Sudah
dua bulan kami melalui bahtera rumahtangga dengan kebahagiaan yang melimpah
ruah. Azry begitu baik terhadapku. Tidak ada sebab mengapa aku harus
mengenangkan kisah lampau yang boleh membuatkan aku sedih dan kecewa. Aku tidak perlu melayan perasaan yang
bukan-bukan yang sering datang menganggu fikiranku.
Ahh!
persetan dengan kenangan silam, pergi mampus dengan manusia yang kejam dan tak
berhati perut itu. Buat apa diingati
orang yang pernah mengguriskan hati dan pernah membuatkan siang malam ku bercelaru
dan penuh dengan deraian airmata. Tekad
ku kini adalah memberi sepenuh perhatian kepada rumahtangga yang baru ku bina
bersama Azry. Memang dia bukan pilihan hati ku tetapi kini dia telah menjadi
suami ku yang sah. Segala-galanya ada
pada dia, apa lagi yang aku mahu dari seorang lelaki yang bergelar suami? Aku mengharapkan perkahwinan ini yang telah
menyatukan dua hati antara aku dan Azry akan berkekalan sehingga ke hujung
nyawa. Biarlah ajal dan maut yang memisahkan kami. Biarlah kisah-kisah semalam dan kelmarin
berlalu pergi seperti awan mendung yang hilang tatkala mentari memancarkan
cahaya sinarannya.
Petang itu seperti hari-hari yang lain, Azry tidak pernah gagal menelefon
aku bertanyakan khabar ku di pejabat.
Sedang aku leka meneliti report mingguan yang telah disiapkan oleh staf
ku, tetiba kedengaran suara Maria, penyambut tetamu di pejabat memberitahu ada
panggilan untuk ku di talian menerusi interkom.
Gagang telefon yang berwarna putih yang terletak di sudut meja ku capai
lalu punat yang berkelip-kelip itu ku tekan.
“Hello”.
“Assalamualaikum
sayang, tengah buat apa tu?” suara Azry kedengaran dari hujung talian. Salam bersambut.
“Buat
kerjalah bang, kat ofis tak kan
tengah masak pulak kot?” aku berloyar buruk.
“Oh,
iya ke? Jangan buat kerja kuat sangat. Nanti balik rumah penat pulak”.
“Tak
apalah, abangkan
ada. Kalau penat boleh mintak abang picit-picitkan, urut-urutkan”.
“Itulah
yang abang malas tu, kalau abang saja yang asyik urut Sara, bila masa pulak
Sara nak urut abang?” Azry ketawa. Suka
sangat dia membuat lawak mengada-ngada begitu.
“Lepas
habis urut-urut, Sara bagilah upah” aku pulak menambah dan ketawa Azry semakin
kuat kedengarannya, aku juga turut ketawa sama.
“Sara
dah makan?”.
“Belum. Malas pulak rasanya nak keluar. Lagi pun Sara dah kenyang makan nasi lemak
pagi tadi yang mak Mah buat.”
“Itu
sarapan, jangan suka sangat skip lunch. Makan mesti on time. Kalau rasa kenyang
lagi, kat pantry office you kan
ada bread toaster? Ha makan dua keping toasted bread pun dah ok apa” pesan Azry.
“Tak
payah makan roti, kat depan I sekarang ni dah terhidang empat keping goreng
pisang yang masih panas lagi. Hari ni
ada seorang Hamba Allah tu belanja makan goreng pisang” tutur ku.
Aku tahu Azry begitu risau kalau aku cuba menyekat perut dari makan pada
waktu makan terutamanya makan tengahari.
“Hamba
Allah belanja makan? Sapa orang tu?” tanya Azry.
“Alah,
Dino. Dia tu Finance Manager kat ofis Sara
ni. Kan Sara pernah cerita kat abang
tentang dia. Abang lupa ke?” aku mengingatkan
Azry.
“Emm
tak apa lah. Sebenarnya abang nak bagitau abang balik lambat sikit hari ni, ada
meeting pulak pukul 6.00 petang
nanti.”
“OK,
tapi jangan balik lambat sangat ye!”
“Ya,
makan tau jangan biarkan perut tu kosong”.
“Ok
sayang, see you later,
assalamualaikum”
“Waalaikumsalam”
jawabku lalu gagang telefon ku letakkan semula ketempatnya.
