Ruang tamu rumah bujang itu riuh rendah dengan gelak tawa.
Apabila mereka sudah berkumpul, begitulah keadaannya. Tidak sah jika tidak ada
kata mengata dan usik mengusik. Ada kalanya apabila terlebih bergurau, ada juga
hati yang tergores. Namun perasaan itu tidak dibiarkan berpanjangan. Mereka
bagaikan bersaudara. Bertengkar dan berbaik semula, itu biasa.
|
Tengah
hari itu, Hamimi baru sahaja sampai dari kampung halamannya. Beg pakaiannya pun
masih belum lagi berkemas. Sebaik dia meletakkan beg pakaian ke dalam bilik,
dia ke ruang tamu membawa sebuah beg yang penuh dengan bekalan makanan yang
dibawa balik dari kampung.
Farhana,
Shakila dan Yasmin sudah mengerumuni bekalan yang dipunggah keluar dari dalam
beg tersebut. Beberapa bungkusan plastik jeruk yang dibeli dari pasar Chow
Rasta menjadi tumpuan mereka. Ada jeruk mangga, ada jeruk betik, ada jeruk
salak dan berbagai lagi. Kecur air liur dibuatnya.
“Mak aku
kirim salam kat kau orang,” kata Hamimi ceria.
“Waalaikumsalam,”
jawab tiga dara itu serentak sambil mengunyah jeruk.
“Mak kau
sihat, Mimi?” Farhana bertanya.
“Alhamdulillah,
bertambah sihat aku tengok mak aku tu. Jualan kuih dia pun semakin maju.
Seronok pulak rasanya menolong mak aku berniaga kuih, rasa macam tak mahu balik
sini.” Hamimi bercerita.
“Seminggu
kau duduk kampung, dah makin tembam aku tengok pipi kau. Kalau lama sikit mahu
baju-baju kau tak muat pakai dah,” usik Shakila.
Mereka
yang lain ketawa.
“Mana
taknya... sambil menggoreng kuih sambil makan. Sarapan makan kuih, minum petang
makan kuih.” Hamimi tersenyum lebar.
Perniagaan
emaknya di kampung sudah semakin maju. Tiga orang adiknya yang masih bersekolah
banyak membantu emak mereka selepas waktu sekolah. Adik perempuannya, Hamima yang akan menduduki peperiksaan SPM
tahun itu menggantikan tempat Hamimi sebagai kakak yang paling tua sepanjang
ketiadaannya. Dialah yang banyak membantu tugas emaknya di dapur.
Selain
Hamima, adik lelaki mereka, Hamdan yang juga masih belajar di dalam tingkatan
dua juga banyak bertungkus lumus. Tugasnya berada di gerai membantu emak berjualan.
Manakala adik mereka yang paling bongsu, Hamdi yang akan menduduki peperiksaan
UPSR di hujung tahun nanti juga tidak ketinggalan turut membantu.
Di
samping membuat kuih-muih untuk jualan di gerai, kini emak juga membuat kuih
untuk tempahan sebagai pendapatan tambahan. Dengan bantuan tiga orang adik meringankan kerja emak. Hamimi sudah boleh
menarik nafas lega. Melihat emak dan adik-adiknya gembira, dia turut berasa
senang hati.
Semasa
mahu berangkat pulang ke Kuala Lumpur tadi, kakinya terasa berat untuk
melangkah pergi. Jika ada pilihan dia mahu terus menetap di kampung. Menghirup
udara tenang lagi bersih tanpa kesibukan dan kebisingan kota.
“Sedaplah
kuih ni. Kuih apa ni?” Yasmin bertanya dengan wajah pelik.
“Itu
kuih jongkong. Nama kuih pun tak tau, makan aje yang kau tau,” jawab Hamimi.
“Kau
pandai tak buat kuih jongkong ni, Mimi?” tanya Yasmin sambil membuka daun
pisang yang membalut kuih jongkong itu.
“Pandai.
