Cuaca pagi itu cerah dan ceria. Mentari yang memancar terang seperti tidak
ada tanda-tanda hujan akan turun. Mudah-mudahan hari itu cuaca baik sepanjang
hari. Kebetulan hari itu hari cuti. Farhana dan Hamimi sudah merancang mahu
keluar bersiar-siar ke Kompleks Beli-belah Suria KLCC. Jarak Petaling Jaya ke
Kuala Lumpur tidaklah jauh sangat namun dua orang sahabat itu jarang dapat
meluangkan masa ke pusat bandaraya Kuala Lumpur yang pesat membangun itu.
|
“Kau nak
beli apa kat KLCC tu, Farah?” soal Hamimi ketika Farhana menyatakan hasratnya
kelmarin.
“Kita
jalan-jalanlah. Ambil angin, hilangkan stres. Tengoklah, kalau ada jualan
murah, bolehlah kita singgah beli apa yang patut,” cadang Farhana ceria.
“Nanti
boleh tak kita pergi Jalan Tuanku Abdul Rahman. Aku nak cari kain ela dan
tudung.”
Mereka baru sahaja mendapat gaji bulanan. Hamimi sudah mencongak dan
berangan untuk membeli sesuatu buat emak dan adik-adiknya sebagai hadiah. Dia
sudah memohon cuti selama seminggu untuk pulang ke kampung pada minggu hadapan.
“Kalau
macam tu, kita pergi Jalan TAR sajalah. Aku pun nak cari tudung jugak.”
Tiba-tiba sahaja Farhana menukar rancangan.
“Tak
apalah. Kita pergi KLCC dulu, lepas tu kita pergilah Jalan TAR. Aku tak kisah.
Aku boleh temankan kau. Aku tak mampu nak shopping kat KLCC tu.”
Farhana
ketawa mendengar kata-kata Hamimi. Sebenarnya dia pun tidak berniat mahu
membeli-belah di KLCC. Dia sekadar mahu meluangkan masa dan berjalan-jalan di
situ. Dia mahu mencuci mata dan melihat gelagat manusia. Itu saja.
“Aku pun
bukannya nak beli apa-apa. Kita jalan-jalan sajalah. Jalan dalam kompleks sejuk
sikit.” Farhana ketawa lagi di hujung kata-katanya.
“Lepas
zuhur bolehlah kita keluar ya?” cadang Hamimi.
Hari
masih awal, mereka baru saja bersarapan dengan nasi goreng yang dimasak oleh
Hamimi. Shakila dan Yasmin juga turut bersarapan sama. Sementara menunggu
tengah hari, mereka duduk berkumpul di ruang tamu. Walaupun kaca TV terpasang
namun tidak ada siapa yang menonton kerana mereka leka dengan aktiviti
masing-masing. Farhana dan Shakila leka membaca surat khabar harian manakala
Hamimi ralit dengan komputer ribanya. Yasmin pula yang rajin mengambil tempahan
menjahit baju kurung sibuk menjahit tulang belut. Sambil tangan melakukan
kerja, mulut pula tidak berhenti bercakap. Apabila sudah berkumpul dengan teman-teman
serumah ada sahaja cerita yang dibualkan.
“Hari
ini kau orang tak keluar ke? Selalunya cuti-cuti macam ni payah nak nampak
muka.” Hamimi bersuara sambil perhatiannya tertumpu pada skrin komputer
ribanya. Tetapi soalannya seperti tidak didengari. Tidak ada sesiapa pun yang
menjawab soalannya itu. Setelah beberapa ketika, Shakila mengangkat muka
memandang seorang demi seorang teman serumahnya. Mereka semua kelihatan seperti
tidak mendengar apa-apa.
“Kau
tanya siapa, Mimi?” tanya Shakila.
“Tanya
kau dengan Yasminlah, siapa lagi?” kata Hamimi. Dia memandang sekilas wajah
Shakila kemudian kembali menumpukan pandangannya pada skrin komputer ribanya.
