Hari Isnin merupakan hari malas sedunia. Itu kata Hamimi kepada Farhana.
Liat sungguh Hamimi mahu bangkit subuh tadi. Mungkin dia tidak cukup tidur.
|
Malam
tadi mereka makan terlalu banyak buah durian. Ini semua si Merah Jambu punya
pasal. Sudahlah cuaca panas, ditambah pula dengan panas buah durian. Kipas yang
berputar laju pun tidak terasa anginya. Tidak cukup dengan itu, habis majalah
pula menjadi mangsa dijadikan kipas. Sekejap-sekejap dia bangun. Keluar dan
masuk beberapa kali dari bilik ke ruang tamu dan dari ruang tamu masuk ke bilik
semula. Dia tidak ubah seperti kucing yang mahu beranak. Akhirnya dia terlelap
di atas sofa di ruang tamu.
Sepanjang
perjalanan ke kilang, mereka tidak berbual seperti selalu. Sekejap-sekejap
Hamimi menguap. Dia menyumpah dirinya sendiri. Farhana yang melihat gelagat
sahabatnya itu menggeleng beberapa kali. Mereka sudah terlambat, tidak sempat
mahu ke kafeteria untuk bersarapan. Mujur saja Farhana membawa roti sebagai
bekalan, boleh juga dibuat sebagai pengalas perut sementara menunggu waktu
makan tengah hari nanti.
Hamimi
berwajah cemberut. Pernah beberapa kali dia mengadu kepada Farhana bahawa dia
berasa bosan bekerja di kilang itu. Setiap hari melakukan kerja yang sama.
Kadang-kadang timbul keinginan untuk berhenti dan mencari kerja yang lain.
Tetapi bukan senang untuk mendapat kerja. Apatah lagi dengan kelulusan SPMnya
yang hanya cukup makan itu. Namun apabila terkenangkan emak dan adik-adiknya di
kampung hatinya menjadi rawan. Biarlah dia bekerja di kilang itu buat sementara
waktu, mudah-mudahan akan ada rezeki yang lebih baik untuknya nanti.
Bukan
Farhana tidak pernah menasihatinya untuk bersabar. Setiap kesabaran pasti ada
ganjarannya. Itulah kata-kata semangat yang sering sahabatnya itu pesan
kepadanya.
“Untung
sabut timbul. Mana tau satu hari nanti kau dipinang putera raja. Masa tu
bolehlah kau berhenti dan duduk goyang kaki aje kat rumah istana kau,” usik
Farhana suatu ketika dulu.
“Kalau
duduk terperuk kat dalam kilang ni, bila masanya putera raja nak nampak aku?”
balas Hamimi lalu tergelak.
“Kalau
ada putera raja yang nampak kau, dia akan terpikat ke kat kau?” gurau Farhana
lagi. Dia ketawa.
Hamimi
ikut ketawa. Sempat pula paha kiri Farhana dicubit manja. Apabila mengingatkan
gurauan mereka berdua itu, Hamimi tersenyum-senyum sendirian.
KETIKA waktu makan tengah hari di kafeteria, Hamimi
terpandangkan Jiha dan Lola duduk makan di meja paling tepi sekali. Dia perasan
Jiha asyik memerhatikannya. Tidak sekilas pun dia menoleh memandang mereka.
Meluat sungguh.
Ketika
Hamimi sedang beratur di kaunter untuk membuat bayaran makanannya, Farhana
datang menyapa. Dia menghulurkan sekeping wang kertas sepuluh ringgit kepada
Hamimi.
“Mimi,
tolong bayarkan untuk aku sekali.” Dia meletakkan pinggan dan gelasnya di atas
dulang milik Hamimi. “Aku pergi chop tempat.” Dia berlalu untuk mencari tempat
untuk mereka duduk makan.
Tempat
duduk banyak yang sudah dihuni. Farhana terpaksa memerhati dan menunggu
kalau-kalau ada yang sudah selesai makan. Namun sudah beberapa minit menunggu
masih belum ada tempat kosong lagi. Dia masih bersabar menunggu sehinggalah
Hamimi datang menghampiri sambil menatang dulang di tangannya.
“Tak ada
tempat lagi?” tanya Hamimi sambil memerhati sekeliling.
Farhana
menggeleng. “Belum lagilah.”
“Dia
orang ni pun satu, dah habis makan bangunlah. Ini tidak, duduk berborak lagi,”
rungut Hamimi dengan nada tidak puas hati.
“Sabarlah.
Sekejap lagi adalah orang yang bangun.”
“Kau ni
terlalu banyak bersabar. Nasib baiklah aku ada kawan macam kau ni. Kalau
ikutkan perasaan aku, entahlah...” Hamimi mengeluh.
“Farah!”
Satu suara kedengaran memanggil Farhana dari meja sebelah sana.
Farhana
dan Hamimi mencari suara itu. Mereka tersenyum lebar apabila ternampak Jamilah
melambai-lambaikan tangan ke arah mereka. Bingkas mereka mendapatkan Jamilah.
