Hamimi sedang berkemas-kemas.
Beberapa helai pakaiannya sudah dimasukkan ke dalam beg sandang bersaiz biasa
yang sering digunakan. Tidak banyak pakaian yang dibawa walaupun dia bercadang
untuk menghabiskan cutinya selama lima hari di kampung halaman. Beberapa helai
pakaian yang ditinggalkan di kampung masih boleh dipakai. Paling tidak pun dia
boleh meminjam baju-T dan kain batik emaknya. Memakai pakaian begitu lebih selesa.
Agak lama juga dia tidak berkain batik. Sejak duduk tinggal di Kuala Lumpur dia
lebih selesa memakai seluar sahaja jika duduk di rumah.
|
Barang-barang yang dibeli sebagai buah tangan untuk emak dan
adik-adiknya juga sudah dimasukkan ke dalam beg sejak semalam kerana bimbang
ada barang yang akan tertinggal nanti. Tiket bas sudah pun dibeli dua hari
lalu. Dia akan menaiki bas Transnasional yang akan bertolak dari Terminal
Puduraya pada pukul 1.00 petang. Bas itu dijangka sampai ke terminal bas di Butterworth
lebih kurang pukul 6.00 petang.
“Tak ada apa lagi yang tertinggal?” tanya Farhana yang hanya
memerhatikan Hamimi mengemas pakaian sejak tadi.
“Aku rasa tak ada apa yang tertinggal kot. Yang penting tudung mak aku dan baju untuk adik-adik aku
yang baru aku belikan tu. Baju aku pun tak banyak yang aku bawa.” Beg itu
direnung sebentar sebelum jari Hamimi menarik zip beg galasnya itu dengan
cermat.
“Eloklah tu. Kalau bawa banyak-banyak baju, berat beg tu
nanti. Kau nak pikul beg tu naik ke dalam bas pun susah. Kalau naik kereta tak
apalah jugak,” kata Farhana mengingatkan sahabatnya itu.
“Aku seganlah,” luah Hamimi.
“Segan? Kenapa?” tanya Farhana. Keningnya ternaik sedikit.
“Segan dengan abang long kaulah.” Hamimi memandang Farhana
sekilas.
“Kau ni tak habis-habis segankan abang long tu. Macamlah kau
tak kenal dia. Dah, tak payah nak segan-segan. Dia tu dah memang pendiam. Jadi
janganlah kau risau. Kalau dia tak suka, mesti dia akan kata tidak masa aku
telefon dia kelmarin.” Farhana cuba menenangkan perasaan Hamimi.
Farhana kasihankan Hamimi yang terpaksa bersusah payah
menunggu bas dan mengalas beg yang berat. Justeru, dia mencadangkan supaya Adam
menghantar Hamimi ke terminal bas. Dan tanpa bersoal jawab, Adam bersetuju
dengan syarat Farhana wajib ikut sama menghantar Hamimi.
“Abang long kau tak ada makwe ke?” tanya Hamimi
lambat-lambat.
“Itulah ruginya orang yang berat mulut ni. Kau bayangkan,
dengan aku ni pun dia susah nak bercakap. Kalau ada makwe tak taulah aku tahan
ke tidak makwe tu dengan perangai abang long aku tu. Kenapa kau tanya, kau nak
jadi makwe abang long ke?” soal Farhana sambil tersengih-sengih.
“Eh... eh... kau ni, ke situ pulak.” Hamimi tersipu-sipu.
“Manalah tau, dalam diam-diam kau ada perasaan pada abang
long. Kalau betul-betul apa salahnya. Aku pun suka kalau kau jadi kakak ipar
aku.” Farhana ketawa.
Hamimi mengerling tajam. “Bukan itu maksud aku.”
“Habis tu?” Dengan segera Farhana memintas.
“Aku tak nak timbul masalah nanti. Manalah tau kalau makwe
dia dapat tau pasal dia hantar aku, mengamuk sakan pulak makwe dia. Tak
pasal-pasal dia orang bergaduh pasal aku,” jelas Hamimi bimbang.
“Kau agak-agak ada makwe ke yang nak orang macam abang long?
Macam anak patung, senyap saja langsung tak berbunyi. Mula-mula berkawan
mungkin okey tapi bila dah lama-lama mesti rasa bosan, kan?” ujar Farhana.
Wajah abang longnya terbayang.
“Aku rasa aku tak padanlah dengan abang long kau tu. Dia tu
pendiam sangat. Kau taulah aku ni, bukan boleh duduk diam-diam. Rimas. Nanti
aku aje yang berceloteh sorang-sorang, sedangkan dia buat muka selamba aje.
Macam tak ada apa-apa.” Hamimi tergelak di akhir bicaranya.
“Mungkin dengan kita, dia diam... entah-entah kalau dengan
makwe dia, dia yang banyak bercakap,” tambah Hamimi lagi.
“Tak ada maknanya. Aku kenal sangat dengan abang long aku tu.
Dalam mulut dia ada emas, sebab itulah dia sayang nak bukak mulut,” tambah
Farhana.
