Mazni sudah resah menunggu di ruang makan apabila sudah lewat begitu kelibat
Amirul masih lagi belum kelihatan. Mustafa baru sahaja keluar ke tempat kerja
setelah bersarapan dengannya sebentar tadi.
|
Pagi itu Amirul ada temujanji. Mazni sudah
memberitahu Amirul untuk menjemput Qistina di rumahnya dan menemani gadis itu
ke One Utama. Semalam ketika dia memberitahu Amirul tentang rancangan itu,
tiada rungutan dan tentangan daripada anak bujangnya itu. Dia menganggap
anaknya itu bersetuju.
Mazni
berkenan benar dengan anak dara Dato’Azhar dan Datin Bibah yang anggun bergaya
itu. Kalaulah dapat dijadikan menantu, bolehlah mereka berbesan. Dan bolehlah
dia menumpang kekayaan mereka.
“Mak
Jah!” panggil Mazni dari tempat dia duduk. Jam yang tergantung di dinding
dipandang berkali-kali. Setiap kali jam itu dipandang, hatinya mendidih. “Mak
Jah!” teriaknya lagi.
“Ya, Mak
Jah datang.” Terkocoh-kocoh Mak Jah berlari anak dari ruang dapur mendapatkan
majikannya. Pernafasannya deras. Dia tercungap-cungap.
“Mak
Jah, tolong tengokkan Amirul kat atas tu. Dia dah bangun ke belum? Saya dah
pesan kat dia semalam bangun awal hari ini. Kata pada dia, dia ada temu janji.
Suruh dia mandi dan bersiap sekarang. Saya tunggu dia di sini,” arah Mazni
kepada Mak Jah.
Selepas
mendapat arahan itu terkedek-kedek Mak Jah memanjat anak tangga ke tingkat
atas. Daun pintu bilik didapati masih bertutup. Dia mengetuk pintu sambil
memanggil nama Amirul. Sepi. Dia mengetuk lebih kuat dan bertalu-talu. Dia cuba
memulas tombol pintu. Ternyata daun pintu itu berkunci dari dalam. Dia berhenti
seketika melepaskan lelah. Beberapa minit kemudian dia mengetuknya lagi.
“Amirul!
Bangun, Mirul,” teriak wanita itu.
Sudah
hampir sepuluh minit Mak Jah mengetuk pintu dan memanggil nama Amirul namun
masih belum ada apa-apa reaksi dari dalam bilik itu. Dia hampir berputus asa.
Dia nekad untuk mengetuk pintu itu sekali lagi, jika masih tidak dibuka dia
akan beredar. Tetapi baru sahaja tangan Mak Jah mahu mengetuk daun pintu,
tiba-tiba ia terbuka dan terjengul keluar wajah Amirul dengan rambut
berserabut. Dia terpisat-pisat.
“Ada
apa, Mak Jah?” Perlahan suara Amirul bertanya. Dia menguap.
“Mama
suruh Mirul mandi dan bersiap. Mama kata Mirul ada temu janji pagi ni.” Mak Jah
menyampaikan pesanan Mazni.
Mata
Amirul yang tadi seperti mahu terkatup serta-merta terbuntang sebaik sahaja
mendengar pesanan itu. Dia teringat pesanan mamanya malam tadi. Dia diminta
untuk menemani Qistina ke One Utama untuk membeli-belah. Lantas dia bergegas ke
bilik mandi tanpa sempat memberitahu apa-apa kepada Mak Jah.
Setelah
Amirul menghilang ke bilik mandi, Mak Jah melangkah masuk tanpa disuruh. Dia
mengemas katil anak bujang yang bersaiz besar itu. Pakaian kotor yang
dimasukkan ke dalam bakul yang disediakan di tepi pintu bilik mandi dikutip
lalu melangkah turun ke tingkat bawah bersama beberapa helai pakaian yang
dikutipnya tadi untuk dicuci.
“Amirul buat
apa, Mak Jah?” tanya Mazni sebaik sahaja melihat kelibat Mak Jah.
