Cuaca hari itu mendung sahaja sejak pagi. Akhir-akhir ini hujan kerap turun
di sebelah petang. Cuaca yang mendung itu seakan-akan mempengaruhi emosi
Farhana yang ke sana ke mari tanpa sahabat karibnya seperti selalu. Namun
semangat untuk bekerja tetap tidak pernah pudar. Berada di kilang, Farhana
tidak sunyi. Walau tanpa kehadiran Hamimi dia masih dikelilingi teman-teman
sekerja yang lain. Berbual dan bergurau senda sambil tangan membuat kerja, itu
perkara biasa baginya.
|
Daripada
perbualan dengan teman-teman, Farhana mendapat tahu mereka bakal mendapat
pengurus baru tidak lama lagi. Dia tidak pasti sama ada pengurus itu seorang wanita
ataupun seorang lelaki. Jawatan pengurus di bahagian tempat Farhana bekerja itu
sudah agak lama kosong. Pengurus lama mereka seorang wanita yang sangat sporting dan baik hati. Namun
pengurus tersebut terpaksa bertukar ke daerah lain kerana mengikut suaminya
berpindah.
Sebenarnya
Farhana tidak ambil kisah tentang siapa gerangan pengurus yang akan mengambil
alih tugas di tempat tersebut. Bahkan dia tidak mahu langsung menyampuk
perbualan teman-temannya apabila bercerita tentang pengurus itu. Baginya, tugasnya
tidak ada kena-mengena dengan pengurus. Justeru, mengapa dia perlu sibuk-sibuk
untuk ambil tahu. Biarlah siapa pun yang akan menjadi pengurus, dia tetap di
tempatnya itu sebagai operator pengeluaran. Dia sendiri tidak pasti sehingga
bila dia akan bekerja sebagai operator pengeluaran di kilang tersebut.
Adakala
dia berasa rendah diri apabila dibandingkan dengan abang dan kakak-kakaknya
yang memegang jawatan baik di sektor pekerjaan masing-masing. Sebagai adik
bongsu, dia sepatutnya mengikut jejak langkah abang dan kakak-kakaknya yang
lain. Justeru dengan keputusan peperiksaan SPMnya yang hanya cukup makan sahaja
tidak melayakkan dia untuk memohon di mana-mana universiti tempatan.
Tidak ada
rezeki katanya sekadar untuk menyedapkan hati. Yang pasti, semasa di sekolah
menengah dulu. dia kurang menumpukan perhatiannya pada pelajaran kerana sibuk
dengan aktiviti sukan di sekolah. Dia mengambil bahagian dalam hampir kesemua
jenis sukan yang diadakan di sekolah.
Bukan
ayah dan ibunya tidak menegur. Bukan abang dan kakak-kakaknya juga tidak
memarahinya tetapi teguran mereka semua itu dianggap sepi. Minatnya yang
mendalam dalam aktiviti sukan memerlukan dia banyak meluangkan masa di padang
sehingga dia mengabaikan pelajaran di sekolah.
“Peperiksaan
SPM dah tak lama lagi, abah tengok kau ni asyik aje dengan sukan tak
habis-habis. Setiap petang ada training. Bila masanya nak baca buku?” tegur Burhan
suatu ketika dahulu.
“Minggu
depan Farah ada perlawanan net
ball antara
sekolah-sekolah, abah. Jadi setiap petang kena turun padang. Tahun lepas
sekolah Farah dapat gelaran juara, tahun ni pun kami nak jadi juara jugak,”
jawab Farhana perlahan.
“Abah
tak kisah kalau Farah nak aktif bersukan, tapi kena bijak bahagi masa. Kalau
petang dah sibuk melompat di padang, malam-malam macam ni tengoklah buku.
Jangan asyik tengok TV saja kerjanya.” Burhan menggeleng. Tiga orang anaknya
yang lebih dewasa tidak seperti Farhana. Mereka mudah mendengar kata. Tidak
perlu dia mengulangi cakap berkali-kali.
“Farah
penatlah, abah. Malamlah masa untuk Farah berehat,” rungut Farhana. Reaksinya
manja. Anak bongsulah katakan.
