Hampir setiap malam gerai yang menjual masakan Thai itu
menjadi lokasi tumpuan. Pelanggan yang datang tidak putus-putus terutamanya
selepas jam 7.00 malam. Ada yang datang makan bersama keluarga. Tidak kurang
juga yang berkumpulan. Lazimnya selepas makan mereka akan duduk minum dan
bersembang hingga ke dinihari. Skrin besar yang disediakan di tengah-tengah
ruang gerai menghambat hati pelanggan untuk terus datang ke situ. Talian
internet juga turut disediakan.
|
Di suatu
sudut ruang gerai itu, ada seorang gadis yang duduk bersendirian. Dia sedang
menunggu seseorang. Sesekali dia memandang jam di tangan. Setiap kali itu dia
kelihatan resah. Dalam diam tak diam sudah hampir setengah jam dia duduk
tercongok di situ. Sirap bandung yang dipesan pun sudah hampir habis, namun
kelibat orang yang ditunggu-tunggu masih belum muncul lagi.
“Manalah
dia ni? Janji pukul lapan. Ini dah nak dekat pukul lapan setengah pun tak
nampak batang hidung. Menyirap betullah,” rungut gadis itu.
Siang
tadi semasa di kilang dia memberitahu lelaki itu yang dia mahu berjumpa
dengannya. Katanya ada perkara yang hendak dibincangkan. Lelaki itu bersetuju
dan menurutnya dia juga ada banyak perkara yang mahu dicakapkan.
Mata
Jiha liar memandang sekeliling. Pelanggan datang dan pergi bersilih ganti.
Hatinya panas. Mukanya sudah cemberut, sesekali dia merungut. Jam dikerling
lagi buat kesekian kali. Tiba-tiba kelibat orang yang dinanti muncul entah dari
mana tanpa dia perasan. Lelaki itu terus duduk di hadapannya tanpa memberi
salam. Dia merenung wajah lelaki itu tanpa berkerlip dengan wajah kelat.
“Kenapa
kau lambat, kan kita janji pukul lapan?” soal Jiha bengang.
“Ada apa
sebenarnya kau nak jumpa aku?” Soalan Jiha tadi tidak dijawab sebaliknya dengan
selamba dia mengaju soalan pula.
Seorang
pelayan datang ke meja mereka apabila ternampak kelibat Syukur yang baru
mengambil tempat duduk. Lelaki itu hanya memesan air sirap sahaja tanpa menanya
gadis di hadapannya sama ada mahu makan atau pun tidak. Jiha mengerling tajam.
Hatinya semakin panas melihat sikap Syukur yang kurang sopan itu. Setelah
pelayan itu beredar Syukur mengulang tanya soalannya tadi.
Hajat di
hati Jiha mahu meluahkan perasaannya yang terpendam kepada lelaki itu. Tetapi
setelah melihat sikap acuh tidak acuh lelaki itu, hasratnya terbantut. Maka
tahulah dia bahawa lelaki itu tidak punya hati dan perasaan terhadapnya. Adalah
lebih sakit andai dia mengungkap cinta tetapi lelaki itu menolaknya
mentah-mentah. Kalau itulah yang bakal terjadi, pasti dia akan kecewa.
Sedangkan dia mengharapkan sebaliknya. Dia tidak tahu bagaimana mahu menyusun
ayat untuk diluahkan kepada lelaki itu agar dia boleh memahaminya. Jiha
membatu.
“Jiha,
aku berbuat baik pada semua orang. Aku bergurau senda dengan semua kawan-kawan
yang aku kenali. Sebenarnya aku tak berniat apa-apa. Apatah lagi untuk
menggoda. Aku mintak maaf kalau selama ini gurauan aku kau anggap serius.”
Syukur meluahkan apa yang tersirat di hatinya. Dia seolah-olah dapat bau tujuan
Jiha untuk berjumpa. Sebelum gadis itu mengungkap perkataan yang bakal
mengecewakan dirinya sendiri adalah lebih baik dia yang memulakan bicara.
“Aku tak
sangka kau ni suka mainkan perasaan orang. Hati dan perasaan jangan dibuat
gurauan, Ako. Selama ini aku ingat apa yang kau cakapkan lahir dari hati kau.