“Dia
tengah mandi, sekejap lagi turunlah dia tu.” Mak Jah melangkah ke dapur untuk
meneruskan kerjanya yang tergendala tadi sebelum memasukkan pakaian kotor yang
dikutip dari bilik Amirul ke dalam mesin basuh.
Beberapa
minit kemudian, Amirul dilihat berlari-lari anak menuruni anak tangga ke
tingkat bawah.
“Dah
pukul berapa dah ni, Mirul? Kan mama dah pesan semalam bangun awal?” tegur
Mazni apabila melihat wajah Amirul yang segak berpakaian santai.
“Apa
lagi ni, mama? Kan saya dah siap dah ni? Lagipun masih awal pagi lagi.” Amirul
menarik kerusi makan yang bertentangan dengan tempat Mazni duduk.
“Apa?
Masih awal pagi? Cuba tengok jam kat dinding tu. Dah nak dekat pukul sebelas.
Awal lagi Mirul kata? Helo, sekarang ni Mirul di Malaysia, bukan di London, okey!”
sergah Mazni.
“What ever, ma.” Malas Amirul mahu melayan
kerenah mamanya yang sedang marah itu. Dia tahu semakin banyak dia membuka
mulut semakin panjang pula bebel mamanya nanti.
“Ingat
pesan mama semalam. Layan Qistina tu baik-baik. Lemah lembut sikit kalau
bercakap dengan perempuan. Orang perempuan tak suka dengan lelaki yang suka
marah-marah tak tentu pasal.” Mazni mengulangi pesanan yang sama. Pesanan itu
telah disampaikan kepada Amirul semalam. Dia menghulurkan segelas jus oren
kepada Amirul.
“Ma.”
Amiru meneguk jus oren dari dalam gelas.
“Apa
dia?”
“Kenapa
mama beria-ia suruh saya temankan Qistina tu? Dia tak ada kawan lain ke?”
Bukan
dia tidak kenal dengan anak gadis Dato’ Azhar dan Datin Bibah itu. Sejak
mula-mula mengenalinya dulu pun dia sudah tidak berkenan dengan perangai gadis
itu. Ketika jamuan makan malam di rumah Dato’ Azhar kelmarin mereka ditemukan
setelah beberapa tahun tidak berjumpa kerana jarak dan kesibukan pengajian.
Walaupun lama terpisah namun gaya dan sikap Qistina dilihat masih tidak
berubah. Apa yang pasti dia tidak berkenan dengan Qistina. Dia akui Qistina itu
cantik tapi sayang kelakuannya tidak secantik wajah yang dia miliki.
“Mirul,
mama tau mama tak ada hak untuk mengatur hidup Mirul. Tapi percayalah, Mirul...
mama mahu yang terbaik untuk anak mama. Salah ke, Mirul?”
“Memang
tak ada salahnya, ma. Tapi saya tak suka mama menyusun jadual harian saya
sampaikan dengan siapa patut saya keluar pun mama yang aturkan.” Amirul rimas
kerana terpaksa mengikut arahan.
“Setiap
apa yang mama rancangkan untuk Mirul, ada saja tentangan. Mama nak Mirul
sambung belajar ke luar negera, Mirul tak mahu. Sekarang mama mahu Mirul
berkawan baik dengan Qistina pun, Mirul nak membantah. Tolonglah, Mirul.
Tolonglah dengar cakap mama. Sekali ni saja.” Bersungguh-sungguh Mazni memujuk.
Dia benar-benar berharap permintaannya kali ini dipersetujui oleh anak
tunggalnya itu.
“Okeylah,
ma. Saya akan temankan Qistina. Tapi jangan pulak mama minta saya jadikan dia girlfriend saya.” Hilang selera Amirul
untuk menjamah bihun goreng yang dihidangkan di atas meja tatkala bayangan
wajah Qistina bertandang di layar mindanya.
“Apa
salahnya dengan Qistina tu?”
“Saya
tak nak, ma. Saya tak mahu orang yang macam dia jadi girlfriend saya. Lagipun saya tak sayang
dan tak cintakan dia.”