“Kalau
macam tu bila masanya Farah buat ulang kaji? Pagi sekolah, petang bersukan dan
malam pulak duduk bersantai.” Burhan tidak suka membebel. Dia faham perasaan
anak muda yang tidak suka dileter dan didesak.
“Mana
ada bersantai?” getus anak dara Burhan.
“Bersantailah
tu namanya. Berehat-rehat sambil tengok TV. Cubalah tengok TV sambil-sambil
selak buku, ada jugak faedahnya.” Setiap kata Burhan ada sahaja jawapan anak
gadis itu. Dia tidak seperti abang dan kakak-kakaknya yang hanya membisu jika
Burhan bercakap. Kalau disuruh, cukup hanya sekali diberitahu cepat sahaja
mereka bertindak, tidak perlu diingatkan untuk kali kedua.
“Biarkanlah
dia, bang. Cakap kita dia tak mahu dengar. Kalau dia gagal SPM nanti kita suruh
dia belajar masak. Kalau ada orang datang masuk meminang kita terima saja, apa
susah?” sampuk Salmah yang leka mendengar dua beranak itu berbalas pantun.
“Kenapa
mak cakap macam tu?” rengek Farhana manja. Kepalanya dilentukkan ke bahu
Salmah. “Ustaz kat sekolah kata, apa yang kita cakap itu satu doa.”
“Tau
pun,” celah Salmah.
“Jadi
kena cakap yang elok-elok sajalah mak.” Farhana mencebirkan bibirnya.
“Emak
mana yang nak kan anak-anak mereka susah? Mak sentiasa doakan Farah berjaya
dalam pelajaran. Kalau harapkan doa mak saja tak cukup kalau yang empunya diri
tak berusaha, faham?” leter Salmah menasihati.
“Yalah.
Esok Farah baca buku, ya?” pujuk Farhana. Wajah emaknya ditatap lalu dia
menggenggam erat tangan emaknya tanpa pedulikan Burhan yang duduk di sofa
bertentangan.
“Semua
nak tunggu esok. Pergi buat ulangkaji sekarang,” marah Burhan. Dia sedikit
tegas dalam mendidik anak-anak. Jika dengan Salmah bolehlah Farhana
bermanja-manja tetapi kalau dengan Burhan jangan harap dia boleh berbuat
demikian.
Dengan
nada suara Burhan yang sedikit tinggi, Farhana sudah tersentap hatinya. Matanya
sudah berkaca. Dia hanya membatu memandang lantai. Tidak sanggup dia mengangkat
muka. Salmah memandang ke muka Burhan sambil mengerutkan muka. Tidak suka dia
kalau anak gadisnya itu ditegur begitu oleh Burhan. Tiba-tiba Farhana bangkit
dan melangkah masuk ke dalam biliknya. Sengaja kakinya dibentak-bentak tanda
protes.
“Farah!”
panggil satu suara.
Lamunan
Farhana terhenti. Dia sudah kembali ke alam nyata. Bayangan wajah Burhan dan
Salmah hilang serta-merta. Lantas dia menoleh ke arah datangnya suara tadi.
Dari jauh lelaki itu menghadiahkan sekuntum senyum kepadanya. Dia membalas
senyum sambil melambaikan tangan.
“Jauhnya
si merah jambu melamun. Rindukan seseorang ke?” Syukur mengambil tempat di sisi
Farhana yang duduk seorang diri di sebuah bangku hampir dengan kafeteria.
“Tak
adalah. Saja duduk sini meluangkan masa. Nak balik, masih awal lagi. Balik
cepat pun bukan ada apa nak buat,” jelas Farhana. Wajahnya senyum sahaja. Dia
leka memandang seekor burung yang sedang bertenggek di dahan pokok yang berada
dekat dengan tempat mereka duduk.
“Dah
pukul enam petang, masih awal kau kata? Kau overtime ya?” Syukur menoleh sekilas ke wajah ayu milik
Farhana.
“Ya. Dah
lama tak buat overtime. Hari ini buat untuk dua jam
saja,” jawab Farhana lembut. “Eh! Kau masih ada kat sini, tak balik lagi?”
tanya Farhana pula ingin tahu.