Gelak tawa berderai menggamatkan suasana bilik itu. Merah
padam muka Hamimi menahan gelak. Mereka sama-sama ketawa mengenangkan perangai Adam
yang pendiam dan tidak suka banyak bercakap itu. Tiba-tiba cerita lelaki itu
menjadi topik perbualan mereka dan menjadi bahan jenaka pula.
“Amboi! Bukan main suka kau ya mengutuk abang long aku,” kata
Farhana setelah ilai tawa mereka mulai reda.
“Kau yang mulakan dulu, bukan aku.” Hamimi ketawa lagi.
“Kesian abang long. Kalaulah dia tahu kita ketawakan dia, kau agak dia marah
tak?” sambungnya lagi.
Farhana lebih arif mengenai abang longnya berbanding dirinya
yang hanya bertemu lelaki itu sekali-sekala.
“Abang long aku adalah abang yang paling baik di dunia. Kau
tak percaya kan kalau aku kata dia tak pernah marah aku? Dulu aku selalu buli
dia. Tetapi bila aku tengok dia cool aje setiap
kali aku kenakan dia, lama-lama timbul perasaan kesian kat dia. Sekarang aku
dah insaf dan dah jadi adik yang paling baik di dunia untuk dia.” Perasaannya
dijentik rasa hiba, tatkala mengingatkan kebaikan dan kesabaran abang sulungnya
terhadap kenakalannya yang suka menyakat. Rasa kagum dan bangga bercampur baur
menyelinap di dalam dadanya kerana mempunyai abang seperti Adam.
“Terus terang aku kata, aku suka tengok keakraban kau dengan
ahli keluarga kau yang lain. Walaupun abang long tu banyak berdiam dari
bercakap tapi aku tau dia seorang abang yang sangat penyayang dan bertanggungjawab.
Sebab tu aku kata kau tu beruntung. Sangat-sangat beruntung. Kau kena banyak
bersyukur kerana mempunyai keluarga yang sayangkan kau. Aku pun sayangkan kau
jugak,” kata Hamimi terharu. Suasana jadi sepi seketika.
“Aku pun sayangkan kau jugak, Mimi. Aku harap persahabatan
kita akan kekal sampai bila-bila,” balas Farhana ceria. Dia tidak mahu melayan
perasaan sedih. Ketika itu bukan masanya untuk mereka bercerita tentang duka
lara.
“Pukul berapa abang long kau nak datang?” Hamimi memandang
jam dinding.
“Kejap lagi datanglah tu. Aku dah pesan kat dia suruh datang
awal. Nanti bolehlah minta dia belanja kita makan sebelum bas kau bertolak,”
cadang Farhana.
“Eh! Tak payahlah minta dia belanja. Dahlah dia hantar aku,
lepas tu nak suruh dia belanja pulak. Janganlah, Farah.” Hamimi tidak bersetuju
dengan cadangan Farhana.
“Alah, sekali-sekala biarlah dia belanja. Dia pernah janji
dengan aku nak belanja kita makan.” Farhana teringatkan janji Adam padanya
semasa dia bercakap di talian telefon minggu lepas. Baginya, ketika itu adalah
masa yang sesuai untuk Adam mengotakan janjinya.
“Sepatutnya aku yang belanja dia makan sebab dia dah tolong
hantar aku. Ini dah terbalik pulak.” Perasaan malu bergayut di sanubari Hamimi.
Dia tidak suka dirinya dikatakan manusia yang suka mengambil kesempatan.
“Tak apa. Abang long tak kisah.”
“Kau yang cakap tak kisah. Tapi dalam hati dia, siapa tau?”
“Aku kenal dia luar dan dalam, Mimi. Aku percaya dia ikhlas
bila dia kata nak belanja aku dan kau makan.” Sedaya upaya Farhana cuba menyakinkan
sahabatnya itu.
Hamimi merenung jauh. Satu keluhan berat dilepaskan. “Kalau
kau kata macam tu, okeylah.” Hamimi berjeda. “Bilalah agaknya aku nak ada
kereta sendiri kan, Farah? Kalau ada kereta sendiri tak perlu menyusahkan orang
lain.” Dia mecebirkan bibir.
“Insya-ALLAH. Kalau Allah
nak bagi rezeki, tak mustahil. Usaha lebih sikit dan jangan lupa berdoa. Pasti
satu hari Allah akan makbulkan
impian kau tu.”
“Insya-ALLAH. Kau doakanlah aku cepat-cepat dapat jumpa
dengan putera raja.”
“Kau ni tak habis-habis dengan putera raja kau tu. Inilah
akibatnya terlalu banyak tengok drama dongeng. Mengarut aje semua tu.”
“Kau bukan tak tau, berapa senlah sangat gaji minah kilang
macam kita ni. Kalau setakat dapat gaji seribu sebulan, tak payah mimpilah nak
ada kereta sendiri.” Hamimi mengangkat beg galasnya lalu diletakkan di tepi
pintu bilik. Kemudian dia kembali duduk di birai katil bujangnya. Beberapa
helai baju yang ada di atas katilnya dilipat dan diletak di dalam rak pakaian
yang terletak di sebelah katil.