“Tak ada
tempat duduk ke?” soal Jamilah mesra.
“Tempat
duduk semua penuh,” jawab Farhana.
“Duduklah
sini, kita orang dah habis makan dah.” Jamilah dan beberapa orang kawannya
sudah bangun untuk beredar.
“Okey,
terima kasih, Jamilah,” ucap Farhana sambil memandang gadis itu pergi.
Sebaik
sahaja mereka beredar, Hamimi meletakkan dulang di atas meja. Pinggan-pinggan
yang sudah kosong diketepikan. Namun dia tidak senang hati untuk duduk di situ.
Sudah tidak ada pilihan lain maka dia terpaksa. Kebetulan tempat Jiha dan
kawan-kawannya duduk sangat hampir dengan tempat itu. Dia mengambil tempat yang
menghalang pandangannya ke kumpulan itu. Dia tidak mahu melihat muka Jiha.
“Kau
nampak Jiha dan Lola, Mimi?” bisik Farhana apabila ternampak kelibat Jiha dan
konco-konconya yang duduk tidak jauh dari tempat itu.
“Dari
tadi dah aku nampak. Nak buat macam mana, dah tak ada tempat lain yang kosong.
Jangan pandang dia oranglah.” Hamimi segera menyuap makanan ke mulut. Dia mahu
cepat beredar dari situ. Sesekali kedengaran ketawa yang menyakitkan telinga
dari kumpulan itu. Dia berasa seperti disindir.
“Tak
nampak Ako pun hari ini. Dia tak datang ke?” Mata Farhana melilau mencari
kelibat lelaki itu di tengah-tengah orang ramai. Pakaian yang dipakai semuanya
sama, maka sukar untuk dia mengenali.
Hamimi
mengunyah makanan tanpa mahu bercakap. Habis mengunyah dia meneguk minuman
sedikit.
“Kalau
masa ini dia datang memang elok sangat.” Dia bersuara.
“Kenapa?”
Farhana terlupa kerana lelaki itu yang menjadi punca pertengkaran antara Hamimi
dengan Jiha.
“Senanglah
cerita kalau dia ada. Aku nak peluk dia. Biar perempuan tu tengok. Aku nak
tengok macam mana dia mengamuk,” kata Hamimi lagi.
Bagi
Farhana pula, dia berharap Syukur tidak muncul ketika itu. Dia tahu kalau
lelaki itu ada, sudah pasti pergaduhan lebih besar akan berlaku. Sudah tentu
pekerja-pekerja lain yang melihat akan bertepuk tangan. Dan mungkin akan ada
yang mencemuh. Dia tidak mahu melihat dua orang sahabatnya bertelingkah sesama
sendiri. Walaupun dia tahu antara Syukur dan Hamimi tidak mempunyai hubungan
perasaan.
“Dahlah.
Cepatlah habis makan. Kita pergi aje dari sini sebelum Jiha dengan kawan-kawan
dia datang ganggu kita,” katanya cuba mengingatkan.
“Biarlah.
Kalau dia berani, datanglah.”
“Ini
yang aku tak suka ni.”
“Tak
suka apa? Kalau orang datang ganggu kita, kita nak duduk diam saja ke Farah?
Sabar pun ada hadnya. Kalau dah melampau memang sengaja nak cari pasallah tu,
kan?”
“Sebelum
apa-apa berlaku, kan lebih baik kalau kita mengelak dari berlaku?”
“Kau
jangan susah hati, Farah. Kau ingat kawan kau ni suka ke nak bergaduh tak tentu
pasal? Kau macam tak kenal aku ni jenis orang yang macam mana. Dahlah, dah
habis makan jom kita pergi.”
Tanpa
menoleh ke kelompok itu, mereka beredar. Ketika itu kedengaran tawa kumpulan
itu meledak. Entah apalah yang menggelikan hati mereka agaknya. Ah, pedulikan!
USAI solat maghrib, Farhana
menghubungi Syukur. Ketiadaannya di kafeteria menjadi tanda tanya kepadanya.
Setahunya, lelaki itu bekerja syif pagi minggu itu. Perasaannya dijentik rasa
bimbang selagi dia tidak tahu duduk perkara sebenar. Biasanya, kalau mengambil
cuti tergempar atau cuti sakit, lelaki itu tidak pernah lupa untuk
memberitahunya. Tetapi hari itu, wajah cerianya tidak kelihatan. Apa yang telah
berlaku kepadanya?
“Ako tak
datang kerja tadi. Katanya dia demam. Kesian pulak aku dengar suara dia yang
sengau tu.” Farhana baru sahaja mematikan talian telefon. Dia menyampaikan
berita itu kepada Hamimi. Begitulah sikap Farhana yang sangat mengambil berat
tentang kawan-kawannya, terutama Syukur dan Hamimi yang sangat rapat dengannya.
“Dia MC
ke?” tanya Hamimi yang sedang meniarap di atas katil sambil menatap komputer
riba.
