Pagi itu, rumah sewa itu sunyi daripada suara manusia. Dua orang daripada
penghuninya sudah lama menghilang ke tempat kerja. Hanya kedengaran irama sudip
dan kuali berlaga dari arah dapur. Aroma tumisan bawang dengan ikan bilis
serta-merta memenuhi ruang rumah.
|
Hamimi yang terlena di sofa tidak semena-mena
terjaga. Dia sudah dapat mengagak, pasti Farhana sedang menggoreng nasi untuk
hidangan mereka pagi itu. Seakan-akan memahami, secara tiba-tiba perutnya
berkeroncong minta diisi. Dia menggeliat dan menguap.
“Nasi
goreng dah siap. Marilah santap, wahai tuan puteri kembang semangkuk.” Farhana
keluar dari dapur dengan menatang semangkuk nasi goreng.
Nasi
goreng yang masih berasap sudah sedia terhidang di atas meja. Keenakan aroma
kopi O yang dibancuh Farhana membuatkan Hamimi tidak sabar-sabar untuk
bersarapan. Dia bingkas bangkit menuju ke meja makan. Dia menarik kerusi lalu
duduk. Baru sahaja dia mahu menyenduk nasi goreng ke pinggan, Farhana
menyergah.
“Kalau
ya pun pergilah basuh muka dan gosok gigi dulu. Anak dara apa macam ni?”
“Jangankan
kata basuh muka dan gosok gigi, mandi pun sudah tau.” Sudah menjadi kebiasaan
Hamimi setiap pagi sebelum menunaikan solat subuh, dia akan mandi terlebih
dahulu.
Farhana
tergelak melihat muka lucu Hamimi yang kelihatan seperti budak tadika yang mahu
menangis apabila dimarahi guru. “Aku gurau sajalah.”
Nasi
goreng disenduk ke dalam pinggan dan kopi O dituang ke dalam cawan kaca untuk
dirinya dan juga Hamimi. Dia menyuakan pinggan yang berisi nasi goreng kepada
Hamimi.
“Terima
kasih, Farah. Ini yang buat aku sayang sangat kat kau. Aku tak dapat bayangkan
macam mana hidup aku kalau tanpa kau.” Hamimi berasa terharu kerana kerap
dilayan dengan baik oleh teman sebiliknya itu. Baginya, gadis itu mempunyai
hati yang luhur dan lembut seperti warna merah jambu, warna kegemarannya. Tidak
hairanlah mengapa dia sentiasa disenangi oleh kawan-kawan di kilang.
“Oh...
kau sayang sebab aku masakkan nasi goreng untuk kau, ya? Kalau tak, tak
sayanglah?” Farhana berhenti mengunyah. Pandangannya tumpah ke wajah Hamimi
yang berkulit sawo matang itu.
“Tak
baik tau buruk sangka. Aku ikhlas.” Hamimi menyengih di hujung kata-katanya.
“Ada-ada
aje kau ni.” Farhana meneruskan suapan sehingga licin nasi di pinggannya.
Kemudian barulah dia meneguk kopi yang sudah suam-suam kuku.
“Eh!
Sedap pulak nasi goreng kau hari ini. Tambah sikit lagilah,” puji Hamimi lalu
tangan menyenduk nasi goreng ke dalam pinggannya.
“Mimi,
malam tadi aku mimpi.” Farhana membuka cerita setelah pinggan yang sudah kosong
diketepikan.
“Mimpi?
Mimpi apa? Hantu? Atau mimpi putra raja datang melamar kau?” celah Hamimi
sebelum sempat Farhana menghabiskan ceritanya.
“Kau ni,
aku belum cakap apa-apa lagi.”
“Ceritalah,
aku dengar ni.”
“Aku
mimpikan lelaki yang aku langgar hari tu.” Ada senyuman di bibir Farhana. Wajah
tampan lelaki yang dilanggarnya tempoh hari menerjah mindanya.
“Wah,
sampai mimpi-mimpi? Kes berat ni.”
“Tapi
dalam mimpi tu dia marah aku. Beria-ia dia marahkan aku sampai aku menangis.”
Rona wajah Farhana berubah.
“Kawan
perempuan dia yang sengal tu ada tak dalam mimpi kau tu?” tanya Hamimi ingin
tahu.
“Tak
nampak pulak. Dalam mimpi tu tak ada orang lain kecuali aku dengan dia aje. Tak
tahulah kenapa dia marahkan aku. Yang aku ingat, muka dia merah padam dan mata
dia terbuntang besar tengok aku. Gaya dia macam nak makan orang. Kecut perut
aku. Dalam pada aku menangis tu, tiba-tiba aku terjaga.” Farhana mengeluh
panjang.
