia?”
“Rugilah.
Habis tu belum berkenalan lagilah?”
Farhana
menggeleng sambil tersenyum malu. “Takkanlah aku yang nak terhegeh-hegeh pergi
kat dia? Sorrylah.”
“Apa
salahnya? Dia kan orang baru? Sepatutnya kaulah yang kena hulurkan salam
perkenalan terlebih dahulu. Sengallah kau ni.”
Pantas
satu cubitan manja hinggap di lengan Hamimi. Hamimi mengaduh kesakitan sambil
dia menggosok-gosok lengannya sendiri. Hamimi menunjukkan lengannya yang
berbekas kepada Farhana. Mukanya berkerut-kerut.
Farhana
tidak menyangka cubitannya tadi agak kuat. Dia menjadi serba salah. Lantas
dengan segera dia memeluk Hamimi dari belakang dan memohon maaf atas
perbuatannya yang tidak disengajakan. Ternyata Hamimi tidak sedikit pun
mengambil hati malah dia ketawa gelihati melihat muka Farhana yang alah-alah
cicak berak kapur itu.
Tanpa
disedari mereka sudah sampai di kafeteria. Mereka terus menerpa ke meja di mana
pelbagai jenis lauk pauk tersedia untuk dipilih. Kafeteria itu menjalankan
perniagaan cara layan diri. Setelah pinggan sudah penuh diisi dengan nasi dan
lauk pauk pilihan, mereka ke kaunter untuk memesan minuman sekali gus membuat
bayaran. Kemudian mereka mengambil tempat duduk di tengah-tengah ruang
kafeteria.
Tatkala
melihat Farhana yang bermenung, Hamimi menegur. “Rezeki dah ada di depan mata,
apa yang ditunggu lagi? Baca bismillah dan makan.”
Farhana
tidak menjawab.
“Hai!
Baru dua hari tak jumpa dah macam orang angau aje kau ni. Takkan kau rindu
dekat Ako pulak?”
“Dia kan
kawan baik kita, Mimi? Apa salahnya kalau makan, kita tunggu dia untuk makan
sama-sama?”
“Yalah
tu.” Hamimi mulakan suapan tanpa mahu menunggu sesiapa.
“Entah kenapa, sejak
peristiwa Jiha serang aku tak tentu pasal hari tu aku dah tawar hati. Aku rasa
dialah punca segalanya,” katanya mengingatkan insiden yang berlaku antara dia
dan Jiha. Walaupun dia tidak tahu kebenaran di sebalik kisah yang berlaku namun
dia tidak mahu peduli.
“Sebenarnya,
bukan salah Ako. Dia dah berterus terang dengan aku masa kau tak ada. Dia kata
Jiha tu yang salah sangka. Dia tak berniat apa-apa langsung pada Jiha tapi Jiha
tu yang salah tafsir. Ako kata dia hanya bergurau saja, tak sangka pulak Jiha
tu ambil serius,” jelas Farhana. Matanya masih melilau mencari kelibat Syukur.
“Itulah
padahnya kalau orang suka bergurau tak mengira tempat. Kalau nak buat lawak
bodoh pun, agak-agaklah. Jangan cakap sembarangan. Kan orang tu dah perasan,
siapa yang susah? Tanggunglah sendiri!” getus Hamimi geram. “Aku pun perasan
Ako tu memang suka buat lawak tentang perasaan orang. Bila orang dah jatuh hati
kat dia, mengelabah. Tau takut.” Dia meneruskan suapan. Hari itu dia memilih
lauk ikan keli masak berlada dengan sayur lemak pucuk paku.
Farhana
mengeluh.
“Dahlah,
tak payah tunggu dia. Makan je. Dah pukul berapa dah ni?” Hamimi bangkit menuju
ke singki untuk membasuh tangan.
Farhana
melihat jam di tangannya sebelum memulakan makan. Tiba-tiba Hamimi mencuit
Farhana dari belakang. Farhana berhenti menyuap. Dia segera menoleh memandang
muka Hamimi yang memuncungkan bibirnya sebagai isyarat. Lantas Farhana pun
mengalihkan pandangannya ke arah yang dimaksudkan oleh Hamimi itu. Dia melihat
sesusuk tubuh sedang berjalan melintasi tempat duduk mereka menuju ke kaunter.