“Aku ada
banyak tempahan baju yang nak disiapkan. Minggu ni tak keluar rasanya,” jawab
Shakila. Cermin matanya ditanggalkan lalu mengelap cermin itu dengan hujung
kain yang dipakainya. Kemudian dia memakai cermin mata itu semula.
Hamimi
secara tiba-tiba ketawa mengekek. Semua mata tertumpu kepadanya. Mereka saling
berpandangan. Apa kena dengan dia ni?
“Kau ni
dah kenapa, Mimi? Apa yang lucu sangat tu?” Yasmin yang duduk tidak jauh dari
Hamimi memanjangkan leher sambil matanya melirik ke skrin komputer riba. Dia
ingin tahu apa yang menggelikan hati teman serumahnya itu sehingga ketawa
terbahak-bahak seorang diri.
“Apa
lagi kerja Mimi tu kalau tak menghadap Facebook. Siang malam kalau boleh nak
menghadap itu saja. Orang lain pun ada Facebook jugak tapi tak adalah teruk
macam dia tu,” sindir Farhana.
Hamimi
ketawa lagi tanpa mempedulikan sindiran daripada kawan-kawannya. “Kau tengok
ni, macam manalah aku tak ketawa.”
Hamimi
mendekatkan skrin komputer ribanya kepada Yasmin supaya gadis itu dapat
melihatnya dengan jelas. Sejurus melihat skrin itu, Yasmin turut ketawa.
Farhana dan Shakila menerpa untuk turut berkongsi cerita. Serta-merta gelak
tawa mereka pecah lalu suasana ruang itu menjadi gamat tiba-tiba.
“Kau
layanlah orang dalam Facebook tu. Entah-entah gambar profail yang dia letak tu
bukan gambar dia.” Farhana mengingatkan Hamimi yang banyak menghabiskan masanya
menghadap internet.
“Aku pun
boleh kenal sama ada gambar yang dia orang letak tu gambar betul atau tipu.
Tapi yang kelakarnya mamat ni, ada hati nak buat aku awek alam maya. Dia ingat
aku ni apa?”
Hamimi
sangat aktif melayari laman sesawang seperti Facebook. Kalau tidak dapat
meluangkan masa satu hari menghadapnya, dia seperti mahu demam. Dia mempunyai
hampir 600 orang sahabat di dalam akaun laman muka bukunya. Hanya 10%
daripadanya adalah rakan kenalan dan yang selebihnya sekadar rakan maya sahaja,
rakan-rakan yang tidak pernah dikenali apa lagi bersua muka di alam nyata.
Namun begitu, persahabatan mereka itu sangat rapat dan mesra, walaupun hanya
melalui laman muka buku.
“Okeylah
tu. Kau jawablah yang kau hanya rela jadi awek dia di Facebook saja ya. Tapi
dengan syarat tak payah jumpa-jumpa, takut nanti lain jadinya.” Yasmin ketawa
di hujung kata-katanya.
“Sekali
jumpa, tengok orang tua,” celah Shakila. Kata-katanya disambut dengan gelak
tawa yang tidak henti-henti.
“Dahlah
tua, juling pulak tu,” sampuk Yasmin pula. Suasana menjadi semakin gamat.
“Dahlah,
kau orang ni. Sakit perut aku,” kata Hamimi dengan ketawa yang masih bersisa.
Dia ketawa hingga bergenang air matanya.
“Tak
baiklah kau orang ni mengata orang.” Farhana sudah berhenti daripada ketawa
namun mukanya masih kelihatan merah. “Dah pukul satu. Kejap lagi nak masuk
waktu zuhur. Aku nak mandi dulu. Min dengan Kila nak ikut kita orang tak?” Dia
mempelawa Yasmin dan Shakila untuk turut serta ke Kompkeks Suria KLCC.
“Kau
orang pergilah. Aku nak habiskan jahitan aku ni,” jawab Shakila sambil tekun
menjahit.
“Min,
kau tak nak ikut? Jomlah, dah lama kita tak keluar sama-sama,” kata Farhana.
Dia sudah berdiri di muka pintu biliknya.