“Itu aje
mimpi kau? Dia tak sempat cakap yang dia syok kat kau?”
“Aku
mimpi dia marah akulah.”
“Oh...
Tapi aku rasa kau mesti berharap dalam mimpi tu dia datang hulurkan tangan pada
kau dan kau sambut tangan dia. Kemudian kau orang berdua jalan berpimpinan
tangan ke taman bunga. Duduk berdua di bangku bambu, di bawah pokok ketapang
yang rendang. Dia hadiahkan kau sekuntum mawar yang berwarna merah lalu dia
ucapkan kata sayang kat kau. Oh! sungguh romantisnya,” kata Hamimi penuh
perasaan sebelum tergelak besar.
“Ada-ada
aje kau ni.” Pantas tangan Farhana mencapai bantal kusyen yang hampir dengannya
lalu dicampak ke arah Hamimi. Bantal kusyen itu tidak mengena, Hamimi sempat
mengelak. Farhana ketawa. Hamimi juga turut ketawa.
Hari itu dua sahabat itu bekerja
syif petang. Biasanya selepas menunaikan solat zuhur, barulah mereka keluar
dari rumah. Dan sempat juga mereka singgah di kafeteria untuk mengisi perut
sebelum mula bekerja. Kalau rajin memasak, mereka akan makan dahulu di rumah
sebelum ke tempat kerja. Tetapi selalunya mereka lebih senang makan di
kafeteria sahaja.
Dari
jauh sebelum sampai ke kafeteria, kelibat Syukur sudah kelihatan. Dia duduk di
bangku paling tepi. Sebaik sahaja ternampak wajah dua orang gadis itu, lelaki
itu menghadiahkan senyuman. Wajahnya tampak ceria.
“Cepat
hari ini kau sampai, Ako?” sapa Farhana. Payung warna merah jambu yang
memayunginya sepanjang perjalanan ke tempat kerja dikuncupkan. Lalu payung
lipat yang sudah ditutup kemas itu dimasukkan ke dalam beg sandangnya. Beg itu
diletakkan ke tepi. Dia mengambil tempat bertentangan dengan Syukur.
Hamimi
tidak terus duduk, sebaliknya dia melangkah mengarah ke kaunter untuk membeli
makanan tanpa menoleh pandang Syukur yang tidak berkelip memerhatikannya.
“Hai!
menonong aje kawan kau tu. Apa hal pulak dia hari ni? Masam aje muka dia. Pakwe
lari ke?” sindir Syukur.
“Hisy,
kau ni! Kalau tak usik dia satu hari, tak sah!” tempelak Farhana.
“Tak
betul ke apa aku cakap? Tak menoleh langsung kat aku. Dia buat tak nampak aje.
Selalunya, dia pantang tengok muka aku. Ada aje kesalahan aku yang nak
ditegur.”
“Alah...
kau ni, biarkan sajalah dia. Jangan nak mulakan.”
“Tak
adalah. Aku cuma rasa hairan.”
“Kalau
macam tu, diamkan saja. Jangan banyak bunyi.”
“Tak
faham aku orang perempuan ni. Buat baik salah, buat tak baik lagilah salah,
kan?”
“Dahlah
kau ni. Dia datang tu. Buat tak reti aje.” Farhana tidak mahu teguran Syukur
akan mengakibatkan pertengkaran meletus dan sudah pasti emosi sahabatnya itu
akan terganggu sepanjang hari. Dia faham kenapa Hamimi bersikap dingin terhadap
lelaki itu. Dia mahu bertanya Syukur tentang Jiha tetapi keadaan tidak
mengizinkan. Ingin benar dia mendengar daripada mulut Syukur sendiri apa
hubungan sebenar antara dia dengan Jiha.
Hamimi
meletakkan pinggan dan gelas minumannya di atas meja. Dia menghempaskan
punggungnya di sisi Farhana tanpa bersuara. Tidak sedikit pun lelaki yang duduk
tercongok di hadapannya disapa, bahkan memandangnya pun tidak.
“Sekejap
ya, aku nak pergi beli makanan. Kau dah makan,
Ako?” Farhana cuba mencipta suasana.
“Aku dah
makan kat rumah.” Syukur menghadiahkan senyum kepada Farhana. Jelas senyum yang
dilemparkan hanya senyuman yang dibuat-buat. Ternyata emosi yang ditunjukkan
oleh Hamimi menyentuh hati lelaki itu.
Sesekali
anak matanya mengerling Hamimi yang hanya tunduk menikmati makan tengah harinya
tanpa mempelawa.
