Ketika sedang menikmati makan malam, Amirul hanya mendiamkan
diri. Dia tidak perasan dirinya diperhatikan. Dia hanya tunduk mengunyah.
Sesekali dia memanjangkan tangan untuk mengambil lauk di tengah meja.
|
Mustafa dan Mazni yang turut sama di meja makan juga
tidak bersuara. Masing-masing menikmati hidangan dengan penuh kusyuk sekali.
Sesekali pandangan suami isteri itu beradu.
Ketika
Mak Jah datang membawa satu jag minuman,
barulah Amirul membuka mulut. “Mak Jah, saya nak air kosong saja,”
pintanya sambil mencuci tangan dari kendi yang disediakan. Kertas tisu diambil
dari kotak tisu yang berdekatan lalu dia mengelap mulut dan tangannya yang
basah.
Beberapa
ketika kemudian Mak Jah kembali dengan membawa segelas air kosong untuk Amirul.
Manakala Mustafa dan Mazni dihidangkan dengan air sirap sejuk. Itulah minuman
kegemaran keluarga itu. Tambahan pula pati sirap itu dibuat sendiri oleh Mak
Jah.
Setelah
selesai makan, Amirul bingkas bangkit dan segera beredar. Dia mahu mengelakkan
diri daripada berbincang tentang pertemuannya dengan Qistina siang tadi. Dia
tahu mamanya hanya menunggu peluang dan masa untuk bertanya soalan. Sebelum
mama membuka mulut lebih baik aku angkat kaki, bisik hatinya. Namun baru
beberapa langkah saja dia menapak, mamanya sudah memanggil. Langkahnya
terhenti.
“Mirul,
nak ke mana?”
Amirul
menoleh. “Nak naik ke atas.”
“Duduk
sekejap, mama nak cakap sikit.” Mazni memandang suaminya yang sudah bangun dari
tempat duduk menuju ke ruang tamu.
Amirul
sudah duduk di sofa di ruang itu.
“Tadi
Mirul bawa Qistina ke mana?” soal Mazni yang turut melangkah ke ruang tamu dan
mengambil tempat di sebelah suaminya.
“Kan
mama suruh bawak dia ke One Utama?” Amirul menunduk. Kakinya bermain dengan
aspal berbulu tebal. Dia sudah bersedia untuk menadah telinga mendengar soalan
dan bebelan mamanya.
“Qistina
kata dia nak shopping, banyak ke barang yang dia beli?”
“Saya
nampak dia beli dua pasang kasut dan satu sepit rambut saja. Kenapa, ma?” Entah
apalah yang merasuk fikiran mamanya sehingga dia mahu tahu semua aktivitinya
dengan Qistina siang tadi. Perkara inilah yang Amirul mahu elak. Kalau mamanya
sudah mula buka mulut, bebelannya tidak habis-habis hingga berjam-jam lamanya.
“Tadi
Qistina telefon mama. Dia mengadu, katanya Mirul macam tak suka saja dengan
dia. Dia kata Mirul tak layan dia. Kenapa dengan Mirul ni? Kan mama dah pesan
dengan Mirul, layan Qistina tu dengan baik? Susah ke Mirul?”
Berbahang
telinga Mazni mendengar aduan Qistina mengenai Amirul siang tadi. Walaupun
sudah beberapa kali dia berpesan tetapi anak itu masih tidak mahu mendengar
kata. Kenapalah kedegilannya sejak kecil sehingga dewasa masih menebal dalam
diri? Sukar sangatkah mahu memenuhi permintaannya yang satu itu? Runsing
fikiran Mazni memikirkan anaknya yang seorang itu. Lain yang dipesan lain pula
yang dilakukan. Suaminya pun satu, tidak mahu langsung menegur. Semua kehendak
anaknya itu diturutkan sahaja tanpa bantahan.
“Ma,
mama minta saya temankan dia ke One Utama saja kan? Saya dah turutkan, apa lagi
yang tak kena?” rungut Amirul.