Aku terdiam
merenung goreng pisang yang terletak di dalam piring di atas meja. Pen biru yang dipegang di tangan kanan, ku
letakkan di bibir. Aku mengelamun
kosong. Aku tersentak dari menungan apabila kedengaran pintu diketuk dari
luar. Belum sempat ku suruh masuk, daun
pintu terkuak dan terjegul wajah Dino dengan senyuman panjang dibalik daun
pintu.
“Sorry to disturb you” suara garau Dino menyapa
sambil berjalan menghampiri meja dengan beberapa helai kertas di tangan. Kerusi
di hadapan ku ditarik lalu dia pun duduk tanpa disuruh. Aku memandangnya tanpa
berkelip dengan senyuman yang tidak lekang dari bibirku menandakan
kedatangannya dialu-alukan.
“I
menganggu ke?” tanya Dino.
“Tak
adalah, you ni macam tak biasa je. You kan
suka meredah bilik I ni sesuka hati you aje” perli ku lalu gagang telefon ku
angkat dan menekan butang receptionist.
“Maria,
minta kak Ani buatkan air teh dua cawan hantar kat bilik I ya” arahku melalui interkom.
“Baik
puan Sara” suara manis Maria menjawab.
“Baguslah
you ni, macam tau-tau aje I datang sini nak ajak you minum sambil discuss pasal your exhibition next month”.
Seketika
kemudian pintu diketuk dan kak Ani masuk membawa dua cawan teh ‘O’ panas.
“Terima
kasih kak Ani” ucap Dino dan kak Ani yang telah lama berkhidmat di pejabat ini
sebagai tea lady mengangguk dan
berlalu meninggalkan kami.
“Oh
ya, tentang exhibition di PWTC tu,
nanti I bagikan schedule sekali
dengan duty rooster” ujarku dengan
wajah sengal kerana hampir terlupa tentang jadual itu.
“Agak-agak
youlah.. berapa budget? Berapa hari
ya exhibition tu?” tanya Dino untuk
kepastian.
“Exhibition tu berjalan selama enam hari
tapi kita ambil booth tu hanya untuk
empat hari saja”.
“Eh
kenapa pulak macam tu?”.
“Terpaksalah
Dino, I dah discuss this matter
dengan Dato’ Badrul and then dia suggest kita ambil empat hari saja. Tak cukup staff
lah. Hari kelima tu Saturday and Sunday pulak
my staff terpaksa lari pulak ke Alam
Central, Shah Alam” aku melepaskan keluhan.
“Dengan
I sekali kena turun tau tak?” sambung ku lagi dengan ketawa kecil. Dino hanya menyengih saja.
“Tak
apalah, kalau banyak sales yang you
all bawak masuk siapa yang dapat nama? Tentulah you dengan your department jugak kan ”
pujuk Dino.
“Habis
tu I dengan my department je lah yang
dapat nama?”.
“Iyalah.
Bila you and your department achieved
target, I’m sure dalam meeting
Dato’ Badrul akan puji you melambung-lambung”, perli Dino.
“I
tak nak pujian tapi I nak company appreciate
me and my staff dengan bagi incentive
atau bagi tiga bulan bonus ke. Dan yang penting bonus kitorang mesti lebih
dari department lain. Setuju?” balas ku dengan semangat yang
berkobar-kobar.
“Mana
boleh macam tu Sara. You ni tamaklah.
Kita kan
bekerjasama as a team. Kalau department
you saja yang buat kerja boleh jadi ke? Kalau tak ada Project department, tak ada Finance
department tak menjadi jugak Sara, kita sebenarnya perlukan each other” suara Dino mula mengendur.
Gelihati
betul melihatkan gelagat Dino, dengan wajahnya yang keanak-anakan, dia nampak
begitu manja dari pandangan mataku.
“You
janganlah ambil hati dengan apa yang I cakap tadi. Apa-apa pun kita minum dulu” aku mengangkat
cawan dengan berhati-hati supaya air yang penuh tidak tertumpah. Airnya sudah agak suam akibat kesejukan dari
alat penghawa dingin yang terpasang. Dino
menghabiskan minumannya dengan sekali teguk.