“Kasih
sayang dan cinta tu macam pokok. Kalau dipupuk dan dibaja, boleh subur dan
menjadi-jadi. Lagipun Qistina tu cantik. Anak orang kaya pulak tu. Mirul tak
suka kalau dapat isteri anak orang kaya? Kalau Mirul senang, mama pun boleh
tumpang senang jugak.”
“Astaghafirullahalazim.”
Amirul beristigfar panjang. “Mama, kita tak cukup senang ke lagi sekarang ni?
Papa tu bekerja siang malam untuk menyenangkan kita sekeluarga, ma. Tengok
hasil dari kerja kuat papa. Kita tinggal di banglo mewah. Kita ada kereta seorang
satu. Duit? Duit mama dalam bank tak habis makan. Saham mama lagi, insya-Allah boleh menampung hidup mama selagi hidup. Buat apa kita nak tamakkan
harta orang lain pulak? Cubalah belajar untuk bersyukur dengan apa yang kita
ada, ma.” Dia menggeleng. Dia tidak faham dengan sikap mamanya. Harta dan wang
sudah bertimbun-timbun masih lagi tidak mencukupi.
“Tak
kisahlah, Mirul... ikut suka hati Mirullah. Tapi apa yang penting sekarang ni,
mama mahu Mirul berkawan dengan Qistina. Mirul tahu tak, Dato’ Azhar dan Datin
Bibah sendiri yang mahukan Mirul berkawan dengan Qistina. Papa dengan mama tak
ada halangan. Kami pun suka jugak tengok Mirul berbaik dengan Qistina tu.”
“Baiklah,
ma. Buat sajalah apa yang mama suka.” Amirul bangkit. “Saya pergi dulu, ma.”
Dia mendapatkan mamanya untuk bersalam.
“Mirul
belum sarapan lagi.” Mazni tidak melepaskan tangan Amirul yang digenggamnya.
“Tak
apalah, ma. Tak ada selera pulak saya nak bersarapan pagi ni.” Amirul mencium
tangan mamanya sebelum beredar.Perasaan di dalam hatinya hanya dia yang
mengetahui.
“Ingat
pesan mama, ya?” Mazni mengiringi pemergian Amirul dengan pandangan mata. Di
dalam hati dia berharap agar anak tunggalnya itu akan terpikat dengan Qistina.
Ibu mana yang mahu melihat anak mereka susah? Kalau Amirul berkahwin dengan
Qistina, Amirul akan hidup senang-lenang. Qistina juga anak tunggal. Sudah
pasti semua harta Dato’ Azhar akan menjadi milik Qistina satu hari nanti.
Sekali gus akan menjadi milik Amirul juga sebagai menantu. Dia tersengih-sengih
seorang diri. Dia sudah membayangkan bagaimana hidupnya nanti jika apa yang
diimpikan benar-benar menjadi kenyataan.
Sebelum sampai ke rumah Dato’ Azhar,
Amirul menghubungi Qistina untuk memberitahu tentang kehadirannya. Sebaik dia
sampai di hadapan pintu pagar banglo mewah itu, pintu pagar terbuka dengan
sendiri. Amirul terus memandu masuk dan berhenti di hadapan pintu utama. Dia
hanya menunggu di dalam kereta sehingga dia ternampak kelibat Qistina keluar
dari daun pintu kayu yang berharga ribuan ringgit itu.
Qistina
kelihatan seksi dengan memakai blaus ketat dipadankan dengan skirt pendek di
atas paras lutut. Terbeliak biji mata Amirul memandangnya. Biar betul minah ni!
Gadis
itu melangkah penuh bergaya menghampiri kereta Honda City berwarna hitam milik
Amirul. Sejurus gadis itu mengambil tempat di sebelah Amirul, kereta pun
meluncur laju meninggalkan banglo agam milik Dato’ Azhar itu.