Gadis itu tidak sedikit pun menoleh.
“Sorang
aje nampaknya. Mana perginya konco-konco yang selalu jadi bodyguard dia?” bisik Hamimi pelik.
Air sirap bandung dihirup.
“Biarlah
dia, Mimi. Asalkan jangan kita yang mulakan dulu.” Farhana memberi nasihat.
“Aku tak
suka nak kacau orang tak tentu pasal. Tapi yang menghairankan aku bila aku tak
kacau orang, orang pulak yang datang menyerang aku. Aku bukan jenis gadis
lembut dan ayu macam kau. Aku tak boleh diam diri tengok orang pijak atas
kepala aku.” Hamimi mendengus.
“Mengalah
bukan maknanya kita kalah. Perkara yang kecil usahlah dibesarkan. Kalau dengan
berbincang boleh menyelesaikan masalah, kenapa kita pilih berbalah sebagai
jalan penyelesaian? Aku tak suka bermasam-masam muka.” Farhana sudah selesai
makan. Dia hanya makan nasi goreng berlaukkan telur goreng mata kerbau.
“Habis
tu... kau ingat aku suka? Aku pun tak sukalah.”
“Kalau
macam tu, beralah sajalah.”
“Beralah?
Kau nak aku pergi minta maaf kat dia ke? Aku dah buat tak tau ni pun dah kira
bagus, tau. Kalau aku nak balas dendam dengan apa yang dia buat kat aku tu,
bila-bila pun boleh. Tapi aku bukan jenis pendendam dan aku pun tak suka nak
bergaduh dengan orang.”
“Alhamdulillah.
Aku tau kau baik,” puji Farhana sambil menghadiahkan senyum tawar.
Jiha
kembali melintasi tempat mereka duduk. Dia melangkah dengan pandangan
ditundukkan ke bawah. Farhana dan Hamimi mendiamkan diri. Perubahan sikap Jiha
itu mengundang seribu tanda tanya di dalam benak mereka berdua. Selalu Jiha
tidak begitu. Dia jarang dilihat berjalan sendirian. Biasanya ke mana saja dia
pergi pasti dia ditemani oleh Lola dan beberapa orang kawan lain. Dan dia
jarang dilihat murung. Kalau dia berada bersama kawan-kawannya riuh rendah
suara dan gelak tawa mereka.
“Lain
macam aje aku tengok Jiha tu kan, Mimi?” soal Farhana setelah memerhati gerak
laku Jiha sebentar tadi.
“Kena
tinggal dengan kawan-kawan dialah tu. Padankan muka dia. Biar dia rasa,” luah
Hamimi. Insiden pertengkaran dengan Jiha tempoh hari terbayang-bayang di
matanya.
Farhana
mengerling memandang Hamimi. “Dahlah, jom.” Mereka bangkit dari bangku dan
mengatur langkah untuk masuk ke kilang.
“Mana
Ako ni? Batang hidung pun tak nampak-nampak.” Farhana resah. Kelibat lelaki itu
masih tidak kelihatan walaupun jam sudah hampir ke pukul dua. Dia tahu hari itu
Syukur bekerja di syif petang.
“Kau ni
tak habis-habis teringatkan dia. Lain macam aje aku tengok kau ni. Kalau suka
kata suka, jangan diperam nanti jadi masam,” gurau Hamimi sambil mengekek
ketawa. Keresahan sahabatnya itu menimbulkan tanda tanya. Barangkali ada
sesuatu yang bersarang di fikirannya.
“Berapa
kali aku cakap dengan kau? Aku anggap dia dan kau sama penting bagi aku. Aku
anggap dia macam abang aku tau,” jelas Farhana geram. Usikan Hamimi tadi
seakan-akan satu sindiran baginya. Seolah-olah antara dia dan lelaki itu
mempunyai perasaan yang terpendam.
Hamimi
ketawa. “Okeylah. Sekarang kita nak mulakan kerja. Kosongkan fikiran. Jangan
fikirkan perkara-perkara lain selain dari kerja. Petang nanti kita jumpa lagi,
ya.” Hamimi mencuit pipi gebu Farhana sebelum beredar meninggalkan sahabatnya
itu dengan seribu rasa.
.
No comments:
Post a Comment