Terlalu
sukar untuk dia memuaskan hati dan menurut semua kehendak
mamanya. Selalunya
apa sahaja yang dipinta oleh mama adalah sesuatu yang bertentangan dengan
kehendaknya.
Kehendak
dan selera dua beranak itu ketara berbeza. Apa sahaja yang disukai Mazni pasti
tidak disukai oleh Amirul. Apa sahaja yang cantik dari pandangan mata Mazni,
pada Amirul sebaliknya pula. Perbezaan itulah yang selalu menjadi punca
perbalahan mereka berdua.
“Mama
mahu Mirul pikat hati Qistina.”
Hal itu
tidak perlu diselindung daripada pengetahuan Amirul. Dia bukan anak-anak kecil
lagi. Pada pertengahan tahun nanti, usia anak tunggalnya itu akan masuk 24 tahun. Selama ini anak
tunggalnya itu tidak pernah berbicara mengenai teman wanita. Padahal dia sudah
layak mempunyai kekasih hati. Jadi apa salahnya dia yang mencarikan jodoh
untuknya.
“Apa
maksud mama?” tanya Amirul pura-pura tidak mengerti. Dia sudah dapat meneka
sejak mula lagi niat mamanya itu. Dia beralih pandang dari wajah Mustafa ke
wajah Mazni pula.
“Papa,
you cakaplah sikit dengan anak you tu. Nasihatkan dia. Amirul memang tak pernah
setuju dengan mama walaupun tujuan mama baik.” Mazni sudah hilang kata-kata.
Dia serahkan sahaja kepada Mustafa untuk menasihati anak kesayangannya itu.
Lama
Mustafa berdiam. Dia melepaskan keluhan berat. Sukar untuk dia meluahkan
permintaan yang telah dirancang tanpa pengetahuan dan persetujuan di pihak
lain. Sebenarnya Dato’ Azhar dan Datin Bibah yang bersungguh-sungguh
mencadangkan Amirul dan anak gadis mereka Qistina dijodohkan.
Cadangan
itu bagaikan pucuk dicita ulam mendatang bagi Mazni. Tetapi Mustafa tidak
bersetuju dengan rancangan itu sejak mula. Dia tidak mahu satu-satunya anak
yang dia miliki terikat dengan keputusan yang dibuat oleh orang lain. Baginya
pilihan dan kebahagiaan seseorang itu terletak kepada kemahuan diri sendiri
tanpa paksaan. Biarlah jodoh atau apa sahaja yang bersangkutan dengan diri
Amirul, dia sendiri yang memutuskan. Sebagai ayah, dia akan memberi sokongan
dan akan memberi nasihat sekiranya perlu.
“Berkawan
dan berkenalanlah dengan Qistina tu, Mirul. Tak salah kan berkawan? Lagipun dia
kan anak kenalan baik papa dan mama?” Mustafa bersuara. Dia tidak suka jika
Mazni marah-marah tidak menentu. Dia tahu ketika itu kalau dia ikut membantah
kemahuan Mazni, sudah pasti isterinya itu akan melenting dan mengamuk sakan.
Nanti bukan sahaja Amirul yang ditempik, malah dengan dia juga akan mendapat
tempiasnya.
“Saya
tak ada masalah berkawan dengan dia, pa. Lagipun kami dah lama kenal. Tapi satu
saja yang saya minta, jangan paksa saya untuk menganggap dia lebih dari seorang
kawan.” Amirul berterus terang. Dia memang tidak berkenan dengan penampilan
Qistina. Apatah lagi dengan sikapnya yang mengada-ngada sehingga timbul
perasaan mual melihatnya. Dia berharap papa dan mamanya mengerti dan boleh
menerima pandangannya.
Mazni
berdecit. Dia tidak puas hati dengan kenyataan Amirul. Pandangannya tidak lepas
daripada merenung wajah suaminya. Harapannya kini hanya pada Mustafa. Hanya dia
yang boleh bercakap dan memujuk anak lelakinya itu. Mazni tahu kalau dia
membuka mulut akan mengundang kemarahan anak muda itu. Dan sudah pasti
pertengkaran akan meletus.