“Siapa kata orang kerja kilang macam kita tak boleh beli
kereta? Kau tengok Suri dengan Eton tu, dia orang beli kereta baru tau. Cuba
kau pergi kat tapak letak kereta kat belakang tu, kereta yang berderet-deret
kat situ tu kereta siapa? Yang penting, rajin. Kalau kita rajin buat overtime, mesti kita
mampu punya.” Farhana tidak bersetuju dengan pendapat Hamimi. Marah dia apabila dikatakan orang
bekerja kilang tidak mampu untuk memiliki kereta sendiri. Dia sekadar memberi
dua nama antara yang ramai lagi sebagai contoh.
“Mana kita tau, entah-entah orang tu ikat perut.” Hamimi
menyengih.
“Apa yang pasti, kalau buat overtime pun aku tak
mampu nak beli kereta. Jangankan kereta baru, kereta terpakai pun belum tentu
lagi.” Hamimi menggeleng sambil tersenyum kelat.
“Kita kena ada wawasan untuk meningkat dan membaiki taraf
hidup kita. Tidaklah kita hanya berada di takuk itu saja,” kata Farhana
bersemangat. Dia sudah siap berpakaian cantik dan memakai tudung di kepala.
“Kau lain, Farah.” Hamimi cuba menyangkal.
“Apa yang lainnya? Pada aku, kita sama saja. Jangan kau
jadikan kekurangan keluarga sebagai alasan. Kita kena ada azam dan cita-cita,
Mimi. Dan di samping azam dan cita-cita, kita juga perlukan usaha dan tawakal.
Banyak bermohon dan berdoa pada Allah
supaya apa yang kita impikan termakbul.” Farhana merenung wajah Hamimi.
Terkadang hatinya berasa belas terhadap sahabat kesayangannya itu. Gadis itu
sering mengeluh tentang kekurangan yang dimilikinya sehingga Farhana hilang
kata-kata. Dia tidak tahu apa yang perlu diungkapkan lagi.
Buat kesekian kali Hamimi melepaskan keluhan. “Ya, berusaha
dan bertawakal. Kesabaran juga penting, kan? Tambah-tambah lagi kalau berada
dalam situasi aku yang serba-serbi kekurangan ini.” Hamimi merenung lantai.
Wajahnya yang sebentar tadi ceria kini berubah muram. Dia terdiam melayan
perasaannya sendiri.
Melihat keadaan Hamimi itu, Farhana bangkit dari katilnya
lalu duduk di sisi Hamimi. Tangannya menepuk bahu sahabatnya itu lembut.
Hatinya dipagut sayu tiba-tiba. Jauh di sudut hatinya, dia mengaku Hamimilah
sahabat yang terbaik yang pernah dia miliki selama ini. Dia berharap agar
persahabatan antara mereka akan terus berkekalan hingga ke akhir hayat. Dia
sering ingat pesan kak ngah, persahabatan itu ibarat satu janji yang
dibuat di dalam hati. Tidak dapat ditulis dan tidak dapat dibaca. Namun tidak
akan terpisah dek jarak, tidak akan berubah dek masa. Sekali berkawan, ia
akan kekal buat selamanya.
Mereka berdua tersentak apabila kedengaran bunyi deringan
daripada telefon bimbit Farhana. Mereka saling berpandangan lantas sama-sama
melihat jam yang tergantung di dinding bilik itu. Farhana bingkas bangkit untuk
mendapatkan telefon bimbitnya yang sedang menjerit. Tertera nama abang long di
skrin comel telefon bimbit itu, betul jangkaannya.
“Assalamualaikum.” Suara Adam memberi salam di talian.
“Waalaikumsalam. Abang long dah sampai ke?” tanya Farhana.
Sambil menjawab telefon sempat juga dia membelek wajahnya di cermin.
“Okey,
kita orang turun sekarang,” kata Farhana apabila diberitahu oleh Adam yang dia
sedang menunggu mereka di bawah.
Hamimi sudah mengangkat beg tangan dan beg galasnya yang
diletakkan di tepi pintu bilik. Tergesa-gesa mereka melangkah keluar sebelum
menutup dan mengunci daun pintu rumah itu. Sebaik mereka sampai di pintu lif, butang
yang terlekat di dinding ditekan. Beberapa ketika kemudian, pintu lif pun
terbuka secara otomatik. Ada beberapa orang keluar dari lif itu. Kemudian
mereka berdua cepat-cepat masuk ke dalam perut lif dan menekan butang G.
Kereta Adam sudah sedia menunggu di hadapan laluan ke pintu
lif. Adam kelihatan tenang di tempat duduk pemandu. Awal-awal lagi Farhana
sudah memaklumkan lokasi terminal di mana tempat Hamimi akan mengambil bas
untuk pulang ke kampungnya. Sebaik sahaja pintu kereta ditutup, Adam menekan
pedal tanpa banyak soalan dan kereta pun meluncur menuju ke destinasi
meninggalkan daerah apartment dua belas tingkat itu.
.
No comments:
Post a Comment