“Ya. Dia
dapat MC dua hari. Aku ingat nak bagi rambutan dan tempoyak kat dia. Jom, kita
pergi rumah dia nak?” cadang Farhana.
“Yang
kau nak bagi dia tempoyak tu buat apa? Pandai ke dia masak tempoyak tu?”
“Eh! Kau
tak tau ke, Ako tu pandai masak? Entah-entah dia lagi pandai masak dari kau.”
Farhana menyengih.
“Yalah
tu. Kalau bukan kau yang nak memuji dia tu, siapa lagi?” Hamimi mengerling.
“Eh! Dia kan demam? Takkan kita nak masuk rumah bujang dia pulak?” Dia
tersenyum-senyum sendirian. Mungkin ada artikel lucu yang dibaca dari komputer
ribanya. Kalau tidak melayan Facebook, tentu dia sedang menonton sesuatu dari
Youtube.
“Bukannya
kita nak masuk dalam rumah. Kita telefon dia, suruh dia tunggu kat luar. Aku
cuma nak bagi rambutan dan tempoyak tu saja,” jelas Farhana.
Rambutan
gading yang diikat kemas sudah dimasukkan ke dalam beg plastik. Tempoyak juga
sudah disediakan di dalam satu bekas untuk diberi kepada Syukur. Farhana tidak
pernah lupa atau kedekut untuk berkongsi apa sahaja yang dia miliki, apatah lagi makanan dengan kedua-dua orang
sahabatnya itu.
“Kau nak
temankan aku ke tak?” tanyanya apabila Hamimi tidak memberi apa-apa respon.
“Kau ni asyik melayan Facebook aja. Aku bercakap pun kau tak hiraukan.”
“Yalah.
Kejap lagi kita pergilah. Tapi nak pergi naik apa malam-malam buta ni?” Hamimi
beralih pandang. Dia merenung wajah Farhana yang mencuka. Suka dia tengok
Farhana begitu. Dia nampak comel dengan muncungnya yang sedepa. Manalah hati
lelaki yang memandang tidak terpikat pada si Merah Jambu seorang ni. Dia ketawa
di dalam hati.
“Esok
petang, balik dari kerjalah kita pergi.” Farhana menukar cadangan.
“Kau
kata, Ako dapat MC dua hari. Kalau dah petang esok lagi baik kau bagi rambutan
tu lusa aje. Bukan ke lusa nanti dia datang kerja?”
Syukur
tinggal menyewa di daerah Pantai Dalam. Tempat itu agak jauh juga dari tempat
mereka. Mereka pernah ke sana ketika Syukur membuat jamuan sempena ulang tahun
kelahirannya tahun lepas. Jika ada kenderaan sendiri, tidak sampai sepuluh
minit mereka boleh sampai. Jika naik kenderaan awam, terpaksa menunggu hampir
setengah jam. Itu yang membuatkan Hamimi berat hati.
“Nak
tunggu lusa, lebamlah rambutan tu. Kau ni tak kesian ke tengok dia?” Farhana
tahu Syukur tidak punya sesiapa di daerah ini. Keluarganya jauh di utara.
Baginya tidak salah kalau dia mengambil berat tentang lelaki itu. Tidak ada
niat lain yang tersembunyi melainkan ikhlas belaka.
“Apa nak
dikesiankan. Dia bukan budak-budak kecik. Yang kau susah hati sangat pasal dia
tu kenapa?” Bukan Hamimi tidak tahu sikap Farhana yang suka mengambil berat
tentang kawan itu. Malah dia juga tahu sahabatnya itu sangat murah hati dan
mudah kasihan pada orang. “Kau ada hati dengan dia ya? Kau jangan, Farah,”
usiknya.
“Apalah
kau ni? Suka sangat buruk sangka. Tak baik tau. Dia kan sebatang kara kat sini?
Kalau bukan kita kawan dia ni yang ambil berat tentang dia, siapa lagi?”
Farhana terdiam sekejap. Hatinya sentap. “Dahlah. Kau tak nak temankan aku,
sudahlah.” Farhana menutup mukanya dengan bantal.
Melihat
Farhana yang merajuk, Hamimi berhenti dari menatap komputer ribanya. Dia
bangkit dari katilnya dan menghampiri Farhana di katil sebelah. “Maafkan aku, Farah.”
Farhana
tidak berganjak. Bantal yang menutupi mukanya dipeluk erat. Kemaafan yang
dipinta tidak dihiraukan. Namun, di sebalik bantal dia tersenyum. Di dalam
hatinya terkekeh-kekeh dia ketawa.
“Farah!”
teriak Hamimi apabila mendapati kata-katanya tiada tindak balas.
Farhana
masih membatu lalu Hamimi menarik bantal yang menutupi muka sahabatnya itu.
Maka terserlahlah wajah Farhana yang cantik itu sedang tersenyum lebar. Sebaik
sahaja bertentangan muka, gelak tawa mereka pun berderai. Suasana bilik itu
bertukar menjadi gamat tiba-tiba dengan ilai tawa dua sahabat itu.
.
No comments:
Post a Comment