“Aku ada meeting tadi,” jelas Syukur.
“Wah!
Kau dah masuk meeting? Dahsyatlah kau sekarang,”
usik Farhana.
“Alah,
bukannya meeting dengan pengarah. Setakat meeting biasa-biasa saja.” Sebagai
seorang Senior Supervisor, Syukur dikehendaki mengemaskinikan masalah yang
berbangkit dan memberi maklumat-maklumat terbaharu berkaitan dengan pekerja-pekerja
kilang jika ada kepada pihak atasan.
Farhana
menyengih. Hatinya berasa girang melihat gelagat burung yang masih bertenggek
di dahan pokok tanpa mahu terbang.
“Ako,
kau tengok burung tu. Dari tadi dia duduk di situ. Nampak jinak burung tu, kan?”
Dia menuding jari ke arah burung yang tidak diketahui namanya itu.
‘Burung
itu sama seperti kau, Farah. Mudah didekati tetapi apabila cuba ditangkap kau
lari.’ Kata-kata itu sekadar diungkapkan di dalam hati Syukur sahaja.
“Cantik
kan? Burung apa tu?” tanyanya.
“Entahlah,
tak tau pulak. Jarang nampak burung yang jinak macam tu. Tak takut orang
langsung. Kau agak-agak kalau kita tangkap dia, dia lari tak?” Farhana teruja.
Mahu rasanya dia menangkap burung itu untuk dibawa pulang ke rumah. Tetapi mana
mungkin? Burung sama seperti manusia yang mahu hidup bebas tanpa diikat dan
dikurung, bisik hatinya.
Syukur
merenung wajah Farhana tanpa gadis itu menyedari. Dia menghela nafas. Wajah itu
mengundang gejolak rasa di jiwa.
‘Kalaulah
kau tau apa yang terpendam di lubuk hati ku ini wahai si merah jambu, adakah
kau sudi menjadi milikku?’ bisik hati lelaki itu. Setiap kali mata mereka
beradu, jantungnya berdegup kencang. Pandangan mata gadis itu menggetarkan
sukma. Biarpun dirinya dekat tapi terasa jauh. Tangan seperti mahu menggapai
tetapi sayangnya tidak sampai. Sungguh menyakitkan mencintai seseorang yang
tidak mencintai kita. Lebih menyakitkan lagi apabila diri sendiri tidak
memiliki kekuatan dan keberanian untuk menyatakan rasa cinta terhadap orang
yang dicintai.
“Hoi!
Kenapa kau pandang aku macam tu? Macam rupa nak makan orang,” sergah Farhana.
Dia rasa terganggu apabila direnung sebegitu rupa oleh lelaki itu.
“Alah...
pandang pun tak boleh. Manusia suka memandang sesuatu yang cantik. Jadi apa
salahnya aku memandang muka kau yang cantik tu?” Syukur ketawa. Alangkah
seronoknya kalau kita dapat begini selalu. Mimi, cutilah lama-lama sikit.
“Jangan
pandang sebarang pandang, nanti ada yang marah,” gurau Farhana.
“Siapa
yang nak marah? Buah hati kau ke?” teka Syukur. Hatinya berdebar-debar. Apa
maksud gadis itu?
“Bukan
buah hati aku tapi buah hati kau,” jelas Farhana. Jarinya menuding ke arah
Syukur sambil tersenyum sinis.
“Buah
hati aku?” Syukur berasa pelik. Sejak bila pula dia ada buah hati? Atau adakah
Farhana sengaja mahu meneka hatinya?
Farhana
mengangguk. “Kau ada buah hati kat kilang ni kan?” tanyanya.
‘Kaulah
buah hati aku, Farah.’ Luahan itu hanya Syukur
yang mendengarnya.
“Siapa
yang kau maksudkan?” tanyanya pelik.
“Alah,
kau ni... dah gaharu cendana pulak.” Farhana berperibahasa.
“Serius.
Aku tak tahu siapa yang kau maksudkan.”
“Betul
ke kau tak tahu atau buat-buat tak tahu?”
“Betul,
aku tak tahu. Siapa?”