Haruman
yang semerbak daripada minyak wangi yang dipakai oleh gadis itu memenuhi ruang
kereta. Sesekali Amirul mengerling Qistina yang duduk di sisinya. Imannya yang
sedia tipis seakan-akan tergugat apabila terserlah paha Qistina yang putih
gebu. Lelaki mana yang boleh menolak pandangan matanya dari melihat keindahan
yang sengaja dipamerkan?
“You nak
pergi One Utama, kan?” tanya Amirul.
“I tak
kisah ke mana pun yang you nak bawa. I ingat nak cari kasut.” Manja suara
Qistina sambil meliuk-lentokkan tubuhnya apabila bercakap. Anak rambutnya yang
mengurai disuak ke belakang.
“Oh! Nak
beli kasut. Di One Utama banyak jugak pilihan. Kita ke sana saja, ya?”
One
Utama yang terletak di Bandar Utama Damansara tidak jauh dari Petaling Jaya.
Kalau jalan raya tidak sesak, dalam masa sepuluh minit mereka sudah sampai ke
destinasi.
“Kelmarin
you kata you belajar di UKM, dalam jurusan apa?” Qistina bertanya lembut.
“Business
and Management,” jawab Amirul sambil menumpukan perhatian ke jalan raya.
“Tak
mahu melanjutkan pelajaran ke mana-mana?”
Kali ini
Amirul hanya menggeleng bagi menjawab soalan Qistina tadi.
“Jadi,
apa perancangan you sekarang?” soal Qistina lagi tanpa jemu. Hanya dia yang
mengaju soalan sedangkan Amirul kelihatan lebih senang menjawab daripada
bertanya.
“Mungkin
bekerja dulu untuk beberapa bulan sebelum sambung balik belajar.”
Qistina
mengangguk. “Dah cari kerja ke?”
“I tak cari
pun tapi papa I dah dapatkan kerja untuk I. Kawan papa I pengarah di tempat tu.
Dia yang cadangkan I bekerja di situ.”
“Oh...
untunglah you. Tak perlu susah-susah cari kerja, dah ada kerja yang menunggu.
Bila mula?” Qistina membelek kukunya yang panjang bercat warna merah garang.
“I pun
tak pasti. Tapi buat masa ini I nak berehat. Mungkin seminggu atau dua minggu
lagi.” Amirul sudah pun memberitahu papanya tentang persetujuannya untuk
bekerja di tempat yang ditawarkan kepadanya.
Destinasi
yang dituju sudah pun sampai. Setelah membuat dua pusingan barulah mereka
mendapat tapak parkir. Walaupun pada hari biasa namun Kompleks One Utama tetap
ramai pengunjungnya. Enjin kereta dimatikan sejurus kereta diletakkan di atas
tapak pakir yang kosong.
Pasangan
itu jalan beriringan memasuki kompleks. Amirul
tergamam apabila Qistina memaut lengannya tanpa segan walaupun baru kali
pertama mereka keluar bersama. Sebaliknya Amirul pula yang berasa malu.
Perlahan-lahan dia meleraikan pautan itu.
“Kenapa
you ni? You tak suka I pegang you?”
Tanpa
menjawab soalan itu, Amirul terus melangkah. Dari aras meletak kereta mereka
menuruni eskalator untuk ke aras membeli-belah. Belum pernah Amirul berjumpa
dengan perempuan yang seberani Qistina.
Belum apa-apa lagi sudah mahu berpegang tangan.
“Itu,
kedai kasut.” Amirul menuding jari ke arah sebuah kedai kasut yang sedang
mengadakan jualan murah.
Qistina
menarik tangan Amirul menuju ke kedai tersebut. Pelbagai jenis dan fesyen kasut
yang ada dijual. Qistina menjadi rambang mata. Dia mengambil dua pasang kasut
yang berkenan untuk dicuba pakai.
“Cantik
tak kasut ni, you?” Qistina menggaya-gayakan kasut warna putih bertumit dua
inci di hadapan Amirul.
Amirul
mengangguk tanpa komen. Kemudian Qistina mencuba pula sepasang kasut berbentuk
platform berwarna hitam.
“Yang
ini, okey tak?”