“Haus
ke? Kesihannya. Nah ni makan goreng
pisang” aku menghulurkan piring yang berisi goreng pisang kepada Dino.
“Tak
naklah, I dah kenyang makan kat luar tadi, itu kan untuk you” ujar Dino. Aku hanya tersenyum sambil mengunyah goreng
pisang yang sudah sejuk.
Usai menunaikan solat maghrib aku
menuruni anak tangga ke bawah. Kelibat
Azry masih belum lagi kelihatan. Jam
yang tergantung di dinding ku jeling.
“Dah
pukul 8.15 pun tak balik-balik lagi”, getus ku di dalam hati.
Suasana
ruang tamu rumah berkembar dua tingkat kepunyaan papa dan mama Azry yang
mempunyai empat bilik tidur di tingkat atas dengan masing-masing mempunyai
bilik air sendiri dan satu bilik untuk mak Mah di bawah sunyi dan sepi. Beginilah keadaan rumah besar ini, selalu
sahaja tiada berpenghuni melainkan mak Mah yang setia sebagai penunggu
rumah. Papa kerap keluar daerah dan
selalunya mama akan ikut sama.
Perniagaan papa sebagai rakan kongsi bersama seorang lagi kawan papa
memaksa papa turut sama turun padang
sekali sekala untuk memastikan perniagaan berjalan dengan lancar. Semenjak anak-anak sudah membesar dan tidak
lagi tinggal di rumah ini, mama akan sering mengikut papa jika keluar
daerah. Ini untuk memastikan waktu makan
papa terjaga dan setiap kali selepas makan papa perlu diingatkan untuk
mengambil ubat penyakit darah tingginya.
Aku ke dapur dan ku lihat mak Mah sedang sibuk menyiapkan meja makan
untuk hidangan makan malam.
“Papa
dengan mama tak ada kat rumah ke mak Mah?”.
“Opocot
mak kau meletup!” mak Mah melatah akibat
terkejut dengan teguran ku yang tiba-tiba.
Aku menghampiri mak Mah dan menenangkan keadaan latahnya itu.
“Sorry
mak Mah. Alahai kesian, mak Mah terkejut
ya!” ujar ku sambil menggosok-gosok belakang badan mak Mah. Ada senyuman tersungil di bibir mak Mah.
“Papa
dengan mama keluar tadi, tak pulak dia bagitau ke mana. Tapi dia ada pesan kalau Sara dengan Azry nak
makan malam tak payah tunggu mereka” beritahu mak Mah sambil kedua-dua
tangannya cekap membuat kerja-kerja di dapur.
“Azry
belum balik lagi? Mak Mah tak nampak pun Azry dari tadi” tanya mak Mah.
“Belum
balik lagi, dia ada meeting, kejap
lagi baliklah tu..” aku menjawab pertanyaan mak Mah sambil membawa semangkuk
gulai lemak daging ke meja makan.
“Makan
malam dah siap hidang, karang kalau Sara nak makan, makanlah ya, mak Mah nak
lipat kain baju pulak kat bilik belakang” pesan mak Mah pada ku dan aku
mengangguk lesu.
Aku
menuju ke ruang tamu sejurus mak Mah meninggalkan aku ke bilik belakang. Aku ke tingkap hadapan dan kain langsir merah
jambu ku selak. Aku mengintai keluar. Lampu luar yang terpasang membolehkan aku
melihat keadaan di luar dengan terang. Suasana
nampak tenang dan sunyi. Kemudian aku
mengalihkan perhatian ke peti TV lalu menekan punat dan TV pun terpasang. Buletin Utama sedang disiarkan, sepasang perantara sedang menyampaikan berita
tentang isu semasa negara.
Kini
topik politik menjadi isu hangat diperkatakan di mana-mana jua. Tidak hanya sekadar di kedai mamak atau di kedai
kopi malahan di pejabat-pejabat atau di tempat-tempat awam orang bercakap mengenainya.
Aku bukan ahli politik jauh sekali meminati topik politik. Setiap kali mendengar Azry dan papa berbual
tentang politik aku lebih suka menjadi pendengar sahaja. Memang menjadi lumrah, sesiapa pun akan
memenangkan parti yang mereka pilih.