“Qistina
tu datang dari keluarga baik-baik, Mirul. Insya-Allah, kalau kita berniat baik pasti akan mendapat balasan
yang baik juga. Keluarga Qistina sukakan Mirul. Uncle Azhar dan Aunty Bibah
yang beria-ia sangat mahukan Mirul menjadi pengganti mereka untuk menjaga
Qistina.”
Lembut
saja nada suara Mustafa. Begitulah sikapnya setiap kali bercakap dengan anak
tunggalnya itu. Seorang ayah dan anak yang sudah dewasa seperti Amirul perlu
ada satu hubungan yang telus. Bercakap pun biarlah secara terbuka dan berterus
terang. Tidak perlu berkias-kias.
“Pa
kalau saya diminta untuk berkawan dengan dia tu, saya tak ada masalah. Tapi kalau
bercakap pasal kahwin... tolonglah,
pa... saya belum fikirkan hubungan sejauh itu buat masa ini. Apatah lagi kalau
dengan Qistina tu.”
Amirul
membetulkan posisi duduknya. Dia diburu rasa bersalah. Dia tidak berniat untuk
mengecilkan hati mama dan papanya. Lebih baik dia berterus terang apa yang
terpendam di lubuk hatinya. Dia tidak suka berpura-pura dan dia tidak sanggup
menggadai kebahagiaan masa depannya sendiri.
“Mirul
ni sengaja menolak tuah. Ingat senang ke nak dapat kawan
dengan anak orang kaya
macam Qistina tu? Mama tengok dia okey aje. Cantik. Tak ada cacat celanya.”
Merah muka Mazni menahan geram.
“Ma,
tolonglah faham. Saya belum bersedia untuk ada hubungan serius dengan mana-mana
perempuan pun buat masa ni. Kan saya dah kata saya nak kerja sekejap untuk
menimba pengalaman? Lepas tu saya nak sambung belajar balik. Saya belum fikir
nak kahwin, ma.”
Perbincangan
sudah semakin tegang. Suasana banglo itu terasa hangat walaupun kipas yang
terpasang berputar ligat. Mak Jah yang sedang mengemas meja makan mencuri
dengar. Sesekali dia menggeleng. Dia sudah faham benar dengan sikap Mazni yang
tidak pernah mahu mengalah jika berbalah. Bukan sahaja dengan anaknya Amirul,
malah kalau dengan suaminya pun tetap begitu juga. Acap kali Mak Jah melihat
Mustafa yang terlebih dahulu berdiam jika suami isteri itu bertengkar.
“Tak ada
salahnya kalau berkahwin semasa masih belajar. Orang lain tu ramai yang
berkahwin, tak ada masalah pun mama tengok.”
“Memang
tak salah, ma. Tapi...” Amirul menggosok-gosok kasar rambutnya. Mukanya
berkedut-kedut menahan perasaan.
“Tapi
apa?” sampuk Mazni kasar.
“Saya
belum bersedia nak ada apa-apa ikatan. Itu saja, ma.” Amirul meraup mukanya.
“Sudahlah
tu. Mirul dah tak mahu janganlah dipaksa. Bagilah dia peluang untuk buat
keputusan dia sendiri.” Mustafa cuba memujuk isterinya.
“Itulah
you ni. Apa saja yang anak you cakap, you mengeyakan saja. Tak langsung nak
berpihak kepada I ni. Kalau semua orang dah tak nak dengar cakap I ni, tak apa.
Tapi ingat! Lepas ni kalau ada apa-apa masalah jangan mengadu dengan I.” Mazni
bercakap tanpa memandang sesiapa. Sudah penat duduk, dia berdiri pula. Dia
berpeluk tubuh.