“Tak
apalah. Sekejap lagi aku nak keluar dengan buah hati aku. Lain kalilah ya,”
jelas Yasmin ceria.
Kompleks beli belah Suria
KLCC yang
terletak di tapak Menara Berkembar Petronas di pusat bandar raya Kuala Lumpur
merupakan sebuah kompleks beli-belah yang terkemuka. Tempat itu tidak pernah
surut dengan pengunjung yang datang sama ada untuk membeli-belah atau sekadar
bersiar-siar. Sebahagian besarnya merupakan muda-mudi yang gemar memperagakan
pelbagai fesyen pakaian dan penampilan yang adakalanya hingga menjolok mata.
Kedai-kedai yang terdapat di dalamnya pula menjual barang-barang dengan harga
yang sangat mahal, setaraf dengan tempatnya juga.
“Aku tak
mampu nak beli barang di sini,” kata Hamimi. Ketika itu mereka berada di sebuah
kedai menjual aksesori wanita.
“Sesekali
tak apa. Apa salahnya dapat gaji kita beli sesuatu yang berharga untuk diri
sendiri? Kita perlu ketepikan sedikit duit untuk beli barang kita sendiri.
Tutup mata saja, jangan fikirkan perbelanjaan yang lain. Kalau ikutkan susah,
sampai bila-bila pun kita tidak akan dapat barang yang diidamkan.” Farhana
membelek-belek seutas rantai labuh. Dia sudah berangan-angan untuk memiliki
rantai itu. Rantai itu boleh digayakan dengan blaus merah jambu yang baru
dibelinya tadi.
“Alah,
kau bolehlah. Duit gaji kau tak perlu berkongsi dengan sesiapa. Duit gaji yang
kau dapat bulat-bulat untuk perbelanjaan kau sendiri. Lainlah aku, aku kena
kirim separuh dari gaji yang aku dapat ke kampung. Kalau aku tak hantar, kesian
pulak pada mak aku. Setiap bulan nak kena bayar bil elektrik dan bil air. Sewa
rumah lagi. Perbelanjaan lain untuk adik-adik aku lagi. Entahlah...” Hamimi
melepaskan keluhan.
“Aku
faham, Mimi. Tak apalah, kau pilih saja mana yang kau berkenan. Aku belanja.”
Farhana memahami keadaan Hamimi. Dia simpati dengan nasib yang terpaksa dilalui
oleh Hamimi sejak dia mengenali keluarga teman sebiliknya itu. Selama ini pun,
dia tidak pernah berkira dengan Hamimi. Pantang dia mendengar Hamimi mengeluh
keputusan duit, tanpa banyak bertanya segera dia menghulurkan bantuan. Apa yang
diberi lahir daripada hati yang tulus ikhlas. Jika duit yang diberi pinjam
tidak pernah diminta untuk dibayar kembali. Dia sayang dengan sahabatnya itu.
Dia sanggup lakukan apa sahaja demi Hamimi yang sudah dianggap saudaranya itu.
“Tak
apalah. Kau simpanlah duit tu. Aku tak perlukan benda tu. Jangan membazir
duit.” Itulah sikap Hamimi. Dia tidak pernah mengambil kesempatan atas kebaikan
Farhana terhadapnya. Mentelahan pula gadis itu sudah banyak jasa dan
pertolongan yang dihulurkan kepada dia dan keluarganya. Dia tidak mahu terlalu
banyak berhutang budi.
“Aku
ikhlaslah.”
“Terima
kasih, Farah. Betul, tak payah beli untuk aku. Kalau kau berkenan dengan rantai
tu, beli saja untuk diri kau sendiri. Rantai tu cantik. Apatah lagi kalau kau
yang pakai,” puji Hamimi.
“Okeylah,
disebabkan kau puji aku, apa kata aku belanja kau makan?” Rantai yang
dibelek-belek tadi masih berada di dalam genggaman Farhana.
“Kalau
belanja makan, aku setuju.” Hamimi menyengih.
“Okey,
jom. Aku nak bayar rantai ni dulu.” Farhana melangkah ke kaunter bayaran
diekori oleh Hamimi di belakangnya.