Tapi rupanya aku silap. Kau hanya nak mainkan perasaan aku je. Kalaulah aku
tahu niat kau tu, sumpah aku takkan layan perasaan terhadap lelaki macam kau ni,”
marah Jiha. Perbualan mereka tidak sampai kependengaran orang lain. Mujur
tempat duduk mereka jauh sedikit dari pelanggan yang berkunjung ke situ.
“Aku
minta maaf. Aku dah kata aku tak berniat apa-apa. Aku tak berniat nak mainkan
perasaan kau. Aku memang suka bergurau. Aku suka buat orang ketawa tapi bukan
suka buat orang jatuh cinta. Kau belum terlambat, Jiha. Kau masih boleh cuba
melupakan aku,” kata Syukur tegas. Sebenarnya sudah ada seseorang yang
bertakhta di hatinya. Dia sendiri tidak tahu nasib cintanya. Perasaan cinta
yang terpendam sejak sekian lama terhadap gadis idamannya itu masih tidak
berjaya diluahkan.
Mata
Jiha berkaca. Seketika kemudian kelihatan air mata itu meleleh di pipinya. Air
mata itu diseka dengan jemarinya. Di dalam hati dia menyumpah dirinya sendiri
kerana terlanjur mencintai orang yang tidak punya apa-apa perasaan terhadapnya.
Dia silap menaruh harapan dan perasaan.
“Kau tak
sepatutnya menuduh Mimi. Sebenarnya antara aku dengan dia tak ada hubungan
apa-apa langsung. Tak pasal-pasal persahabatan aku dengan dia terjejas hanya
kerana kau. Kau tahu tak, Mimi dengan Farah tu adalah antara kawan aku yang
paling baik kat kilang tu? Aku sayangkan dia orang. Aku dah kenal dengan dia
orang bertahun-tahun. Jadi janganlah tiba-tiba kau yang mengeruhkan hubungan
kita orang.” Syukur sugul. Dia melepaskan keluhan diakhir kata-katanya.
Jiha
hanya tunduk. Perasaannya tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
Rupa-rupanya dia bertepuk sebelah tangan. Malu dan hiba bercampur baur. Macam
manalah kalau Lola mendapat tahu apa sebenarnya yang terjadi? Sudah pasti
perempuan itu akan mengejek dan mencemuhnya. Selama ini Jiha yang
bersungguh-sungguh bercerita kepada kawannya itu tentang perasaan cintanya
terhadap lelaki itu. Tidak disangka-sangka lain pula jadinya.
Apabila
teringatkan Hamimi, timbul rasa serba salah. Dia sudah terlanjur menuduh Hamimi
menjadi perampas cintanya. Malunya dia. Bagaimana dia mahu besemuka dengan
Hamimi nanti? Mahukah Hamimi memaafkan dirinya diatas kesilapannya terhadap
gadis itu?
“Mulai
hari ini aku janji, aku tak akan tegur kau lagi. Aku harap kau faham dan jangan
kau tanya apa sebab musababnya.” Dia kecewa sungguh dengan sikap lelaki yang
duduk di hadapannya itu. Dia terasa perasaannya dipermainkan. Kalau diturutkan
hati mahu saja dia bagi pelempang ke pipi lelaki yang perasan hensem itu.
“Terpulanglah
pada kau. Bukan aku yang memulakan tapi kau sendiri yang cakap macam tu. Kalau
kau dah tak mahu menegur aku, terpulang pada kau. Cuma satu aje yang aku harap
dari kau. Aku tak mahu lagi dengar cerita-cerita karut kau pasal aku.” Syukur
mengingatkan Jiha.
“Dahlah.”
Jiha menatap lama wajah Syukur yang selama ini menjadi pujaannya. Wajah itu
menghadirkan seribu kesal dan kecewa. Dia tidak menyangka hanya dia yang
tergila-gila sedangkan lelaki itu tidak ada langsung perasaan terhadapnya. “Aku
nak balik. Lupakan saja apa yang berlaku hari ini. Anggap saja aku tak pernah
berjumpa dengan kau dan tak pernah meluahkan apa yang aku cakap pada kau tadi.”
Dia sudah bangun. “Dan anggap saja kita tak pernah kenal.” Dia segera beredar pergi tanpa menoleh
pandang ke arah Syukur yang masih duduk di bangku itu. Hatinya sebal.