Tapi tak sesedap yang mak aku buat.” Terdapat tiga jenis kuih yang dijamu oleh
Hamimi. Kesemuanya sedap belaka.
“Untunglah
kau, Mimi. Pandai buat kuih. Nanti kalau kau dah malas kerja kat kilang,
bolehlah kau jual kuih pulak.” Usikan Farhana disambut dengan gelak tawa oleh
kawan-kawan yang lain.
“Ada-ada
aje kau ni, Farah. Dahlah aku nak mandi dan berehat. Kau orang makanlah semua
kuih tu. Jeruk tu jangan dihabiskan pulak, simpan untuk aku sikit,” pesan
Hamimi sebelum hilang ke bilik mandi.
Malam itu malam minggu. Farhana
dan Hamimi tidak keluar ke mana-mana. Shakila dan Yasmin sudah keluar sejak
petang tadi. Mereka dijemput oleh teman lelaki masing-masing. Farhana dan
Hamimi tidak sedikit pun berasa cemburu melihat Yasmin dan Shakila dengan
pasangan mereka. Bagi Farhana dan Hamimi, hidup lebih bahagia walaupun tanpa
teman lelaki. Tidak pening kepala dan tidak sakit hati. Apa yang lebih penting,
walau tanpa teman lelaki hidup mereka tetap ceria.
“Lain
kali kalau aku balik kampung, kau ikut aku balik ya? Hari tu mak aku tanya
kenapa aku tak ajak kau sama.” Hamimi meniarap di atas katil bujangnya sambil
menghadap komputer ribanya.
“Ingat
lagi mak kau pada aku ya?” kata Farhana yang duduk bersila di lantai. Kain baju
yang membusut di hadapannya dilipat satu persatu.
“Mana
boleh dia tak ingat? Kau lupa ke masa mula-mula kau datang rumah aku, kau
menjerit-jerit macam nak gila bila nampak katak kat dalam bilik air. Lepas tu,
mak aku yang tolong halau katak tu. Adik-adik aku ketawa bagai nak rak tengok
muka kau yang pucat lesi masa tu. Lagipun, aku tak pernah bawak kawan balik ke
rumah.
Sejak aku
bekerja di Kuala Lumpur, hanya kau seorang aje yang pernah ikut aku balik.
Adik-adik aku pun suka kat kau. Dia orang memuji-muji kau. Dia orang kata kau
baik dan kau cantik. Eeii... menyampah aku dengar. Melambung-lambung tinggi
pujian dia orang tu pada kau. Mentang-mentanglah kau kirimkan hadiah untuk dia
orang. Emak aku pun bukan main suka lagi bila aku bagi telekung yang kau
belikan tu. Dia sedih sebab tak pernah ada orang bagi telekung kat dia. Aku
anak dia sendiri pun tak bagi dia telekung.” Sebak dada Hamimi bila
terkenangkan emaknya.
“Alah,
apalah sangat pemberian aku tu? Insya-Allah,
lain kali kalau kau balik kampung aku akan ikut. Macam manalah rupa Mima
sekarang? Mesti dia cantik macam kakak dia jugak.” Farhana senyum. Wajah Hamima
menjelma di bayangannya.
“Mestilah
kakak lebih cantik dari adik. Adik mana boleh lawan kakak?” kata Hamimi
bersulam ketawa.
“Yalah
tu.” Farhana turut ketawa. Dia tidak menafikan kecantikan yang dimiliki Hamimi.
Walaupun berkulit hitam manis tetapi tidak jemu mata memandang.
“Hamdan
dah boleh diharap sekarang. Aku tak sangka, dalam masa tiga bulan aku tak
balik, dia dah banyak berubah. Tak macam dulu, malas dan banyak main. Dia rajin
menjaga gerai sementara tunggu emak aku datang. Mima pun dah semakin matang aku
tengok. Walaupun dia sibuk dengan ulangkaji pelajaran tapi tak pernah biarkan
mak aku bertungkus lumus di dapur sorang diri. Lega aku.” Hamimi menarik nafas
panjang dan dihelanya perlahan.