“Sorry... I tak tahu pasal
kasut-kasut perempuan ni. You jangan tanya pendapat I. Pada I semuanya cantik.”
Amirul beralih ke rak kasut lelaki. Dia membelek satu per satu kasut yang
terdapat di situ.
“You ni susahlah.
I minta pendapat you aje, bukan minta you bayarkan pun.” Qistina merangkul
lengan Amirul dari belakang. Kemudian dia bersandar ke tubuh Amirul. Kehangatan
tubuh lelaki itu membuatkannya berasa selesa.
“Kan I
kata I tak tahu? Suka hati youlah nak pilih yang mana.” Amirul menarik
tangannya perlahan-lahan. Dia menginjakkan tubuhnya jauh sedikit daripada
Qistina. Geli-geleman dia dibuatnya.
“Alah,
you ni... menyampahlah,” kata Qistina manja.
“Okeylah
tu. Ambil sajalah kasut tu, cantik dan sesuai dengan you,” kata Amirul sekadar
berbasa basi. Dia mahu segera beredar dari situ.
“Betul
ke cantik?” Kembang hati Qistina apabila dia dipuji oleh lelaki itu.
Amirul mengeyakan sahaja tanpa mahu bercakap
banyak. Tanpa berfikir panjang, Qistina dilihat ke kaunter bayaran untuk
membayar dua pasang kasut yang dicuba tadi dengan menggunakan kad kredit.
Kemudian, Qistina mengajak Amirul ke
kedai menjual aksesori wanita pula. Setelah puas membelek-belek, akhirnya dia
membeli sepasang penyepit rambut yang berharga RM120.
“You nak
beli apa lagi?” tanya Amirul. Kedua-dua tangannya berpeluk tubuh. Bimbang jika
Qistina memegang tangannya sesuka hati. Dia malu dilihat orang yang berselisih
dengannya. Dia tidak mahu orang menganggap Qistina itu kekasihnya.
“Tak ada
apa-apa lagi.”
“Kalau
dah tak ada apa-apa lagi, jom kita balik,” cadang Amirul. Tidak sanggup dia
berlama-lama lagi dengan gadis yang gedik itu. Tangannya tidak boleh duduk
diam, merayap saja macam tangan ketam.
Qistina
mencadangkan mereka ke restoran makan. Dia belum puas berdamping dengan lelaki
itu. Ada banyak lagi soalan yang dia belum sempat bertanya. Lagi pula hari
masih awal. Mengapa terburu-buru mahu pulang?
“Dah nak
balik? Alah, perut I laparlah. Jom kita pergi makan dulu.” Qistina memuncungkan
mulutnya. Tangan Amirul digenggam erat seperti tidak mahu dilepaskan.
Amirul
mengeluh. Dia membiarkan sahaja tangannya digenggam Qistina. Sudah tidak larat
lagi dia mahu mengelak dan melepaskan sentuhan-sentuhan daripada gadis itu. Dia
teringatkan pesanan mamanya. Wajah rajuk mamanya terbayang-bayang.
“You nak
makan apa?” soalnya dengan nada bosan.
“Kita
makan Kenny Rogers, nak?” Qistina tidak segan-segan melentokkan kepalanya ke
bahu Amirul pula. Bukan dia tidak perasan reaksi Amirul yang kelihatan seperti
tidak selesa itu. Sengaja dia buat muka tidak malu.
Tanpa
mahu membantah Amirul akur. Langkah diteruskan sehingga sampai ke restoran
Kenny Rogers. Restoran itu kelihatan penuh dengan pelanggan. Beberapa ketika
datang seorang pelayan membawa mereka ke tempat yang masih kosong.
Qistina
mengambil tempat duduk bertentangan dengan Amirul. Pesanan makanan dibuat dan
tanpa menunggu lama, makanan yang dipesan pun sampai. Amirul segera
menghabiskan makanannya tanpa mahu menunggu lebih lama. Dia mahu segera
beredar. Lebih cepat lebih bagus.
.
No comments:
Post a Comment