Malam itu Syukur tidak dapat
melelapkan mata. Puas dia mengiring ke kiri dan ke kanan namun masih tidak
berjaya. Wajah Farhana, Hamimi dan Jiha bersilih ganti terbayang di layar
mindanya. Dia tidak menyangka gurauannya disalah tafsirkan. Rupa-rupanya Jiha
benar-benar jatuh hati padanya. Barulah dia sedar, selama ini kata-kata yang
dianggap gurauan memudaratkan dirinya sendiri. Tapi kenapa Jiha? Kenapa bukan
Farhana yang jatuh hati padanya?
Ah...
Farhana. Mengingatkan nama gadis itu, jiwanya menjadi rawan. Syukur mengaku
dirinya ibarat pungguk yang merindukan bulan. Kekurangan dirinya dan kelebihan
yang dimiliki gadis itu menyedarkannya. Sudahlah dia tidak punya harta, rupa
apatah lagi. Tidak mungkin Farhana sudi untuk menerima cintanya yang
berlandaskan perasaan semata-mata.
Cukuplah
sekali dia kecewa dalam percintaan. Tidak sanggup lagi dia mengulangi kepedihan
yang pernah dialami dalam hidupnya disuatu ketika dulu. Gadis yang pernah
dicintainya dulu itu memang tidak berhati perut. Dia tidak ada perasaan
langsung. Tergamak dia menduakan cintanya yang tulus suci. Semua kawan-kawan
yang mengetahui kisah itu mencemuhnya. Dia dikutuk kerana terlalu memanjakan
gadis itu sehingga tidak menyedari diri dipermainkan.
Syukur
terkilan, bukan sedikit pelaburan yang telah dilaburkan demi cintanya yang
agung terhadap perempuan itu. Setelah mengetahui dirinya dipermainkan dia
membuang jauh segala kenangannya bersama gadis mata duitan itu. Semenjak dari
peristiwa itu dia berazam untuk lebih berhati-hati di dalam soal cinta.
Perempuan semuanya sama sahaja. Mereka hanya lebih mementingkan harta kebendaan
dan wang ringgit berbanding kejujuran dan ketulusan cinta dari seorang lelaki.
Entah
mengapa pintu hati yang telah terkatup rapat tiba-tiba terbuka tatkala
terpandang wajah Farhana empat tahun lalu. Buat pertama kalinya, dia menyapa
gadis itu yang sedang duduk bersendirian di kafeteria. Tidak disangka hari itu
merupakan hari pertama gadis itu bekerja di kilang yang sama. Dan buat pertama
kali setelah sekian lama dia merasai ada bibit cinta yang mulai bercambah
terhadap gadis yang tidak diketahui asal usulnya itu.
Hari
demi hari yang dilalui bagai suatu penyeksaan. Setiap kali terpandangkan gadis
itu, debaran jantungnya berdetak kuat. Sejak empat tahun dulu sehingga kini
irama degupan jantung yang dialaminya tetap sama. Namun mengapa berat sungguh
hatinya untuk berterus terang dan mengungkap kata cinta kepada gadis yang
bernama Farhana itu? Ah... malunya kalau gadis itu mendapat tahu apa yang
berdetik dalam hati kecilnya.
Adakalanya
dia sengaja mengusik untuk menguji perasaan gadis itu terhadapnya. Ternyata
segala usikan tidak sedikit pun berbekas di jiwa gadis itu. Gurauannya hanya
dijawab dengan gelak tawa sahaja. Dia suka melihat wajah itu ceria. Matanya,
hidungnya dan bibirnya malah segala-gala yang Allah
ciptakan pada dirinya menambat jiwanya.
Ya Allah! Seandainya dia jodohku, Kau tunjukkanlah aku jalan agar dia
menjadi milikku, Kau sabarkanlah
hatiku dan Kau tetapkanlah
imanku. Ya Allah! Seandainya dia
bukan jodohku, Kau hilangkanlah
segala kenangan kami bersama agar aku setia hanya pada yang Satu dan seandainya perpisahan itu yang
terbaik buatku dan dia maka Kau peliharalah
dia, Kau temukanlah dia dengan
orang yang terbaik buat dirinya... Amin.
Itulah
doa yang sering Syukur ucapkan setiap kali usai solat. Dan sebelum tidur itu
jugalah doa yang dititipkan untuk Farhana. Perasaan lelakinya dicengkam hiba
setiap kali wajah gadis itu bertebaran di ruang matanya.
Malam
itu buat pertama kalinya air mata lelaki itu tumpah hanya kerana seorang
perempuan. Sampai bilakah dia harus memendam perasaan di dalam diam?
.
No comments:
Post a Comment