Begitu juga parti yang memihak kepada kerajaan dan parti pembangkang,
masing-masing menyuarakan sokongan yang padu dan tidak berbelah bahagi terhadap
parti yang mereka sertai. Ada juga diantara
mereka-mereka yang begitu fanatik sehingga sanggup mengadakan demontrasi dan perhimpunan haram serta membuat huru hara
di tempat-tempat awam. Bukan sahaja
negara kita yang mengalami keadaan politik yang sebegitu malahan di negara lain
lebih buruk dari itu. Entahlah apa nak jadi dengan dunia hari ini.
Remote control yang ada di tangan
memudahkan aku untuk mengalihkan siaran dengan menekan butang-butang ke siaran
lain. Aku berhenti di siaran Astro Ria
bila melihat penyanyi bersuara emas Sharifah Aini sedang mendendangkan lagu Seri Dewi Malam. Aku minat sungguh
dengan kelunakan suaranya yang bak buluh perindu itu. Begitu asyik sekali menonton
sehingga tidak perasan bunyi enjin kereta masuk ke garaj lalu aku terkejut
apabila tiba-tiba kedengaran seperti ada seseorang di luar pintu. Pandangan
mata ku segera beralih ke situ. Daun
pintu terkuak.
“La..
abang balik rupanya” ujarku dengan perasaan lega sebaik melihat wajah Azry.
“Assalamualaikum”
Azry memberi salam. Aku segera menyambut
salamnya.
“Ha
kenapa? Terkejutke?” tanya Azry.
“Ingatkan
siapa tadi”.
“Itulah
leka sangat tengok TV sampai kereta abang masuk pun tak dengar” perli Azry. Beg bimbit di tangan Azry ku sambut dengan
tangan kanan.
“Mama
dengan papa tak balik lagi?”.
“Belum
lagi. Abang nak makan dulu ke?”.
“Abang
nak naik atas mandi dululah” balas Azry lembut.
Aku
membuntuti Azry menaiki anak tangga untuk ke bilik di tingkat atas. Aku menghulurkan tuala mandi kepada Azry dan
beg bimbitnya ku letakkan di atas meja komputer yang berhampiran dengan
tingkap. Aku segera ke bawah sebaik
sahaja Azry hilang ke bilik mandi. Lauk
pauk yang terhidang sudah suam-suam kuku, nasib baiklah nasi yang didalam rice cooker masih lagi panas. Ku sendukkan semangkuk besar nasi dan ku
letakkan di atas meja hidangan. Kemudian
aku ke bilik mak Mah. Pintu ku ketuk sekali
dan daun pintu ku buka tanpa disuruh.
Mak Mah sedang mengaji Al-Quran sambil duduk bersila di atas katilnya. Mak Mah menoleh sebaik mendengar daun pintu
biliknya dibuka.
“Makan
sekali mak Mah”.
“Sara
makanlah dulu. Azry dah balik?” aku anggukkan kepala.
“Sara
dengan Azry makan dulu nanti lepas ni mak Mah keluar makan”. Aku mengangguk lagi dengan senyuman di bibir
dan pintu ku tutup semula. Walaupun mak
Mah merupakan pembantu di rumah ini tetapi kami telah menganggap dia seperti
ahli keluarga. Kami tidak pernah
menyisihkan dia. Mak Mah tidak punya
saudara mara di sini. Dia sebatang
kara.
Setiba aku di ruang makan, Azry telah sedia duduk menunggu
aku di situ.
“Mak
Mah tak nak makan sekali?” soal Azry.
“Mak
mah tengah mengaji, nanti kejap lagi dia makan” ku hulurkan pinggan yang telah
berisi nasi kepada Azry.
“Tadi
masa Sara balik papa dengan mama ada rumah ke?”.
“Tak
ada. Papa dengan mama pergi mana, bang?”
“Tadi
papa telefon kata pergi Kuantan nak tengok perabut design baru kat sana . Lepas tu mereka nak singgah ke rumah maklong
Yati. Tak cakap pulak balik hari atau tidur sana ke” Azry meneguk air dari gelas kaca.
“Lepas
makan nanti abang telefonlah tanya. Ni dah pukul 9 malam dah” aku luahkan
kerisauan sambil mengunyah.
“Tambah
nasi lagi bang?”.
“Tak..
malam makan sikit cukup, abang tengah berdiet ni”.
“Nak
diet apa bendanya. Abang bukannya gemuk”.