“Apa
kenalah dengan si Mimi ni? Hai, perempuan... Sikit-sikit sentap. Lebih baik aku
jangan cakap apa-apa. Nanti tak pasal-pasal mengamuk pulak dia nanti,”
rungutnya. Sudah faham benar dia dengan sikap Hamimi yang mudah melenting kalau
tidak kena gayanya.
Beberapa
minit kemudian, Farhana muncul dengan membawa pinggan makanan dan gelas
minuman. Pinggan yang berisi roti bakar itu diletak di tengah-tengah meja.
“Ako,
makanlah roti bakar ni.”
“Makan
roti bakar aje? Kenyang ke?” tanya Syukur.
“Tadi
pagi aku dah makan nasi goreng. Masih rasa kenyang lagi. Makanlah.” Gadis itu
mempelawa lagi.
“Rezeki
jangan ditolak, musuh jangan dicari.” Sekeping roti bakar dicapai lalu
dimasukkan ke dalam mulut. Terkumat-kamit mulut lelaki itu mengunyah.
Sambil
makan, dia memerhatikan gerak laku Farhana yang duduk di hadapannya. Sejak mula
kenal gadis itu, hatinya sudah tertawan dengan kecantikan yang dimiliki.
Farhana bukan sahaja cantik bahkan baik budi bahasanya. Penampilan gadis itu
bertambah manis dengan memakai tudung yang menutup rambutnya. Kadang kala
imaginasi nakalnya membayangkan rambut Farhana yang panjang mengurai.
Malangnya
puji-pujian itu hanya mampu dibisikkan di dalam hatinya sahaja. Dia malu untuk
meluahkan. Bimbang Farhana tidak selesa dengan pujian yang diberikan. Paling dia
takut, kalau-kalau Farhana menjauhkan diri daripadanya apabila mendapat tahu
tentang perasaannya.
“Hoi,
apa yang kau tersengih-sengih tu?!” sergah Farhana.
Syukur
tersentak. “Tak ada apa-apalah. Err... Sedap pulak roti bakar ni.”
“Kalau
sedap, makanlah lagi.” Farhana menyuakan pinggan itu kepada Syukur.
“Eh! Itu
kau punya. Kau makanlah. Nanti kau lapar pulak. Aku dah makan nasi dekat rumah
tadi.” Syukur menghulurkan semula pinggan itu kepada Farhana.
“Betul
kau tak nak? Rugi kalau ditolak,” usik Farhana ceria.
“Betul,
kau makanlah.” Gembira hati Syukur melihat wajah Farhana yang ceria berbanding
Hamimi yang masam sahaja air mukanya sejak tadi. Buat kacau daun saja!
“Mimi,
kau nak tak?”
Hamimi
menggeleng. “Tak naklah. Aku dah kenyang,” jawab Hamimi perlahan.
“Kau ni
kenapa, Mimi?” Sejak tadi lagi ringan sahaja mulut Syukur mahu bertanya.
“Tak ada
apa-apa.” Hamimi menjawab selamba. Pandangannya dilempar jauh ke tengah jalan
raya.
“Monyok
aje muka kau aku tengok dari datang tadi. Ada apa yang tak kena ke?” tegur
Syukur yang tidak suka melihat wajah Hamimi yang mencuka itu.
“Kau ni
tak faham ke? Aku dah kata tak ada apa-apa, tak ada apa-apalah.” Suara Hamimi
mula meninggi.
“Cakaplah
apa saja yang terbuku di dalam hati kau tu,
Mimi. Jangan disimpan-simpan. Bila hati sakit, muka jadi buruk,” usik
Syukur selamba. Dia tahu Hamimi meluat dengan kata-katanya yang berbau cemuhan.
Tetapi dia tidak peduli. Kalau Hamimi hendak marah, marahlah. Memang itu
kenyataan.
Hamimi
mengerling tajam ke arah Syukur. Sibuklah kau!,
marahnya di dalam hati. Sakit betul hatinya.
“Aku
bukannya nak menyibuk hal kau, tapi cuba kau tengok muka kau tu kat cermin,”
kata Syukur lagi seperti dia dapat membaca apa yang berdetik di dalam hati
Hamimi. Dia tersenyum sumbing. Mahu
ketawa pun ada juga.
“Dahlah,
malas aku nak layan kau. Dah nak dekat pukul dua. Jom, Farah.” Bingkas Hamimi
bangkit dari bangku dan meluru ke pintu utama menuju ke kilang tempat
mereka bekerja.
Farhana
berlari-lari anak mengejar Hamimi yang sudah agak jauh ke depan sebelum sempat
melambaikan tangan kepada Syukur yang hanya mampu memandang sahaja.
.
No comments:
Post a Comment