“Mereka
belajar dari pengalaman. Sebenarnya, kepahitan hidup mereka itu yang
mendewasakan mereka. Syukur mereka tau tanggungjawab masing-masing. Senanglah
hati mak kau ya? Kuih-kuih yang dijual di gerai pun habis laku, ditambah lagi
dengan kuih yang ditempah. Tak menang tanganlah mak kau. Mana nak buat kuih
untuk dijual, kuih tempahan lagi.”
“Mima
dan Hamdan yang banyak menolong. Lepas solat subuh mak aku dah bersilat kat
dapur.” Senyuman terukir di bibir Hamimi. Dia menyembunyikan rasa sebak yang
menghimpit dadanya. “Sebelah pagi semua ke sekolah. Tinggal mak aku buat kerja
sorang diri. Lepas adik-adik aku balik dari sekolah, barulah mereka tolong
goreng kuih dan siap-siapkan kuih yang nak dibawa ke gerai. Tugas Mima kemas
dapur yang macam kapal karam tu dan sementara tunggu mak aku mandi dan bersiap,
Hamdan jaga gerai. Sebelah malam barulah dia orang buat ulangkaji dan buat
kerja sekolah.”
“Macam
mana dengan Hamdi? Apa tugas dia pulak?” Farhana tersenyum lebar. Dia
terbayangkan wajah comot adik bongsu Hamimi yang nakal itu.
Hamimi
ketawa. Apabila teringatkan Hamdi, geram ada,
lucu pun ada. “Dia terkecuali. Dia banyak aktiviti di sekolah. Katanya
dia orang penting di sekolah. Kalau tidak ada dia, cikgu tak masuk kelas
mengajar.” Ketawa Hamimi masih bersisa. “Hari tu dia cerita, ada budak
perempuan satu kelas dengan dia bagi surat cinta. Dia ingatkan budak tu bagi
kat dia. Rupa-rupanya budak tu minta dia bagikan surat tu pada kawan yang duduk
sebelah dia.” Ketawa Hamimi semakin galak.
“Dia kata dia dah senyum
sorang-sorang masa baca surat tu. Dah habis baca barulah dia perasan ada nama
kawan dia kat atas surat tu. Dia kata dia frust menonggeng sebab dia syok kat budak perempuan tu.”
Hamimi ketawa lagi. “Kita orang ejek dia, padan muka. Perasan hensem aje dia
tu. Skema habis.”
Farhana
turut ketawa mendengar cerita Hamimi itu. “Kesian dia. Kenapa diketawakan dia?
Dia comel apa.”
“Suka
sangat perasan, itulah jadinya.” Hamimi ketawa besar. “Selalu saja mengelak
buat kerja di rumah. Pemalas dia tu. Nasib baik dia ada kakak dan abang yang
rajin dan tak kisah dengan perangai malas dia tu.”
“Adik
bongsu memanglah macam tu. Manja,” celah Farhana.
“Macam
kaulah, kan?” usik Hamimi sambil terus ketawa.
Farhana
mencebirkan bibirnya. Kain baju yang menimbun seperti busut jantan tadi sudah
siap dilipat lalu dimasukkan ke dalam almari pakaian. Dia beralih duduk di
birai katilnya pula sambil menjuntaikan kaki. Kedua-dua kakinya
digoyang-goyangkan.
“Farah,
esok kau free tak?” tanya Hamimi sambil
matanya tidak lepas dari menatap komputer riba.
“Kenapa?”
tanya Farhana pendek.
“Temankan
aku, boleh?”
“Pergi mana?”
“Ada
kawan Facebook nak jumpa aku.”
“Lelaki
ke perempuan?”
“Mestilah
lelaki. Kalau perempuan nak buat apa? Kau seorang kawan perempuan aku pun dah
cukup.”