Sejurus
bayaran dibuat, mereka berdua ke sebuah restoran makanan segera kegemaran
mereka. Seperti yang sudah diduga, pengunjung di restoran itu memang ramai.
Mujur ada sebuah meja yang baru sahaja dikosongkan. Tanpa berlengah mereka
segera duduk di tempat itu.
“Kau nak
makan apa?” tanya Farhana. Beg yang disandang diletakkan di atas kerusi kosong
di sebelahnya.
“Kau
belikan aku cheese
burger
dengan ice
lemon tea,”
pesan Hamimi sambil matanya liar memandang pengunjung yang datang dan pergi.
“Cukup
ke? Kentang goreng nak tak?”
“Bolehlah,”
jawab Hamimi pendek.
Seketika
kemudian kelibat Farhana hilang di tengah-tengah pengunjung yang ramai itu.
Sementara menunggu kehadiran Farhana, Hamimi membelek telefon bimbitnya.
Setelah
memesan makanan dan membuat bayaran di kaunter, Farhana menatang dulang yang
berisi makanan. Dia terpaksa berhati-hati mencelah di tengah-tengah pengunjung
lain untuk sampai ke tempat duduknya tadi. Tanpa disengajakan secara tiba-tiba
dia terlanggar sesusuk tubuh. Air minuman yang dibawanya jatuh lalu tumpah ke
lantai.
“Oppsss…
maafkan saya. Err... Saya tak sengaja.” Farhana gugup. Dia jadi tidak tentu
arah apabila melihat pakaian lelaki yang dilanggarnya itu turut basah kerana
percikan air minuman yang tumpah. Dulang yang ditatang diletakkan sementara di
atas meja yang berhampiran. Tanpa berlengah dia berlari mengambil tisu di
kaunter lalu dihulurkan kepada lelaki itu dengan perasaan bersalah.
“Mana
you letak mata, hah? Jalan tak tengok orang, main langgar aje,” jerkah seorang
gadis yang berdiri di sebelah lelaki itu. Matanya mencerlang memandang Farhana.
“Maaf.
Saya tak sengaja,” jawab Farhana. Kecut perutnya diherdik begitu. Merah padam
mukanya menahan malu kerana kekecuhan itu menjadi perhatian.
Lelaki
tinggi lampai yang dilanggar oleh Farhana tadi sibuk mengelap pakaiannya dengan
tisu yang diberikan tadi. Dia kelihatan tenang sahaja. Sebaliknya gadis yang
disebelahnya itu pula yang berlebih-lebih marahnya.
“Lain
kali jalan pandang ke depan,” marah gadis yang berpakaian ranggi itu lagi.
‘Apa hal
pulak minah ni? Kau pulak yang lebih-lebih. Aku tahulah pakwe kau hensem,’
bisik Farhana di dalam hati.
“Tak
apa. Sikit aje.” Lelaki itu akhirnya bersuara. Dia tersenyum memandang Farhana
seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.
‘Dia
senyum kat aku. Ya Allah... macam
nak pengsan aku dibuatnya.’ Farhana berkata-kata sendiri. Dia membalas senyum
lelaki yang berwajah redup itu.
“Sikit
you kata? Tengok ni habis baju you basah,” kata gadis itu dengan mimik muka
tidak puas hati. Pantas dia meraih lengan lelaki itu.
“Sudahlah
tu,” kata lelaki itu pula dengan nada sinis lalu dia menarik lengannya. Dan
tanpa berlengah dia terus beredar tanpa mempedulikan gadis yang kelihatan
terkejut dengan tindakan teman lelakinya itu.
Farhana
hanya mampu memerhati gelagat pasangan itu dengan seribu tanda tanya yang hadir
di benaknya. Dia mahu tergelak tetapi cuba ditahan. Gadis itu tadi sempat
menjeling tajam ke arahnya sebelum berlari mengejar teman lelakinya yang sudah
jauh ke hadapan meninggalkannya. Farhana menggeleng-geleng.
.
No comments:
Post a Comment