“Siapa
lagi kalau bukan Jiha.”
“Jiha?”
“Ya,
Jiha.” Farhana mengangguk.
“Siapa
yang beritahu kau Jiha tu buah hati aku?”
“Siapa
lagi? Tuan yang empunya dirilah.”
“Kau
percaya cakap dia?”
“Entah.”
Farhana menjongketkan bahu.
“Bila
dia cakap pada kau yang dia tu buah hati aku? Kurang ajar dia tu. Suka-suka
hati aje dia buat pengakuan. Tak malu betul.”
“Dia
bukan cakap dengan aku.”
“Habis
tu?”
“Kau tak
ada dengar cerita ke?”
Syukur
menggeleng. “Cerita apa?”
“Kau
ingat tak masa Mimi merajuk, dia tak nak cakap dengan kau hari tu?”
Syukur
mengangguk. “Ya, ingat. Kenapa dengan dia?”
“Sebenarnya
hari sebelum tu Jiha dengan Mimi bertengkar. Jiha tuduh Mimi bersepahkan meja
kerja dia. Tapi Mimi kata dia tak buat. Aku rasa aku percaya cakap Mimi. Tak
mungkin dia nak berdengki dengan Jiha tu tak pasal-pasal. Bukan sekali dia
menyerang Mimi tapi dua kali. Akhirnya terbongkar apa yang sebenarnya menjadi
punca perbalahan mereka. Rupa-rupanya puncanya adalah kau, Ako.”
“Aku?
Kenapa pulak aku? Apa perempuan tu cakap pasal aku? Nak kena Jiha ni.” Syukur
mengetap bibir. Dia menahan geram.
“Kau ni
cuba bawa bersabar. Aku belum habis bercakap lagi. Lagipun aku tak mahu masalah
ini jadi lebih besar pulak nanti. Kau kena janji dengan aku.”
Syukur
mengangguk.
“Janji?”
“Ya. Aku
janji.”
“Dia
marahkan Mimi sebab dia sangka kau dan Mimi ada hubungan. Dia ugut Mimi kalau
dia nampak Mimi dekat dengan kau dia nak apa-apakan Mimi. Yang aku dan Mimi
musykil, betul ke dia tu ada hubungan dengan kau?” Farhana mahukan kepastian.
Dia mahu masalah antara Hamimi dan Jiha segera terungkai.
“Mengarutlah.
Gila perempuan tu. Sebenarnya dia yang suka kat aku tapi aku tak ada perasaan
pun pada dia. Pedulikan dia. Jangan lagi dengar cerita dia tu. Kalau lain kali
dia mengganggu kau atau Mimi, kau beritahu aku ya?” Syukur tertekan dan
bengang.
“Kau nak
buat apa dengan dia?”
“Tahulah
apa aku nak buat. Orang macam tu memang patut diajar.”
“Baru
tadi kau janji dengan aku kau tak akan buat apa-apa pada Jiha, kan? Tolonglah,
Ako... aku tak nak besarkan masalah ni. Aku kesiankan Mimi. Aku tak nak dia
terus jadi mangsa Jiha. Aku cuma mahu kau bersemuka dengan Jiha dan jelaskan
duduk perkara yang sebenarnya. Mungkin dia ada menaruh hati pada kau tapi kau
tak layan dia kut, Ako.”
“Betul.
Memang itulah yang sebenarnya berlaku. Aku dengan dia hanya biasa-biasa saja.
Lagipun kita orang jarang jumpa. Entah macam mana, tiba-tiba bulan lepas dia
datang jumpa aku dan curahkan perasaan dia pada aku. Aku betul-betul terkejut.
Dan aku tolak dengan cara baik. Terus terang, aku tak ada hati langsung pada
dia,” jelas Syukur panjang lebar.
“Kalau
betul macam tu, aku rasa lebih baik kau selesaikan masalah ni. Kesian Mimi.”
“Okey,
nanti aku cuba selesaikan. Kau jangan susah hati, ya.” Pening kepala Syukur
mengingatkan tentang Jiha. Tidak pula dia menyangka gadis itu berani
menghebahkan khabar angin itu.
.
No comments:
Post a Comment