“Sebagai
mama, sepatutnya you mendoakan yang baik-baik untuk anak you. Bukannya
marah-marah macam ni. Kalau marah-marah macam ni tak menyelesaikan masalah. I
bimbang nanti you diserang penyakit darah tinggi pulak nanti.” Di dalam hati
Mustafa dia ketawa. Di dalam perbincangan yang serius itu sempat juga dia
menyindir isterinya.
“Tak
baik ke rancangan I nak kahwinkan anak kita dengan anak orang berada? Yang
senang dan kaya nanti siapa? Anak kita, kan? Senang dia senanglah kita.” Dada
Mazni berombak kencang. Nafasnya turun naik.
“Kita
pun dah cukup senang, tak perlu lagi nak menumpang senang orang lain, ma,”
celah Mustafa tenang.
“Bercakap
dengan you dua beranak ni memang menyakitkan hati I aje. Tak boleh ke sesekali
senangkan hati I ni sikit?” Mazni mengurut dadanya sendiri.
“Dahlah,
Mirul... pergilah naik atas berehat. Biar papa yang pujuk mama.”
Bagaikan
orang mengantuk disorongkan bantal, Amirul bingkas bangun dan menaiki anak
tangga ke tingkat atas meninggalkan papa dan mamanya di ruang tamu yang
berbahang itu. Mustafa sudah masak benar dengan perangai isterinya, selagi
tidak berganjak selagi itulah dia akan berleter tanpa henti.
Mazni
hanya mampu mengerling memandang Amirul dengan hujung mata. Dadanya sakit
menahan marah dan sakit hati. Masih ada masa lagi, aku akan cuba sedaya upaya
sampai Mirul jatuh hati dengan Qistina. Geram betul aku dengan anak bertuah
itu.
“You ni
selalu saja bagi muka pada Mirul tu. Sebab itulah apa yang I cakap dia buat tak
endah saja. Sebab dia tahu you akan menyebelahi dia,” marah Mazni kepada
Mustafa pula. Marahnya masih belum reda.
“Dia
bukan robot yang boleh kita arah untuk ikut cakap kita. Dia dah besar, ma. Kita
tak boleh paksa dia.” Mustafa cuba berpihak kepada Amirul. Dia sangat memahami
bagaimana perasaan anaknya itu.
“Tapi
kita kan dah bersetuju dengan Dato’ Azhar dan Datin Bibah?”
“You
yang setuju. I tak kata I setuju.” Selamba saja Mustafa menjawab.
“I
betul-betul tak fahamlah. You dengan Mirul sama aje, dua kali lima. Orang nak
bagi rezeki, tolak mentah-mentah.” Mazni merengus.
“Bagilah
peluang Mirul tu puas hidup membujang dulu. Dia nak cari pengalaman bekerja dan
rasa duit gaji sendiri. Dan lepas tu dia nak sambung belajar lagi. Nanti bila
dia dah bersedia nak ada hubungan serius dengan perempuan, kita uruskanlah apa
yang patut untuk dia,” ujar Mustafa.
“I bukan
suruh dia kahwin sekarang. I suruh dia berkawan-kawan dulu. Kalau dah rasa
serasi, bolehlah kita ikatkan dengan tali pertunangan dulu.” Mazni kembali
duduk di sofa.
“I tak
setuju. I tak nak dia rasa terbeban dan menyesal.”
“Apa
maksud you?”
“Entahlah,
ma.” Mustafa mengeluh. “I minta bagilah dia peluang. Biarlah dia yang buat
keputusan untuk dirinya sendiri. I bimbang kalau apa-apa berlaku di kemudian
hari nanti dia salahkan kita pulak kerana sibuk campur hal peribadi dia.”
Mustafa memandang wajah Mazni buat kesekian kali sebelum beredar meninggalkan
isterinya seorang diri di
ruang tamu itu.
Baru
sebentar tadi suasana ruang itu hingar-bingar dengan perbalahan mereka anak
beranak kini tiba-tiba bertukar menjadi sunyi sepi. Mazni menyandarkan tubuhnya
ke sofa. Matanya dipejamkan. Kepalanya terasa berdenyut-denyut.
.
No comments:
Post a Comment