“Beraninya
kau nak jumpa dia? Kau jangan, Mimi. Kau tak baca surat khabar ke? Hari-hari
ada cerita orang kena culik, kena tipu, kena rogol. Eeii… aku takutlah. Kau
bukan kenal dia pun. Kau ingat gambar profile dalam Facebook tu gambar betul
dia orang ke? Entah gambar siapa siapa yang dia orang guna entah. Tak maulah.”
Sudah acap kali Farhana mengingatkan teman sebiliknya itu supaya jangan mudah
terpedaya dengan kata-kata kawan dari Facebooknya itu. Cukuplah sekadar
bersahabat di alam maya sahaja. Tidak perlulah dibawa sehingga ke alam nyata
pula.
“Kau ni
penakut sangatlah. Taulah aku nak buat macam mana. Kau ikut je. Aku janji, aku
tak kan libatkan kau dalam hal aku ni. Boleh ya?” rayu Hamimi minta simpati
daripada Farhana.
“Kau nak
buat macam mana? Nak buat
trick lama
kau tu lagi? Tak baik tau. Itu dah kes niaya.”
Pernah
beberapa kali Hamimi berbuat seperti itu. Dia akan memberi cadangan supaya
mereka memakai baju yang sama warna, konon-kononnya memudahkan mereka untuk
mengenali antara satu sama lain. Tetapi apabila tiba hari yang dijanji, dia
akan memakai baju yang berwarna lain pula. Jika dilihat lelaki yang menunggunya
itu tidak berkenan dipandangan matanya dia akan beredar pergi. Sudah beberapa
kali dia melakukan perkara yang sama.
Pernah
berlaku, seorang lelaki yang mahu dijumpai didapati sudah berusia dan ada pula
yang berbadan gempal. Semuanya tidak mencapai cita rasa kriteria yang dia
inginkan. Akhirnya, dia pulang tanpa bertemu mereka.
“Pandai
pun kau. Selama ni aku buat macam tu tak pernah kantoi pun. Jomlah...” pujuk
Hamimi.
Menurut
Hamimi, dia tidak akan berputus asa untuk mencari Mr. Rightnya. Manalah tahu
mungkin jodohnya dari kalangan teman-teman Facebooknya. Bukan tidak ada lelaki
yang kacak dan tampan di kilang tempat mereka bekerja, tetapi entah lelaki yang
bagaimana yang mahu dicarinya lagi. Apa kurangnya dengan Syukur. Dia seorang lelaki
yang baik. Dan dia masih solo dan belum berpunya. Tak perlu mengambil masa
untuk mengenali hati budi kerana mereka sudah saling mengenali antara satu sama
lain.
“Malaslah.”
“Alah,
kau ni tak sporting langsung. Tak apalah, tak
nak temankan sudah. Aku pergi sorang,” kata Hamimi sebal. Dia pura-pura merajuk
kerana sahabatnya itu enggan menemaninya.
“Kau
marah aku, ya?” soal Farhana. Dia jadi serba salah melihat muncung Hamimi yang
panjang sedepa.
Hamimi
tidak berkutik. Pandangannya hanya ditumpukan ke skrin komputer ribanya.
“Kau
janganlah merajuk. Ini yang aku tak suka ni.” Farhana cuba memujuk.
“Taklah,
aku tak merajuk. Tak marah pun. Manalah hati ni sanggup nak marah si Merah
Jambu yang lembut?”
“Habis
tu, kenapa diam bila aku tanya?”
“Aku
rasa terkilan aje. Ada kawan tapi minta bantuan tak dihiraukan.”
Farhana
mendengus. “Yalah. Aku ikutlah. Bila kau nak pergi?”
“Aku tau
kau sayang aku kan, Farah?”
Farhana
mengerling.
“Esok
tengah hari, okey?” Hamimi tersenyum girang.
Akhirnya
Farhana terpaksa mengalah dengan permintaan Hamimi lalu bersetuju untuk
menemaninya. Kalau tidak diturutkan Farhana bimbang Hamimi akan merajuk.
Perempuan itu kalau sudah merajuk, siksa untuk dipujuk.
.
No comments:
Post a Comment