“Sebelum
gemuk kena beringat, nanti kalau dah boroi perut ni ha, Sara pulak yang malu
nanti nak jalan dengan abang. Nanti
orang kata eee.. husband Sara tu perut boroi” seloroh Azry dengan ketawa yang
terbahak-bahak.
“Boroi
boroi pun suami Sara, nak buat macammana, ke nak jaga badan supaya tak nampak
macam suami orang?” usik ku.
“Eh
eh, ke situ pulak Sara ni, abang ni suami mithali tau. Abang cuma ada Sara sorang je, satu ni pun
susah abang nak jaga, kejap kejap merajuk, bukan senang nak pujuk pulak tu.
Lainlah kalau orang tu nakkan payung emas” gurau Azry diikuti dengan deraian ketawa lalu
satu cubitan singgah dipehanya.
Selepas
selesai makan kami berehat sambil menonton TV di ruang rehat di tingkat
atas. Aku duduk bersandar hampir dengan
Azry, sesekali melentokkan kepala ke bahunya. Sambil menonton TV Azry membaca surat khabar. Sememangnya sudah menjadi kelaziman, setiap
kali selepas makan Azry pasti mencari surat
khabar kerana tidak berkesempatan membaca diwaktu siang. Aku mengingatkan Azry untuk menghubungi papa
dan mamanya lalu ku hulurkan telefon bimbitnya supaya dia terus menelefon
mereka.
“Assalamualaikum
papa”. Suara papa kedengaran walaupun
tidak berapa jelas berkata sesuatu kepada Azry.
“Papa
kat mana ni?” aku yang berada disisi Azry hanya diam menumpukan perhatian ke peti
TV sedangkan telinga ku mendengar setiap perbualannya dengan papa.
“Papa
dengan mama kirim salam” ujarnya sebaik telefon bimbit diletakkan ke atas meja
yang berdekatan.
“Waalaikusalam
wbt” jawabku jelas.
“Papa
dengan mama tidur kat rumah maklong Yati sebab kat Kuantan hujan”, Azry
memberitahu tanpa aku bertanya dan aku sekadar menganggukkan kepala. Remote
control yang ada di tangan ku tekan dari satu channel ke channel yang
lain.
“Besok
kan hari
sabtu hari cuti, tak ada program yang best-best. Boring betul..” keluh ku
sambil menjeling Azry. Dia tekun membaca surat
khabar tanpa menoleh.
“Bang!”
panggil ku manja sambil menggosok-gosok lengan Azry.
“Emm”
jawab Azry tanpa memandang.
“Esok
kita balik Gombak. Dah lama tak jumpa
ibu ayah” Azry segera berhenti membaca dan mengalihkan padangannya kepada
ku.
“Ini
mesti rindu nak makan masakan ibu ni” duga Azry.
Memang
aku rindukan masakan ibu. Bukan sahaja itu malahan rindukan juga kepada kedua
ibu dan ayah walaupun aku kerap menghubungi mereka melalui telefon. Agak lama aku tidak ke sana.
“Boleh
ke?” soal ku.
“Boleh
sayang. Besok lepas sarapan kita pergi.
Sebelah petang nanti abang ingat nak ajak Sara pergi tengok wayang, ok
tak?”.
“No
problem. Kalau dengan abang ke lautan
api pun Sara sanggup redah” Azry merenung tajam ke anak mataku. Wajah yang tampan bagaikan tidak puas mata
ini memandangnya. Surat khabar di tangan dicampakkan ke atas
meja kopi. Pandangan dan jelingannya
begitu romantis sekali. Azry mendekatkan wajahnya ke wajahku. Dengan pantas aku tekupkan tangan ke bibirnya
yang telah sedia muncung. Matanya yang pejam dicelikkan kerana terkejut dengan
tindakan ku.
“Apasal?”
soal Azry kaget.
“Sabar,
takkan lari gunung dikejar. Tutup TV dan semua lampu, lepas tu kita masuk
bilik, ok?” aku bangkit dari sofa dan berlalu ke bilik tidur. Kedinginan bilik tidur dengan dilimpahi biasan
cahaya lampu jalan yang masuk melalui tingkap kaca menyemarakkan lagi suasana
romantis dimalam itu.
No comments:
Post a Comment